Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 4


"Hai, Hadi. Selamat pagi!"

Ceria suaranya memecah keheningan yang menyelubungi stesen kerja kumpulannya itu. Beberapa penghuni stesen bersebelahan melemparkan senyuman tatkala mendengar sapaannya itu. Dia sengih senang hati sebelum melabuhkan punggung ke atas kerusi. Teman sekerja yang terus-menerus diam dijeling dengan ekor mata. Lelaki itu cuma menganggukkan kepala beberapa kali. Langsung tidak menoleh. Malah bukan main tekun menilik telefon pintar di tangan. Agak tipikal. Spontan dia terkenangkan Hanis yang kerap berkepit dengan gajet itu sejak akhir-akhir ini.

"Anne, dalam setengah jam lagi kita gerak."

Ucapan Zamri mencantas lamunannya. Suraya, menoleh pula ke arah lelaki berkulit sawo matang yang sedang duduk di hujung meja.

Belum sempat menyahut, Zamri tiba-tiba bangun dan beredar dengan beberapa orang staf yang lain ke muka pintu. Dia menghantar pemergian itu dengan mata yang terkebil-kebil. Jam di pergelangan tangan lalu dikerling. Lima belas minit sebelum jam 9.00 pagi. Awal Zamri hadir ke pejabat hari ini. Kebiasannya lewat lima minit setelah waktu pejabat bermula.

"Diorang tu pergi breakfast. Kau dah makan?"

Persoalan yang melintasi di fikiran dijawab oleh Hadi. Dipusingkan kerusi beroda lima yang diduduki ke arah lelaki yang duduk bersebelahan dengannya itu.

"Belum. Tapi aku ada tapau nasi lemak ni. Makan dekat sini ajelah. Kau, macam mana? Kenapa tak ikut diorang?"

"Hari ni aku puasa."

Gulp. Suraya menelan air liur. Dia puasa sunat hari Isnin ke?

"Aku puasa ganti, lah... Sebelum ni aku pernah accident and warded. Betul-betul kena waktu bulan puasa. So, nak tak nak kenalah ganti, kan? Benda wajib."

Seperti mengetahui perkara yang bermain di fikirannya, Hadi menjelaskan. Suraya menarik satu senyuman kelat. Dalam rasa serba salah, dia meminta izin untuk makan di hadapan lelaki itu. Lalu, tiada lagi perbualan yang berlangsung. Sambil menjamah sarapan pagi itu, dia meneropong isi ruang pejabat yang mula hingar dengan staf yang memenuhi stesen kerja masing-masing. Ada yang sedang bersarapan sepertinya dan ada yang sedang bermain dengan telefon. Ada juga yang sudah memulakan tugas.

"Okay, Anne. Dah ready?" soal Zamri ketika Suraya kembali dari pantri untuk membuang sampah dan mencuci tangan.

"Yup." sahutnya seraya pandangan berlabuh sebentar ke arah ketuanya itu. Meski berusia di penghujung empat puluhan, lelaki itu kelihatan fit dengan tubuh badan yang tegap dan wajah yang macho.

Good,”

Suraya senyum tipis.

Tools?"

Pantas dia menepuk kemudian, menggalas beg komputer riba yang berisi alatan untuk melakukan kerja-kerja di tapak projek.

Very very good. Jom!" ujar Zamri lagi sebelum turut menggalas sebuah beg sepertinya ke bahu.

"Mr. Lee baru gerak dengan beberapa orang bos. Diorang tu mesti pergi minum dulu.” maklum Zamri ketika mereka tiba di lapangan parkir di tingkat bawah tanah.

Alarm pacuan empat roda ditekan dan lelaki itu memasukkan beg yang digalas di bahagian belakang tempat duduk. Suraya, turut melakukan perkara yang sama setelah lelaki itu memberi ruang kepadanya untuk berada di bahagian belakang itu. Usai menutup pintu dan berpaling, Zamri sudah berada di belakangnya dengan tangan menghulurkan segugus kunci. Fuh, terperanjat dia tadi!

"Boleh drive, kan?"

