"JADIKAN budaya mencatat tu sebati dalam diri. Buku biru ni wajib dibawa ke mana-mana. Lebih-lebih lagi di setiap perjumpaan rasmi sekolah."
Fasilitator yang kat depan membebel entah apa, dia pun dah tak dengar. Yang pasti, telinganya panas je mendengar soksek-soksek budak di depannya.
'Daripada kau bising, baik tidur la. Mengganggu ketenteraman awam je.'
Dia menjatuhkan pandangan pada buku tulis berkulit licin warna sky blue di riba. Diari Pelajar tertulis dengan tulisan berangkai warna gold pada dada kulitnya. Pen di tangan dibawa berlari menulis 'Aisyah Humaira bintiArshad' dalam kotak nama di bahagian bawah.
'Ni nak suruh buat dear-diary punya catatan ke nak kena buat catatan nota ni?' Tangannya membelek-belek halaman yang kosong tanpa baris tu.
"Tu dia. Yang baru masuk tu. Dialah yang akak dorm aku cakap semalam."
Suara tu sebiji-sebiji mencecah gegendang telinganya. Miang semacam je bunyinya.
‘Nak kata berbisik, volume suara dah macam nak ajak aku berborak sekali. Ni nak kena buat pekak ke, nak pasang telinga je ni?’
Budak yang duduk di kerusi betul-betul di depan Aisyah bersama tiga budak lain yang duduk sebaris dah memaku pandangan masing-masing pada fasilitator lelaki yang baru melangkah masuk ke dewan besar itu.
"Betullah. Muka dia macam...siapa dah? Yang kak Bella cakap tu?" Suara yang kedua bertanya.
"Syukri?" Suara yang ketiga menjawab.
"Bukanlah. "Suara yang keempat memotong. "Syukri tu kan pelakon. Ni yang kumpulan nashid tu." Dia mengetuk kepala sendiri. "Kumpulan apa dah? Lupa pulak."
"UNIC. Fitri, kan?" Suara yang pertama kembali mencelah.
"Haaa. Ha'ah." Serentak tiga suara tu pecah. Memang gaya excited yang dah tak boleh nak disorok lagi dah.
‘Cukuplah satu suara saja dah hampir dua barisan boleh dengar. Kalau tiga suara sekali, …’ Aisyah angkat kepala. ‘… tak ke…’ Matanya ditebar ke keliling. Baru perasan, dewan tu tiba-tiba macam baru lepas dilanggar garuda. Sunyi sepi.
Hampir semua pasang mata tertumpu pada budak berempat tu. Tersedar diri masing-masing tiba-tiba buat iklan free, mulalah sibuk nak bersembunyi. Dah gaya kura-kura je dah masing-masing duk sorok kepala kat belakang kerusi plastik tu.
‘Kan. Baik kau ambil je mikrofon kat atas pentas tu, cerita dengan semua orang kat dalam dewan ni. Padan muka. Sempat lagi nak membawang tengah-tengah taklimat ni.’
Aisyah buat muka cemuh pada belakang kepala budak berempat tu sebelum dia mengalih pandang pada fasi yang dah menyambung taklimat di depan.
Dan tanpa sengaja, pandangannya menangkap renungan mata seseorang yang baru melabuhkan duduk di kerusi ketua fasilitator.
***
PEN di tangan diputar antara jari telunjuk dan jari hantu. Tengah tunggu giliran keluar dari dewan. Walaupun dia di kelas pertama, susunan kedudukan untuk program orientasi tu buat kelasnya terperosok ke belakang. Tak tahulah kenapa.
"1 Ibnu Sina." Kak Faizah, fasi bahagian disiplin tu memanggil.
Aisyah bangun lambat-lambat.
Hmm. Nak tunggu checking buku catatan lagi. Berjambanglah.
Barisan panjang yang bergerak macam kura-kura tu baru nak sampai ke pintu. Dia yang di tengah-tengah dah berpeluk tubuh.
Pandangannya ditebar ke sekitar dewan yang hampir lengang. Cuma tinggal beberapa orang fasilitator yang tengah menyusun kerusi. Ada yang tengah buat postmortem untuk sesi taklimat disiplin sekolah yang baru selesai tadi di sudut kanan dewan. Lagi tiga orang tengah berbincang entah apa di tepi tangga pentas.
Dan, baru dia perasan. Di antara mereka yang tengah bertenggek di birai pentas itu,lelaki itu masih merenung ke arahnya. Cepat-cepat Aisyah melarikan pandangan.
***
TUALA yang tadinya membalut rambut ditarik lalu disangkut pada bahu. Rambutnya dikirai. Pintu almari dibuka lalu dicapainya sikat dari dalam cawan.
"Betul. Aku dah tengok. Memang muka dia macam Fitri yang kumpulan nasyid UNIC tu. Cuma dia handsome lagi la."
Tangan Aisyah terhenti dari menyisir rambut.
Aihh. Budak dorm ni pun tersampuk sama ke dengan senior muka-Fitri-UNIC ni?
Dia berlalu ke katil, mencuri dengar perbualan budak bertiga yang melepak di bahagian atas katil double decker itu. Duduknya dilabuhkan di atas katilnya yang di bahagian bawah. Memang free la dengar gosip.
"Kau try la.Kau kan cantik. Kut dia nak pandang kau."
Aisyah mencebik.
‘Sama miang. Patutlah.’
Tangannya kembali menyambung menyisir rambut sambil telinganya dipicing.
"Alaa. Mesti dah ramai yang approach dia dulu. Empat tahun kut beza dari kita." Yang itu konon-konon putus asa.
"Alaa. Yang senior tu dah 'senior'. Budak junior kan orang kata muka suci lagi. Kau try je. Kau pun hot apa. "Yang ini konon-konon menggalakkan.
Aisyah menggeleng kecil dengan mata dipusing ke atas. Sah miang!