Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku villainess pantang menyerah kalah!
Aku villainess pantang menyerah kalah!
Seri Pagi
12/3/2020 11:52:05
60,050
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
10

Sebenarnya, Farrah tidak berapa pasti kejutan apa yang patut diberikan pada hari acara itu nanti. Disebabkan hal ini, Farrah bercadang untuk menyiasat pandangan dari beberapa orang. Dari perspektif mereka, mungkin ada idea yang boleh digunakan Farrah nanti.

 

"Ini agak payah sedikit. Tapi saya percaya jika awak kumpulkan ramai orang dalam satu kawasan, pasti ada sesuatu yang bakal berlaku. Pertama sekali, awak kena fikirkan bagaimana untuk tarik perhatian orang ramai dan buatkannya mereka berkumpul. Dalam satu tempoh yang panjang."

 

Sambil mengangguk, Farrah mencatat apa yang didengarinya. Terima kasih Kak Siti!

 

Kak Siti kemudiannya menarik salah satu tangan Farrah. Dia terus memicit isi diantara ibu jari dan jari telunjuk.

 

"S-Sakitt!" Farrah menjerit. Kak Siti masih tidak melepaskan tapak tangannya. "Apa yang Kak Siti buat?"

 

"Kebelakangan ini awak nampak kepenatan. Ini titik akuapuntur awak. Tujuannya supaya awak segar semula!"

 

Kak Siti kemudian mengalih tangan ke bahu Farrah lalu memicit dengan sekuat hati.

 

Hieeeeeeeee!

 

Sesi urutan itu berterusan selama tujuh minit. Farrah mulai lupa tujuan sebenar.Tidak banyak tips yang Farrah dapat kali ini. Bagaimanapun badannya terasa ringan.

 

*

 

Tidak berputus asa, kali ini Farrah menghampiri sekumpulan pekerja lelaki dan wanita yang sedang berbual. Berpura-pura turut serta dalam perbualan, Farrah mengajukan soalan apabila berpeluang.

 

"Agaknya perkara apa yang orang suka dengar kebelakangan ini?"

 

"Sudah tentu perkara berkaitan selebriti dalam syarikat ini. Cik Farrah tentu tahu siapa yang saya maksudkan." jawab salah seorang pekerja sambil tergelak.Soalan Farrah dianggap gurauan.

 

Pertama kali Farrah rasa menyampah mendengar perkataan 'selebriti'. Dia ingin mendengar sesuatu yang tiada kaitan dengan orang terkenal dalam LinkComm. Tiap kali dia bertanya kepada orang lain, jawapan yang diterima hampir sama. Nampaknya dia terpaksa berhenti menyoal orang lain.

 

Oleh kerana rancangan untuk mendapatkan idea dari orang lain tidak berjaya, dia kembali semula ke bilik mesyuarat yang dijadikan bilik gerakan untuk teamnya selama dua minggu itu. Lagipun hari ini agak istimewa. Farrah sediakan sesuatu untuk ahli teamnya.

 

Apabila Farrah memberitahu segala perubahan yang Amir mahukan dalam mesyuarat, Farrah sedar ahli teamnya sedang menyembunyikan perasaan sebenar. Kelihatan riak wajah mereka seakan tidak percaya dan tiada semangat.

 

Maafkan Farrah! Walaupun Farrah sendiri membantah perubahan ini dari awal-awal lagi.

 

Hari ini, Farrah sediakan jamuan ringan untuk mereka semua. Sudah tentu menggunakan duit poket Farrah sendiri. Sebut tentang sebarang aktiviti atau projek, salah satu perkara unik tentangnya adalah makanan yang disediakan sepanjang tempoh sewaktu menguruskan aktiviti. Lakukannya atau tidak, semua bergantung atas budi bicara masing-masing.

 

Tiada siapa yang tahu jamuan kecil kali ini disediakan oleh Farrah. Kebanyakan pekerja dalam syarikat ini sudah terbiasa menerima makanan atau minuman yang tersedia khas bilamana terlibat dalam sesuatu projek.

 

Tiba waktu rehat, mereka semua berpusu masuk ke dalam bilik gerakan itu.

 

"Wow! Makanan dan minuman kali ini agak istimewa. Siapa yang sediakan?"

 

Tegur salah seorang pekerja. Tiada siapa mengaku termasuklah Farrah. Biarlah rahsia.