Cuak. Dia langsung tidak terfikir akan tindakan lelaki itu. Meski penuh dengan tanda tanya, fikiran keruh itu lantas ditepis dengan satu anggukan diberikan.

"Saya, yang drive?" soalnya biar terang lagi bersuluh kunci itu sedang disorong dekat kepadanya.

Zamri mengangkat kedua belah kening sambil mendekatkan huluran. Walau diserang rasa gugup, disambut jua gugusan itu lalu tempat duduk pemandu dikuasai olehnya.

"Betul ni saya drive?" soal Suraya buat kesekian kali sebelum enjin dihidupkan.

"Sama aje macam kereta biasa. Cuma yang ni besar dan tinggi. Relaks je." tutur Zamri selamba.

Lelaki itu duduk bersandar sambil melunjurkan kaki. Kemudian, mengeluarkan telefon pintar dari poket jeans sebelum diam dan tenggelam dalam urusan peribadinya. Perjalanan itu langsung dibiarkan kepada Suraya untuk mengemudinya.

Gemuruh, mula datang menyapa. Dia merasainya hadir kerana harus memandu sebuah kenderaan yang belum pernah dipandu sebelum ini. Namun, melihatkan reaksi bersahaja Zamri dan keinginan untuk membuktikan keupayaan, digagahkan diri menyentuh stereng kenderaan itu. Sedikit terketar tangannya saat jari-jemari berlabuh di atas tombol gear sebelum perlahan-lahan tombol automatik itu ditukar dan pedal minyak ditekan.

Sepanjang perjalanan menuju ke Taman Greenwood yang mengambil masa hampir setengah jam menggunakan bantuan navigasi dari Google Maps itu, dadanya tidak henti melompat bintang. Dia bimbang seandainya berlaku sebarang kesilapan di dalam pemanduan lalu berakhir pula dengan suatu tragedi.

'Ya TUHAN, mohon dijauhkan.'

Syukur, perjalanan itu hampir tiba ke destinasi. Toyota yang dipandu, perlahan menyusuri lorong yang membelah di antara deretan beberapa buah blok bangunan kedai yang sepi. Zamri mengarahkannya supaya kenderaan diparkir di hadapan sebuah lot yang belum beroperasi di mana terdapat dua orang lelaki seperti sedang menantikan kehadiran mereka.

Siap mematikan enjin dan memikul beg di bahu, Zamri menghulurkan sebiji topi keledar keselamatan berwarna putih. Lelaki itu pula sudah siap memakainya. Tanpa sebarang kata, mereka berdua maju mendekati kedua orang lelaki itu.

“Faisal, Naim... Ni aku kenalkan staf baru. Korang jangan kacau dia lebih-lebih ye.” ucap Zamri berbaur amaran tatkala mendekati mereka berdua.

"Anne, yang ni rigger. Yang tu CME. Dua-dua dari AceAir. Rigger untuk standby kalau antena perlukan adjustments macam azimuth change, tilting, height."

Terangguk-anguk kepala Suraya tanda faham akan profil yang sedang dikenalkan itu.

“Hai. Saya Anne.”

Satu senyuman kecil melirik seketika di bibir memeterai perkenalan yang berlangsung.

“Saya O. Yang ni pulak P.” sahut salah seorang daripada mereka sebelum kedua-duanya tergelak besar.

Walaupun berasa sedikit tersinggung kerana dipermainkan, dia tidak dapat menahan gelak dengan jenaka yang dibuat oleh lelaki yang memakai kaca mata yang bertugas sebagai staf CME atau Civil, Mechanical dan Electrical itu.

“Hadap ajelah diorang ni.” celah Zamri seperti sudah lali akan sikap mereka itu.

Kedua-duanya hanya tersengih-sengih. Lelaki yang bernama Naim menyerahkan segugus anak kunci kepada Zamri.

