NUR EDLEEN melangkah jalan dengan
penuh berani. Hari ini bermulalah tugasnya sebagai Eksekutif Akaun di Pelangi
Holdings. Haji Marwan ada menawarkan dia bekerja di Indah Holdings, tetapi
disebabkan keinginan untuk berdikari membuatkan dia menolak tawaran itu. Ada
baiknya dia menimba pengalaman di tempat lain sebelum bersedia menguruskan
Indah Holdings. Syarikat milik Haji Marwan.
“Ini bilik Cik Nur Edleen. Kalau ada apa-apa masalah,
Cik Nur Edleen boleh berjumpa dengan saya,” beritahu Karmila merangkap setiausaha
pengurus besar syarikat.
“Terima kasih, Cik Karmila. Panggil saya Leen sahaja.
Mesti tergeliat lidah Cik Karmila nak sebut nama saya, kan?” kata Nur Edleen, tersenyum.
“Nama Cik Leen masih boleh saya terima lagi. Tapi,
kalau nama bos besar, memang tergeliat habis lidah saya nak sebutnya,” balas
Karmila turut sama tersenyum.
“Bos besar?” ulang Nur Edleen.
Karmila mengangguk. Langkah diatur menuju ke meja
kerja Nur Edleen. Fail kewangan syarikat diletakkan di atas meja. Arahan
pengurus besar meminta Nur Edleen mengkaji kewangan syarikat perlu dikhabarkan.
Jika tidak, mahu bergegar Pelangi Holdings nanti.
“Siapa nama bos besar?” tanya Nur Edleen sekadar ingin
tahu.
Dilabuhkan duduk sambil melilaukan mata melihat
keadaan bilik itu. Cantik dan teratur. Pandai orang yang mereka bilik ini, puji
Nur Edleen dalam hati.
“Encik Edzuary Safuan Bin Erizal Hanif. Tergeliat
lidah saya ni Cik Leen.”
Nur Edleen ketawa kecil. Ada benarnya kata-kata
Karmila. Memang tergeliat lidah menyebut nama bos besarnya itu.
“Petang nanti dalam pukul tiga, Cik Leen ada meeting dengan bos besar tentang
pengurusan syarikat. Satu pesanan daripada saya, Cik Leen jangan lewat. Bos
besar tak suka stafnya lambat dan tidak menepati masa,” beritahu Karmila dan
menapak keluar dari bilik itu.
“Baiklah, Cik Karmila. Patik yang menurut perintah,”
balas Nur Edleen ketawa kecil.
Karmila turut sama ketawa. Senyuman dilemparkan kepada
Nur Edleen. Senang hatinya berkenalan dengan Nur Edleen. Ternyata, Nur Edleen
bukan seorang yang sombong. Tidak seperti Pengurus Pemasaran mereka. Berlagak
sombong dan menganggap dirinya cantik di syarikat itu. Semoga Nur Edleen
bertahan lama bekerja di bawah pengurusan Encik Edzuary.
Nur Edleen menarik nafas lega. Senyuman menghiasi
bibir. Rasa teruja melihat biliknya sendiri. Tidak menyangka jawatan yang
dipegang melayakkan dia memiliki bilik pejabat sendiri. Itulah yang menjadi
idamannya selama ini. Walaupun dia boleh mendapatkannya dengan bekerja di Indah
Holdings, biarlah ia datang dengan usahanya sendiri. Kini, sudah terbukti
bahawa dia layak memiliki semua itu.
Deringan telefon bimbit menyentakkan Nur Edleen. Digagau
beg tangan mencari telefon bimbit. Setelah berjumpa, dilekapkan ke telinga
sebaik sahaja butang hijau ditekan. Menanti sapaan dari hujung talian.
“Of coursela,
dapat bilik sendiri. Gempak!” beritahu Nur Edleen, teruja.
“Serius? Aku tak percayalah!” bidas Ezzura.
“Betullah! Kalau kau tak percaya, kau datanglah ke
sini.”
“Hurm, okey. Nanti-nantilahaku ke sana. Kau dah jumpa dengan bos kau ke, Leen?”
