Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 43


Sebuah kotak bersaiz comel yang berwarna hijau lembut dikeluarkan dari laci meja studi. Dia tersenyum sendirian mengenangkan betapa lama ianya berada di dalam simpanan. Sebaik bapa Suraya menyuarakan hasratnya itu, tempahan terus dibuat. Gamble. Langsung tidak terlintas di fikiran seandainya impian itu terputus di tengah jalan.

Tangga besi dituruni. Sebentar, dia terkaku. Terpukau melihat gadis yang dipuja dalam diam telah sah menjadi isterinya dan sedang lena di atas katil yang didiami sendirian sebelum ini. Langkah perlahan diambil sambil jam di atas kepala katil dijeling sekilas. Sudah 7.15 pagi. Awal pagi tadi dia dikejutkan oleh Suraya untuk bangun bersolat. Nampaknya, gadis itu terlebih dahulu bangkit dari tidur. Ketika mahu memasuki bilik air dilihat gadis itu kembali merebahkan tubuh ke tilam. Mengantuk sangat agaknya hinggakan apabila dia selesai bersolat, gadis itu sudah pun kembali terlena. Dia, enggan mengganggu lantas menghabiskan masa di meja studi menyambung kerja yang tak pernah habis.

Tanpa membuat sebarang bunyi dia duduk di birai katil. Wajah pujaan itu diamati sepuasnya kerana sebelum ini perbuatan itu tak mungkin dapat dilakukan sesuka hati. Spontan, tubuhnya ditundukkan sedikit lalu satu kucupan dihadiahkan ke dahi isterinya itu. Serta-merta kelopak mata yang terpejam terbuka. Menyedari kehadirannya itu, gadis itu berpaling membelakanginya kerana malu. Dia tergelak kecil. Disentuh bahu sang isteri dan alangkah berbahagia diri apabila Suraya berpaling dan mengiringkan tubuh menghadap ke arahnya sebelum tergesa-gesa pula untuk bangun.

"Adrian!!.."

Suraya berkata dengan nada yang tinggi dan wajah yang serius.

"Kenapa?" soal Dr. Adrian terpana dan kehairanan dengan tingkah gadis itu.

"Kita dah langgar peraturan syarikatlah!.." tutur Suraya bimbang. Usai bersolat Subuh tadi, baru dia teringat kepada peraturan yang jelas menyatakan larangan suami dan isteri berkerja di bawah satu jabatan yang sama. Entah bagaimana dia boleh terlupa akan polisi penting itu!

Dr. Adrian, selamba tersengih. Kemudian, merenung dalam wajahnya. Seperti baru tersedar, Suraya tertunduk malu. Melihat raut segar lelaki itu membuatkan dia segan. Dia sudah bangun tadi tetapi kembali tertidur. Tubuhnya masih berbekas penat dan letih akibat daripada jadual yang padat kebelakangan ini. Juga, kerana dia yang sengaja mahu sibukkan diri sebagai alasan untuk bangkit meneruskan kehidupan.

"Morning, dear." usik Dr. Adrian.

Suraya tersipu.

"Erm... Morning." balasnya tenggelam timbul.

"Kenapa? Takut kontrak awak terbatal?" tanya Dr. Adrian kembali kepada isu yang dibangkitkan sebentar tadi.

Suraya mengangkat wajah. Kepala digelengkan perlahan.

"Saya takut awak yang kena pecat."

Dr. Adrian tergelak sebentar.

"Tak perlu risau, okay." kata Dr. Adrian berbaur pujukan.

"Tapi-.."

"Sudah, Suraya. Perkara tu tak sepatutnya dibimbangkan pun," putus Dr. Adrian dengan bersahaja.

Suraya merenung semacam. Dibalas dengan satu anggukan daripada Dr. Adrian meminta untuk dipegang kata-katanya itu. Sukar. Dia tidak boleh menerima alasan mudah itu sebagai jaminan. Kerjaya lelaki itu bakal menjadi taruhan seandainya perhubungan mereka diketahui oleh pihak pengurusan.