Zamri, mengetuai kumpulan itu mula memasuki premis melalui sebuah pintu menggunakan kunci yang baru diperolehi sebentar tadi. Keempat-empat mereka mendaki anak tangga untuk naik ke tingkat tiga. Untuk sampai ke sebuah penthouse di bahagian bumbung pula, mereka harus memanjat sebuah tangga besi yang agak usang. Pergerakan mereka mendahului dirinya yang sengaja dilambatkan. Ketika tiba gilirannya, dengan penuh berhati-hati, dia memanjat satu per satu tangga besi yang terjulur ke bawah itu. Setiap langkah, diambil dengan cermat. Kemalangan boleh terjadi di mana-mana.

"Familiar?" tanya Zamri sebaik mereka tiba di atas bumbung kedai yang landai dan luas itu.

Suraya memerhati keadaan sekitar. Cuaca yang sesekali redup memberi kelegaan. Namun, ketika matahari kembali terik, bahang yang dipancarkan mampu melebatkan renik peluh di dahi. Dia senyum sambil terangguk-angguk. Ketika menjalani latihan industri dahulu, dia tidak berkesempatan melakukan lawatan ke tapak projek kerana belum memperolehi lesen untuk masuk ke tapak. Meskipun begitu, dia mengenali suasana ketika itu menerusi gambar-gambar yang direkodkan di dalam laporan yang diteliti sebelum ini.

"Sebenarnya, kita tak ada tugas nak dibuat pun. Mr. Lee yang arahkan abang bawak Anne ke sini. Tapi, kalau Anne nak try buat static test apa salahnya." kata Zamri lagi. Fokusnya jelas ke arah sebatang tiang dengan sebuah panel antena 4G terpasang padanya. Dua buah yang lain berada di sektor masing-masing bagi mendapatkan lingkungan liputan pada sudut 360° darjah.

"Jadi, apa tujuan kita naik ke sini sebenarnya?" soal Suraya hairan. Penat juga mendaki anak tangga tadi. Bukan sepuluh tetapi berpuluh-puluh. Dah sampai ke atas tak ada kerja yang boleh dibuat?

"Warm up." tutur Zamri, tersengih.

"Hah??"

Suraya makin terpana. Direnungi Zamri yang sibuk melepaskan pandangan ke sekeliling rooftop itu. Tiada riak senda.

"Jom. Turun."

"Hahhh??.."

Bukan main kuat dia bersuara hinggakan dua orang kontraktor itu berpaling memandangnya. Sesi panaskan badan yang agak luar biasa dan sedikit ekstrem. Seperti tadi, dengan penuh waspada dia mengekori langkah Zamri untuk turun ke bawah seterusnya kembali ke pacuan empat roda. Tercungap-cungap dia mengejar lelah ketika lelaki itu menekan alarm, membuka pintu, duduk dan menghidupkan enjin kenderaan.

'Fuuhhh...'

Suraya menghela panjang.

"Abang nak ke AceAir. Ada brief dekat sana. Agak-agak dalam satu jam lagi abang balik ke sini. Nanti kalau-kalau Anne nampak Mr. Lee, terus follow je Mr. Lee tu. Kalau nak try buat test boleh jugak. Tak faham, Anne boleh tanya dua orang tu." pesan Zamri sebelum menukar gear dan pergi.

Dalam keadaan masih terpinga-pinga, Suraya memerhati sahaja kenderaan itu berlalu.

Biar betul? Dengan mudah lelaki itu memberi arahan kemudian pergi. Bukankah lelaki itu harus membimbingnya seperti arahan Mr. Lee berikan.

Dia, benar-benar disapa kehairanan dengan sikap Zamri sejak mereka berada di tempat parkir lagi. Malas memerah otak memikir sikap pelik Zamri, dia mengambil keputusan untuk mencari satu tempat duduk yang boleh dijadikan tempat untuknya membuat satu ujikaji ke atas tapak projek tersebut.

Keadaan sekitar bangunan kedai itu diintai dengan teliti. Sambil-sambil, topi keledar keselamatan di kepala lantas dibuka. Sejuk sikit kepalanya itu sebaik angin sepoi datang berhembus.Ternyata lot kedai itu merupakan sebuah lot yang baharu dibina. Hanya tiga buah kedai sahaja yang kelihatan beroperasi iaitu sebuah dobi layan diri, kedai makan dan sebuah kedai serbaneka. Lot di hujung pula seperti sebuah pejabat tetapi, ianya bertutup rapat. Antara kedai makan atau dobi, dia memilih untuk menumpang duduk di kedai dobi sahaja. Dobi layan diri itu pula kelihatan lengang. Sesuailah untuk melepaskan penat dari duduk di kedai makan itu semata-mata mendengar suara perbualan pelanggan!

