Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 68


Dr. Adrian sedang tercegat berdiri di hujung meja di bilik mesyuarat itu. Masing-masing khusyuk mendengar sisipan dari bos mereka itu yang berkisar hal ehwal logistik. Kes pecah amanah yang melibatkan Dr. Adrian ditutup dengan momerandum yang diedarkan oleh pihak pengurusan syarikat berserta bukti-bukti yang bersabitan dengan Peter seorang. Sekaligus membersihkan nama Dr. Adrian dari dikaitkan dengan kes tersebut. Perletakan jawatan Peter pula tersusul kemudian.

Rupa-rupanya, Dr. Adrian dan tiga beradik Z itu telah menyiasat perkara itu bersama-sama. Zia, mahir dalam menyiasat. Zik pula menyamar sebagai pengawal peribadi Miss Carol. Dan Zaf... Haih!.. Budak hiper tu rupa-rupanya berkemahiran dalam bidang siber sekuriti. Dengan mudah kebolehannya digunakan untuk mencari maklumat dengan memasuki sistem jaringan syarikat. Kemudian, mencari pula maklumat di dalam komputer peribadi milik isteri Peter.

Sama ada aktiviti risikan itu telah melanggari undang-undang atau tidak dia tidak pasti. Namun, menurut Zia, kegiatan mereka boleh didakwa sekiranya Peter dan isterinya mengetahui lalu melaporkan ia kepada pihak berkuasa. Tetapi, tentunya tiada siapa yang tahu kecuali mereka berlima!

"Guys, selain dari Suraya Anne, our only female teammates, I nak umumkan tambahan ahli dalam team."

Masing-masing menoleh ke arah sesama sendiri. Termasuklah Suraya sendiri. Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba sahaja pengumuman itu dibuat.

"Selain dari saya? Maksudnya teammates baru ni perempuan?" sampuk Suraya secara tiba-tiba.

Semua mata tertoleh padanya. Panas pipinya sebelum lirikannya bertembung dengan sejuring senyuman daripada lelaki itu.

"Maya, please come in." Dr. Adrian memanggil dengan suara sedikit tinggi.

Lantas, pintu bilik mesyuarat terbuka. Masuk seorang wanita, di awal tiga puluhan dengan gaya yang sungguh elegan. Selendang merah jambu meliliti kepalanya. Dan dia mengenakan sehelai t-shirt putih dengan blazer coklat terang yang labuh berserta sepasang jeans dan kasut bertumit tinggi. Aksesori anting-anting bulat terjuntai keluar. Beberapa utas gelang tangan di kiri dan kanan. Bergemerlapan. Wanita itu terus maju kemudian berdiri bersebelahan Dr. Adrian. Tidak jauh perbezaan ketinggian mereka berdua. Ricky dan Alvin kelihatan saling berbalas senyuman.

"Barulah rock!.." petik Zainul agak kuat.

Maya yang terdengar mencerlungkan matanya kepada Zainul.

"Pstt..." panggil Hadi.

Suraya menoleh.

"Partner kau cun." bisik Hadi yang duduk tidak jauh darinya.

Suraya sengih. Mengangguk bersetuju. Tidak hanya pandai bergaya. Wajahnya memang cantik. Persis seorang artis ternama.

"Korang jangan main-main. Aku pernah dengar cerita pasal dia ni. Garang nak mampus. Buat kerja kalah jantan. 24 jam on site dia masih steady boleh masuk ofis sambung buat report." celah Nazril tiba-tiba.

Suraya dan Hadi berbalas pandang.

"Are you trying to insult me?"

Suara Maya yang agak tinggi dan serius membuatkan suasana tiba-tiba sunyi. Tumpuan terus teralih kepada Maya dan Zainul pula. Zainul segera mengangkat kedua belah tangan ke atas. Tanda tidak bersalah.

"Eh, mana ada. I puji, lah."

"Tapi bagi I, you baru sahaja menghina I." sahut Maya tegas.

Berubah air muka Zainul. Bagai lebah, masing-masing berbisik sesama sendiri. Sikap yang agak mengejutkan terutama daripada orang yang baru masuk ke dalam tim itu.

"Guys, guys...you shouldn't take this seriously. Maya, you joke aje, kan?.." ujar Dr. Adrian cuba meredakan situasi yang sedikit tegang itu.

