Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 2


Hello. Selamat pagi.”

Sapaan seorang penyambut tetamu dengan satu senyuman yang manis meredakan sedikit ombak di jiwanya. Gayanya yang sofistikated dengan dandanan dan perhiasan yang bercitarasa membuatkan rasa sederhana tiba-tiba mendaki diri. Cocok sekali figura itu berada di situ. Di premis korporat dengan simbol TSL berwarna ungu dan hijau terang bergemerlapan melatari di belakangnya.

"Macam mana lasak kerja Yaya, bentuk tubuh dan suara wajib dipelihara. Kita tak boleh tilik hati mana yang ada niat tak baik."

Ingatan mummy ketika diterangkan tentang bidang kerjanya itu melintasi ruang fikiran. Kebimbangan mummy berasas. Dia bakal berjuang dalam bidang yang popular di kalangan kaum Adam.

Satu nafas yang dalam dihela olehnya sebelum pura-pura membetulkan sedikit selendang yang meliliti kepala dan ditebarkan sebahagian lagi melindungi aurah yang wajib ditutup.

"Bergaya tak salah. Yang salah, bila kita bergaya tak selari dengan apa yang syarak telah benarkan. Begitu juga tempat kerja. Mummy harap Yaya jaga diri Yaya sebaiknya di tempat kerja tu nanti."

Amanat mummy ketika dia memberitahu serba sedikit perihal pekerjaannya kekal terpasak di dalam minda. Dan, benar sungguh kata mummy. Tadi, sebaik menjejakkan kaki di lobi di tingkat bawah dan memerhati sebilangan kecil ketrampilan warga syarikat itu, perasaan terpencil itu tiba-tiba muncul. Perasaan yang terbit merasakan dirinya tidak setaraf untuk duduk bergandingan. Mereka semua, seakan memiliki ideologi yang sama dari segi ketrampilan, perbualan dan etiket. Manakala dia, kelihatan jauh terasing. Jika dibuka kembali profil diri, kelayakannya menjawat jawatan itu pun mampu dipersoal!

"Hai. Saya Suraya Anne. Saya hadir untuk lapor diri." maklumnya mengekang perasaan tidak enak dari mengawal diri.

Sehelai kertas berupa salinan surat tawaran yang diterima melalui email tempoh hari lantas ditarik dari sebuah fail hitam yang dikepit.

Wanita penyambut tetamu itu masih dengan senyuman ketika menyambut huluran daripadanya. Sekilas, wanita itu menatap lantas mencatit sesuatu pada organizer yang agak besar saiznya sebelum jari-jemari lincah menaip pada papan kekunci komputer di hadapannya.

Irene. Mata Suraya berlabuh pada tag nama yang melekat pada kot biru gelap yang dipakai oleh wanita tersebut.

"Okay, Cik Suraya Anne. You tunggu di bilik mesyuarat nombor dua. Ikut kanan dan jalan terus. The room will be on your left side." arah Irene. Senyuman, sentiasa memekar di bibirnya.

Suraya menarik senyuman nipis. Menjeling ke arah laluan yang ditunjukkan namun, jasadnya tetap kekal di hadapan kaunter itu.

"Well, is this your very first time, Cik Suraya?" tegur Irene lagi setelah melihat staf baru itu cuma menolehkan kepala tanpa bergerak walau seinci. Naluri dan pengalaman, dia tahu gadis di hadapannya itu pasti seseorang yang baru memasuki dunia pekerjaan.

"Urm, yup." sahut Suraya, spontan berlaku jujur.

"Oh, dear... Relax, okay. Individu yang kamu nak jumpa nanti sangat baik hati, tau. Percayalah cakap saya." pupuk Irene dengan pandangan penuh bermakna.

Tidak tahu bagaimana, ucapan sebegitu seakan didambakan oleh halwa telinga Suraya ketika ini. Dia membalas senyuman wanita itu dengan perasaan senang. Dia yakin tentulah wanita itu lebih tahu tentang selok-belok syarikat korporat itu berbanding dirinya.

"Erm, terima kasih Irene." tuturnya sebelum menarik satu nafas yang dalam.