Sebuah bangku panjang yang terletak di bahagian hadapan kedai dobi itu menjadi port pilihannya. Ketika itulah baru dia berkira-kira untuk melaksanakan tugasan itu secara sukarela. Sesekali matanya meliar ke kawasan sekitar. Dia tidak berniat untuk membahayakan keselamatan diri dan barangan milikan syarikat andai sesuatu yang buruk berlaku.

"Ehem."

Suraya mengangkat kepala yang tertunduk semenjak tadi. Hampir saja dia terlelap jikalau dibiarkan lebih lama tadi. Melalui ekor mata, dia melihat seorang lelaki sedang tercegat berdiri di laluan pejalan kaki. Amaran waspada kembali muncul. Namun, apabila melihat lelaki itu seakan tercegat sahaja di situ dia kembali menundukkan wajah. Barangkali pengunjung kedai makan itu, tekanya.

"Suraya..."

Dia terkedu.

'Orang tu, panggil aku?'

Sekali lagi dia menoleh. Memerhati wajah yang berselindung di balik sepasang kaca mata hitam.

'Siapa pulak? Tak kenal, lah. Tapi, memang nama aku yang dia sebut tadi.'

"Erm, encik... Encik salah orang ke?" soalnya dengan sopan. Pelukan ke atas beg itu makin kemas diperlakukan.

"No, Suraya Anne."

Kali ini dia terpana. Nama penuhnya pula disebut. Ketika menyedari lelaki itu mula melangkah menghampiri kemudian, tercegat pula di hadapannya, dia menundukkan wajah. Pelukan terhadap beg komputer riba erat diberikan. Irama jantungnya turut berubah. Sepi. Lelaki itu berdiri di hadapannya tanpa berbuat apa-apa. Kerana perasaan ingin tahu dia mendongak. Menyesal! Merah merona terpancar sekaligus wajahnya kembali dijatuhkan.

"It's me." tutur Dr. Adrian setelah membuka kaca mata yang dikenakan. Dalam posisi badan yang sengaja dibongkokkan sedikit agar paras mereka dalam kedudukan selari, wajah gadis di hadapannya disoroti. Ada sedikit rasa kecewa namun, dia tidak menyalahkan gadis itu andai tidak mengenalinya. Kali terakhir mereka bertemu adalah pada dua minggu yang lalu di hari pertama gadis itu melaporkan diri untuk berkerja. Pertemuan yang tak mungkin dilupakan dan tak ingin dilupuskan.

"Suraya..," seru Dr. Adrian melihatkan gadis itu berdiam diri.

"Ha? Oh... Dr. Adrian." ungkap Suraya dengan suara agak perlahan. Ya. Dia tahu nama lelaki itu Dr. Adrian meskipun baru sekali bertemu. Peristiwa di bilik mesyuarat bernombor dua mula terawang di minda. Malu! Sungguh dia masih malu tatkala terkenangkan peristiwa itu. Hisy! Kenapa muncul sekarang? Muncullah tahun depan ke, kan bagus? Mungkin, masa tu perasaan malu tu dah pun basi.

"Apa dah jadi? Kenapa awak dekat sini sorang-sorang?" tanya Dr. Adrian sedikit bimbang. Tatapannya menyoroti wajah yang sedang tertunduk itu sebelum pandangannya terpaku di satu sudut. Ada tiga titik kecil yang selari di bawah mata yang menarik perhatian untuk tetap di situ.

"Awak, okay ke?" soal Dr. Adrian lagi. Dia sebenarnya sedang menahan sabar dengan sikap apati gadis itu. Lagipun, dia bukanlah ingin menyibuk. Tetapi, jikalau sudah berkerja di bawah satu syarikat yang sama, menjadi tanggungjawabnya untuk mengetahui alasan gadis itu yang jelas berseorangan di situ.