Maya menjeling lelaki di sebelahnya. Dr. Adrian bersikap selamba.

"Well, yes. Just joking. Sorry, Zainul." kata Maya sambil tertawa. Lalu satu senyuman dihadiahkan kepada lelaki yang duduk berhampiran dengan Dr. Adrian itu.

Wajah Zainul ketara terkejut. Sama ada kerana namanya diketahui atau pun kerana mendengar perubahan suara wanita itu dari marah kepada santai.

"Tapi, sebarang bentuk penindasan terutama terhadap staf perempuan bukan perkara main-main. Suraya Anne! Have you ever been bullied by them?" Baru sebentar ketegangan reda, nada serius itu kembali mencicip.

Mulut Suraya separuh terbuka. Cepat-cepat ditutup. Dia lagilah terkejut. Namanya pun Maya tahu?

"Err, apa?" soalnya kembali.

"Yup. Dia satu-satunya girl dalam team ni. I nak tahu... Ada sesiapa pernah buli dia, tak?" tanya Maya dengan suara kembali tegas. Mata yang galak itu merenung satu demi satu lelaki di hadapannya.

"Kan?.. Aku dah cakap tadi." tutur Nazril dengan tangan diletakkan di mulut. Menyembunyikan perbualan yang tercipta.

"Starting with you... Dr. Adrian??"

Suraya menggigit lidah melihat rupa terkebil-kebil suaminya yang tiba-tiba disergah begitu.

"Maya, please, calm down. You sepatutnya perkenalkan diri you sebagai ahli baru." pesan Dr. Adrian perlahan.

"Tak perlu. I datang under Nazril's team untuk berkerja semata-mata. Tapi, kalau ada unsur diskriminasi, bully, you better watch out, guys!" ungkap Maya tanpa ragu-ragu.

Suraya diam memerhati sambil mengulum senyum. Reaksi yang berlawanan dengan barisan lelaki di kiri dan kanannya. Resah dan tidak senang duduk.

"Err, Adrian, kenapa ada tambahan ahli? Perlu ke tambah lagi seorang dalam team kita yang sedia ramai ni?" soal Ben yang diam semenjak tadi.

Dr. Adrian memandang Ben kemudian Maya. Mencerlung mata Maya merenung ke arah Ben. Tetapi dibalas selamba oleh lelaki itu.

"Maksud you, kenapa ambil Maya? Kita perlukan Maya sebab dia ada experience di kawasan pedalaman Sabah."

Sekali lagi berdengung seperti lebah suara masing-masing berbisik sesama sendiri.

"Yup! Kawasan yang kita cover dah expand ke rural area. Actually, Maya tak buat DT unless diperlukan. Hari ni dia datang sebagai wakil Encik Zul untuk tandatangan kontrak lanjutan antara syarikatnya iaitu SS dengan TSL."

"Tapi, kenapa panggil kami semua kalau melibatkan team Sabah saja?" tanya Ken yang baru kembali dari Johor Bahru semata-mata untuk menghadiri mesyuarat itu.

"Actually, I nak belanja you all makan meh..." ujar Dr. Adrian lalu disahut dengan tepukan dan sorakan daripada ahli pasukan.

"Choose the venue." kata Dr. Adrian lagi.

Riuh-rendah pula bertukar pendapat.

"The Palace." cadang Ricky.

"No way! Two days prior, maa..." celah Eugene.

"Nasi kandar, bos." tutur Hadi selamba.

"Hotel, tak boleh ke?" sahut Amin disambut gelak ketawa yang lain.

"Kuat kau paw bos." ujar Zainul pula.

Suraya menyengih. Geli hati melihat gelagat ahli pasukannya itu.

"Suraya! Ada apa-apa cadangan?"

Hilang senyuman yang lama bermain di bibirnya. Semua mata tertumpu padanya. Wajah tenangnya berubah serius.

"Err...Menara?"

Terpacul nama itu secara spontan.

"Ha'ah, lah. Menara. Dah lama tak makan kat situ." kata Nazril.

"I setuju. Dengar cerita makanan dekat situ sedap-sedap. Apa kata kita makan dekat situ saja untuk meraikan kehadiran I as your new members. Kalau nak makan di tempat yang fancy tunggu ajelah your company dinner nanti." sahut Maya berlagak dominan.

Semua senyap.