"Sebenarnya, saya ada sesuatu untuk awak," kata Dr. Adrian enggan membicarakan isu yang dibangkitkan sebentar tadi.

Suraya, mengeluh perlahan. Perkara penting sebegitu dianggap remeh. Dia betul-betul bimbangkan kedudukan lelaki itu andai perhubungan itu diketahui kerana dari awal lagi hubungan itu dimeterai pun adalah berpunca daripada pihaknya.

"Awak kena percayakan saya, Suraya," ujar Dr. Adrian menyedari reaksi tidak puas hatinya itu. Sebelah tangannya diraih oleh lelaki itu. Dihantar kerlingan sepintas lalu. Walau masih sangsi kepalanya dianggukkan sedikit tanda bersetuju menamatkan perbualan itu. Dengan perasaan lemah, dia berkalih pandang. Menilik lama kotak kecil di atas telapak tangan lelaki itu.

"Sepatutnya saya bagi dekat awak masa akad nikah malam tadi tapi, saya tak jadi buat macam tu sebab, I prefer privacy." cerita Dr. Adrian sambil menghulurkan kotak comel tersebut.

Suraya menahan pergerakan yang mendekati ke arahnya itu.

"No. Saya tak boleh terima." tolaknya. Dia benar-benar tidak menginginkan duit lelaki itu apatah lagi harta benda.

"A simple gift won't hurt you." tutur Dr. Adrian perlahan. Sedikit terasa hatinya dengan penolakan itu.

"Simple? Adrian, awak kaya sangat ke?.. Walaupun saya ni bukan peminat barangan kemas tapi, saya tahu nilainya dengan lihat nama dia tu."

"Harga tak penting."

Suraya mengeluh lagi. Bagaimana mahu buat lelaki itu faham akan perasaannya. Selain tiada sebarang persiapan, dia menolak untuk menerima duit hantaran apatah lagi berbalas-balas dulang.

Dr. Adrian menyatakan rasa tidak puas hati. Dia, langsung tak kisah. Dah memang dia tidak perlukan apa-apa pun dari lelaki itu. Masih tidak sedarkah lelaki itu walaupun telah jelas akan beberapa penolakannya sebelum ini.

"Tapi, yang wajib tu cuma mahar. Lagipun, awak dah sanggup terima permintaan arwah abah jadi...terima kasih sebab terima." sahutnya perlahan lalu wajah ditundukkan. Sebelah tangannya ditarik kembali lalu ditautkan menggenggam kotak comel itu. Ya. Hasrat arwah abah tak mungkin dapat dilaksanakan tanpa adanya kerelaan daripada lelaki itu sendiri. Dia bersyukur kerana, menyempurnakan hajat itu lebih utama daripada material sampingan yang termaktub dalam hukum adat.

"Actually, it's you surrender to me, sayang... It's you," bisik Dr. Adrian ketika tanpa amaran memaut belakang kepalanya dan membawa dahi mereka berdua bertemu.

Bukan main kencang debaran di dadanya ketika ini. Begitu juga dengan nafas yang dihela.

"Have this bracelet," pinta Dr. Adrian perlahan sekali.

Satu gelengan yang lemah diberikan. Dia, masih berkeras enggan.

"Please..." pujuk lelaki itu lagi.

Berkali-kali dirayu akhirnya dia terpaksa mengalah. Dengan berat hati, dianggukkan kepala. Dr. Adrian merenggangkan jarak lalu menarik tangannya dan membuka tangan yang menggenggam kotak tersebut. Lambat-lambat, Suraya membukanya. Terbeliak matanya melihat seutas rantai tangan bermanik kecil daripada platinum dengan seekor lebah comel bergantungan. Pada sayap lebah itu terdapat beberapa butir batu permata kelip-kelip berkemilauan. Dipandang ke arah Dr. Adrian. Sentiasa tenang cuma, air mukanya jelas gembira.