“Belum lagilah Zura. Petang nanti ada meeting pengurusan, baru aku jumpa
dengan dia. Yang kau sibuk tanya pasal bos aku tu, kenapa?”
“Eh, tak salahkan aku ambil tahu tentang kau.”
“Ya, tak salah kalau ambil tahu tentang aku. Tapi,
yang menjadi salahnya kau ambil tahu tentang bos aku. Itu yang aku curiga sangat-sangat
ni,” bidas Nur Edleen, serius.
“Nanti kau inform
aku tau,” balas Ezzura ketawa kecil.
“Informapa?”
tanya Nur Edleen, pura-pura.
“Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula.”
Nur Edleen ketawa mendengarnya. Ezzura tidak akan puas
selagi tidak diberi jawapan yang tepat. Dia kenal benar dengan kawan baiknya
itu. Sudah bertahun mereka berdua berkawan. Segala masalah dikongsi bersama.
Malah, Ezzura merupakan anak angkat ummi dan abahnya.
“Kau nak lunchdengan
aku, tak?” tanya Ezzura sekadar mencuba.
“Lunch?” ulang
Nur Edleen, berkerut.
“Yalah! Lunch
dengan aku.”
“Kau dah buang tabiat ke, Zura? Bukan ke jarak office kau dengan aku jauh. Mana sempat
nak lunchsama ngan kau?”
“Apasal pulak buang tabiatnya? Kau ingat, jauh sangat
ke office kita ni,” bidas Ezzura.
Nur Edleen menggaru kepalanya yang bertudung. Dia
bingkas bangun dari duduk dan menghampiri jendela. Dapat dilihat bangunan
pencakar langit menghiasi Kuala Lumpur. Indah dari pandangan mata. Rasa teruja
turut menumpang di hati.
“Sebab jauhlah aku cakap macam tu. Apasal kau ni bengap
sangat.”
“Kau tu yang bengap. Kalau dah satu office, mestilah tak jauh,” balas Ezzura,
mendengus geram. Tangannya sudah memulas tombol pintu bilik Nur Edleen.
“Eh… lupa pulak yang kita ni satu office,” usik Nur Edleen tatkala wajah Ezzura menyapa mata. Ketawa
kecil terlepas daripada bibir.
Ezzura mencebik. Dia menapak masuk ke dalam bilik dan
melabuhkan duduk di kerusi.
“Sorry beb, aku terlebih makan semut dalam gula,
itu yang aku terlupa,” gurau Nur Edleen. Dilabuhkan duduk di kerusi dan menatap
wajah Ezzura.
“Banyaklah kau punya semut. Wah! Cantik betul bilik
kau ni. Mengalahkan jawatan CEO lagaknya,” puji Ezzura, tersenyum.
“Well!
Jawatan aku kan lebih besar daripada kau. Sebab itulah aku boleh dapat bilik sebesar
dan secantik macam ni,” bangga Nur Edleen.
“Tekan lift naik sendirilah beb. Eh, jomlah kita lunch.
Perut aku dah menyanyi lagu ‘Babe’ KRU ni,” ajak Ezzura dan bangun.
“Kau ni merepek ajelah. Kan pagi lagi. Takkan dah nak lunch kut?” tukas Nur Edleen turut sama
bangun.
Ezzura menepuk dahi. Bila datang bengap Nur Edleen,
beginilah jadinya. Matanya mengisyaratkan ke arah jam di dinding. Nur Edleen
yang melihat, segera melorotkan mata ke arah tersebut. Buntang matanya melihat
jarum jam yang sudah pun menginjak ke angka satu petang. Barulah dia sedar,
terlalu lama masa yang diambil oleh Karmila untuk menerangkan padanya selok-belok
tentang Indah Holdings.
“Apa lagi, jomlah. Pukul tiga kau ada meeting,kan?” ajak Ezzura tatkala Nur
Edleen tidak berganjak dari tempat berdirinya itu.
“Yes boss!”
sahut Nur Edleen sambil memberi tabik hormat.
