13 tahun yang lalu
Johnny, Johnny! Yes, papa
Eating sugar? No, papa
Telling lies? No, papa
Open your mouth… Ha ha ha!
Sejak dua menjak ini lagu kanak-kanak yang rancak itu sering meniti di bibirnya. Macam mana tak dihafal jikalau saban hari ke rumah kawan baiknya, dua orang adik temannya itu sepanjang masa asyik mengulang lagu itu di kaca televisyen. Tak pasal-pasal dia turut sama terikut-ikut!
Sambil berlagu riang, dia berlari anak melintasi tapak perhimpunan sekolah yang tidak lagi kelihatan lapang seperti biasa. Fungsinya pada hari itu telah ditukar kepada tapak parkir kenderaan. Berderet kereta diletakkan di situ. Pelbagai jenama, reka bentuk dan warna. Seronok pula dia melihat. Seperti berada di sebuah pameran automotif.
Nun di padang, sayup-sayup kedengaran suara pengelola majlis berbicara melalui alat pembesar suara. Gegak gempita suasana di sana bergelombang sehingga ke kawasan kompleks sekolah dan sekitar. Besar acara yang sedang berlangsung kerana hari ini sejarah telah tercipta di Sekolah Rendah Seri Mutiara.
Sekolah yang terletak di pinggir bandar itu menjadi sebahagian anggota dalam temasya sukan peringkat kebangsaan. Kelebihan yang dimiliki hasil daripada kedudukan strategik sekolah itu yang terletak bersebelahan lapangan trek dan sebuah stadium mini tertutup. Untunglah dia dipilih menjadi antara sukarelawan oleh pihak sekolah untuk turut serta di dalam acara itu.
Jam, baru melepasi angka sembilan. Cuaca tidak terik dan tidak pula dingin. Sederhana dengan angin sepoi terkadang berhembus. Belon merah hati yang diikat dengan benang nylon dijeling sekilas. Melebar senyumannya hingga menampakkan lekuk lesung pipit di kedua belah pipi. Sebentar tadi, guru kelas yang mesra disapa dengan panggilan Cikgu Zaidi meminta bantuannya untuk membawa balik peralatan sukan yang langsung tidak digunakan kembali ke bilik stor. Meski alatan sudah disediakan oleh pihak penganjur, pihak sekolah turut bersedia membantu dari segi logistik dalam menyempurnakan acara itu. Nampaknya bantuan mereka tidak diperlukan langsung. Imbalan pertolongan yang diharapkan oleh Cikgu Zaidi, dia mendapat sebiji belon itu. Belon yang diambil dari puluhan belon yang menjadi tanda laluan daripada lapangan parkir ke padang.
Sedang dia bersuka cita untuk kembali ke padang, tiba-tiba perutnya berirama keroncong. Spontan dipegang perut yang terasa kosong itu.
"Laparlah pulak." tuturnya perlahan.
Tangannya meraba poket seluar yang berzip. Terasa lipatan duit yang disimpan berada di situ. Dia dah bersarapan sebelum ke sekolah tadi. Namun waktu sarapannya lebih awal dari kebiasaan kerana kehadiran sukarelawan di padang telah ditetapkan sebelum jam tujuh pagi lagi.
Langkah yang diambil dilowongkan ke sebuah bangunan satu tingkat yang terletak berhampiran dengan pintu pagar utama sekolah. Mulutnya kembali berlagu riang. Sambil-sambil itu dia berlari anak. Tidak sabar mahu membeli karipap di kantin dan tidak sabar mahu kembali ke padang. Yeay!
"Eh.., tunggu!.. Tunggu!!!"
Dia berteriak kepada belon yang tiba-tiba terlepas dari genggaman. Jarum saat dirasakan berhenti dari bergerak. Dan dia hanya terpacak kaku. Memerhati belon tersebut berlalu sebelum kakinya memecut laju. Belon itu terumbang-ambing menuju ke arah sebatang pokok hutan di belakang kantin. Entah kenapa dan apa yang bernilai tentang belon itu dia sendiri tidak pasti. Tetapi dengan gagah, dia melompat ke atas sebatang tunggul pokok yang agak besar di bawah pohon yang rendang itu.
