Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 27


Selesai membacakan surah Yasin dan bacaan tahlil, mereka bertiga masih tetap berada di atas sejadah. Sebenarnya, di atas permintaan Encik Ahmad Fauzi sendiri, solat Maghrib dan Isyak tadi mereka kerjakan secara berjemaah. Dia mengetuai jemaah itu sehinggalah doa dititipkan sebagai pengakhiran majlis. Semoga pahala yang diperoleh dinisbahkan kepada arwah isterinya berserta arwah ahli keluarga yang lain.

Sebelum majlis bacaan ayat suci itu bermula, Encik Ahmad Fauzi perasan, dengan jelas melihat perubahan wajah Dr. Adrian sehingga kini. Air muka pemuda itu kelihatan terganggu. Seperti dirundung sesuatu walaupun wajahnya nampak tenang.

Pandangan, melirik ke arah pemuda yang sedang duduk bersila di sebelah kirinya ketika ini. Manakala, wajah mendung anak dara kesayangan yang duduk sedikit jauh sedang bersimpuh di sebelah kanannya dijeling sekilas. Perhatiannya kembali kepada pemuda itu. Tutur kata yang mahu diluahkan disusun penuh tertib agar tiada hati yang terluka.

"Adrian, pak cik nak tanyakan sesuatu,"

Suraya mengangkat wajah terlebih dahulu. Berupa hairan. Tanpa menghiraukan lontaran anaknya itu, Encik Ahmad Fauzi terus menatap paras yang bersih dan menarik itu sepenuh perhatian seperti mana dia menatap wajah buah hati kesayangan.

"Adrian masih ada kedua orang tua?" soal Encik Ahmad Fauzi ingin tahu.

Sepi.

Encik Ahmad Fauzi sabar menanti. Mengenakan t-shirt polo berwarna putih dan sepasang seluar cotton berwarna kelabu, makin menyerlahkan air muka yang berubah buat beberapa detik itu. Lama pemuda itu termenung dengan kepala menunduk ke bawah. Si buah hati tak putus memberi isyarat mata ke arahnya. Tentu tidak senang mendengar pertanyaannya itu. Busy body katanya.

"Ibu, meninggal sewaktu melahirkan saya. Papa pulak..,"

Dr. Adrian seakan teragak-agak untuk menceritakan. Dipandang wajah bapa Suraya sebelum kata-katanya itu membuatkan kedua beranak itu terkejut.

"Menghilangkan diri ketika saya berumur lima belas tahun."

Kini, Suraya pula yang menundukkan wajah. Baru terasa malu dengan sikapnya terhadap lelaki yang terlebih dahulu menanggung kehidupan tanpa belaian kasih daripada seorang ibu. Seumur hidup pula tu. Kemudian, tanpa seorang ayah pula.

Ah, memang patut pun dia malu dengan layanan kasarnya terhadap lelaki itu sebelum ini!

"Tapi, walaupun tanpa mereka berdua, Adrian mampu menjadi seseorang yang berjaya. Adrian masih menjadi seorang hamba yang mengingati Penciptanya." ujar Encik Ahmad Fauzi lembut. Panahannya tepat. Memang benar fikiran pemuda itu sedang kacau. Barangkali terkenang akan kedua orang tuanya. Tercurah simpati yang melimpah.

Dr. Adrian pula memilih untuk diam. Lirikan dibawa kembali menyoroti ke bawah. Bersama bapa Suraya, dia tidak mampu berselindung. Orang tua itu bijak menyusun kata. Bertanya pula tepat pada masa. Terkadang, tindak-tanduk dan kata-kata bapa Suraya itu mengingatkan dia kepada papa yang sekian lama tidak ditemui. Berbual bersama lelaki itu membuatkan memori bersama papa sesekali terimbau. Benarkah ada persamaan di antara mereka berdua? Atau, sekadar bayangannya sahaja. Sedang mengambil kesempatankah dia? Menumpang sedetik kasih orang tua itu tanpa dia sendiri menyedari sebelum ini.