Ketawa kecil Ezzura melihatnya. Nur Edleen memang
pandai bergurau. Kalau sehari tidak bergurau, tidak sah jadinya. Tidak lengkap
dalam hidup Nur Edleen jika tidak bergurau. Tapi, sampai bila Nur Edleen akan
bersikap sebegitu? Adakah Nur Edleen akan mengingati kisah hidupnya yang lalu?
“KAU nak makan apa?” tanya
Ezzura setibanya di restoran yang menyajikan masakan melayu.
“Kambing golek ada tak?” tanya Nur Edleen.
Ezzura berkerut dahi. Kambing golek? Biar betul minah
ni. Buang tabiat apa cari kambing golek kat restoren, bebel Ezzura dalam hati.
“Ada tak?” tanya Nur Edleen lagi.
“Kau ni buang tabiat ke Leen. Manalah ada kambing
golek kat sini,” geram Ezzura.
“Erk, tak ada ya,” ulang Nur Edleen sambil menggaru
kepalanya yang bertudung.
“Kalau macam tu, aku nak makan laksa sajalah. Nampak
sedap laksa tu aku tengok. Tinggal satu saja lagi tu. Baik aku pergi sambar
laksa tu dulu. Takut orang lain sambarnya pula,” sambung Nur Edleen dan menapak
menuju ke tempat laksa terhidang.
“Leen… Leen…” sebut Ezzura, menggeleng.
Matanya menghantar langkah Nur Edleen menuju ke tempat
laksa. Tangannya lincah menceduk nasi dan lauk-pauk ke dalam pinggan sendiri.
Nur Edleen melangkah dengan riang. Teringin sungguh
dia dengan laksa. Kalau kambing golek tak dapat, laksa pun jadilah. Lama aku
tak makan ni, bisik Nur Edleen sambil tersenyum ceria. Belum sempat tangannya
mencapai mangkuk laksa, seseorang sudah pun menarik mangkuk laksa itu. Maka
terjadilah adegan tarik-menarik di antara mereka berdua di restoran itu
semata-mata kerana semangkuk laksa.
“Saya punyalah!” tegas Nur Edleen.
“Hello! Saya
punya! Saya yang pegang dulu,” bentak Edzuary, keras.
“Hello! Please! Saya punya okey!” balas Nur
Edleen tidak mahu mengalah.
Geram sungguh dia ketika ini. Semakin kuat tangannya
menarik mangkuk laksa, semakin kasar lelaki di hadapannya itu. Hampir dia
terdorong ke hadapan disebabkan tarikan itu.
“Saya yang pegang dulu. Awak ni buat-buat tak tahu
ke?” beritahu Nur Edleen, keras.
“Saya yang tarik dulu. Awak yang sibuk-sibuk tarik
daripada saya ni, kenapa?” balas Edzuary sambil menjegilkan mata.
“Awak pergilah makan benda lain. Saya nak laksa ni
juga,” geram Nur Edleen.
Tajam matanya ke muka Edzuary. Tidak mahu mengalah.
Jika dia mengaku kalah, bukan Nur Edleen namanya. Main kasar betul mamat ni,
geram Nur Edleen.
“Awaklah pergi makan benda lain. Saya tetap nak laksa
ni,” tegas Edzuary.
Matanya membalas tatapan Nur Edleen. Tangannya masih
lagi mempertahankan mangkuk laksa. Dia ingat aku ni mudah mengaku kalah. Ini
Edzuary Safuan la, bisik Edzuary.
“Okey… okey…
macam ni lah. Apa kata encik beli makanan lain dan saya beli makanan
yang lain juga. So, baru fair and
square. Encik tak dapat, saya pun tak dapat juga,” cadang Nur Edleen sambil
mengangkat kening. Berharap, lelaki itu setuju dengan cadangannya itu.
“Awak pergilah beli makanan yang lain. Saya tetap nakkan
laksa ni,” kata Edzuary, selamba dan mencebik.
Nur Edleen menarik nafas dalam-dalam. Matanya menjamah
wajah selamba lelaki di hadapannya itu. Tanpa berlengah, dia segera memanggil
pelayan di situ. Sementara menanti kelibat pelayan itu sampai, wajah lelaki itu
diperhatikan dalam diam. Kenapa ada perasaan lain yang wujud ketika melihat
lelaki itu? Jantungnya juga berdegup dengan kencang tatkala melihat wajah
lelaki itu.