Dia mendongak. Terkapai-kapai cuba menangkap tali belon tersebut. Sebentar ia terbuai ke kiri. Sebentar ia ke kanan mengikut rentak sepoi bawaan angin.
"Isy!!.." Dia menggerutu sendirian.
Liat benar rasanya tali itu untuk dicapai. Bila belon itu ke kiri, tubuhnya juga senget ke kiri. Begitu juga bila belon merah itu ke kanan. Makin lama, jengkel pula dia melihat situasi itu. Seperti tali nylon itu sengaja mempermainkannya!
"Hisy, apa yang susah sangat ni??"
Kasar keluhannya. Hampir-hampir jemari halusnya menyentuh tali tersebut angin sepoi membuai ia jauh. Isy, geram betul. Sebelum hatinya berbisik agar mengalah, dia mahu mencuba buat kali terakhir. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.
"Baiklah. Kau main tarik tali dengan aku yer. Nah! Sekarang aku dapat kau. Yeehaa..."
Spontan, dia melompat sambil mata dipejam kuat dan kedua belah tangan didepakan.
'Aik! Tak jatuh? Kenapa aku tak rasa kaki aku kat atas tanah? Aku boleh terbang ke?'
Matanya masih rapat. Kakinya sahaja yang dikuis-kuis mencari tanah keras yang seharusnya menjadi tempatnya berpijak.
"Hoi, budak!! Dah rasa diri tu Superman ke? Jatuh atas batu ni tak ke bahaya?? Menyusahkan orang betul!!"
Zinggg!!!
Berdesing telinganya mendengar sergahan yang betul-betul dekat di cuping telinga. Kelopak mata perlahan dibuka.
"Arghhh!!!"
Dia bertempik lantas memaut kuat batang tengkuk individu yang sedang menyelamatkannya itu. Tindakannya itu lantas membingungkan individu yang sedang membantu itu buat seketika sebelum individu itu cuba merungkaikan pautan.
"Eh! Lepaskan aku… Lepaskan aku!"
Seakan baru tersedar dari kesilapan, barulah dia bergelut seperti cacing kepanasan. Buntang matanya melihat individu yang sedang dipaut itu merupakan seorang lelaki yang mengenakan jersi sukan yang mendedahkan bahu.
'Peluh? Eeiii..Tak suka!'
Mungkin, tanggapan itu terlolong di dalam dirinya tetapi tidak pula pada tindak tanduk. Wajahnya menyeringai kegelian.
"Bisinglah kau ni." Dengus lelaki tersebut lantas menurunkannya dari pelukan.
"Eh, kita tak suruh pun pak cik tolong kita, tau? Kenapa nak marah pulak? Badan tu dahlah berpeluh pastu nak buat benda tak elok dekat kita. Eeiii!" Bentaknya.
Dia tidak takut. Sedikit pun tiada rasa gentar untuk berhadapan dan bertatapan dengan lelaki tinggi lampai di hadapannya ketika ini. Lengan yang terasa melekit dengan peluh disapu menggunakan baju sukan yang dipakai. Lagak lelaki seperti seorang pemain bola keranjang itu ditenung tajam. Entah bagaimana dan bila lelaki itu turut berada di situ dia tidak perasan. Rasanya hanya dia seorang sahaja yang berlegar di kawasan lapangan itu tadi.
"Balik nanti nak report dekat mummy kita-.. Oo...Tak pun report dekat Cikgu Sharif. Cikgu tu garang tau." Rungutnya lagi meskipun menyedari lelaki itu mula membuka langkah untuk pergi.
