Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 38


Tegak dia berdiri berpeluk tubuh di hadapan pintu utama. Melihat keadaan yang agak lengang di kawasan kejiranan itu pada jam lima petang. Kebiasaannya, mendekati jam enam barulah kawasan itu sedikit hingar dengan bunyi-bunyian kenderaan dan suara kanak-kanak bermain.

Sepanjang hari itu, Hanis menemaninya di rumah. Malah dengan rela hati mengambil cuti kecemasan semata-mata mahu berada di sisinya ketika waktu genting sebegini.

Pandangan, terlontar ke merata sudut. Ternampak kelibat arwah kedua orang tuanya sedang berjalan berpimpinan tangan menuju ke laman kereta di parkir. Dipejamkan kelopak mata sebentar. Lalu dibuka kembali. Terlihat pula bayangan mereka sedang membersihkan halaman sambil bergurau-senda. Ah! Mereka berdua memang begitu. Pasangan yang mesra dan bukan sekali dua diusik sebagai pasangan romantis oleh jiran tetangga yang terserempak apabila tanpa sengaja terlihat aksi mereka itu. Suraya lihat, sedari dia kecil lagi abah memang bersikap begitu. Gemar betul mengusik mummy. Dan apabila berjalan bersama-sama, pasti tangan mummy diraih. Tutur kata abah kepada mummy juga lembut sahaja. Semestinya dia bahagia. Mempunyai kedua orang tua yang penyayang dan hidup dalam keharmonian. Kini, elusan kemesraan itu tidak lagi dapat dirasai. Hanya lintasan demi lintasan kenangan semalam menjadi tatapan.

"Betul kau nak ke kubur?"

Lamunan terhenti. Memandang Hanis yang bersandar pada tiang batu di hadapannya. Entah bila gadis itu muncul langsung dia tidak sedar. Sebentar tadi, Hanis pulang ke rumahnya untuk mengambil kereta. Baru dia perasan kenderaan keluarga Hanis siap diparkir di bahu jalan di hadapan rumah.

"Ye, Han. Dah dua kali aku cakap tadi. Aku rindu jadi aku nak pergi." ucapnya hambar.

"Taklah. Aku ingat aku salah dengar...Sebab pagi tadi kau dah pergi." sahut Hanis menjelaskan diri.

Suraya menggeleng lemah. Dia tidak mampu menggambarkan perasaan sebenarnya. Apa yang pasti memang dia sedang merindui kedua arwah orang tuanya ketika ini. Andai sepanjang hari dia duduk di kuburan pun dia tak kisah. Tetapi apa pula kata orang kampung. Dah gila agaknya anak arwah tu!

"Jomlah. Aku drive Vel." kata Hanis lagi merujuk kepada kenderaan milik bapanya itu.

"Kenapa? Kereta kau mana?" soal Suraya perlahan sambil menyarung selipar ke kaki. Walaupun perasaannya ketika ini sedang terumbang-ambing, apa sahaja yang berlaku kepada Hanis masih menjadi tumpuannya.

"Pak Long guna. Saja nak tukar angin hari ni," cerita Hanis lalu mereka berjalan beriringan menuju ke arah kenderaan itu.

"Yaya, tabahlah. Walaupun tak mampu aku harap kau cuba," kata Hanis ketika memandu dalam kelajuan yang perlahan.

Jalan di kampung serta tidak banyak kenderaan bolehlah dibawa perlahan sebegitu. Jikalau banyak kenderaan ketika ini mau kena hon percuma.

Suraya, tidak menyahut. Tatapan dibuang ke luar. Melihat seimbas lalu pemandangan sepanjang perjalanan yang telah dihafal sejak berzaman.

"Yaya..." seru Hanis lembut setelah melihat dia hanya membisu.

"Erm..."

"Kau anggap aku apa?"

"Kembar aku." Dia tak perlu menoleh tetapi dia tahu Hanis sedang tersengih mendengar jawapannya itu.