 

Tidak teragak-agak mereka semua mulai layan diri mengambil makanan dan minuman yang ada. Salah seorang pekerja menjumpai sekotak kek lalu membukanya. Ada Brownies dalamnya. 

 

"Wow! Nampak seperti homemade!"

 

Tegur salah seorang pekerja lagi. Beberapa orang lagi merapati pekerja itu untuk menjengguk apa yang ada dalam kotak itu.

 

Huhuhuhu.Terima kasih. Farrah yang buatnya.

 

Tidak dapat melelapkan mata semalaman, Farrah bangun lalu merayau sekitar rumah. Didapur Farrah menjumpai buku resepi milik orang gaji keluarganya. Dia kemudian tertarik melihat resepi Brownies yang sangat ringkas. Lagipun semua bahan resepi itu ada dirumah. Tanpa membuang masa, dia mengikut apa yang tertulis dalam resepi itu. Apa yang dipegang oleh pekerja itu adalah Brownies hasilan buatan pertama Farrah dalam cubaan membuat sesuatu selain masakan.

 

Jangan malu-malu! Jangan segan! Makanlah. Pertama kali Farrah berjaya buat sesuatu berpandukan resepi semata-mata. Farrah amat gembira apabila yang keluar dari oven ialah Brownies yang cantik. Semua yang ada disini sangat bertuah hari ini. Farrah sendiri belum merasainya lagi.

 

"Pertama kali lihat Brownies hitam berkilat begini. Langsung tidak kedekut dengan Dark Chocolate. Fudge atau cakey?"

 

Hmm- Dark Chocolate? Tapi Farrah gunakan plain chocolate. Fudge? Cakey?

 

Beberapa orang pekerja mengambil Brownies pada masa yang sama dan menyuap kedalam mulut mereka masing-masing. Kemudiannnya..

 

"UWEKK! Jangan makan Brownies. Beracun. Ianya PERANGKAP!" Salah seorang pekerja yang makan itu tadi memberi amaran. Yang lain lagi segera mencari tong sampah, meludah apa yang ditelan.

 

Suasana jadi panik.

 

Apa!?

 

"Apa yang berlaku?"

 

"Ada orang cuba sabotaj team kita. Mereka berikan Brownies yang tidak boleh ditelan!"

 

Apa!?

 

"Teruklah.Sebelum ini saya pernah dengar adanya team lain yang pernah disabotaj. Beberapa barang penting mereka hilang sebelum tiba hari acara."

 

"Siapa punya angkara ni? Panggil pak guard suruh datang siasat!"

 

Nanti dulu!

Tapi rasa takut untuk mengaku.

 

"Saya lihat budget tambahan acara kali ini. Agaknya ada orang cemburu lihat team kita."

 

"Tengok Cik Farrah. Menggeletar sejak tadi. Agaknya terlalu marah. Jangan maafkan dalang yang buat kerja ni."

 

"Semua orang perlu berhati-hati selepas ini. Tunjukkan pada mereka semua team kita takkan mengalah. Perkara begini takkan patahkan semangat kita semua."

 

Security dipanggil untuk menyiasat. Farrah memberi arahan supaya apa-apa perkara yang dijumpai sewaktu insiden itu perlu dilapor segera kepadanya terlebih dahulu. Nasib Farrah agak baik kerana pak guard tidak menjumpai apa-apa yang mencurigakan.

 

Insiden kali ini membuatkan team Farrah lebih bersemangat sehingga hari pelancaran tiba.

 

Cooking skill - zero. Tapi tak sangka skill membuat kek dan Pastry pun sama sahaja - gagal.

 

Selepasvini Farrah bersumpah untuk ambil serius mana-mana kelas masakan yang bakal diikutinya akan datang.

 

 

 

 

Kejadian Brownies membuatkan Farrah rasa tidak yakin selama hampir dua hari. Dengan langkah lemah, dia melalui koridor lalu terserempak dengan Bayazid yang sedang berhenti memerhatikan sesuatu. Farrah turut sama melihat apa yang dipandang lelaki itu sewaktu menghampirinya. Mereka melihat Haris sedang berbual dengan Shiela dan Nana sebelum mereka bertiga bergerak meninggalkan kawasan itu bersama-sama.

 

Agaknya mereka bertiga berbincang tentang hal kerja seperti biasa. Perkara ini langsung tidak mengejutkannya.