“Ada apa, cik?” tanya seorang pelayan di situ.
“Ada lagi tak laksa ni?” tanya Nur Edleen.
“Maaf cik, tak ada lagi,” jawab pelayan itu.
“Erk, tak ada dah,” ulang Nur Edleen, berkerut.
Pelayan itu sekadar mengangguk. Tanpa menunggu, dia
segera beredar dari situ.
“So?” tanya
Edzuary dan mengangkat kening.
“So apa?
Kalau nak cari Ah So bukan kat sini. Kat kedai apek sana,” geram Nur Edleen.
Edzuary yang mendengar ketawa kecil. Ternyata, gadis
di hadapannya itu seorang yang tidak berputus asa. Tegas dan ego.
“Awak nak bagi laksa ni pada saya atau tak?” tanya
Edzuary. Kemenangan sudah berpihak padanya.
Oh, kau cabar aku ya. Tak apa.. tak apa.. hari ni hari
kau, esok mesti hari aku. Undur diri bukan bererti kalah. Tahulah kau apa aku
nak buat selepas ini, geram Nur Edleen dalam hati. Senyuman nakal terbias di
wajahnya.
“Okey, saya mengaku kalah. Lagipun bukan sedap mana
pun laksa ni. Awak sajalah yang ambil,” kata Nur Edleen, mengaku kalah. Mangkuk
laksa dilepaskan dari pegangan tangan.
Edzuary tersenyum puas. Kemenangan berpihak padanya.
“Terima kasih, cik adik. Cik adik nak makan apa? Ambil
sajalah. Abang belanja.”
Nur Edleen tersenyum paksa. Otaknya ligat memikirkan
sesuatu untuk mengenakan lelaki itu. Sungguh, dia bukanlah seorang yang mudah
kalah. Menyerah dahulu bukan bererti kalah. Kau tunggu dan lihat ajelah, bisik
hati Nur Edleen. Senyuman paksa masih terukir di bibir.
“Encik nak saya tolong tuangkan kuah ke dalam mangkuk
ni?” ujar Nur Edleen penuh sopan. Senyuman manis terbias di wajah.
“Boleh juga kalau cik sudi nak tolong,” balas Edzuary,
tersenyum.
Dihulurkan mangkuk berisi laksa ke arah Nur Edleen.
Menanti Nur Edleen menuangkan kuah laksa ke dalam mangkuk itu. Erm, boleh tahan
cun minah ni, puji Edzuary dalam hati.
Nur Edleen mengangguk perlahan. Tangannya menyentuh
lembut periuk berisi kuah laksa itu. Fuh! Nasib baik sejuk. Kalau panas, mahu
kena saman aku nanti. Tunggulah kau mamat. Aku kerjakan kau cukup-cukup, azam
Nur Edleen dalam hati.
Lantas, dicapai senduk dari dalam periuk yang berisi
kuah laksa itu. Dia mengacau-ngacau kuah laksa dan tersenyum manis. Dengan
perlahan, dia menceduk kuah laksa dan dijirusnya ke baju lelaki itu. Setelah
puas, dia segera beredar dari situ.
“Padan muka!” ejek Nur Edleen sebelum meninggalkan
tempat itu.
Edzuary tergamam. Darah merah menyerbu ke muka. Sungguh,
tidak meyangka perempuan itu sanggup memperlakukannya sebegitu rupa. Hidungnya tercium
bauan kuah laksa. Rasa nak termuntah ketika ini.
Tanpa berlengah, dia segera menuju ke bilik air untuk
membersihkan kekotoran di baju. Berpasang-pasang mata yang melihat tidak
diendahkan. Kau jangan ingat akan terlepas. Kalau aku jumpa dengan kau, taulah
macam mana aku nak kerjakan kau, azam Edzuary dalam hati.
“CIK NUR EDLEEN!”perkenal Karmila, tersenyum.