"Alright. Siapa setuju angkat tangan." sambut Nazril sambil mengangkat tangan.

Suraya, Hadi dan Maya serentak mengangkat. Diikuti oleh Eugene kemudian, Ben. Akhirnya kesemuanya bersetuju walaupun mereka sedar ada yang terpaksa bersetuju tanpa rela.

"Deal?" soal Dr. Adrian.

"Sealed." sahut Suraya selamba. Lalu menelan air liur. Dia harus belajar mengawal tutur katanya yang terlalu kasual dengan lelaki itu di hadapan orang ramai. Namun, mujurlah masing-masing buat tak endah. Terdengar cakap-cakap tentang isu majlis makan malam syarikat pula.

Jam 1.00 petang, mereka sudah menapak ke Menara. Ketika mahu menyeberangi jalan raya yang sibuk itu dirasakan Dr. Adrian sedang berdiri di belakangnya meskipun jarak yang selamat diambil. Hadi dan Eugene pula di kiri dan kanan. Bersama-sama, mereka melintasi jalan itu dengan langkah yang lebar.

"Okay, menu apa yang ada?"

Suraya terdengar Dr. Adrian menyoal tetapi tidak pasti kepada siapa kerana bersebelahan lelaki itu berdiri Nazril, Sam dan Amin. Dia pula melayani Maya yang bertanyakan tentang tempat makan yang luas yang pertama kali dikunjungi itu.

"Semua ada, bos. Tapi bagi saya deep fried." terang Nazril.

Dr. Adrian mengerling Suraya sekilas. Isterinya itu sedang sibuk bersembang dengan Maya. Baguslah. Pertama kali bersua sudah mesra.

"Okay. Orderlah ikut selera masing-masing. Nanti claim dengan I. Tak kisah berapa, okay. Please pass on the message."

"Alright, boss. Thanks." ucap Nazril lalu mendekati anak buahnya pula.

Dr. Adrian, masih tercegat ketika ahli pasukan itu mula bergerak ke arah satu kedai makan ke kedai makan yang lain. Tidak tahu mana satu yang menarik, dia melangkah mengikuti Eugene yang sedang beratur di satu barisan yang sederhana panjang.

"Eh, Anne! Kau duduk sini?.. Selamba je?" tegur Hadi membuatkan Suraya terpana.

Lelaki itu datang di meja makan yang panjang itu dengan membawa satu dulang yang mengandungi set nasi ayam penyet. Minuman teh tarik madu melimpah turut ada.

"Aik? Apa yang pelik? Tak kan nak suruh aku duduk atas lantai?" Dipulangkan paku buah keras. Tadi, dia dipinta oleh Ben supaya duduk di situ untuk menjaga meja tersebut kerana bilangan mereka yang ramai itu.

"Maksud aku... Tuu..." kata Hadi sambil memuncungkan mulut ke arah satu sudut.

Suraya berpaling. Terus terpandangkan Dr. Adrian yang sedang beratur.

"Kau pergilah layan bos kita tu."

"Habis tu, kau buat apa?"

"Anne, pergilah. Dr. Adrian tu bukan biasa dengan tempat-tempat macam ni. Selama dia kerja di syarikat inilah pertama kali dia makan bersama staf dan dekat tempat macam ni." sampuk Ben yang duduk bertentangan.

"Mana you tahu?" celah Nazril pula.

"I orang lama. Masing-masing ada saja bawak macam-macam cerita. Percayalah... Memang Dr. Adrian tu tak pernah keluar makan dekat area sini. Kalau ada pun tu... The Palace tu."

Mulut Suraya spontan membentuk O mengetahui informasi baharu tentang lelaki itu.

"Pergilah, Anne..." arah Hadi tak putus asa.

"Tapi, kenapa aku?" getus Suraya sengaja jual mahal.

"Kau tu perempuan. Kalau aku yang layan pelik pulak nanti."

"Tak payah, Anne. Kalau you tak nak tak payah buat. Lelaki atau perempuan sama aje." sahut Maya yang sejak tadi berdiam.

Suraya senyum kelat. Bila dah ramai campur tangan serba salah pula jadinya. Lebih baik dia bersetuju daripada dibiarkan perkara itu menjadi perbalahan pula.