 

"Awak nampak letih. Tak sangka mengurus sebuah acara mampu membuatkan awak jadi begini."

 

Bayazid menegurnya.

 

Farrah senyap tidak mahu mengulas. Takut terlepas cerita sebenar yang menyebabkannya tidak bersemangat adalah hal lain. Biarlah insiden Brownies itu jadi salah satu rahsia besar miliknya seorang.

 

"Kalau awak tak kisah.. Ikut saya. Kita berdua boleh makan di luar bersama-sama. Tapi saya faham jika awak ingin makan bersama kawan-kawan awak seperti biasa."

 

Segan. Bayazid mengalih pandangan ke arah lain.

 

Mmm- Adakah dia risau keadaan Farrah? Jangan paksa diri jika awak tak biasa bersikap jujur dengan perasaan awak sendiri.

 

Tapi muka segan Bayazid tadi agak..

 

"Ok.Jom makan diluar." Selalunya Farrah akan menolak ajakan seperti ini. Hari ini, Farrah rasa ada baiknya bertukar angin sekali-sekala. Lagipun ada sesuatu yang ingin ditanya  berkaitan acara akan datang pada Bayazid.

 

Hampir waktu tengahari, mereka berdua terus menuju ke tempat parking. Di lobi, mereka terserempak dengan Diyana dan kawan-kawannya. Sementara Diyana dan Bayazid saling bertukar pandangan sesama mereka, Farrah menjarakkan dirinya beberapa langkah dari Bayazid. Tanpa berhenti, Bayazid meneruskan perjalanan, tidak menyapa Diyana.

 

Farrah dapat rasakan Diyana turut memandangnya.

 

Bila ditanya mengapa Bayazid tidak menegur Diyana, dia menjawab, "Sekarang ini saya ada urusan dengan awak. Hal personal letak tepi dahulu."

 

Tiba dikawasan parking, mereka berdua sempat bertengkar kerana Farrah enggan masuk kedalam kereta Bayazid tetapi mengalah selepas Bayazid mencadangkan mereka berdua menggunakan kereta Farrah.

 

Selepas beberapa minit memandu, Bayazid memilih sebuah Café yang terkenal dengan pelbagai jenis kek selain menu makanan dan minuman. Mereka berdua segera mencari tempat duduk yang terasing dari pelanggan lain sebelum membuat pesanan makanan.

 

"Apa hubungan sebenar awak dengan Haris? Saya selalu lihat Haris bertindak seorang diri sejak dia mula bekerja. Keadaan yang jarang berlaku dalam LinkComm terutamanya bila dia salah seorang anak Dato Kamal. Saya rasa pelik. Tapi orang yang dilihat paling banyak berbual dengannya adalah awak dan kawan-kawan awak." soal Bayazid.

 

"Kami berdua sudah lama saling mengenali sebelum Farrah masuk bekerja dalam syarikat ini lagi. Haris kawan lama Farrah. Sama seperti Amir. Dan Haris selalu berbual dengan Farrah sebab Farrah percaya Dato Kamal arahkan Haris untuk memerhatikan Farrah. Awak tahu pasal perjanjian antara Farrah dan Dato Kamal?"

 

Farrah menceritakan secara ringkas apa yang berlaku antara dia dan keluarga Dato Kamal. Bayazid mengangguk. Mengerti apa yang berlaku. 

 

"Tak sangka ini yang awak alami selama ini. Sentiasa diperhatikan. Maafkan saya. Sebelum ini kata-kata saya pernah menyakitkan hati awak."

 

"Wah! Tak sangka awak akan minta maaf. Ah! Farrah patut rakam apa yang awak cakap tadi. Tiap kali awak bertindak menyakitkan hati Farrah akan ulang sahaja rakaman tadi."

 

"Henti bermain-main. Saya serius sekarang ni!"

 

Hahaha!Terasa seronok mempermainkan Bayazid sekarang ini. Timbul perasaan ingin tunjukkan sikap sebenar Bayazid ini pada semua orang.

 

"Baiklah. Apa pandangan awak pada Haris? Sebenarnya Farrah harap kamu berdua boleh jadi kawan."

 

"Terpulang pada dia walaupun saya rasa mustahil. Saya dapat rasakan ada banyak perkara yang dia rahsiakan. Shady guy. Saya tak dapat agak apa yang dia fikirkan."

