Cursor pad pada komputer riba disentuh dengan hujung jari telunjuk. Perisian Genex Assistant terpapar. Sebentar tadi dia ke pantri bagi membancuh segelas minuman campuran oat dan beri. Ketika berada di rumah tadi pun segelas minuman yang sama turut ditelan. Cukuplah buat mengalas perut. Tiba waktu rehat tengah hari nanti tahulah dia mengatur kembali diet yang tidak menentu itu.
"Anne, guna log files apa?"
Soalan daripada Zamri membuatkan dia serta-merta menoleh. Satu minggu yang lalu dia telah dilatih oleh Zamri untuk membuat laporan menggunakan perisian yang disediakan. Setiap pelajaran yang diberikan, melekat kuat dalam ingatannya.
"UE."
"Good. Nampaknya Anne ingat apa yang abang ajar."
Suraya tidak menyahut sebaliknya hanya tersenyum tipis. Matanya kembali berlabuh kepada skrin. Melihat paparan Windows yang telah ditetapkan kepada susunan horizontally. Jujukan bulatan kecil berwarna hijau gelap, hijau muda, jingga, kuning dan merah dalam salah satu kotak Windows yang terpapar merupakan parameter RSRP iaitu signal power yang diterima oleh UE. Isyarat yang diperolehi itu dikumpulkan oleh drive test engineer yang bertugas di lapangan. UE, iaitu User Equipment yang digunakan ketika on site ketika ini adalah telefon genggam yang disambungkan dengan mobile broadband adapter.
Suraya, terus terasing dalam tugasan menyiapkan laporan. Laporan yang lain dari kebiasaan. Selalunya laporan yang dibuat adalah memasukkan screenshot yang dihantar oleh rakan sekumpulan yang berada di tapak projek ke dalam templat laporan yang disediakan. Ketika menyiapkan laporan itu sebelum ini, sempat dia memasang angan-angan untuk berada di lapangan dan melakukan tugasan itu dengan kedua tangannya sendiri.
Kali pertama dan terakhir dia turun ke tapak projek melebihi empat minggu yang lalu iaitu ketika dibawa oleh Zamri dahulu. Apabila mengingati peristiwa itu dia menggigit jari. Sudahlah Zamri tiba lewat setelah siap bermesyuarat, dia sendiri tidak dapat melaksanakan walau satu test pun di situ. Akhirnya, dia cuma menjadi di kalangan pemerhati melihat dari jauh Dr. Adrian yang sedang dikelilingi oleh bos-bos yang lain membuat beberapa test ke atas tapak projek tersebut.
Lebih menjeruk hatinya, saban hari ketika dia hadir ke pejabat tidak dua, pasti seseorang tiada di dalam tim itu. Tentunya mendapat arahan untuk turun ke lapangan. Tidak pernah lagi namanya dipanggil. Dan dia, ternanti-nanti bila tarikh keramat itu akan muncul!
Satu keluhan perlahan dilepaskan. Tanpa sengaja, matanya menjeling ke arah meja kerja Hadi. Masih kosong sejak kedatangannya pagi tadi. Lelaki itu berada di Subang Jaya melawat sebuah tapak projek di sana. Sedangkan dia, saban hari menerima laporan kasar yang dihantarkan oleh Zamri melalui email kemudian menukarkan ia kepada laporan penuh untuk dihantar pula kepada Mr. Lee. Entah berapa kali hatinya dijentik cemburu melihat nama pada lampiran laporan kasar itu. Satu pun namanya belum terukir. Kata Hadi, tim mereka itu seakan tim transit. Ahli tim akan diasah kemahiran sebelum diserap ke bahagian tertentu. Baguslah. Kemahiran mereka akan lebih terserlah apabila melalui sesi penapisan begitu.
Cuma, kalau asyik terperap di pejabat membuat pula kerja-kerja dokumentasi, dia pasti harapan untuk berkerja on site bakal terkubur. Dan melihat corak kerjanya ketika ini, tentu sajalah dia akan diserapkan ke bahagian dokumentasi sedangkan harapannya berlawanan sekali.
