Setelah memarkirkan kereta di salah satu petak yang kosong, Dr. Adrian keluar. Tercegat berdiri di hadapan kereta. Keadaan di lapangan parkir ditinjau sekilas. Tidak terlalu sibuk tidak pula lengang. Tak lama kemudian, langkahnya itu diikuti oleh satu riak mendung yang telah beberapa ketika tidak dilihat. Dia, kembali menoleh ke depan. Perasaan yang dialami oleh gadis di sebelahnya itu difahami. Mengingatkan dirinya kepada suatu peristiwa kira-kira lima belas tahun yang lalu.
"Kita, nak ke mana ni papa?" soalnya untuk kesekian kali kepada papa yang tenang memandang ke hadapan.
Suasana di dalam bas yang dinaiki tidak begitu penuh dengan penumpang. Masing-masing sedang membuat hal sendiri. Pada hujung minggu begitu dia dicuit perasaan hairan. Nak kata pergi berkhemah, hanya beg pakaiannya seorang yang dibawa. Bukan satu tetapi dua. Malah bukan beg bersaiz kecil. Lirikan, jatuh kepada papa di sisi yang tidak menyahut pertanyaannya tadi. Lama renungan berlabuh di situ sebelum dibawa menjauh setelah papa memilih untuk mendiamkan diri.
Ketika bas ekspres yang dinaiki memasuki persimpangan keluar dari lebuh raya, papan tanda Seremban dibaca. Nak ke Seremban? Ke mana pula? Namun, tidak lagi dia bertanya. Lambat laun soalannya itu bakal terjawab juga. Jikalau dengan papa bukan sekali dua dia mendapat kejutan. Dan walaupun sekadar kejutan kecil, dia terhibur. Juga terkesan. Sejak kecil lagi diperhati sikap papa kesayangan yang sering berusaha keras untuk keperluan dirinya itu. Satu-satunya orang tersayang yang dia punyai dan kasihi. Tiada orang kedua atau seterusnya. Hidup, semata-mata untuk dirinya dan juga papa. Dunia mereka yang kecil itu tidak memerlukan kehadiran orang yang lain. Mereka berdua sahaja sudah mencukupi.
Sesampai di stesen bas, dia mengikuti jejak papa menaiki sebuah teksi pula. Nampaknya perjalanan mereka masih belum berakhir. Setengah jam kemudian, barulah teksi itu berhenti di hadapan sebuah kompleks bangunan satu tingkat yang berpagar. Melihatkan papa turun dia turut turun. Ketika beg yang digalas itu disematkan ke bahu, dia terpana. Rumah anak yatim dan miskin pada papan tanda di hadapan pintu pagar utama kompleks itu dibaca dengan hati yang sarat berdebar. Ditoleh ke arah papa dengan wajah yang pucat lesi.
"Rudy, dengar apa yang papa nak cakapkan," Seperti tahu perkara yang sedang berlegar di benaknya, papa berkata seraya menarik nafas yang dalam.
"Keadaan papa tak sama dengan apa yang Rudy lihat selama ni. Papa ada satu perkara yang penting dan mustahak yang perlu papa uruskan. Dengan syarat, Rudy kena menetap di sini."
Bicara papa kedengaran relaks. Seperti perkara yang dikatakan mustahak itu tidak wujud langsung.
"Tapi, kenapa Rudy kena duduk sini? Rudy boleh jaga diri sendirilah. Papa pergilah buat kerja papa. Tak perlulah sampai Rudy kena duduk dekat sini."
Keraguan yang dirasakan berasas tak tersedar melewati bibirnya. Papa memegang sebelah bahunya. Meramas lembut.
"Sebab Rudylah papa terpaksa sembunyikan Rudy di sini."
"Kenapa sebab Rudy? Apa Rudy dah buat?" celahnya kehairanan.
"Sebab, hanya dengan duduk di sini sahaja Rudy akan dapat hak Rudy. Percayalah cakap papa."