 

"Haris bukan seperti yang awak fikirkan."

 

"Awak pasti? Mungkin Haris yang awak kenal sekarang ini berbeza dengan Haris enam tahun lepas. Saya pernah dengar perkara ini dari Amir sendiri. Sebenarnya hubungan Haris dengan Amir tidak baik. Walaupun duduk serumah, mereka jarang berbual. Amir sendiri rasa pelik dengan perubahan Haris."

 

Hah?

Farrah tergamam.

 

Maksud awak bergaduh seperti adik-beradik? Farrah tidak faham kerana tidak mempunyai adik-beradik. Tapi melihat riak wajah Bayazid yang serius, agaknya ia bukan apa yang Farrah fikirkan.

 

"Ini bukan kali pertama saya nampak Haris bersama dengan kawan-kawan awak. Mereka bertiga seperti berbincang sesuatu tanpa mengetahuan awak. Kawan awak pernah beritahu awak apa yang mereka bertiga bualkan?"

 

"Tak pernah." Farrah mulai sangsi.

 

Sebelum ini Shiela dan Nana pernah nasihatkannya supaya berhati-hati dengan Haris. Adakah ini yang mereka berdua maksudkan? Apa yang mereka bertiga bualkan? Yang peliknya, dari apa yang Farrah lihat, Shiela dan Nana tidak kelihatan dipaksa atau terdesak.

 

Tiada sebab untuk Bayazid menipu. Apa yang akan dia dapat jika menipu Farrah?

 

Tapi Haris, Shiela dan Nana selama ini melayannya dengan baik. Farrah tiada masalah dengan mereka bertiga. Dan percayakan mereka bertiga.

 

Setiap orang ada rahsia masing-masing. Ini kerana Farrah sendiri sembunyikan sesuatu kepada Shiela dan Nana. Farrah masih tidak memberitahu mereka mengenai duit pampasan yang bakal diterima dan rancangan Farrah selepas setahun nanti. Rasa takut jika Shiela dan Nana mula membencinya kerana pelbagai sebab.

 

"Farrah!"

 

Tersentak dengan panggilan Bayazid, Farrah memandangnya. Rupanya pelayan tiba dengan membawa hidangan mereka.

 

"Salah saya buatkan awak dilemma terutamanya pada waktu sibuk begini. Ada baiknya kita tukar topik."

 

Dah terlambat tapi..

 

"Mengenai Haris, baik atau jahat sekalipun, Farrah akan putuskan sendiri apabila sampai masanya. Apa yang Farrah pasti sekarang ini, Haris tidak pernah lagi menyakitkan hati Farrah. Sama juga keadaan Shiela dan Nana."

 

Farrah menyentuh makanannya setelah selesai memberi pandangannya kepada Bayazid.

 

"Sangkaan saya, awak akan muram atau marah. Tapi awak dah tahu apa yang awak perlu buat.Saya silap menilai awak."

 

Hmm- Ini pujian? Mustahil. Awak sangat pelik hari ini. Agaknya ini satu petanda hujan maha lebat akan turun sebentar lagi. Farrah kena bersedia dengan payung!

 

Sambil makan mereka berbual perkara lain.

 

Grrr- Kek Chocolate! Sepupu Brownies. Farrah marah melihatnya. Tapi tak sangka Bayazid boleh makan sesuatu yang manis. Selain kek chocolate, ada pancake dengan whip cream, buah-buahan dan sos strawberry yang banyak atasnya. Tambah lagi minuman float. Semuanya habis licin dimakan Bayazid.

 

Citarasa makanan awak seperti gadis. Farrah pula suka makan daging atau steak. Nampaknya kita berdua sama sahaja walaupun citarasa berbeza. Dan bagaimana awak mampu maintain badan awak? Adakah awak jenis yang tidak akan gemuk walaupun banyak makan. Bertuahnya!

 

Tiba masa beredar, Farrah terkejut sekali lagi apabila Bayazid menjelaskan semua bil hidangan mereka. Dengan pantas dia melihat langit dan mendapati cuaca memang mulai mendung.

 

Tiba disyarikat, dia mengucapkan terima kasih menyebabkan Bayazid tersenyum. Farrah jadi kaku.

