Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 63


"Setahu aku, tak salah pun kalau kau nak tarik diri dari perkahwinan ni. Cukup syarat sebagai laksanakan tanggungjawab sudah. Lepas tu bawak haluan masing-masing."

Kata-kata Hanis kelmarin makin kerap terngiang-ngiang di cuping telinganya kala ini. Membuatkan dia mula mencurigai akan keputusan hatinya sendiri. Betul ke dia senang dengan perkahwinannya ini? Betul ke dia tidak mempunyai alasan untuk berpisah? Entahlah. Dia sendiri kebingungan dengan perasaannya selama bergelar isteri lelaki itu. Bila bersendirian bermacam rencana dia susunkan. Bila berduaan bertempiaran pula hasratnya. Bila berjauhan dia terasa lapang dan bebas. Bila berdekatan sesak dia hendak bernafas. Cuma, bila mengenangkan perancangan awalnya itu, hati mula berbelah bagi. Usaha yang tersangka mudah itu susah sebenarnya. Patutkah dia mengaku kalah dan terima sahaja ketetapan takdir yang siap tertulis untuknya. Mungkin, sudah ketentuan juga bahawasanya jodohnya dengan lelaki itu cukup sampai di situ sahaja. Sedihkah dia?

Satu nafas yang dalam dihela. Mungkin. Tetapi, dia tidak berhak untuk berdukacita. Terang-terangan dari awal lagi dia sudah melakukan kesalahan yang berat. Dan, jikalau ada sekalipun perasaan terhadap lelaki itu dia yakin dia mampu untuk memadam dan memendamkan ia.

Enggan melayani curahan jiwa yang bakal menggugat emosi di pagi hari itu, cepat-cepat dia mencapai telefon pintar yang terhampar berdekatan. Nombor perkhidmatan e-hailing ditekan. Bingkas dia bangun dari atas katil dan mula bersiap untuk keluar.

Segugus kunci dari dalam poket beg galas dikeluarkan lalu dibukakan pintu utama yang berkunci rapat. Kasut yang dikenakan ditinggalkan di belakang pintu sahaja sebelum dia melewati ruang tamu dan ruang rehat. Mata memerhati segenap ruang di tingkat bawah itu. Sunyi.

Pertama-tama, dibawa dirinya menuju ke bilik tidur utama sebelum naik ke tingkat atas yang suram. Dibawa diri ke bawah kembali menuju ke bilik air kemudian dressing room. Hampir kesemua ruang dijelajahi termasuk halaman belakang.

Buat beberapa ketika, dia bermundar-mandir kehampaan di ruang rehat itu. Terpandangkan pintu ke garaj, dia berhajat meninjau di situ juga. Namun, tidak jadi. Sebuah lagi pintu yang berdekatan dengan pintu garaj diintai. Pintu yang membawa ke dalam satu-satunya ruang yang belum pernah dimasuki olehnya sebelum ini. Dengan perasaan ingin tahu yang kuat, dipulas tombol dan sebaik sahaja dia melangkah terus sahaja tubuhnya diterpa oleh seseorang.

"Zik!! Berhenti!"

Bingit telinganya mendengar seruan Dr. Adrian yang terlalu dekat. Hairan kerana tiba-tiba dirinya berada di dalam lindungan lelaki itu. Sebentar, dadanya deras bergetar sebelum dia menolak sedikit meminta diberikan ruang. Dr. Adrian mengizinkan. Dijengulkan kepala.

Satu... Dua... Tiga...

Dia menarik panjang.

Zaf? Zia? Dan seorang lelaki yang tidak dikenali dengan sepucuk pistol di tangan tepat terarah kepadanya. Terbeliak biji matanya melihat.

"It's alright, Suraya. Zik tak sengaja. Dia ingat ada orang cuba pecah masuk." jelas Dr. Adrian dengan kedua tangan berada di atas bahunya.

Kelu. Situasi itu terlalu ekstrem untuknya. Juga keliru melihatkan dua wajah yang dikenali turut berada di situ.

"Mari, kita masuk dalam dulu. Saya jelaskan." ujar Dr. Adrian lagi lantas memimpin tangannya keluar dari ruang itu dan menuju ke bilik tidur.

Suraya, masih diam membisu tatkala mereka berdua duduk saling berdampingan di birai katil itu. Dan masih terkunci rapat bibirnya ketika merasai pergerakan lembut ibu jari Dr. Adrian yang mengelus belakang telapak tangannya.

"Kenapa tak bagitau nak datang?"

Diam.

"Bukan ke awak nak balik kampung?"

Diam lagi.