"Hak apa, papa? Apa masalah sebenarnya, papa?" soalnya belum berpuas hati. Hujung pangkal cerita langsung tidak diketahui olehnya tahu tahu disuruh tinggal menetap di situ. Ada ke patut!
"Rudy, dengar sini baik-baik,"
Dia berdiam diri. Mendengar penjelasan demi penjelasan sebelum satu perasaan tidak senang mengganggu jiwanya.
"Rudy tak nak hak tu kalau kena berpisah dengan papa." tuturnya setelah selesai papa menceritakan buat kali pertama lipatan sejarah yang belum pernah dibangkitkan itu.
"Rudy, tolonglah, nak. Tolonglah papa ni kalau Rudy betul-betul sayangkan papa,"
Cukup. Papa tak perlu mematikan kehendaknya dengan ungkapan sebegitu. Memang dia tak rela. Tetapi, andai itulah jalan yang ada demi membantu papa, dia akur meski tertanya sejak bila perancangan papa bermula padahal sebelum ini urusan harian mereka berjalan lancar sahaja.
Lalu, tidak lagi dia bertanya dan membuat bantahan. Arahan papa yang luar biasa berupa sebuah janji itu dipatuhi. Lagipun papa bukanlah seseorang yang mudah memungkiri janji. Blok-blok bangunan di hadapan, diperhati dengan hati yang berbolak-balik, bercampur baur.
"Ehem..."
Bunyi berdehem yang mungkin sengaja dibuat oleh Suraya menyedarkan Dr. Adrian dari dimensi memori. Dikerling wajah yang masih mentah dengan pengalaman hidup. Gadis itu, setia mendongak. Terkelip-kelip memandang ke arahnya yang tidak berganjak sedari tadi.
"Suraya, saya sentiasa ada... Hanis, keluarganya dan yang lain-lain." ucapnya seakan memujuk setelah menyedari pandangan kosong yang terlontar itu seakan menanti dirinya untuk berbicara terlebih dahulu.
Gadis itu mengangguk lemah sebelum menundukkan pandangan. Seperti memutuskan untuk akur sahaja pada setiap kata-kata yang didengari.
Dr. Adrian menarik nafas yang dalam. Dia sudah terbiasa dengan erti perpisahan tetapi, mungkin tidak Suraya. Diperhati tingkah gadis itu lagi. Pandangannya mula melebar ke kawasan sekitar. Barangkali mencari papan tanda kecemasan di bawah terik mentari yang semakin menghilang bahangnya.
"Awak, masuk tak?" perlahan Suraya menyoal tanpa memandang. Sebenarnya tinggi menggunung harapan disandarkan agar lelaki itu sudi untuk turut masuk. Ketika ini, dia perlukan seseorang sebagai peneman. Cuma, tak terucap di bibir kerana segan.
"Awak nak saya masuk?" Dr. Adrian berbesar hati.
Suraya mengangguk kecil.
"Kita masuk sama-sama, okay?"
Sepi.
"Kenapa? Takut?.. Saya ada. Jom." ucap Dr. Adrian lalu melangkah terlebih dahulu tanpa menanti persetujuan gadis itu.
Memasuki kawasan ICU, dapat dilihat Pak Long dan Mak Long sedang duduk di kawasan yang dikhaskan untuk pelawat menunggu. Kawasan itu berada di luar wad dan sedikit jauh dari wad intensif itu sendiri. Seakan tidak sabar, Suraya memotong langkah Dr. Adrian untuk tiba terlebih dahulu padahal di luar tadi dia juga yang terlebih bimbang. Salam dihulurkan kepada Mak Long sebelum tubuhnya itu diraih ke dalam pelukan.
"Doktor nak jumpa waris. Yaya masuk dalam dan jumpa nurse yang bertugas." Pak Long memaklumkan.
Suraya terkebil sebentar. Kemudian, melirik ke arah Dr. Adrian yang berdiri di belakang.
"Saya masuk sama. Mari." kata Dr. Adrian memahami pandangan yang diberikan.