 

"Awak sebahagian dari team Farrah. Farrah cadangkan awak pakai waitscoat pada hari acara nanti. Pastikan separuh rambut depan awak jatuh kehadapan atau 'side swept'. Dan satu lagi Bayazid..  Awak patut sentiasa senyum."

 

"Apa yang awak cakapkan ni?"

 

Bayazid kembali normal, bersedia untuk bertengkar. Farrah melarikan diri sebelum sempat dimarahi.

 

 

 

Farrah memeriksa smartphone dan mendapati sebelas missed call dan mesej daripada Haris. Hmm- Masa untuk jumpa Haris.

 

 

 


 

Bila difikirkan tak banyak yang Farrah tahu tentang Haris terutama selepas dia pulang ke Malaysia beberapa bulan yang lepas. Farrah akui dia tidak menaruh apa-apa syak dan menerima sepenuhnya Haris sebagai salah seorang kawannya.

 

Petang itu, dia pergi mencari Haris. Dalam bilik pejabat eksekutif milik Haris, kelihatan lelaki itu turut menunggu kedatangannya.

 

"Saya tahu ini secara tiba-tiba tapi ke mana awak dan Bayazid pergi? Bayazid ada buat sesuatu seperti ugut awak? Hanya berdua? Saya takkan maafkan dia."

 

"Farrah dan Bayazid makan di sebuah café diluar syarikat. Dia rasa kasihan dengan keadaan Farrah yang sibuk kebelakangan ni."

 

Eh! Bagaimana dia boleh tahu? Memang Farrah ada hantar mesej kepada Haris, Shiela dan Nana tentang rancangan tengahari Farrah tapi tak pernah sesekali sebut bersama Bayazid.

 

"Haris.. Apa pandangan awak pada Bayazid? Kamu berdua boleh jadi kawan. Bayazid ada personaliti yang kompleks tapi Farrah tahu rahsianya. Dia cuma tidak jujur dengan perasaannya sendiri."

 

Tiada jawapan. Haris hanya merenungnya. Dari riak wajahnya, Farrah dapat rasakan dia tidak setuju sepenuhnya dengan cadangan yang diberi. Rasa serba salah dibuatnya.

 

Kemana perginya Haris yang peramah dan mudah tersenyum? Sejak pulang dari Jakarta moodnya sentiasa dalam keadaan tidak baik. Haris dihadapannya kini mampu membuat orang lain takut dengan renungannya sahaja.

 

"Berhenti cerita hal mengenai Bayazid. Apa yang awak cadangkan tak mungkin berlaku. Saya langsung tak berminat." balas Haris.

 

Farrah rasa terkilan.

 

"Bagaimana dengan persediaan acara nanti? Saya dapat tahu ada empat orang pekerja yang mengganggu dan mencabar awak. Jangan risau. Biar saya 'bercakap' dengan mereka."

 

Eh? Kali ini Haris kembali dengan perangai asalnya. Prihatin dan cepat risau. Bagaimanapun naluri Farrah mengatakan supaya jangan menerima pertolongan daripada Haris dalam hal ini.

 

"Jangan. Farrah boleh handle masalah ni. Terima kasih tapi Farrah taknak awak terlibat dalam hal ini."

 

Pekerja berempat itu pasti sedih dan patah hati jika Haris datang memarahi mereka. Sangat jelas dalam hal sebelum ini salah seorang dari mereka adalah peminat Haris.

 

Serta-merta Haris berdiri dan menuju ke arahnya. Dia kemudian menarik tangan Farrah dan membawanya duduk disebuah sofa yang ada terletak dalam bilik itu. Mereka bertukar tempat. Kali ini Haris duduk disebelahnya. Kelakuan ini ada maknanya.Haris ingin berbual secara personal dengannya.

 

Ayahnya pernah mengajar perkara ini pada Farrah. Jika berbual dalam jarak dekat, seseorang dapat memerhatikan reaksi orang lain dengan jelas. Amat mudah mengetahui seseorang menipu atau tidak jika tahu caranya. Bebola mata seseorang cenderung naik ke sebelah kanan atas bila berbohong. Dan orang yang berbohong biasanya bercakap dengan cepat dan panjang lebar. Tak pasti jika Haris tahu mengenai perkara ini. Ah! Never mind. Farrah nampak dengan jelas beberapa buku psychology tersusun kemas dalam rak di belakang Haris.