Nur Edleen turut sama tersenyum. Tangannya membalas
jabatan tangan setiap pegawai di dalam bilik mesyuarat itu. Gerun pula dia
melihat setiap wajah di hadapannya ketika ini. Kesemuanya kelihatan sudah berumur.
Hanya seorang dua sahaja nampak muda daripada yang lain-lain. Mungkin juga
sebaya dengannya.
“Bos mana Mila?” tanya Encik Hamid tidak sabar.
Belum pernah lagi bos besarnya lewat menghadiri
mesyuarat. Bosnya itu seorang yang menepati masa.
“Bos tukar baju sekejap Encik Hamid. Ada orang
tumpahkan kuah laksa ke atas bajunya,” terang Karmila sambil duduk bersebelahan
Nur Edleen.
Berderau darah Nur Edleen mendengarnya. Bos tukar
baju? Ada orang tumpahkan kuah laksa ke atas bajunya? Ulang Nur Edleen dalam
hati. Serta-merta mukanya pucat tidak berdarah. Adakah bos yang dimaksudkan
oleh Karmila adalah lelaki yang sama di restoran tadi?
“Maaf semua, saya terlambat,” suara Edzuary, kesal.
Tersentak Nur Edleen mendengar suara itu. Dikerling
buat seketika dan menatap wajah bos besarnya. Alangkah terkejutnya tatkala
melihat bos besarnya itu. Lelaki yang sama di restoran tadi. Pantas, dia menundukkan
muka. Tidak mahu lelaki itu menyedari akan kehadirannya di dalam bilik
mesyuarat.
“Bau laksa lagilah bos,” usik Encik Hamid ketawa kecil.
Terhenti tingkah Edzuary dari duduk di kerusi. Dia
mencium baju dan tubuhnya sendiri. Aku dah spray
banyak minyak wangi aku tu. Takkan ada bau laksa lagi, rungut Edzuary.
“Saya gurau saja bos. Tak ada dah bau laksa,” kata
Encik Hamid serba salah.
“Mila, you dah bagitau staf baru kita suruh dia masuk meeting sekali?” tanya Edzuary sambil
duduk. Nafas dihela ringan.
“Ada bos. Orangnya pun ada kat sini. Kat sebelah saya
ni,” jawab Karmila, tersenyum.
Edzuary mengangguk faham. Tangannya membuka fail
syarikat dan meneliti butiran di dalam fail itu.
“Boleh perkenalkan diri? Maaf, saya tak sempat nak
baca biodata awak. Kalau tak menjadi keberatan, boleh perkenalkan diri awak
pada kami semua?”
Semakin tidak keruan Nur Edleen rasakan. Seram sejuk
pun ada juga. Perlukah dia menurut kemahuan bos besarnya atau memandang sepi
terhadap permintaan itu.
“Masak aku kali ini. Itulah kau Leen, lain kali tengok
orang dulu siapa yang kau nak lawan,” kutuk Nur Edleen, perlahan pada dirinya
sendiri.
“Please
introduce yourself!” ulang Edzuary sambil membaca laporan dari dalam fail.
Nur Edleen tidak ada pilihan lain. Nak tak nak, dia
bingkas bangun dari duduk. Rimas pula tatkala berpasang-pasang mata yang berada
di dalam bilik itu memandang ke arahnya.
“Assalamualaikum. Saya Nur Edleen Haji Marwan. Berasal
dari Selangor dan menetap di Shah Alam. Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian)
Perakaunan dari UiTM. Anak bongsu dari dua beradik. Pengalaman…”
“Umur? Dah kahwin ke belum?” pintas Edzuary dan masih
menunduk.
“Erk, perlu ke bagitau?” tanya Nur Edleen, berkerut.
“Of course!
Kalau tak bagitau, orang lain mudah ambil kesempatan pada awak,” jawab Edzuary,
selamba.
Nur Edleen menggaru kepalanya yang bertudung. Matanya
menjamah satu persatu wajah sengihan di dalam bilik itu. Naik menyampah dia melihatnya.
Pasti kesemuanya sudah berkahwin termasuklah bos besarnya, duga hati Nur Edleen.