Jauh fikirannya mengelamun. Belum habis memikirkan insiden yang berlaku sebentar tadi. Kehadiran Zia dan Zaf di dalam rumah lelaki itu menimbulkan pelbagai persoalan. Apatah lagi dengan kewujudan lelaki berpistol tadi. Isy, bahaya betul!

Hidung yang ditarik kuat mematikan lamunan. Suraya menjerit kecil sebelum sebelah tangan mengusap batang hidung yang terkesan. Satu lirikan tidak puas hati dilayangkan kepada lelaki itu.

'Suka hati dia je tarik hidung orang!'

"Berangan."

Dia tersenyum kelat mendengar ucapan itu. Namun, tidak lama. Dikembalikan lirikan ke arah wajah lelaki itu dengan biji mata yang terbeliak. Pantas kedua tangannya naik menyentuh bahagian kepala yang berbalut putih itu.

"Kenapa ni?? Awak jatuh ke? Accident?"

Satu per satu soalan ditanyakan dengan perasaan yang bimbang. Dr. Adrian, senyap tidak menjawab.

"Adrian, awak kena apa ni?" tuturnya menagih jawapan. Sorotan matanya dijatuhkan dan dia memanah tepat ke dalam sepasang mata yang sedang menatapnya itu. Menyedari adegan yang sedang berlangsung cepat-cepat dia kembali ke posisi asal. Segan.

"Dah habis buat rawatan?" usik Dr. Adrian sambil tergelak kecil.

Suraya mengetap geram.

"Isy, orang punyalah bimbang main-main pulak." serunya bersahaja.

"Saya kena pukul." tutur Dr. Adrian serius.

Lantas Suraya menoleh dan kali ini reaksi terkejut tergaris dalam.

"Bila?"

"Tiga hari lepas."

"Kenapa tak bagitau saya?" soal Suraya lalu kembali melarikan wajah. Terlalu kecewa mengenangkan berita besar itu disembunyikan daripada pengetahuannya.

"Saya pengsan." kata Dr. Adrian. Cukuplah alasan ringkas itu diberikan. Sebenarnya, telefon pintar miliknya rosak akibat pergelutan yang berlaku pada malam hari itu. Namun, dia enggan memaklumkan kepada Suraya dengan terperinci. Bimbang gadis itu takut pula.

"Dah pergi ke hospital?" tanya Suraya pula. Pengakuan lelaki itu sebentar tadi mengejutkan dirinya. Kena pukul sehingga pengsan itu suatu perkara besar. Perlu dapatkan rawatan lanjut demi mengelakkan kesan di kemudian hari.

Dr. Adrian, menggeleng.

"Kenapa?"

"Sikit je."

"Sikit? Pengsan dan berbalut macam ni sikit??"

Dijegilkan biji mata. Marah dan geram dengan sikap acuh tak acuh lelaki itu. Spontan, tangannya terasa dicapai dan dielus.

"Tak percaya ke?" tanya Dr. Adrian perlahan.

Suraya tidak menjawab. Hanya bibir dimuncungkan sebagai jawapan.

"Tengok ni," ujar Dr. Adrian lagi lantas meleraikan pegangan lalu membuka lilitan yang berbalut sehingga habis. Hanya sekeping dressing pad sahaja yang tinggal.

"Diorang nak buka dressing ni waktu awak sampai tadi. I'm alright, sayang."

"Biar saya buat."

Cepat-cepat Suraya menahan apabila lelaki itu cuba membuka sendiri pad tersebut. Dr. Adrian senyum kemudian, angguk. Beg galas yang masih bergalas di bahu dicampak ke tepi lalu bergegas dia ke bilik air untuk mencuci tangan.

Dengan penuh berhati-hati dia membuka tampalan itu. Makin terkejut apabila melihat benang hitam yang dijahit melebihi satu inci menjalar sehingga ke pelipis. Warna kulit ungu pudar dan merah jambu bercampur sedikit kekuningan kesan daripada antiseptik yang digunakan masih kelihatan segar. Dipejamkan mata sebentar. Mengetap bibir dan menarik nafas yang panjang sebelum luka itu ditiup lembut beberapa kali.

"Siapa yang pukul awak, Adrian?" soalnya dengan jari telunjuk sipi-sipi menyentuh di sekitar luka.

Dr. Adrian menggeleng.

"Adrian, boleh jadi sebab diorang tahu siapa awak jadi diorang rancang nak culik awak, kot?"

"Apa maksud awak, Suraya? Siapa pulak saya?" soal Dr. Adrian pula.