"Adrian, pak cik ada satu hajat. Khas buat Adrian untuk anak pak cik,"

Dr. Adrian tidak lagi memandang ke bawah. Melalui ekor mata dilihat Suraya juga sedang menunggu kalimat yang bakal diucapkan oleh Encik Ahmad Fauzi.

"Pak cik nak pinangkan Adrian untuk anak pak cik, Suraya-.."

Belum sempat Encik Ahmad Fauzi habis berbicara, Suraya terlebih dahulu bangun. Encik Ahmad Fauzi terdiam. Serentak dia dan Dr. Adrian memandang. Dua tiga tapak ke belakang diambil sebelum anaknya itu menyisihkan diri dari ruang solat. Encik Ahmad Fauzi sudah menjangkakan hasratnya itu pasti ditentang oleh anaknya.

'Maafkan abah. Mungkin inilah cara terbaik yang dapat abah fikirkan.'

Marahlah. Merajuklah. Dia sudah nekad. Hanya pada malam itu sahaja waktu yang dirasakan tepat untuk meluahkan hasrat hatinya itu.

Suraya merungkaikan telekung yang dipakai lalu dicampak ke atas katil. Setelah itu, direbahkan tubuh ke tilam pula. Sebiji bantal kepala ditarik dan dipeluk erat. Empangan yang penuh pecah. Laju sahaja air mata mengalir di pipi. Sedu yang terkeluar ditahan dari kedengaran. Mereka berdua tidak jauh. Berada bersebelahan bilik tidurnya sahaja. Dia menarik rapat bantal itu ke wajah.

'Sampai hati abah buat Yaya macam ni.'

Rintihan itu bergema dalam dirinya. Baru tiga hari bertemu, abah sudah berkenan menjadikan lelaki itu sebagai menantu. Dahlah latar belakangnya samar apalagi peribadi. Itu pun baru mukadimah perkenalan tentang hal ehwal lelaki itu ditanyakan oleh abah, terus disuap soalan bonus. Malu Suraya. Betul-betul malu. Dia kenal akan sikap abah. Bukan mudah membuat sebarang keputusan untuk sesuatu perkara. Akan diteliti dan didalami terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi perkara serius sebegitu yang melibatkan urusan hati dan perasaan dua individu.

Dan, dia sedar sebelum ini Dr. Adrian pernah memberinya hint. Itu pun dianggap oleh dirinya sekadar usikan. Iyelah, kalau dah berkerja dalam bidang yang banyak dimonopoli oleh lelaki, usikan nakal sebegitu memang tak lari ditemukan sehari-hari. Sebab itulah dia buat tak endah sahaja dengan lelaki itu.

Lagipun, sejak kali pertama menjejakkan kaki ke syarikat niatnya hanya satu yang ditanam. Untuk berkerja lantas mendapatkan pengalaman hidup. Bukannya datang untuk mencari teman istimewa atau mengintai-intai calon jodoh. Saat ini hal yang tidak pernah melintasi ruang benak bukan lagi suatu bayangan atau mainan. Nyata, realiti dan sedang dibincangkan. Apakah Dr. Adrian setuju? Dia memohon agar lelaki itu menolak mentah-mentah hajat abah itu. Lapang dadanya andai ianya benar. Entah apa yang difikirkan oleh abah agaknya. Buru-buru lagaknya. Dan dia tidak mampu menahan rasa sebal akan tindakan abah yang tanpa segan silu meminang seorang lelaki buat dirinya. Sudahlah bos sendiri. Di hadapan dia sebagai saksi pula tu!

'Menyesal!'