"Mama dan ayah aku?"

"Mak ayah nombor dua aku."

"Ehsan?.. Dani?.."

"Adik-adik kita berdua."

Hanis tidak lagi bertanya. Begitu juga dengannya yang terus membisu sepanjang perjalanan kira-kira sepuluh minit itu. Dia tahu apa maksud Hanis. Sengaja mengingatkan dirinya yang dia masih mempunyai sebuah keluarga meskipun keluarga itu tiada sebarang pertalian darah dengannya.

"Pergilah. Aku tunggu sini." ujar Hanis sebaik mereka tiba.

Suraya mengangguk dan turun dari kenderaan. Kepala menunduk sahaja melihat ke tanah. Namun, langkah yang diambil laju sebelum ia berhenti di antara dua pusara yang menempatkan dua insan yang terpaling dikasihi sepanjang hidupnya.

Sesampai, terus dia bercangkung di sisi kuburan. Duduknya di bahagian kepala sebelum air mata rindu yang perlahan menitis disapu dengan hujung tudung bawal yang dikenakan. Selama hidupnya, belum pernah terlintas di dalam benak babak dirinya duduk di antara dua kuburan sebegini. Keadaan itu membuatkan dia sedar tentang hakikat kematian yang mustahil dapat diingkari oleh mana-mana jiwa bergelar makhluk. Ditoleh sekilas ke arah pintu masuk. Hanis sedang berdiri dengan bersandar pada kereta sambil memerhatikan dirinya. Jauh di sudut diri, dia diterpa rasa senang dengan perhatian yang mencurah dari teman baiknya itu.

"Pak Long ingat, satu minggu sebelum abah Yaya masuk hospital dia ada berpesan bila dia meninggal, tanamkan dia bersebelahan kubur arwah isterinya."

Air jernih kembali merembes tatkala mengingati perbualan Pak Long kelmarin. Tiada keinginan untuk menghapus, dibiarkan sahaja cecair itu melembapkan pipinya. Ditenung pusara milik abah dengan perasaan bergolak. Kemudian, mummy pula. Abah dan mummy. Kasih dan cinta mereka berdua terluput dalam dakapan persemadian. Senantiasa bersama-sama hinggakan ke akhir hayat, mereka tetap mahu hidup saling berdekatan. Enggan terpisah.

"Assalamualaikum. Abah, mummy..," Dalam sedu yang mula memunculkan diri dia memberikan ucapan salam. Kedua belah tangan diangkat. Bacaan doa dipanjatkan terlebih dahulu. Berselang-seli bacaan yang tersekat-sekat dengan suara sedu yang sesekali muncul. Surah yang sering dibacakan khusus untuk arwah mummy sebelum ini diulangi lagi. Untuk arwah abah juga.

"Yaya datang abah, mummy..," ucapnya perlahan. Dada, sarat. Sebu dengan rasa duka yang menghempap.

"Abah, mummy... Yaya-, rindu..." Terhinjut-hinjut bahunya mengungkapkan perasaan sebenarnya ketika ini. Dahulu, ketika dua jasad itu masih bernyawa dengan selamba diucapkan kata rindu dengan senyuman bermain di bibir. Ketika ini, demam rindu yang melanda tak mungkin dapat ditemui ubatnya waima di pelusuk terpaling ceruk sekalipun.

Senak dada menahan getaran dan tusukan yang mencengkam. Daripada duduk bercangkung, diletakkan punggung ke tanah pula. Kedua belah lutut rapat ke dada. Kepala dibenamkan dan dua tangan berlingkar memegang kaki. Ke depan belakang tubuhnya berayun. Nafas yang dalam sedalamnya dihela satu per satu.

"Habis probation Yaya, kita pergi holiday nak? Tapi, lama sikit. Dalam satu minggu ke...Okay tak, abah?.. mummy?.." cadangnya ketika baru satu bulan berkerja di syarikat.