Suraya kembali duduk dengan relaks. Pad dan bandage di tangan lelaki itu diambil lalu dililitkan kemudian disemat dan dibiarkan di tepi. Ditatap wajah lelaki itu. Hampir satu minggu tidak bertemu. Lingkaran yang gelap di bawah mata menandakan sepasang mata itu keletihan. Barangkali tak cukup tidur. Sekilas dilarikan anak mata kerana malu dengan ucapan hati yang tiba-tiba berbisik rindu meski hanya dia seorang yang mendengar.

'Rindu? Aku rindu dia? Gila!'

Dia, berdehem sebentar sebelum membuka mulut.

"Saya tahu awak dan Miss Carol sepupu." ujarnya.

Dia diam ketika melihat kedua tangan di atas ribaan dicapai lalu digenggam erat.

"Kecewa?" tanya Dr. Adrian.

Suraya mengangkat bola matanya dan dia mengangguk sedikit.

"Dengan diri saya sendiri dan sebab dengar dari mulut Miss Carol. Tapi, saya ingat awak pernah nak bagitau sebelum ni cuma, masa tu saya yang ego... Tak nak ambil tahu apa-apa pun tentang awak." luahnya perlahan. Jika diingati kembali pertemuan demi pertemuan dan perbualan demi perbualan di antara mereka sebelum ini, jelaslah lelaki itu sebenarnya berkeinginan untuk menjelaskan siapa dirinya yang sebenar.

"Saya mintak maaf sebab tak berterus-terang dari awal. Saya cuma, tak tahu nak jelaskan macam mana...atau, mungkin, saya takut awak akan jauhkan diri bila awak tahu siapa sebenarnya saya. Entahlah... Saya betul-betul tak boleh fikir dengan waras bila berhadapan dengan awak, Suraya." akui Dr. Adrian perlahan.

Suraya merenung ke dalam mata yang jernih itu.

"Awak tak patut ada persepsi macam tu terhadap saya, Adrian."

"Oh,"

Seakan baru tersedar, Dr. Adrian mengutus satu senyuman tipis. Segan.

"Jadi, awak sedia untuk tahu tentang diri saya?"

"Awak sudi nak bagitau?"

Dr. Adrian angguk. Berbesar hati.

"Semuanya?" soal Suraya lagi seakan tidak percaya detik yang dinantikan itu bakal tiba.

"Semua?" pura-pura terkejut, Dr. Adrian bertanya.

Suraya mengangguk. Bibirnya merekah dengan senyuman tatkala melihat anggukan balas lelaki itu.

"Erm... Adrian, kalau Miss Carol tu sepupu awak jadi, Tan Sri Johari tu bapa saudara awak ke?" soalnya ingin tahu.

Dr. Adrian menggeleng.

"Sebenarnya diorang bukan darah daging saya. Tan Sri Johari anak tiri Atuk saya."

"Huh? Maksud awak?" soal Suraya lagi tidak memahami.

"Atuk saya, Tun Sidek berkahwin dua. Isteri pertama Tun Sidek iaitu nenek saya agak lewat mengandung dan melahirkan anak. Jadi, Tun Sidek kahwin lain. Nenek Miss Carol pula masa berkahwin dengan Tun Sidek seorang janda anak satu... Uncle Jo. Lima tahun kemudian barulah papa dilahirkan. Satu-satunya waris yang Tun Sidek ada." cerita Dr. Adrian panjang lebar.

Kini, barulah dia faham sedikit sebanyak perkaitan di antara mereka bertiga itu yang jelas samar pada pengetahuannya. Menyedari sesuatu dalam maklumat yang diterimanya, Suraya membulatkan kedua biji mata.

"Maksudnya, awak juga pewaris Tun Sidek Legacy??"

"Kecewa lagi?" tanya Dr. Adrian.

Suraya mengangguk perlahan.

"Saya tak sangka... betul-betul tak sangka. Kenapa, Adrian? Kenapa tak berterus-terang dari awal?" katanya sambil menggongcang tangan yang sedang bertautan itu.

"Maksud awak?"

"Saya malu dengan sikap saya terhadap awak selama ni. Betul-betul memalukan. Berani pijak kepala bos sendiri. Bukan bos kecik pulak tu... Big boss. Haihh..." Kata-kata kesal itu terlahir dari dasar hatinya yang terpaling dalam.

Dr. Adrian ketawa. Tak menduga perasaan isterinya itu unik sekali.

"Tapi... Saya tak pernah terfikir untuk duduk dalam syarikat tu, Suraya. I don't want to have anything with that company."

"Huh? Kenapa pulak?"