“Umur dua puluh lima tahun dan belum berkahwin. Walaupun
saya belum berkahwin dan masih single,tapi
saya not available,” beritahu Nur
Edleen sambil cuba mengawal nada suara.
Terangkat wajah Edzuary mendengar kata-kata Nur
Edleen. Tergamam dia buat seketika. Begitu juga dengan Nur Edleen. Turut sama
terkejut dengan pandangan mata Edzuary. Seakan ada sesuatu melihatkan dari
sinar anak mata itu. Tapi apa?
Seminit kemudian, Edzuary melarikan pandangan. Tidak
sanggup untuk bertentang mata dengan Nur Edleen. Jika di restoran tadi, dia
cuba mengingati di mana dia bertemu dengan gadis itu, tapi tidak pada waktu dan
ketika ini. Ternyata, gadis inilah yang ditemuinya di Pasaraya Jusco sebulan
yang lalu.
“Baiklah! Terima kasih!” ucap Edzuary, serius.
Nur Edleen segera duduk. Diusap lembut dadanya yang
berombak kencang.
USAI bermesyuarat, Nur Edleen
segera menuju ke bilik. Belum sempat tangannya memulas tombol pintu, namanya
sudah pun di panggil oleh Edzuary. Bagaikan terkena kejutan elektrik dirasakan
ketika itu.
“Masuk bilik saya!” arah Edzuary dan berlalu pergi.
Nur Edleen sekadar mengangguk. Mahu tidak mahu,
terpaksalah juga dia mengekori Edzuary daripada belakang. Pasti dia akan
dihukum disebabkan tingkahnya di restoran tadi.
Edzuary menghempas lembut tubuhnya ke kerusi empuk.
Matanya masih lagi menjamah wajah menunduk Nur Edleen. Tadi bukan main berani,
sekarang mana keberanian kau tu, kutuk Edzuary dalam hati.
“Saya minta maaf atas kelakuan saya tadi. Memang saya
sengaja lakukannya sebab saya marah dan geram dengan encik,” akui Nur Edleen,
perlahan.
Edzuary hanya mendengar. Deheman kecil terlepas daripada
bibir. Dia bingkas bangun dan menapak menghampiri Nur Edleen. Diperhatikan Nur
Edleen dengan penuh minat.
“Kalau encik nak hukum saya, hukumlah. Saya akan
terimanya seikhlas hati saya,” beritahu Nur Edleen lagi.
“Well!
Memang saya nak hukum awak. Disebabkan tingkah awak tadi, saya yang mendapat
malu. Disebabkan awak, habis satu badan saya berbau kuah laksa. Sebotol minyak
wangi yang saya guna pun belum tentu lagi dapat menghilangkan bauan laksa tu,”
jelas Edzuary sambil berpeluk tubuh dan bersandar di meja kerja.
“Saya tahu dan saya akui kesalahan saya. Apa yang
encik nak saya lakukan asalkan encik dapat memaafkan saya,” tegas Nur Edleen.
Diangkat wajahnya dan memandang tepat ke wajah
Edzuary. Seminit kemudian, dijatuhkan wajahnya semula. Tidak sanggup menatap
wajah serius bos besarnya itu.
“Mana keberanian awak tadi? Dah hilang? Awak ni memang
berlagak berani depan saya saja, kan?” Sinis Edzuary berkata.
“Saya…” sukar untuk Nur Edleen bersuara.
Bukannya dia tidak berani. Jika diikutkan hati, mahu
sahaja dia membidas kata-kata bos besarnya. Tetapi disebabkan hari ini
merupakan hari pertama dia bekerja, terpaksalah dia menahan rasa di hati.
“Saya apa?” ulang Edzuary. Masih sinis.
“Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu,” pinta Nur Edleen. Daripada aku dengar bebelan
dia, baik aku blah dari sini. Buat
sakit hati aje aku tengok muka dia tu, omel Nur Edleen.
“Saya tak suruh pun awak pergi. Kesalahan awak tadi masih
belum saya maafkan.”
Aduh! Dia nak apa lagi ni. Kan aku dah minta maaf pada
dia, rungut Nur Edleen.