"Eh, bos Yaya, kan?" celah Mak Long sedikit tertanya-tanya. Ketika melihat Suraya dan lelaki itu tiba hati kecil mula meneka-neka. Namun, dia enggan membuat telahan. Pada hari berkerja dan dalam waktu berkerja, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
Suraya, mendiamkan diri. Untuk memaklumkan perkara sebenar seakan tidak kena dengan situasi. Dia ingin segera bertemu dengan abah dari membincangkan keadaan dirinya.
"Iye, mak cik. Suraya minta saya temankan dia." sahut Dr. Adrian terlebih dahulu.
Hanya menambahkan lebih banyak persoalan kepada pasangan suami dan isteri itu. Namun, seperti turut memahami keadaan, tidak pula keduanya bertanya lanjut. Suraya diseru supaya masuk ke dalam terlebih dahulu.
Sedikit tergesa, Dr. Adrian meminta izin untuk beredar. Seperti tadi, lelaki itu melangkah di hadapan barulah diikuti oleh Suraya. Setelah memperkenalkan diri kepada seorang jururawat yang bertugas di sebuah kaunter, mereka diberikan arahan lokasi bilik wad yang menempatkan Encik Ahmad Fauzi. Pantas mereka menuju ke situ pula.
Belum sempat pintu wad ditolak, seorang doktor lelaki terlebih dahulu keluar dari ruangan itu. Dr. Adrianlah yang banyak membuka mulut dan bertanyakan keadaan bapanya. Suraya pula lebih banyak mendiamkan diri. Hanya satu dua soalan yang ditanyakan. Itupun kerana tidak memahami akan beberapa terma yang digunakan oleh doktor tersebut.
"Setelah diperiksa, kemungkinan besar strok yang dialami oleh pesakit kesan daripada kemalangan sebelum ini. Dan, akibat terlalu lama dibiarkan ketika ia menyerang, Encik Fauzi mengalami hypoxia. Sekarang, pesakit dalam keadaan koma."
Penjelasan doktor itu mengunci rapat mulut Suraya. Makin sakan debaran yang bergema di dada. Dan makin bertimpa kebimbangan yang sedia bertindan.
"OK. Jadi, apa tindakan doktor seterusnya?" soal Dr. Adrian.
"Encik Fauzi will undergo surgery tonight. Buat masa sekarang, kami sedang tunggu waris pesakit untuk mendapatkan persetujuan. You all boleh masuk dalam dulu untuk tengok pesakit dan nurse ada untuk membantu. Apa-apa pun, banyak-banyakkan berdoa." ucap doktor yang bernama Khiruddin sebelum berlalu.
Tinggal Suraya dan Dr. Adrian langsung tidak bersuara. Tiada kata-kata yang mampu dituturkan selepas mengetahui keadaan sebenar. Terkebil-kebil, Suraya memandang lelaki di hadapannya. Dr. Adrian membalas. Melimpah selautan simpati buat gadis itu. Mengenang situasi Suraya yang boleh diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga.
"Mari masuk." kata Dr. Adrian seraya membukakan daun pintu.
Dengan perasaan bercampur-baur, Suraya mengangguk kecil. Lalu, membuka langkah yang juga kecil.
Ketika masuk ke dalam wad itu dirasakan suasana umpama dejavu. Mimpikah? Beep... Beep... Beep...
Makin lemah dia melangkah tetapi digagahkan. Makin bergoncang dadanya tetapi ditenangkan. Satu pun tidak berjaya dilakukan. Hanyalah dia berjaya memperdayakannya dirinya sendiri supaya tertipu dengan keinginan itu. Keinginan untuk terlihat gagah menghadapi satu lagi episod kedukaan tatkala abah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Dia, meneliti dua buah katil yang menempatkan dua orang pesakit itu. Lantas, mengecam bapanya di salah satu antaranya sebelum mendekat. Diperhati dalam sekujur tubuh itu. Kali ini lebih banyak tiub dan wayar yang melekat pada badannya. Juga, alat bantuan pernafasan itu. Makin sesak dadanya melihatkan keadaan itu. Tangan abah, lambat-lambat digapai. Kemudian, erat digenggam. Satu kucupan di dahi pula dihadiahkan. Dingin masih berbekas pada bibirnya ketika dia kembali menegakkan tubuh. Dan kelopak mata, mula terasa hangat.