"Kerana ianya milik papa. Dan kerana saya mahu sesuatu yang dibina dengan kedua tangan saya ni. Saya dah terbiasa mendapatkan sesuatu dengan jalan sukar jadi saya tak dapat biasakan diri dengan jalan yang mudah." terang Dr. Adrian akan sebab penolakannya itu.

"Tapi, mau atau tak, lambat laun ia tetap menjadi milik awak." dia mengingatkan.

Dr. Adrian senyum tipis.

"Ya, saya tau. Cuma, buat masa sekarang saya nak bina nama saya atas hasil usaha saya sendiri. Mungkin nanti, bila kami kembali bertemu kami akan duduk berbincang tentang status saya di syarikat." jelas Dr. Adrian dengan perasaan yang sedaya upaya dilindungi daripada ketahuan.

Suraya diam. Merenung dalam. Terang-terangan syarikat itu juga adalah hak lelaki itu tetapi masih lagi akur untuk menunggu kehadiran pemegang utama.

Lirikan yang jatuh diangkat. Jauh menembusi tabir jiwa. Lelaki itu boleh menipu seisi dunia tetapi tidak mungkin dirinya. Menatap mata itu sahaja dia tahu betapa renungan itu tersimpan satu kesengsaraan yang terpendam.

Buat kali pertama, Suraya memberanikan diri. Dilarikan kedua tangan lalu disangkutkan di bahu lelaki itu. Kemudian, direbahkan kepalanya di situ. Terasa tangan lelaki itu memaut pinggangnya. Mata dipejamkan. Mahu merasai bebanan yang sedang lelaki itu tanggung.

'Berhenti, Yaya! Apa kau buat ni?'

"Are you asleep?" bisik Dr. Adrian di telinganya.

Spontan dibukakan kelopak mata lalu dijauhkan kembali tubuhnya. Dalam keadaan tersipu, dia tersenyum malu.

'Ya. Apa aku dah buat ni?'

"Adrian... Kenapa ada Zaf dan Zia dekat sini? Siapa mereka, Adrian?" soalnya menutup bicara hati yang tak sudah membingungkan dirinya.

Dr. Adrian melirik segaris senyuman. Kelat. Sedar, cepat atau lambat soalan itu pasti akan ditanyakan jua.

"Mari." ujar Dr. Adrian terlebih dahulu dan berdiri.

Suraya menuruti. Tangan berpimpinan dan mereka kembali ke ruang yang tersangka stor itu.

Kali ini, apabila Dr. Adrian menolak daun pintu dengan lebar barulah dia dapat melihat keadaan di dalam ruangan itu dengan lebih jelas. Zaf, Zia dan lelaki yang memegang pistol tadi sedang duduk di sebuah sofa panjang berbentuk L yang menghadap ke arah laman belakang rumah. Rasanya sebentar tadi langsir tingkap itu tertutup rapat. Tetapi, apabila ianya dibuka barulah dia sedar mengapa dia tidak perasankan bangunan itu sebelum ini kerana menyangka ia merupakan bangunan garaj. Lagi pula kedudukan rumah hijau itu turut menjadi penghalang ruang itu daripada dilihat dari luar.

"Suraya, kenalkan Ziana, Zikri dan Zafrin. Zia, Zik and Zaf. " ucap Dr. Adrian ketika mereka menghampiri ketiga-tiga individu itu.

Zaf duduk dengan melunjurkan kaki di penjuru L itu sambil bermain dengan telefon pintarnya. Terangkat-angkat kening remaja itu menyapanya sambil tersengih. Manakala Zia sedang duduk bersandar dan di sisinya lelaki yang bernama Zik. Sedang berbual dengan perlahan sekali. Ketika mata bertentang mata, aura virulen terasa merayap mendekatinya. Dia mengeratkan genggaman Dr. Adrian. Lelaki itu tertawa halus.

"Zik, you're scaring my wife."

Baik Zia mahupun Zaf kedua-duanya tertoleh memandang ke arahnya. Spontan Suraya tersipu malu.

"Sekarang aku dah tahu kenapa Adrian nak kahwin. Merah pipi kau! Baru kena sikit!" usik Zaf membuatkan pipinya makin merona.

Zia ketawa mengilai. Zik pula membeku di tempatnya. Langsung tidak menoleh.

"Jadi, kau jealous sebab aku ada bini?"

"Wooww... Marah orang usik bini dia." sahut Zia pula.

Kedua Z itu ketawa terbahak-bahak. Suraya melayangkan pandangan ke arah Dr. Adrian. Lelaki itu sedang lebar tersengih. Berbeza! Satu pemandangan yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Bersama mereka bertiga, Dr. Adrian seperti bebas menjadi diri sendiri. Bebas mengekspresikan perasaannya.