"Terima kasih." ucapnya sedikit tidak senang dengan sikap lelaki itu yang mudah membelanjakan wang buat dirinya. Lagipun, dia sedar akan asas perkahwinan yang terbina itu bukanlah atas dasar suka sama suka. Jadi, tak perlulah lelaki itu membazirkan duit untuk dirinya.

"My very first time hadiahkan sesuatu kepada seorang perempuan. Harap awak suka." Pengakuan jujur Dr. Adrian membuatkan dia tergamam.

"S-saya suka. Cantik... Dengan little bee ni..." sahutnya malu-malu. Tak jadi nak memberi hujah menentang melihatkan wajah yang sedang mengharap itu.

Dr. Adrian, senyum senang.

"Bagi tangan."

Dia menghulurkan lantas Dr. Adrian mengenakan rantai tangan itu sambil dia khusyuk memerhati. Diperhatikan jari-jemari itu membuat kerja sebelum lirikannya semakin naik dan melihat rambut lelaki itu berjuraian jatuh ketika menundukkan wajah. Rasanya itulah kali pertama dia memerhati paras itu dalam jarak yang begitu dekat dan dia terkedu tatkala satu perasaan halus muncul membelai jiwanya.

"Siap dan cantik."

"Huh?.." Suraya tersentak. Tidak berapa jelas pada halwa telinganya ucapan lelaki itu kerana tenggelam dalam lamunan.

"Awak, Suraya. Awak terlalu cantik bagi saya."

Ditundukkan wajah yang merona. Isy, tak jemu-jemu lelaki itu memujinya!

"Suraya, look at me," arah lelaki itu.

Diangkat pandangan. Makin memerah pipinya ketika tangan Dr. Adrian memegang sebelah pipinya dan ibu jari lelaki itu mula mengusap lembut bawah mata kirinya. Hampir-hampir tertutup kelopak matanya apabila Dr. Adrian bersuara,

"Don't close your eyes, Suraya. I love your eyes. And this-.. this tiny little mole-.."

"Itu, tanda lahir." Dia membetulkan.

Elusan, masih dirasai di bawah mata. Bukan Dr. Adrian seorang yang pernah bertanyakan dirinya akan kehadiran tanda lahir yang berada di bawah mata itu dan simetri pula mengikuti garisan tulang pipi.

"Tanda lahir?.." tanya Dr. Adrian sedikit kagum.

Suraya angguk kemudian, tersenyum tipis.

"Mummy kata tiga titik tu tanda keluarga kecil kami-.."

Kelopak mata dirapatkan di saat dadanya terasa ketat dan sendat. Sayu, menjengah bagaikan kilat.

"Saya faham perasaan awak,"

Dr. Adrian memujuk lembut. Suraya menarik nafas yang dalam kemudian, mengangguk perlahan.

"Ingat, Suraya. This..,"

Kata-kata Dr. Adrian terhenti sejenak sambil lelaki itu mengusap perlahan bawah matanya beberapa kali.

"..is my spot. Bila awak tengok muka awak di cermin, bila awak sentuh tempat tu, bukan arwah abah dan mummy saja yang awak ingat tapi, saya juga. Suami awak."

Lalu seperti tadi, lelaki itu merapatkan dahi mereka berdua. Lelah Suraya mengejar nafas yang terumbang-ambing ketika ini. Apabila perutnya tiba-tiba berbunyi, dia tidak tahu sama ada mahu tersipu atau pun berasa lega. Spontan, Dr. Adrian tertawa lantas berdiri dengan sebelah tangan terhulur ke arahnya.

"Sekarang, waktu untuk makan."

Dengan wajah yang memerah, disambut huluran tersebut.

Ketika berada di dapur dia disuruh duduk di sebuah island table. Dr. Adrian pula berdiri di sampingnya sambil tersengih. Lelaki itu mencapai seutas gelang getah berwarna putih yang banyak diletakkan di dalam sebiji mangkuk lutsinar berhampiran sebelum mengikat rambutnya itu. Ralit dia memerhati apabila sehelai apron yang bergantungan dekat dengan cermin tingkap pula dicapai.