Irene, terus tenggelam dalam pamitan semangat dan senyuman. Suraya enggan lagi berlengah meski seminit. Lebih cepat sesi ini bermula tentu cepat juga ia berakhir. Langkah yang kecil sengaja diambil. Perlahan-lahan dia mengikuti arahan yang diberikan sebentar tadi. Laluan yang diserikan dengan pengcahayaan samar itu singkat apabila dia tiba di hadapan pintu yang bernombor dua. Tombol dipulas perlahan dan dia menapak masuk sambil hati kecil mengucap lafaz doa dimudahkan urusan.

Buat seketika, dia terkedu. Dapat dia lihat seorang lelaki berpakaian kemas sedang duduk di sebuah sofa. Tekun membaca sebuah fail dengan kepalanya menunduk. Kehadirannya itu sedikit pun tidak disedari.

Tanpa menanti sebarang pelawaan, Suraya lantas melabuhkan punggung di sofa yang berkedudukan bertentangan dengan lelaki itu. Beg tangan berwarna putih dan sebuah fail hitam selesa di atas ribaan. Pandangan ditundukkan ke bawah memandang jari-jemari yang mendarat di atas barangan peribadi. Kehadirannya masih tidak diendahkan. Sesak dadanya menanti disapa namun, setelah beberapa minit berlalu, dia mengambil keputusan untuk menjadi pemerhati.

'Mr. Lee?'

Duganya setelah berjaya mencuri lirikan kilas. Boleh jadi, kot? Kerana wajah itu kelihatan seperti seseorang yang bernama Mr. Lee dan bukan Encik Ali. Patutkah dia bertanya? Tetapi, lelaki itu kelihatan sibuk. Agak biadap jika berkelakuan semberono. Jadi, lebih baik dibiarkan sahaja Mr. Lee itu selesai dengan urusannya itu.

Sambil diam menanti, mata Suraya memerhati ruang eksekutif yang disinggahi. Kemasan perabot berona hitam yang berlawanan dengan tona putih yang melatari keseluruhan ruang memberikan kesan yang eksklusif kepada bilik itu. Lama tatapannya dibawa memerhati keadaan sekitar sebelum sorotan itu terarah kepada sudut di belakang sofa yang diduduki oleh Mr. Lee. Lama dia merenung cahaya cerah yang terbias dari panel cermin yang dilindungi oleh sebuah tirai lebar berwarna putih sebelum pandangannya jatuh pula ke arah Mr. Lee. Dan sepasang matanya, mula memerhati dengan minda luar sedar. Wajah Mr. Lee direnungi. Wajah yang dikira popular di arena komersial.

'Hmm... Muda betul Mr. Lee ni.'

Ya. Dalam benak kepalanya, semenjak nama Mr. Lee disebutkan di dalam email lanjutan yang diterima, dia tidak lari dari memikirkan fizikal Mr. Lee. Dia mengagak Mr. Lee seseorang yang sudah berusia. Yang memiliki pengalaman yang banyak dalam bidang itu dan sebab itulah dia dilantik menjadi seorang pengurus. Apatah lagi dengan surname yang digunakan. Terbayang seorang lelaki di awal lima puluhan yang sudah mulai ditumbuhi uban dikepala dengan perut sedikit boroi. Nampaknya, teori itu jauh tersasar.

"It's rude to stare."

Mati khayalan Suraya tatkala mendengar satu suara yang datang dari arah depan itu.

"Oh, saya-.. saya mintak maaf." ucapnya tersipu-sipu. Lirikan yang sudah sedar cepat-cepat dilabuhkan ke bawah. Dia tidak sengaja. Sumpah! Bila dah bosan dibiarkan menunggu mulalah fikiran dan lirikan melayang-layang.

"You ada urusan apa di sini? I rasa Harrison tak ada pula maklumkan akan hantar wakil untuk bertemu. Care to introduce yourself?"

Suraya tergamam. Juga segan. Dahlah kantoi menilik rupa paras orang, datang datang tak perkenalkan diri dahulu. Malu sungguh!

Lambat-lambat, Suraya mengangkat wajahnya. Lirikan, bertemu dengan sepasang mata yang jernih. Dan dia, terpaku seketika melihat mata itu. Mata yang memiliki kejernihan yang belum pernah dilihat di mana-mana sebelum ini untuk seorang lelaki. Memang benarlah telahannya tadi. Pesona lelaki itu lebih sesuai di arena komersial dari menjadi kakitangan kolar putih.

"Saya, Suraya Anne Binti Ahmad Fauzi. Saya hadir untuk lapor diri." jelasnya sebelum bibir dipaksakan mengukir satu senyuman meski kelat.