"Adrian, siapa sebenarnya mereka ni?" Dia menyoal perlahan.

Terdengar bunyi satu siulan nakal yang datang daripada Zaf ketika Dr. Adrian membawanya mendekati sebuah meja panjang dengan enam buah kerusi. Di situ mereka berbual sambil berdiri.

"Adik-beradik. Zia yang sulung. Zik dan Zaf. Kawan-kawan saya masa di rumah anak yatim dulu." ujar Dr. Adrian selamba.

Mulut Suraya separuh terbuka kemudian tertutup mendengar satu fakta yang mengejutkan dirinya itu. Jadi, Dr. Adrian pernah tinggal di rumah anak yatim? Oh. Tiada kata yang mampu dituturkan. Hanya lirikan yang dipakukan pada wajah tenang yang sedang memandang tiga beradik itu membuat hal masing-masing.

"Zia dah bebas masa tu... Ke akademi polis. Tinggal Zik dan Zaf. Saya ingat lagi betapa bencinya saya dengan Zaf yang mengekor tak kira ke mana saya pergi. Sampaikan saya dan Zik hampir bertumbuk sebab saya marah dia tak pandai jaga adik dia tu. Zaf masa tu kecil lagi... Empat atau lima tahun saya tak ingat." cerita Dr. Adrian lagi.

Suraya diam mendengar. Perasaannya tercuit tetapi berjaya disorok dari terpamer.

"Erm, kenapa Zik tu ada pistol? Boleh ke? Tak melanggar undang-undang ke?" soalnya bertubi-tubi.

Dr. Adrian senyum. Diramas jari jemari yang lembut itu. Tiada niat untuk melepaskan sejak dari tadi. Sungguh gadis itu tidak mengetahui betapa rindunya makin membarah. Dan betapa perasaannya makin parah.

"Dia ada lesen. Don't worry. Lagipun Zik tu berkerja sebagai driver dan pengawal peribadi Miss Carol."

"Oh..," sahut Suraya dengan perasaan lega.

"Am I missing something, Adrian?" getusnya dengan kening yang berkerut.

Wajah Dr. Adrian makin mendekat. Cepat-cepat Suraya mengangkat sebelah tangan menutup dahi. Bersiap-siaga akan maksud perbuatan Dr. Adrian itu. Bukan boleh percaya!

"Okay, okay... Awak tak perlu jelaskan. Masih ada banyak lagi masa, kan?" ujarnya menahan perasaan segan kerana perbuatannya itu difahami oleh lelaki itu.

Dr. Adrian tergelak.

"Oii!! Korang berdua takpelah kenyang dengan bercinta. Kami ni lapar, oi!" laung Zia disambut dekah ketawa daripada Zaf.

Suraya menarik tangan kanannya. Menumbuk lembut dada suami. Malu betul kerana diusik sejak tadi. Dr. Adrian ketawa kecil.

"Tapau ajelah!" kata Dr. Adrian tanpa berpaling.

Matanya terus merenung wajah sang isteri. Ya. Bak kata Zia dia mampu bertahan lapar hanya dengan melihat wajah Suraya sahaja.

"Boring..." sahut Zaf.

"Biar saya masak." sampuk Suraya.

"Yeay!!!"

Serentak Zia dan Zaf menyahut.

"Takpe ke? Tak menyusahkan ke?" tanya Dr. Adrian.

Sambil senyum Suraya mengangguk.

"Awal-awal aku surrender, Anne!.. Halia dan lengkuas pun aku tak boleh cam lagi... Inikan tolong. Tolong potong-potong, bolehlah." kata Zia lantas berdiri.

"Aku tolong."

Terkedu. Pertama kali dia mendengar Zik bersuara. Dalam. Serta-merta kepala tertoleh ke arah Dr. Adrian. Lelaki itu senyum dan mengangguk.

"Jom. Saya pun tolong."

Suraya menggelengkan kepala.

"Orang sakit duduk diam-diam. Hari ni awak kena ikut cakap saya, okay?"

Dr. Adrian tersenyum kelat tetapi dianggukkan kepala. Apa saja untuk isteri tersayang.

"Perghhh!! Adrian takut bini, lah! Hahaha!.." seru Zaf kemudian ketawa terbahak-bahak.

Suraya turut ketawa apabila melihat wajah Dr. Adrian sedikit berubah. Ha, tau pun malu!

Previous: Bab 62
Next: Bab 64

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.