Wajah mummy yang duduk di sisi tampak bersinar. Abah yang sedang melihat telefon terhenti daripada geraknya.

"Elok juga tu. Dah lama kita tak pergi bercuti ni." ujar abah sambil memandang ke arah mummy dan dirinya silih berganti.

"Betul tu. Mummy rindu nak ke pulau. Last kita ke pulau waktu Yaya di semester empat. Jadi, mummy setuju kalau kita bercuti lama sedikit." sahut mummy pula dengan perasaan teruja.

Abah senyum lebar. Menyetujui pendapat itu.

"Elok juga tu. Bolehlah abah habiskan cuti tahunan yang masih banyak berbaki."

Mereka merancang. Rapi. Mummy telah pun memilih destinasi percutian. Ke Pulau Perhentian. Selain mahu menikmati keindahan alam semulajadi, mummy mahu meneruskan percutian dengan membeli-belah di zon bebas cukai di negeri Kelantan pula. Kini, segalanya tinggal kenangan.

"Abah, mummy... Macam mana Yaya nak lalui hidup ni sendirian tanpa abah dan mummy?" soalnya perlahan sekali. Bukan dia berputus asa atau menyalahkan takdir. Dia cuma buntu. Terlalu buntu dengan keadaan dirinya ketika ini. Tiba-tiba ditinggalkan sebatang kara. Pemergian abah, langsung tidak diduga akan berlaku dalam tempoh yang terdekat begini. Sedangkan, sebelum ini dia ada merencana untuk membawa abah bercuti meskipun hanya berdua. Angan tidak kesampaian mummy itu mahu disempurnakan. Malang. Sekali lagi dugaan membuai.

"Maafkan, Yaya. Bukan niat Yaya nak salahkan takdir. Yaya cuma terkejut. Mummy pergi...kemudian, abah. Yaya-, Yaya-.. Takut, mummy. Yaya takut Yaya tak kuat..."

Sekali lagi air jernih itu melebat luruh. Kuatkah dirinya untuk kembali seperti dahulu? Dia, belum mempunyai jawapan itu. Tetapi, ketika ini dapat dirasakan dirinya belum mempunyai kekuatan itu. Jiwanya telah rapuh. Menunggu masa untuk runtuh seandainya dia memilih untuk hidup dalam kenangan kelmarin.

Bunyi getaran dari dalam poket tracksuit yang dikenakan menyedarkan dirinya dari lamunan yang panjang. Dibuka zip seluar yang ditarik rapat itu. Telefon pintar dikeluarkan. Panggilan itu ingin dijawab kerana bimbang sekiranya ia adalah panggilan daripada kenalan abah yang masuk. Namun, sangkaan meleset. Nombor Dr. Adrian yang tertera.

"Erm..."

Sepatah kata meluncur cukup sebagai isyarat.

"Suraya, saya ganggu ke?" tanya Dr. Adrian.

Ada nada cemas kedengaran. Mungkin juga serba salah.

"Erm..."

"Oh, sorry. Saya call kemudian sajalah."

"Nanti!-" Mulut berhenti berbicara. Suaranya jelas kedengaran serak kerana baru lepas menangis. Lalu segan pula untuk membuka mulut.

"Kenapa, Suraya? Awak okay tak ni? Awak dekat mana ni?" tanya Dr. Adrian bertubi-tubi.

Suraya menarik nafas yang dalam. Dari hari ke hari tanpa sedar, perhatian dari lelaki itu makin dia senangi meskipun sebelum ini tidak dia sukai.

"Erm, saya okay. Dekat kubur." sahutnya separuh berbisik.

"Oh. Kalau macam tu saya letak dulu."

"Jangan."

"Kenapa?"

"Saya nak cakap sesuatu."

"OK."

"Saya bersedia kahwin dengan awak."

Nekad. Hajat abah akan ditunaikan tanpa kesangsian lagi. Itulah satu-satunya amanat daripada arwah terhadap dirinya yang patut dilaksana.

Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.