"Abah, Yaya dah balik." bisiknya perlahan setelah kembali menunduk untuk mendekatkan mulutnya ke telinga abah.
"Cik, anak pesakit ke?" tanya sang jururawat lembut.
Suraya kembali menegakkan tubuh. Pegangan pada tangan abah terlepas. Dihela panjang sebelum berpaling ke arah jururawat yang datang menghampiri. Kepala diangguk sedikit.
"Saya jururawat bertugas di dalam wad ni. Disebabkan ayah cik dalam keadaan tak sedarkan diri, jadi saya yang uruskan keperluan ayah cik. Kalau ada apa-apa, boleh tanya saya." maklum jururawat itu dengan sopan.
Suraya mengangguk sedikit.
"Nurse, boleh ke Suraya tunggu di sini?" celah Dr. Adrian yang masih berada di situ.
Hampir-hampir Suraya terlupakan kewujudan lelaki itu. Padahal baru sebentar dia meninggalkan posisi di sisi lelaki itu. Dunianya ketika ini telah ditakluk oleh keadaan abah yang menyayat hati.
Fokus jururawat yang bernama Raudhah itu beralih pula kepada Dr. Adrian. Segaris senyuman yang kelat terlakar. Sebentar.
"Sebenarnya, tak boleh sebab belum waktu melawat,"
Mendengarkan kenyataan itu ancaman derusan air mata sedaya upaya dibentengi oleh Suraya. Dia enggan berjauhan dari sisi abah kesayangan ketika ini.
"Tapi, tak mengapa. Cik boleh tunggu sekejap di sini. Dan, kalau boleh banyakkan bercakap dengan ayah, ye. Mana tahu... bila dengar suara cik, semangat dia untuk bangun dan sedar tu makin kuat." ujar jururawat bertubuh kecil tetapi mempunyai raut wajah yang manis itu. Sebaik berpaling ke arah Suraya bibirnya menguntum satu senyuman yang ikhlas.
Suraya menarik lega. Lapang jiwanya kerana diberikan kebenaran untuk berada di samping abah. Setelah jururawat itu beredar, Dr. Adrian turut beredar untuk memberi ruang kepadanya bersendirian dalam momen peribadi itu.
Suraya kembali menatap wajah abah yang sedang tenggelam dalam lena yang panjang.
"Abah... Yaya ni, abah. Yaya dah balik, abah. Bangunlah abah..," bisiknya. Seperti tadi, tubuhnya direndahkan di sisi abah. Perasaan hiba ditahan semahunya. Kata-kata yang terzahir tanpa gugup itu dilantun satu per satu meskipun takungan air mata hampir melimpah. Namun, tidak kesampaian azamnya. Titisan kecil yang dihalangi berjaya juga gugur dari empangan. Dipalingkan wajah. Dipejamkan mata. Digigit bibir yang bergetar sekuat hati. Nafas yang dalam dihela beberapa kali. Setelah dirasakan bibir mampu untuk berkata, disambung lagi bicaranya.
"Abah..,"
Diam. Ditarik nafas sedalamnya sebelum dihembus perlahan.
"Hujung bulan nanti Yaya akan kahwin dengan Adrian...Macam yang abah mahukan..,"
Dihela lagi satu nafas yang panjang. Badan yang menunduk sedikit kembali ditegakkan. Beberapa kali nafas yang panjang dihela buat meredakan emosi yang berpusar kemudian, dia turun ke posisi itu lagi.