Mata masih bertemu mata. Kemudian, dia disambar perasaan keliru kerana Mr. Lee ketika ini tidak lagi memandang tetapi sedang merenungnya dengan tajam.

"You, Suraya Anne? Asal mana?" soal Mr. Lee tanpa memutuskan renungan tajam yang dihantar itu.

Walaupun nada itu kedengaran tegang dan serius, dua soalan itu cukup memberi isyarat kepada Suraya bahawa minit pertemuan secara rasmi sedang dimulai. Dia menarik nafas yang dalam. Jari-jemarinya saling menggenggam. Kuat. Lidah yang mengulum dilepaskan dan satu senyuman yang kali ini dipastikan benar-benar asli diukir sedikit.

"Melaka." sambutnya diiringi satu lagi senyuman nipis.

Dia bernafas lega. Tidaklah sesukar mana untuk melewati sesi lapor diri ini. Dia saja yang terlebih fikir tadi!

Sepi. Mr. Lee, langsung tidak menyahut lagi bahkan menundukkan wajah melihat lembaran yang sedang dipegang itu.

'Hmm?.. Itu aje?'

Senyuman yang menempel segera mati.

"Kenapa?.. Saya jawab terlalu umum ke, Mr. Lee? Erm, sebenarnya saya dari Klebang. Mr. Lee dari mana pula?"

Sengaja, dia pula menyoal. Mahu meninggalkan suasana janggal itu dari mengambil alih. Biarlah dia disoal dengan bermacam-macam soalan dari suasana sepi begitu berjalan. Namun, Mr. Lee tidak juga menyahut. Pulak. Dia terlebih selamba ke? Atau, soalan itu terlalu peribadi? Masak!

Pandangan, diturunkan ke bawah sebentar. Lalu diangkat kembali dan sempat dia melihat sejuring senyuman dari lelaki tersebut sebelum ia hilang. Mr. Lee terus tenggelam dalam mod sibuknya. Meletakkan fail di atas meja kemudian sebuah tablet diambil dan ditilik tanpa mempedulikan lagi keadaan di sekelilingnya. Perbuatan itu jelas menandakan lelaki itu enggan melanjutkan sebarang perbualan lagi.

'Isk. Kalau dah siap sesi soalan kenapa duduk sini lagi? Baik ajak aku masuk ofis ke apa.'

Rungutannya menggema di dalam diri. Nak ikut diam ke atau saja-saja bagi soalan?

"Erm-.."

Belum sempat dia pura-pura bertanya, kedengaran bunyi pintu ditolak dari luar.

Err... excuse me, Dr. Adrian."

Tanpa perlu menoleh, Suraya terus mengecam akan suara itu. Tetapi, siapa pula Dr. Adrian?

Err... To be honest, Cik Suraya Anne is not supposed to be here. Saya tak sengaja letakkan dia di sini tadi. Saya betul-betul minta maaf, Dr. Adrian.” ujar wanita itu lagi. Lunak suaranya rosak tatkala pertuturan yang sedikit gagap itu mengambil alih.

Suraya, spontan terpempan. Mengangkat wajah dengan mulutnya sedikit terbuka. Pandangan sekali lagi bertembung dengan lelaki yang dipanggil Dr. Adrian oleh Irene. Lelaki itu cuma memandang ke arahnya tanpa mempedulikan makluman yang disampaikan oleh Irene sebentar tadi. Seinci pergerakan tidak mampu dilakukan oleh Suraya. Malunya bukan kepalang. Dan dia sedar wajahnya ketika ini tentu seperti udang dibakar!

It's all right, Irene. Terima kasih sebab tersilap. Adalah jugak peneman saya dari menunggu sorang sorang dari tadi.” sahut lelaki bernama Dr. Adrian dengan selamba sebelum berpaling ke arah muka pintu.

Suraya menarik nafas yang lega ketika pandangan itu diputuskan. Dia, mula berkira-kira untuk bangkit.

"By the way, Mr. Harrison is here. I got him into conference room number one. I'm terribly sorry, Dr. Adrian."

Dan Suraya tiada kuasa lagi menjadi pak tunggul dan memasang telinga. Sambil menunduk ke bawah hati kecil mula membilang. Satu... Dua... Ti...

"Cik Suraya Anne, mari-.."

Ga..!!!