 

"Ini mungkin perasaan saya, Awak sangat berwaspada sekarang ni. Mengapa?"

 

Seperti biasa pandangan tajam Haris dapat meneka reaksi Farrah.

 

"Haris.. Adakah awak ditugaskan oleh ayah awak untuk memerhati Farrah dalam syarikat ni?" Tiada guna Farrah berdolak-dalik lagi.

 

"Bukan saya. Inikah yang menyebabkan awak takut? Jangan paranoid sangat. Mereka tidak ditugaskan mencari kesalahan awak. Bagaimanapun jika awak tetap  risau, saya boleh lakukan sesuatu untuk awak."

 

Rasa lega mendengar apa yang dikatakan Haris. Tapi dia tidak perlu tawarkan diri untuk bertindak.

 

"Farrah.. Bayangkan jika awak tak perlu berhenti kerja dari syarikat ini. Satu hari, saya ditukarkan ditempat lain. Awak ingin ikut saya? Di tempat yang tiada sesiapa kenal awak. Tiada Amir atau Diyana."

 

Farrah terdiam. Agak lama. Berfikir panjang.

 

"Tak perlu beri jawapan. Lihat awak diam begini, saya dah tahu jawapannya. Awak rasa ragu-ragu."

 

Apa maksud awak? Farrah ada sebab sendiri.

 

"Sudah tentu Farrah ragu-ragu. Farrah sedar tak banyak yang Farrah tahu tentang awak. Masih ada perkara yang awak rahsiakan? Farrah nak tahu."

 

Kali ini giliran Haris senyap sebelum bersuara.

 

"Awak nak tahu? Tapi awak kena percayakan saya. Sanggup?"

 

"Dah lama Farrah percayakan awak. Tapi Haris.. Farrah tak tahu sampai bila. Pada mulanya Farrah percaya awak tidak berubah. Masih sama seperti enam tahun lepas. Mana satu sikap awak sebenarnya? Tunjukkan segalanya apa yang awak ada. Jangan tipu Farrah lagi. Tak pasti dipihak mana awak sebenarnya."

 

"Baiklah.Tapi saya minta awak percayakan saya. Saya akan tunjukkan segalanya yang awak ingin tahu. Dalam acara akan datang, Dato Kamal akan berikan ucapan perasmian pada semua orang. Dengar baik-baik ucapannya nanti." Haris memberi jaminan.

 

Farrah mengerutkan dahi.

 

Amat jarang Pengarah sendiri turun merasmikan satu acara pelancaran bersaiz sederhana seperti ini. Biasanya, wakil atau ketua bahagian yang akan merasmikannya.

 

Tapi ini satu peluang baik. Pengarah muncul dalam acara dikendalikannya. Biar ianya jadi salah satu kejutan pada pekerja lain.

 

Farrah setuju serta-merta. Apa yang dia boleh buat cuma menunggu apa yang dimaksudkan oleh Haris. Lagipun masih banyak kerja lain yang dia perlu uruskan. Tiada masa untuk fokus pada satu masalah.

 

Sedang Farrah sibuk berfikir, Haris menarik helaian rambut panjang Farrah dan mula bermain dengannya.

 

"Haris.. Apa rancangan awak waktu hari acara nanti? Awak selalu tersenyum. Farrah cadangkan awak pakai kacamata bingkai hitam. Seperti bookish style. Eh? Awak dengar ke tidak? Apa yang awak buat? Berhenti bermain dengan hujung rambut Farrah."

 

"Awak suruh saya tunjukkan segalanya. Inilah apa yang saya buat sekarang ni. Jangan risau, saya takkan buat sesuatu yang menyebabkan awak benci pada saya…………… belum lagi."

 

Farrah berdiri serta-merta. Nalurinya memberitahu supaya menjauhkan diri daripada Haris. Tanpa berkata apa-apa, dengan langkah pantas, Farrah keluar dari bilik itu tanpa menutup pintu.

 

Bunyi gelakan kuat bergema seperti Haris sedang bergurau dengannya.

 

Nampaknya Bookish style yang dirasakan pure tidak lagi sesuai dengan Haris. Apa maksud evil laugh tadi? Kadangkala Haris sangat extreme!

 

 

 

 

Tinggal sehari lagi sebelum hari acara tiba.

 

Farrah selesai membuat persediaan yang diperlukannya.

 

Previous: 09
Next: 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.