"Sorry, tak berapa ada stok makanan. Yang ada cuma roti dan pisang." kata Dr. Adrian sedikit kesal kerana terlupa menyediakan kecukupan yang sempurna kepada isterinya itu.

Sebungkus roti putih yang sudah separuh dan beberapa biji pisang di dalam sebuah bakul di atas kaunter itu dikerling. Suraya mengutus senyum. Berasa kasihan pula melihat roman serba salah itu.

"Takpe. Saya tak kisah. Mari, saya tolong." ucapnya berkira-kira untuk turun dari kerusi yang agak tinggi itu.

"No. Just sit and wait." arah lelaki itu tanpa memandang membuatkan kaki yang dijatuhkan ke lantai kembali berada pada batang besi kerusi yang diduduki.

Dr. Adrian, menuju ke sinki terlebih dahulu. Mencuci tangan kemudian menghampiri dapur memasak. Kuali jenis pan dipanaskan. Alat pembakar roti yang berada di hujung kaunter ditekan suisnya lalu dua keping roti dimasukkan. Bersebelahan dapur memasak itu peti sejuk dibuka dan lelaki itu mengeluarkan sebuku butter.

Diam dia memerhatikan gelagat Dr. Adrian yang lincah menggunakan dapur yang sarat dengan rona biru itu. Sebuah dapur yang ringkas bertemakan moden minimalis. Hanya barisan kabinet bawah tanpa kabinet atas kecuali rak besi yang dipasang tergantung dari siling yang direka fungsinya sebagai rak pinggan berada di bahagian yang sedang digunakan oleh Dr. Adrian. Bertentang dengan meja tinggi itu, terletak sebuah kabinet bawah lengkap dengan ketuhar dan sinki. Tingkap bercermin itu pula seakan melambai memintanya mengintai pemandangan yang bakal dilihat dari sudut itu.

"Alright, siap." ujar Dr. Adrian membuatkan dia tersentak.

Jauh dia mengelamun rupanya.

"O'ow... Kopi!.. Sekejap." tutur Dr. Adrian sedikit kaget dengan kelekaannya hingga terlupa untuk membancuh minuman.

"Biar saya buat." sahut Suraya tanpa menanti kebenaran dari lelaki itu. Dia bangun dan berlalu ke sinki untuk mencuci tangan.

"Awak tahu guna Nespresso?"

Suraya berpaling. Kepala menggeleng sedikit sambil menjeling sebuah mesin kopi dengan rekaan sofistikated yang berada bersebelahan pembakar roti. Dr. Adrian tersenyum tipis.

"Mari. Saya tunjuk caranya." kata lelaki itu.

Dia, memerhati tunjuk ajar yang diberikan sebelum sebuah laci di bawah island table ditarik kemudian Dr. Adrian mengeluarkan sebuah kotak.

"Black?" soal lelaki itu.

Angguk.

"Macam mana awak tahu saya suka kopi O?"

Sambil bertanya dia membelek kotak yang menyimpan kapsul pelbagai perasa kopi itu.

"Awak ada bancuh kopi masa saya ikut balik kampung dulu. Saya tengok awak minum tengah panas-panas. You should learn to control that habit."

Dia menggigit bibir. Amaran pertama yang diterima setelah bergelar isteri lelaki itu.

"Okay. Dah berhenti blinking kita masukkan kapsul ni dekat slot dia. Awak cuba." arah Dr. Adrian.

Suraya mengambil kapsul yang dihulurkan sebelum lelaki itu membukakan penutup slot lalu beredar untuk mengambil cawan. Ditadahkan sebiji cawan di tempat bancuhan keluar dan mereka berdiri menunggu sehingga air yang mengalir itu berhenti menitik.

Terkelip-kelip, dia menatap sarapan yang disediakan. Di pinggan putih itu dua keping roti bakar berserta pisang berkaramel menjadi hidangan pagi. Dr. Adrian datang dengan secawan expresso di tangan. Dengan selamba lelaki itu menarik kerusi dan duduk di sebelahnya.