Belum sempat Irene menghabiskan kata-kata, dia terlebih dahulu bangun dan keluar dari bilik itu. Biarlah lelaki dan momen singkat itu ditinggalkan di belakang. Suraya, enggan menoleh lagi. Sejurus keluar dari bilik 'keramat' tersebut barulah dia menarik nafas yang dalam. Baru tersedar kencang debaran di dadanya ketika ini.

"Sorry, Cik Suraya. Saya betul-betul tak perasan tadi," ucap Irene masih berwajah gusar.

Entahkan bila, Irene sudah berjalan bergandingan dengannya. Sebenarnya, dia tidak tahu hala tuju yang betul. Dia melangkah pun dengan harapan kakinya dapat membawanya jauh dari situasi yang agak memalukan itu. Dan dia terlalu malu. Mati-mati dia ingatkan Mr. Lee tadi. Dan sekarang baru dia faham mengapa lelaki itu tiba-tiba memutuskan perbualan. Dia bukan tetamu yang dinantikan!

"Kamu, okay tak? Sorry sangat-sangat tau."

Suraya memalingkan wajah. Sebuah senyuman diukir buat Irene yang tidak henti menyalahkan diri sendiri itu.

"Okay...okay je. Tak mengapa, Irene. Mistakes happen."

Lantas senyuman puas terpamer di wajah Irene mendengarkan jawapan balas darinya. Kesalahan tanpa sengaja itu mana mungkin dijadikan alasan untuknya memarahi seseorang secara tiba-tiba. Lagipun, dia tidak lupa statusnya sebagai seorang staf baharu.

"Pertama kali I buat silap, mau tak gabra. Tapi, mujurlah Dr. Adrian tadi... Kalau orang lain, silap hari bulan I dah kena marah tadi."

Suraya senyum sumbing. Nak berasa kasihan dia sendiri tidak pasti kerana mangsa ketika ini adalah dirinya sendiri.

"Bimbang lagi?" soal Irene menyedari gadis bersebelahannya itu seperti berada dalam dunianya tersendiri.

Suraya tersentak seketika sebelum menggeleng perlahan. Baru menyedari perasaan gemuruh yang dialami menghilang. Entahkan bila perasaan itu melupuskan diri dia sendiri tidak perasan.

"Jangan bimbang. Mr. Lee is the second nicest person I've ever met in this company. Kamu beruntung tau dapat bos macam dia." tambah Irene seakan belum puas memberi kata-kata semangat kepadanya.

Suraya hanya mampu senyum sebagai jawapan balas. Langkah mereka berdua melewati front desk dan berlalu ke arah sayap kiri bangunan pula. Pintu bernombor empat dihampiri.

"Err... Irene,"

Irene berpaling seraya menunggunya menghabiskan kata-kata.

"Siapa Dr. Adrian tu?"

Untuk bertanyakan soalan itu pun sejak dari tadi dia mengambil masa. Malah, nada suaranya sedikit bergetar ketika menyebut nama lelaki itu. Ah, batang hidung dah tak nampak tetapi kenapa dia seperti merasakan lelaki itu sedang memerhatikan dirinya? Isy, merepek! Mungkin dia masih berbekas malu dengan insiden tadi, kot.

"Oh. Kind of big bosses."

Suraya membulatkan biji mata. Cantik! Cantik sangatlah kenangan yang dia dapat pada hari pertama menjejakkan kaki ke syarikat.

"Alright. Mr. Lee already inside. Once again, sorry about earlier. Good luck, Cik Suraya Anne!"

Irene membukakan daun pintu sambil tersengih lebar. Andai perasaannya ketika ini seperti Irene yang tidak risau meski telah membuat sedikit kesilapankan bagus, hati kecil kedengaran berharap. Suraya menarik lagi nafas yang dalam. Berdoa dia dan Dr. Adrian itu sama-sama terlupakan hal itu di dalam masa terdekat.

"Lagi satu, Dr. Adrian orang terpaling baik dalam syarikat pernah saya jumpa. Kamu beruntung tau dapat bos-bos macam diorang."

Bisik Irene ke telinganya ketika dia melewati wanita itu sebelum daun pintu itu ditutup rapat.

Bos? Okay. Sekarang rasa tak enak tu dah selamat kembali. Bukan kerana bakal ditemuduga oleh Mr. Lee. Tetapi memikirkan fakta yang baru sahaja diumumkan oleh wanita itu.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.