“Kan saya dah minta maaf,” bentak Nur Edleen, keras.
Masih cuba mengawal suara.
“Maaf awak saya tak terima,” balas Edzuary, selamba.
Matanya terarah ke daun pintu bilik yang terkuak
perlahan. Pasti cleaneryang ingin
masuk ke dalam biliknya. Sudah menjadi kebiasaan dalam waktu-waktu begini, cleanerakan datang menjalankan tugas
membersih. Dengan tiba-tiba, senyuman nakal terbit di bibir. Otaknya ligat
memikirkan rancangan untuk mengenakan Nur Edleen.
“Mak Ita!” panggil Edzuary kemudian.
Mak Ita menoleh. Langkah dibawa menuju ke arah
Edzuary. Senyuman manis dihadiahkan buat pemuda itu.
“Ada apa Ary?” soal Mak Ita.
Segan dan malu untuk memanggil Edzuary dengan
panggilan ‘Ary’. Atas arahan Edzuary sendiri, mahu tidak mahu, terpaksalah dia
memanggil dengan nama itu.
“Mak Ita nak bersihkan pejabat ke?”
“Macam biasalah Ary. Kan, masa ni tugas Mak Ita bersihkan
bilik Ary.”
Nur Edleen yang berada di situ hanya mendengar.
Berkerut-kerut dahinya sambil cuba menafsir akan tujuan bosnya memanggil cleaneritu.
“Hari ni Mak Ita tak payah bersihkan bilik saya. Mak
Ita berehat sahaja,” arah Edzuary.
“Mana boleh Ary. Nanti Mak Ita kena marah dengan supervisor,” balas Mak Ita. Sungguh, dia
tidak mahu dimarahi oleh supervisoryang
dipanggil ‘harimau’ itu.
“Tak apa Mak Ita. Mak Ita jangan risau. Tahulah saya
menguruskannya.”
“Baiklah kalau dah macam tu. Mak Ita minta diri dulu.”
“Mak Ita tinggalkan barang-barang tu semua kat sini.
Nanti saya suruh orang hantarkan ke bawah,” arah Edzuary.
Mak Ita mengangguk faham. Dia segera beredar dari
bilik itu.
“So?” ujar
Edzuary, sepatah sebaik sahaja kelibat Mak Ita menghilang.
“So apa?” ulang
Nur Edleen, berkerut. Kurang faham.
“Tu ha…” kata Edzuary sambil memuncungkan mulut ke
arah kelengkapan Mak Ita.
Nur Edleen menoleh ke arah yang ditunjukkan.
Berkerut-kerut dia cuba menafsir dengan arahan Edzuary. Seminit kemudian,
barulah otaknya dapat menafsirkannya.
“Saya?” tanya Nur Edleen. Jari telunjuk menghala ke
arah diri sendiri.
“Itu?” Dihalakan pula ke arah peralatan Mak Ita.
Edzuary sekadar mengangguk. Langkah diatur menuju ke
sofa dan melabuhkan duduk di situ. Senyuman kemenangan menghiasi bibir ketika
ini.
Nur Edleen mengepal tangan. Menahan kemarahan di hati.
Mentang-mentang dia bos, sesuka hati aje nak suruh aku buat kerja cleaner. Hangin aku dah ni, geram Nur
Edleen.
“Apa lagi yang dimenungkan tu, cepat buat kerja. Awak
nak saya pecat awak pada hari pertama awak kerja ke?” arah Edzuary bernada
ugutan.
“Cipta sejarah awak nanti. ‘Seorang pekerja dipecat
pada hari pertama dia bekerja’. Wah! Gempak!” sambung Edzuary, teruja.
Nur Edleen mencebik. Sakit telinganya mendengar
kata-kata yang keluar daripada mulut Edzuary. Tanpa berlengah, dia segera
mencapai peralatan Mak Ita dan dibawa menghampiri sofa. Ditarik pembersih
hampagas dan dipasang suis ke soket. Tunggu kau, taulah macam mana aku nak
kerjakan kau nanti, azam Nur Edleen dalam hati sambil tersenyum nakal. Otak
jahatnya sedang ligat merencanakan sesuatu.