Home Novel Kisah Hidup Mencari diriku
Mencari diriku
Maryani Zailani
11/11/2022 13:19:56
16,574
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
Bab 3

“Lara sungguh hati kau,” sebaik sahaja mataku terbuka, aku mendengar suara itu. Deria pendengaran menangkap bunyi violin yang sangat sayu sekali.


“Sejauh mana engkau mahu hanyut?” Seseorang yang bertopi Inggeris menutupi wajahnya sedang berbicara kepadaku sebelum menghirup secawan kopi yang masih berasap.


Dia duduk di hadapanku. Bau kopi yang menyenangkan ditambah dengan bau cerut. Mungkin seseorang itu yang menghisapnya kerana aku melihat sebatang cerut di bekas habuk rokok sedang berasap di atas meja tempatku ini.


Aku terkedu kerana aku juga sedang memegang secawan kopi dan seakan-akan mahu menghirupnya. Aku sendiri berbusana seperti wanita inggeris bangsawan. Erti kata lain, aku tidak merasa perbuatan itu aku yang mengawalnya. Semacam kuat ghaib meningkah aku bertindak demikian.


“Mengapa aku…di sini?” Kaget sekali aku. 


Aku meletakkan cawan itu dan memegang topi di kepala dengan perasaan tidak percaya.


“Engkau mempunyai jawapannya. Namun, ada lopong pada jawapan itu. Mungkin sengaja untuk dibiarkan kosong,” kedengaran dia ketawa mengejek pada hujungnya.


“Seronok apabila dunia yang kita inginkan itu dapat diwujudkan.”


Aku kehilangan kata-kata dengan percakapannya itu. Tanganku ingin mencapai bahunya namun, segalanya menjadi serpihan pixel sehingga aku terdiri menyaksikan suasana berubah secara drastik.


“Hati-hati dengan imaginasi,” suara mengejut yang muncul dan tolakan seseorang dari arah belakang sehingga aku membeliakkan mata.


Cahaya itu silau. Aku ingin menjerit namun tiada suara yang keluar. Kesakitan menjalar di seluruh tubuh. 


Aneh. Aku seperti pernah merasakan itu semua.


****************************************


“Lepaskan dia, Mel,” suara  itu, suara yang aku rasakan paling dekat dengan aku.


“Tiada guna untuk kau menangguhkan perpisahan,” suara itu seperti memujukku.


“Usah diseksa ragamu. Biarkan jiwamu bebas. Biarkan perkara itu berlalu.”


Sudah lama diriku merasakan terperangkap dalam kegelapan yang tidak berpenghujung. Sendirian memeluk tubuh tanpa usaha keluar dari kegelapan. 


Kekusutan melanda membuatkan aku mencekak rambut sendiri dengan kuat.


“Tak! Aku tak nak!” Sekuat hati aku menjerit.


“Jika begitu…kau akan berada dalam kegelapan untuk jangka masa yang lama,” perlahan-lahan suara itu mendatar kemudian hilang. Sunyi.


****************************************


Hati sekeping ini berkecai tidak bersisa. Jiwa wanitaku tersentap. Air mata yang sudah lama ditahan mengalir dengan sangat laju. Sememangnya aku teresak-esak. Mungkin sudah lama aku menyimpan segala rasa dalam hati.


Daun-daun berguguran ke tanah. Kulihat langit biru yang bersih. Petang yang nyaman sambil diselangi dengan suara burung berkicauan. Memang tenang namun perasaan yang sangat mendalam sedihnya tidak mampu ditenangkan dengan suasana itu.


Sukarnya untuk aku menerima hakikat. Insan yang ku sayang dan membalas cintaku membalasnya dengan pengkhianatan. Segala yang ku korbankan untuknya bagaikan tiada harga.


“Sedih sekali…apabila dikhianati. Jiwa menjadi kosong. Masa sesuai untuk sesuatu yang jahat menakluk,” kedengaran garau sekali suara itu dari arah belakang membuatkan aku memaling ke belakang.


Aku menyeka air mata. Tentu aku kaget. Ada yang mendatang ketika aku sedang bersendirian sedih. Jantung berdegup kencang. Janganlah sesuatu yang mistik dan bersifat ghaib yang mendatang.


“Sengaja aku datang menjenguk,” terasa bagai disebelah telinga sahaja dia berbisik.


Terasa ingin pengsan aku mendengarnya. Makin tidak keruan aku.


“Jangan risau…kau yang suka mengulang dan mengulang!” Suara itu bergaung dan aku terasa dunia seakan berpusing. 


Suasana yang damai menjadi berpusing sehingga aku pening.


****************************************


Aku tercunggap-cunggap seperti baru keluar dari dalam air. Sebanyak mungkin aku inginkan oksigen masuk ke dalam rongga pernafasan.


“Eh, kenapa kau?” Zahim yang sedang sibuk mengambil pesanan pelanggan terperanjat dengan kelakuanku. 


Dia segera menerpa laju dan mendapatku yang berada di meja berhampiran.


“Tertidur lagi waktu petang. Dah asar ke belum?” Ayat dia membuatkan aku bingung.


“Aku…siapa?” Entahlah kenapa aku bertanya soalan itu.


“Apa maksud kau?” Zahim menyangka aku bergurau. Dia ketawa agak kuat.


Aku tidak berpuas hati dengan kata-kata Zahim. Aku mendapatkan cermin besar yang terletak di kafe itu. Serata muka aku pegang. Aku macam rasa itu bukan jasad aku. Terperangkap dalam tubuh orang lain.


“Kau dah kenapa ya? Pelik. Buang tabiat?” Zahim sudah berada disebelah.


Aku tidak mempedulikan kata-kata Zahim. Aku mencebik dan terus keluar dari kafe dan hanya mengikuti naluri hati. Tiada arah tetap.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.