Memang patut pun penyesalan itu terlahir. Lihatlah kesudahannya ketika ini. Tidak hanya urusan peribadi dicampuri malah, maruahnya juga menjadi pertaruhan. Bingkas, dia bangun. Duduk di birai katil sebentar sebelum air mata diseka. Dia berhajat menghalangi abah dari terus membuat sebarang kesilapan. Boleh jadi, kesan daripada kemalangan itu telah membuatkan fikiran abah terganggu dan keliru. Ingin segera dia berbicara dengan bapanya saat itu juga.

Tombol pintu dipulas setelah sehelai tudung disarungkan ke kepala. Dibawa kaki melangkah ke ruang solat. Kosong? Baru beberapa minit dah habis berbincang?

Dituju pula ke bilik tidur abah. Diketuk beberapa kali sebelum daun pintu ditolak. Abah sedang berbaring dalam suasana yang suram. Mungkin sudah tidur. Tidak sampai hati pula mahu mengganggu.

Kacau! Benar-benar kacau!

Akhirnya ditangguhkan seketika hasrat hati itu. Dilewati ruang dapur. Menutup suis lampu dan berlalu untuk kembali ke bilik. Ketika itulah dilihat Dr. Adrian tercegat di muka pintu bilik tetamu seakan sedang menanti kehadirannya. Pipinya terasa berlapis tebal. Segan. Dia belum bersedia untuk bertentang mata.

"Boleh kita bercakap?" seru Dr. Adrian.

Suraya tidak menjawab walau sepatah. Hanya menunduk sahaja.

"Suraya, awak sendiri tahu memang kita kena berbincang tentang perkara ni,"

Ya, betul. Memang patut mereka berbincang. Diangkat kepala sebelum mengangguk lemah. Lalu, dia berpaling menuju ke arah anjung. Pintu gelongsor yang terkunci dibuka. Kedua panel itu ditolak supaya terbuka luas.

Angin malam yang sepoi bertiup lembut. Apabila mendongak ke langit kelihatan ribuan bintang berkelipan. Malam yang indah. Tetapi sayang, tidak mampu mengindahkan gelanggang hidup yang mula tunggang-langgang. Berterabur. Tidak tersusun. Satu per satu datang menghempap. Dia terhimpit.

Tanpa mempelawa, dia melangkah keluar dahulu. Menarik dan duduk di salah satu kerusi yang ada. Dr. Adrian mengekori. Tidak duduk. Hanya berdiri sambil menyandarkan tubuh pada dinding bata yang dibina separuh memagari ruang anjung itu. Kedudukan mereka kini saling berhadapan.

"Apa... pendapat awak?" tanya Dr. Adrian dengan suara yang kendur. Tidak memikir untuk menyusun sebarang kata-kata yang manis. Dia tahu apa yang bermain dalam fikiran gadis itu. Hanyalah dia, mahu mendengar dengan kedua telinganya sahaja.

Pertanyaan Dr. Adrian itu lama dibiarkan sepi. Walaupun soalan itu mudah, jawapan kepada persoalan itu amat payah sekali. Dia, belum mempunyai kekuatan untuk menjawab dan mengangkat pandangan. Semuanya masih menebal terkumpul. Malu semalu-malunya.

"Tak tahu," sahutnya perlahan setelah puas mencari jawapan.

"Apa pendapat awak pulak?" soalnya pula. Lensa pandangan naik sedikit memerhati permukaan meja yang diperbuat dari kaca yang tebal. Ukiran bermotifkan bunga-bungaan pilihan arwah mummy terdapat di mana-mana sahaja di dalam rumah ini.

"Saya, belum tahu."

"Maksud awak?"

Tertunduk-tunduk, dia menyoal lagi. Jari-jemari yang bertautan bermain sesama sendiri. Aneh betul perasaan ketika ini. Membincangkan sesuatu yang lain dari kelaziman. Membincangkan tentang kehendak orang yang harus dipatuhi meski hati berteriak enggan.

"Saya bukan seorang yang sempurna. Tapi, apa yang saya belajar dan tahu, kalau kita tak pasti tentang sesuatu, minta petunjuk dari DIA." ujar Dr. Adrian perlahan.