"Makan. Malam tadi saya tengok awak tak makan apa-apa pun." arah Dr. Adrian sambil membuka apron yang dipakai lalu diletakkan jauh di hujung meja.

"Awak, makanlah dulu." ujarnya lantas menolak pinggan itu ke arah Dr. Adrian.

Lelaki itu menolak kembali.

"Saya jarang breakfast. Ni dah cukup." kata lelaki itu seraya mencapai sebiji pisang dan mula menarik kulitnya.

Suraya memerhati sebentar kemudian mengambil pisau dan garpu. Dipotong kecil roti dan pisang berkaramel itu lalu diletakkan pisau itu ke tepi.

Makan mereka dalam senyap. Namun, dapat dirasakan lirikan lelaki itu itu tidak pernah lari dari menatap dirinya yang sedang makan. Malu tetapi, dia harus belajar menghadapi situasi baru itu.

Siap makan dan mencuci, dia masih berdiri di sinki. Mata tertinjau keluar. Terasa ingin menjenguk ke laman belakang namun terhalang tatkala Dr. Adrian terlebih dahulu merencanakan sesuatu.

"Mari kita berbincang. Ada sesuatu yang saya nak cakapkan." tutur Dr. Adrian tidak mempelawa dan jelas arahan.

Sekali lagi dia dipimpin dan dibawa kembali ke bilik tidur. Kali ini, mendaki anak tangga yang diperhati olehnya pada malam tadi. Di atas itu, dia terkesima. Meneka ianya sebuah ruang peribadi melihatkan sebuah meja studi diletakkan di sudut paling belakang. Ruang membaca di hadapannya diperhati penuh minat. Berkonsepkan ala Jepun dengan sebuah meja dan sofa rendah yang digunakan. Dinding di belakang sofa itu disusunkan dengan rak buku jenis berkotak. Megah mempamerkan pelbagai seleksi bacaan sehingga ke paras siling. Di bahagian tengah ruang pula terdapat sebuah set drum yang diletakkan sedikit tinggi di atas satu tapak platform.

"Awak main drum?" soalnya dengan perasaan kagum.

"Erm... Masa study dulu."

"Sekarang, main lagi tak?"

"Hmm... Nak tengok saya main ke?" tanya Dr. Adrian.

Suraya tersipu. Malu-malu nak mengaku.

"Next time, okay." kata lelaki itu lantas mencuit hidungnya sebelum beredar ke arah dinding dengan langsir tebal menyelimuti.

Langsir di bahagian kiri itu diselak dan suasana yang suram serta-merta bertukar cerah. Terserlah keindahan alam semulajadi di kawasan belakang kediaman itu. Sebuah balkoni tidak berbumbung dipagari oleh tempered glass seakan memanggil untuknya menjejakkan kaki ke situ. Peluang tercipta apabila salah satu pintu gelongsor itu dibukakan oleh Dr. Adrian. Laju dia melangkah keluar untuk menghirup udara pagi yang nyaman. Mentari, masih malu untuk memunculkan diri namun cahayanya yang gemilang itu ditebarkan dahulu menandakan kehadirannya bakal menjelma sebentar lagi.

"Jom masuk." ucap Dr. Adrian setelah agak lama mereka berdiri menikmati bayu pagi di situ.

Di sofa yang rendah itu Suraya duduk bersandar sambil berpeluk tubuh. Segan. Lelaki itu duduk di sisi dengan sebelah tangan mendepa di belakangnya.

"Saya, nak minta maaf dulu," tutur lelaki itu. Nadanya tenang namun dikesan berunsur serius.

Kening Suraya sedikit terangkat. Eh, belum apa-apa dah minta maaf? Tentu ada sesuatu yang serius terjadi jikalau awal kalimat sahaja dimulai dengan permohonan maaf.

"Kalau boleh, saya nak awak rahsiakan buat sementara waktu hubungan kita ni," jelas Dr. Adrian akan tujuan utamanya itu.