"Anak abah akan kahwin abah. Abah seronok, tak?" ucapnya lagi diselitkan nada yang ceria. Ditatap wajah abah. Tetap sama. Tiada sebarang tindak balas. Dia, enggan berputus asa. Jari jemari yang makin dimamah usia itu digapai. Diramas. Digenggam erat. Tangan itulah yang kuat menanggung beban menggalas tanggungjawab menafkahi keluarga tanpa jemu tanpa lelah. Tangan itulah yang sama-sama menghulurkan bantuan kepada arwah mummy dalam membesarkan dirinya semenjak kewujudannya disedari di alam rahim. Tangan yang sentiasa bersedia menjadi perisai kepada keluarga tercinta. Tangan yang pernah menyuapinya makanan dan menghapus air mata yang berlinangan. Kini, air mata yang tertahan sedang bertitisan gugur. Dia ingin abah menyapu air matanya ketika ini! Namun, abah masih begitu.
"Nurse, surau dekat mana?" soalnya kemudian setelah menarik satu nafas yang dalam.
Sebaik keluar daripada wad itu, dimaklumkan pemergiannya ke surau buat seketika kepada Dr. Adrian. Lelaki itu dengan hati terbuka mahu menemani namun, dipinta agar lelaki itu duduk menunggu sahaja di situ. Bimbang seandainya waris bapanya diperlukan oleh jururawat atau doktor yang bertugas.
Berada di dalam surau itu sendirian membuatkan air mata berjuraian tanpa segan. Tangisan kesedihan, kebimbangan dan ketakutan berpadu. Solat Asar telah lama ditunaikan. Dia duduk bersandar sambil kedua lutut dirapatkan ke dada. Kepala disembamkan dan kedua belah tangan berlingkar memeluk lutut. Sedu sedan menjadi peneman.
"Adik, kenapa ni?"
Tegur satu suara. Lambat sekali Suraya mengangkat wajahnya sebelum mendapati seorang wanita berjilbab duduk di hadapannya. Juga, terdapat seorang kanak-kanak perempuan yang masih kecil. Air mata, pantas diseka. Wanita itu meraba sesuatu di dalam beg tangannya kemudian, sepaket tisu dikeluarkan. Ditarik beberapa helai lalu dihulurkan. Suraya menyambut dengan perasaan segan.
"Terima kasih." tuturnya berserta senyuman yang kelat.
"Kenapa ni, dik? Ada masalah ke?" tanya wanita itu lagi.
Suraya menggeleng. Bukanlah berbohong tetapi, enggan menambahkan masalah kepada orang yang tidak dikenali.
"Adik, kakak tak tahu apa masalah adik. Tapi, kakak percaya masalah adik tu masalah besar." ujar wanita itu lagi.
Suraya hanya mendiamkan diri. Redupan mata terkilas ke bawah.
"Adik, ada satu kata-kata dari seseorang yang alim. Ramai orang, bila dapat sesuatu yang sesuai dengan kehendak diri, menerimanya sebagai takdir. Tapi, bila dapat sesuatu musibah tak pula diterima sebagai takdir,"
Tiada balasan cuma, lambat sekali Suraya menggangguk kepalanya. Memberi respon spontan sekira-kira menyantuni kebaikan wanita itu mengambil berat akan dirinya.
"Musibah tu, tanda perhatian dari ILAHI. Syukurlah kerana mendapat perhatian dari DIA. Dan, jangan terbuai dengan kenikmatan kerana kita tak tahu adakah nikmat tu nikmat yang diberkahi atau sebaliknya. Sabar dan yakin dengan takdir kamu ya, dik. Kakak mintak maaf tiba-tiba masuk campur. Kakak, cuma prihatin." tutur wanita itu lagi. Lembut dan menyentuh hingga ke dasar kata-kata yang dilantunkan.
Tak tersedar, kepalanya terangguk sedikit ketika mendengar titipan itu. Dapat dirasakan belakang tangannya ditepuk lembut beberapa kali. Diangkat pandangannya sebelum tatapan wanita itu dibalas.
"Terima kasih, kak." ucap Suraya dalam serak. Sesungguhnya, dia benar-benar menghargai akan nasihat dan ingatan itu.
Wanita itu kemudiannya mengundurkan diri untuk berwuduk dan bersolat. Si kecil mengikuti sahaja perbuatan si ibu. Dia pula diam memerhati sambil benaknya mengulang-ulang kata-kata wanita itu sebentar tadi.