Namun, belum sempat langkah seterusnya diambil, lelaki itu berpaling sambil ketawa besar. Dia tidak dapat menahan lucu mendengarkan ancaman kecil yang datang dari budak perempuan itu. Walau perlahan ia jelas dipendengaran.
"Hello budak kecik! Kalau aku tak ada tadi kau dah masuk hospital tau tak? Tak nampak ke bawah ni banyak batu tajam? Ni? Kau nampak tak ada botol pecah bawah ni? Kalau terjatuh lepas tu terkena lutut ke dahi ke tak ke boleh cedera parah? Mungkin banyak jugak kena jahit," ucap lelaki itu pula sambil memegang batang tengkuknya yang masih berbekas lenguh akibat daripada pautan kuat budak perempuan itu tadi.
"Badan je nampak kecik tapi berat macam gajah!" Marah lelaki itu kemudian sebelum mendongakkan kepalanya. Melihat usaha gigih budak perempuan yang bertubuh kurus dan rendah itu masih belum berhasil.
Sebenarnya, dia tidak sengaja berada di kawasan itu. Niatnya tadi cuma mahu mengambil angin sebelum perlawanan dimulakan. Kebiasaan yang dilakukan olehnya sebelum masuk ke gelanggang. Kata orang, mencari inspirasi. Tetapi, tak sangka pula dia boleh berhenti melihat budak perempuan itu berusaha mengambil belon yang tersangkut itu. Awal-awal menjadi saksi, dia tertawa di dalam hati melihat aksi tidak kesampaian budak itu. Namun, ketika menyedari niat budak itu untuk melompat sepantas kilat dia menghampiri. Mujurlah dia sempat menyambut budak perempuan itu tadi. Dia teramat pasti hanya dua jalan sahaja yang bakal berlaku ketika budak itu mendarat. Sama ada dengan kaki dan lutut ataupun terduduk. Yang pasti kedua-duanya berbahaya!
Menggunakan kelebihan yang dimiliki, dia mencapai tali yang tersangkut di celahan ranting pokok itu. Lalu dengan kasar dia menghulurkan ia kepada budak perempuan tersebut. Jelas di matanya wajah garang yang terpamer sebentar tadi berubah kemerahan.
Huluran yang diberikan disambut dengan lemah. Tidak pernah dia menerima layanan sebegitu sebelum ini. Terlalu kasar untuknya. Kata-kata dan tindakan lelaki itu berjaya merubah mood riangnya kepada suram. Wajah yang bersinar juga bertukar keruh.
"Umur tu kecil lagi…akal pun tak berapa cukup. Ada ke patut panggil aku pakcik. Dah tu tak pandai nak cakap terima kasih ke kalau orang dah tolong." kutuk lelaki itu lagi sebelum melangkah pergi.
Dada yang lapang makin sempit dan sebal. Kecil pandangannya terarah kepada lelaki memakai jersi bernombor lapan itu yang mulai menjauh. Naik turun dadanya mengikut rentak nafas yang bergelora. Bibirnya sedepa memuncung. Tubuh yang kaku semenjak tadi menunduk. Sebiji batu kecil di kaki dicapai.
"Aduh!"
Lelaki tinggi itu mengerang kesakitan sambil meraba belakang bahunya. Segera dia menoleh ke belakang.
"Terima kasih pakcik!!!" teriaknya sambil menjelirkan lidah. Serta merta dia memecut laju berlari ke arah padang yang meriah dengan kehadiran penonton.
Niat asalnya untuk berbelanja di kantin terbantut gara-gara peristiwa itu. Sebaik tiba di khemah sukarelawan, matanya liar mencari teman baiknya. Apabila terpandangkan sahaja kelibat rakannya itu yang sedang ralit menyaksikan acara lontar peluru di suatu sudut, segera dia mendekati. Namun, bantahan hati kecil di saat-saat akhir berjaya menenggelamkan niat untuk menghebahkan insiden yang baru sebentar berlaku. Malu!
p/s : saya masih lagi dalam proses kemaskini setiap bab! ^^~