"Cuba awak fikir... Pertama, perkahwinan kita dah langgar polisi syarikat. Kedua, ada sesiapa dalam syarikat tahu tentang kita?" tanya Dr. Adrian sekaligus membuatkan Suraya memikir sejenak.

"Tak." sahutnya ringkas.

"Jadi, awak setuju atau tak untuk rahsiakan buat sementara waktu?"

"Nanti dulu," tahan Suraya lantas menatap serius ke dalam sepasang mata milik lelaki itu.

"Selama ni, awak sedar tak tentang polisi syarikat?" soalnya cenderung dengan perasaan curiga.

Dr. Adrian tidak menyahut. Hanya anggukkan diberikan. Suraya memandang dengan perasaan tidak percaya.

"Awak tahu tapi awak diamkan??" soalnya lagi melawan nada tinggi daripada dilepaskan. Sungguh tak sangka perkara penting itu disembunyikan oleh lelaki itu dari pengetahuannya.

"Habis tu?.. nak tunggu saya atau awak tukar company baru perkahwinan ni dapat dilaksanakan?"

Suraya terdiam. Alasan lelaki itu kedengaran masuk akal. Jikalau masing-masing terus berkerja di jabatan yang sama, bila pula hasrat arwah abah dapat disempurnakan?

"Hmm... Betul jugak." tuturnya perlahan sebelum menjatuhkan pandangan.

"Jadi, setuju atau tak?" tanya Dr. Adrian berbalik pada persoalannya sebentar tadi.

"Setuju." sahutnya tidak lagi berfikir panjang. Tentu terlalu banyak kesulitan yang akan dibangkitkan andai perhubungan itu diketahui oleh syarikat mereka. Oleh itu, buat sementara waktu selagi belum ada kata putus yang tepat terpaksalah dia mengikut sahaja pilihan lelaki itu.

"Dan, saya beri awak pilihan sama ada awak nak terus menetap di sini atau masih tinggal di rumah sewa. Atau, hujung minggu saja awak balik ke sini. Mana-manalah yang awak rasa sesuai." tambah Dr. Adrian kemudian.

Terkebil-kebil Suraya memahami kata-kata itu sebelum kepala menoleh ke sisi. Ada sesuatu yang tidak enak mula melingkari fikirannya.

"Saya boleh pilih?" soalnya lalu dibalas dengan anggukan oleh Dr. Adrian.

"Saya terlalu jarang balik ke sini. Hujung minggu pun tak. Cuma, kalau awak mahu saya rasa saya boleh atur untuk menetap di sini terus." jelas Dr. Adrian.

Suraya termangu sebentar. Kesibukan kerja lelaki itu membataskan pergerakan meski ketika masih bergelar orang bujang. Apatah lagi kini ditambah pula status perhubungan itu yang semestinya patut dirahsiakan.

"Saya, ada alasan untuk rahsiakan. Tapi, macam mana dengan awak, Adrian? Awak tak perlu rahsiakan ke?" soalnya lagi pura-pura tenang. Ada debaran yang mula meresahkan diri. Dia disuruh merahsiakan kerana status jawatan kemudian diberi kebebasan dengan alasan kesibukan jadual lelaki itu. Tetapi bagaimana pula dengan lelaki itu? Apa pula alasannya untuk merahsiakan perhubungan itu?

Dr. Adrian, menarik sebelah tangannya kemudian mengenggamnya erat. Suraya menatap tangan yang sedang bersatu itu. Hairan. Sejak dari malam tadi setiap sentuhan yang merenjat dan aneh itu diterima oleh tubuhnya itu dan, perasaannya tidak pula mahu menolak. Merelakan sahaja.

"Saya lebih lagi, Suraya. Saya lebih terpaksa rahsiakan hubungan kita ni."

Lebih terpaksa? Eh, bukan ke mereka berdua lebih maklum siapa yang dipaksa kahwin. Dan lebih maklum tentang keadaan perasaannya. Kenapa sekarang dah terbalik? Lain benar percakapannya. Dan, kenapa setelah diijab qabul baru meluahkan? Kenapa tidak sebelum ini?