"Takpelah, Kak Maya. Saya pergi. Saje je jual mahal tadi. Lagipun kesian dekat bos kita tu nampak terkulat-kulat dekat situ." ucapnya sebelum bangun dan berjalan menuju ke arah Dr. Adrian yang tampak kasual dalam jeans dan kemeja putih seperti kebiasaan.

"Awak nak makan apa?" soalnya sebaik berdiri di sisi lelaki itu. Gementar yang dirasakan dibelai lembut. Apabila berada berdekatan lelaki itu mulalah perasan itu datang. Perasaan malu yang menjelma merupakan sisa akibat luahan hati dan juga aksi di rumah hijau kelmarin.

Dr. Adrian, kelihatan terkejut dengan kehadiran tanpa isyarat itu. Ketika Eugene pula berpaling, Suraya pura-pura buat muka selamba. Tapi, lehernya umpama dicekik. Sumpah dia tidak perasankan kehadiran lelaki itu di hadapan Dr. Adrian tadi!

"Nasi."

"Are you sure? Tak nak mi?" Dia bertanya lagi.

Kali ini diperlahankan suaranya. Dr. Adrian menunduk sedikit.

"Yes, sayang." sahut Dr. Adrian juga perlahan.

Pipi Suraya merona. Berani lelaki itu mempermainkan dirinya di tengah-tengah orang yang ramai itu.

"Erm, you dah order?" tanya Dr. Adrian sedikit kuat.

Berlagak formal. Barangkali sengaja mahu Eugene mendengar perbualan mereka itu.

"Belum."

"Alright. Kita beratur sama-sama. Ladies first." ujar Dr. Adrian lantas memberi laluan untuknya.

Ketika dia masuk ke dalam barisan itu Eugene segera berpaling.

"Yo, girlfriend!.." ucap Eugene sambil tersengih memandangnya kemudian Dr. Adrian.

" You nak makan apa? I ambil untuk you."

Suraya membulatkan biji mata. Di belakangnya terdengar Dr. Adrian berdehem beberapa kali.

"Eh, takpe-takpe. I ambil sendiri. Nanti you tak cukup tangan pulak." sahutnya.

"Untuk you boleh aje, maa..."

'Pulak!!'

"Eugene, if that the case you boleh tolong ambilkan air untuk I dan Suraya." sampuk Dr. Adrian seraya mematikan senyuman di wajah Eugene.

"Oo... Okay, bos." sahut Eugene lantas kembali memusingkan tubuhnya ke depan.

Apabila tiba giliran mereka, Suraya menyendukkan sepinggan nasi buat Dr. Adrian. Kemudian, dia menyuruh lelaki itu membawa dulang yang berisi dua pinggan nasi itu ke meja mereka. Dia pula terus berada di kedai yang menyediakan masakan stim dan sup itu untuk mengambil lauk pauk pula.

Mereka berdua, menikmati hidangan seperti kelaziman. Senyap tidak berbual. Yang lain pula rancak bersembang. Bukan dia enggan ikut berbicara tetapi, segan pula dia nak berbual lalu didengari oleh lelaki itu.

"Nah, bunga untuk you." kata Dr. Adrian lantas mencucuk bunga kobis di dalam mangkuk sup sayur dan meletakkan ia ke dalam pinggannya.

Suraya tertawa halus. Berubah moodnya dalam masa yang singkat. Membalas layanan itu, dia menyudu ketulan isi ikan ke dalam pinggan lelaki itu pula.

"Eh, Anne. Aku suruh kau layan Dr. Adrian ambil makanan je tadi. Tapi, nampak macam kau ni bini dia pulak melayan dekat meja makan tu. Hati-hati, Anne. Bukan sorang dua terpikat dekat Dr. Adrian tu. Ramai, tau. Persaingan terlalu sengit. Jangan kau gigit jari, sudah." titip Hadi panjang lebar ketika mereka sudah kembali ke pejabat.

Suraya sengih panjang. Mengambil nasihat itu sebagai ingatan mesra daripada seorang teman yang mengambil berat. Langsung tidak terasa atau tersinggung.

"Ikut suka kau, lah." ucap Hadi setelah dirasakan nasihatnya itu bagai mencurah air ke daun keladi.

Suraya terbahak kecil.

"Okay, okay. Aku faham. Thanks." sahutnya dalam tawa yang bersisa.

Previous: Bab 67

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.