"Doktor, terima kasih. Saya okay. Zamri ada di AceAir. Saya duduk sini sebab nak tunggu Mr. Lee datang." jelas Suraya alasan dia berada di situ. Diangkat wajahnya. Tetapi, sebentar. Masih segan melihat Dr. Adrian yang tetap tercegat di hadapannya.

"It's Adrian." sahut Dr. Adrian setelah berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.

"Huh?" ucap Suraya mengimbas wajah Dr. Adrian sepintas lalu.

" Please call me Adrian. I prefer nama dari pangkat yang tak seberapa tu." balas Dr. Adrian sedikit tegas. Keinginan untuk bergaul dengan gadis itu tanpa batasan formaliti tanpa segan terluah.

Suraya, menelan air liur. Dia benar-benar tidak gemarkan cara lelaki itu yang kelihatan seperti sedang mengambil kesempatan. Orang tengah penat dia boleh datang jual minyak!

Tanpa menghiraukan jarak sejengkal yang memisahkan mereka, dia bangun. Tiada sedikit pun rasa bersalah ketika Dr. Adrian terpaksa mengundur dan membetulkan kedudukan atas tindakan spontannya itu. Sambil membetulkan beg dibahu, dia berkata dengan nada sedikit jengkel.

"Maaf, Dr. Adrian. Saya rasa saya okay je sorang sorang dekat sini. Sekejap lagi bila Mr. Lee dah sampai saya ikut dia."

Luahan itu terlahir akibat dari perasaan bengang yang tersimpan semenjak tadi. Bermula dengan perasaan takut ketika memandu tadi sehinggalah berpenatan turun naik tangga, boleh pula Zamri meninggalkan dia bersendirian tanpa tunjuk ajar!

Tindakan itu sesungguhnya telah berjaya mengganggu emosinya. Dan kini, datang pula seorang lelaki narsistik. Narsistik? Ya. Lagak angkuh di bilik mesyuarat dahulu masih segar diingatan. Jangankan lagak, riak wajah yang dipamerkan dahulu juga masih jelas di matanya. Apatah lagi nada dan perbualannya itu. Ciri-ciri klasik itu sesuai betul bila dipadankan. Grandiose narcissist!

"Maaf kalau buat you tak selesa, Suraya Anne. Tapi, I tak boleh biarkan you sendirian. Bos you dah lama sampai. Mari kita ke sana." tutur Dr. Adrian dalam lagak yang budiman.

Sejenak, fikiran Suraya melayang teringatkan kata-kata Irene sebelum ini dan pesanan Zamri ketika berada di pejabat tadi. Mulutnya sedikit terbuka. Kemudian, ditutup. Mata yang terbuka luas dilabuhkan tepat kepada sepasang mata yang jernih itu.

"Bos..," ucapnya lemah. Baru dia teringat bahawa Dr. Adrian itu bukanlah calang-calang orang untuknya berkata sesuka hati. Dan dia, patut sedari kedudukan diri. Ya. Dia terlupa bahawa ada pembatas di antara mereka berdua. Lelaki itu superior manakala dia junior. Selamba saja dia mencemuh tadi meskipun tidak jelas pada mata kasar.

"I'm sorry. I'm so sorry, boss."

Segan. Kepalanya lantas tertunduk ke bawah. Memandang kosong kasut hitam di kaki dan kasut sukan yang juga berwarna hitam milik lelaki itu. Sepi.

"Urm, kalau macam tu...marilah, bos!" ucapnya dengan wajah ceria yang dibuat-buat. Kecewa, malu, terasa dan pelbagai perasaan suram yang melanda segera dibungkus dalam lipatan fikiran. Topi keledar keselamatan dicapai. Melihatkan Dr. Adrian masih kaku, dia melangkah terlebih dahulu. Namun dua tiga langkah yang diambil, dia dipukul rasa terkejut apabila bahunya terasa ringan.

"Been there before."

Terkebil-kebil, dia mencerna kejadian yang baru sahaja berlaku. Eh, apa maksud lelaki itu?

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.