Sentuhan yang menyentuh hingga ke jiwa bertukar asing. Ditarik tangannya dengan kasar lalu wajah berpaling ke arah berlawanan. Dada terasa tersekat. Apakah dia telah dipermainkan?

"Suraya, kalau awak tak setuju tak mengapa. Saya tak kan buat macam tu. Kita, tak perlu buat macam tu. Saya akan ikut apa yang awak mahukan." ujar Dr. Adrian cemas apabila reaksi itu jelas pada matanya.

Suraya, kembali menoleh ke arah lelaki itu berserta satu renungan yang tajam.

"Kenapa tak terus terang saja yang awak menyesal kahwin dengan saya daripada nak disorokkan? Saya faham sangat, Adrian... Saya faham kalau sekarang baru awak terfikir. Tapi, tolong jangan bagi alasan terpaksa dan tunggu hingga saya dah bergelar isteri awak. Atau, awak memang sengaja-.."

Air mata mula bergenang. Dipalingkan kembali wajahnya. Tidak mampu menuturkan lagi kata-kata sangsi. Perasaannya benar-benar terhiris sebaik mengetahui kerelaan lelaki itu adalah kerana alasan terpaksa.

Dr. Adrian spontan menarik lega. Sejuring senyuman ditarik. Nampaknya isteri yang baru dinikahi itu telah tersalah faham.

"Mungkin awak dah salah faham, Suraya. Saya tak kata saya menyesal kahwin dengan awak. Tak pernah ada rasa menyesal, okay?.. Apa yang saya nak cakapkan kita sembunyikan dulu perkahwinan ni. Ingat lagi tak awak kata saya ada banyak rahsia?"

Dicapai lagi tangan gadis itu lalu digenggam erat meskipun terasa beberapa rontaan lemah sedang memprotes.

"Suraya, pandang sini," serunya lembut. Dan, senang tatkala Suraya menoleh dan mengangkat kelopak matanya untuk berbalas tatapan.

"Awak, antaranya... Rahsia terbesar yang saya pernah simpan ialah awak, Suraya. Satu masa nanti saya janji akan jelaskan."

Suraya merenung. Dalam. Tidak memahami maksud lelaki itu.

"Rahsia apa yang banyak tu, Adrian? Dan, kepada siapa awak nak rahsiakan?" soalnya.

Dr. Adrian diam merenung sebelum menggelengkan kepala beberapa kali.

"Belum masanya lagi untuk saya jelaskan. Tapi, saya janji tak lama lagi saya pasti jelaskan. Saya janji." ikrar Dr. Adrian seakan meminta dalam diam untuk diberikan ruang.

Suraya mengerling ke arah lelaki itu sejenak.

"Saya tak dapat nak belah dada untuk berikan bukti. Tapi, cukup tak kata-kata saya sebagai jaminan?"

Suraya diam bungkam. Terlalu awal untuk menghakimi. Terlalu awal. Dan, meski hati memberontak mahu dijelaskan segala-segalanya pada saat itu juga akal meminta sebaliknya. Meminta supaya akur pada permintaan lelaki itu.

"Saya minta maaf sebab dah salah faham tadi." ucapnya perlahan dengan wajah kembali tertunduk. Sepantas kilat membuat keputusan untuk follow the flow. Perhubungan itu baru sehari berlangsung. Dia perlu belajar bersabar dan memahami situasi. Lebih lagi terhadap suami sendiri.

"Saya harap awak dapat bersabar hidup bersama saya. Kehidupan saya, tak seperti yang awak lihat,"

Kembali, lirikan dipanah tepat ke dalam mata lelaki itu. Apa yang difikirkan olehnya selalu sahaja meniti di bibir lelaki itu.

"Dan, satu saya minta dari awak. Jangan sekali-kali tinggalkan saya walau apa sekalipun terjadi." pinta Dr. Adrian sambil merenungnya dalam.

Previous: Bab 42
Next: Bab 44

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.