Suraya terpaku. Bertambah malu. Dipencilkan diri. Begitu juga lelaki itu.

"Apa yang awak cakap pada abah saya tadi?" Sengaja, diubah arah perbincangan. Ingin dikorek perbualan mereka berdua itu supaya tidak tertinggal walau sepatah kata.

"Saya minta tempoh."

Melalui ekor mata diintai reaksi tenang itu. Sedang berpeluk tubuh menatap wajahnya. Tempoh? Untuk apa? Memikir? Kenapa perlu difikir? Tolak sajalah pinangan tu, detik hati kecil.

"Sebenarnya saya nak tahu apa pendapat awak, Suraya." pinta Dr. Adrian. Dalam diam mengharapkan kehadiran dirinya memberi makna dalam hidup gadis itu. Biar pun secebis.

Suraya mengangkat sebentar pandangan sebelum dijatuhkan kembali. Pura-pura atau terus-terang?

"Saya tak setuju."

Sedikit pun tiada kekesalan menuturkan kata-kata itu kerana apa yang terlahir di bibir datang terus dari hati kecil. Dan dia, tidak teragak-agak dengan firasat hati yang sensitif itu.

"Saya masuk dulu. Pagi esok saya balik KL. Please take care of yourself, Suraya."

Sempat lelaki itu menitip kata sebelum berlalu meninggalkannya.

Bisu.

Hanya ekor mata yang menghantar kelibat lelaki itu masuk ke dalam. Suraya menarik nafas yang dalam. Dia cuma berlaku jujur. Memang tiada sekelumit perasaan terhadap lelaki itu wujud di sanubari. Belahlah dan redahlah hatinya. Memang tiada.

Dr. Adrian, melabuhkan punggung ke atas tilam. Dekorasi bertemakan hijau zamrud dan putih itu tidak mampu memberikan sedikit ketenangan pun kepada jiwanya ketika ini. Adakah dia tersilap mendengar ketika bapa Suraya meluahkan hasrat untuk menjodohkan dirinya dengan Suraya tadi? Rasanya tidak. Jelas dipendengaran bait bicara orang tua itu memohon hajatnya dipenuhi. Gembirakah dia? Ya. Terlalu gembira. Andai tidak diperingatkan oleh Suraya dengan melarikan diri tadi tentu tanpa berfikir panjang dia memberi kata putus. Namun, tindakan gadis itu membuatkan dia membuka mata. Juga hati.

Hajat orang tua itu bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Namun, pada waktu yang pahit dan getir begitu hasrat bapa Suraya jelas tidak kena pada masanya. Dr. Adrian sedar pengalaman orang tua itu bukan sedikit. Golongan yang lebih awal makan garam. Lebih kenal siapa jauhari yang mana manikam. Tetapi mengapa dipilih waktu sebegini untuk menyampaikan niatnya itu. Seakan terdesak. Kerana apa? Apa yang membuat lelaki yang dalam diam dianggap seperti seorang ayah itu tidak mampu menunggu untuk menyatakan hajat hatinya itu. Buntu fikirannya membuat andaian. Direbahkan pula tubuh yang kepenatan. Dalam keadaan mengiring ditenung ke arah dinding yang memisahkan kedudukannya dan Suraya. Apakah gadis itu juga sedang memikirkan hal yang sama sepertinya?

Dr. Adrian, bersimpati. Terhadap diri yang bertepuk sebelah tangan dan kepada gadis yang kelihatan tersepit antara kemahuan diri dan bapa tercinta. Separuh jiwanya sudi. Sanggup menerima hasrat orang tua Suraya itu. Separuh lagi bimbang penyatuan itu bakal mendera emosi gadis itu pula. Semakin dalam pertimbangan dibuat semakin sukar pula ranjau yang harus ditempuhi. Akal, menemui jalan mati.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.