Arghhh! Susah hati pula memikirkan hal yang satu itu!
Lirikan dan fokus, dikembalikan kepada Map Info Professional yang dibuka. Daripada berlebihan memikir lebih baik dia menyelesaikan tanggungjawabnya itu. Diperhati kawasan berkeluasan kira-kira dua kilometer persegi itu dengan teliti. Sebuah kawasan pinggir bandar yang agak padat. Laluan atau route yang dilalui oleh drive test engineer mengikuti perancangan coordinator. Dia kembali melirik kepada paparan di Genex Assistant. Butang Play ditekan. Diam memerhati hasil drive test di hadapan matanya.
"So, what's your theory?"
Hampir tercabut jantungnya tatkala mendengar satu suara yang dirasakan dekat di telinga. Dia segera berpaling. Adrenalin merusuh. Wajahnya spontan memerah. Fokus kembali kepada skrin. Butang Stop langsung ditekan.
"In term of quality, 95% of the total route is good." ulasnya perlahan. Terlakar sedikit kebimbangan sekiranya ulasan itu silap.
"The remaining 5% ?"
"Bad spot." jawabnya.
"Maksud you?"
Suraya diam sejenak. Memikir seandainya kemampuannya sedang diuji.
"Pilot pollution." sahutnya.
"Based on?"
"Non-dominant RSRP value."
"Tunjuk."
Suraya mengangkat tangan. Jari telunjuk menyentuh skrin di bahagian kawasan red spot kelihatan.
"Elaborate."
"Pilot pollution buatkan bacaan SINR lagi teruk. Kualiti network terkesan dan boleh jadi throughput juga terganggu." jelasnya, memohon dalam diam hipotesis itu diterima.
"Kan ada serving cell?" duga Dr. Adrian.
"Yup. Tapi bukan site di dalam drive area... Dan serving pula dari side loob."
"Solutions?" tanya Dr. Adrian lagi.
"Add dominant cell. " ucapnya dengan yakin.
"Well done, Suraya. Malangnya, awak tersilap sikit."
'Erk!'
Sekilas, dia melayangkan pandangan ke arah lelaki yang sedang berdiri di belakangnya sambil berpeluk tubuh yang turut memerhatikan skrin komputer.
"Power parameters. Reduce the overshooting cell power and increase the power of the desired cell in that coverage area," tutur Dr. Adrian lancar.
'Oo...'
Satu senyuman kelat terukir di bibir Suraya sebaik menyedari kesilapannya sebentar tadi.
"Ambil masa untuk belajar dan terus mengkaji. Dan kesilapan, sama sekali perlu dielakkan kerana kita berkerja untuk orang ramai. Harap you tak tertinggal jauh untuk kejar yang lain-lain." ucap lelaki di belakangnya lagi.
Suraya segera memusingkan kerusi sembilan puluh darjah. Kepala mendongak memandang lelaki itu yang nampak kemas dalam sehelai kemeja putih berlengan panjang yang dilipat lengannya ke paras siku dan sepasang jeans biru.
"Terima kasih kerana bagi nasihat tu. I really appreciate it."
Tipis senyuman diberikan lantas dia memusingkan kembali kerusi ke kedudukan asal dan diteruskan kerja yang tergendala buat seketika itu. Dia tidak pasti apakah niat lelaki itu datang menghampiri. Tetapi jelas beberapa pasang mata, memerhati penuh minat akan adegan yang baru berlangsung antaranya dengan Dr. Adrian tadi.
"Zamri, siapa yang suruh buat Prima?"
Suraya buat-buat tidak dengar. Tekun menyambung kerja.
"Mr. Lee, Dr. Adrian." sahut Zamri.
"Hentikan semua report Prima jam ni juga!"
Suraya tersentak. Jari jemari kaku tidak bergerak.
'Biar betul? Dah separuh kot aku buat ni.'
"Tapi, kami cuma ikut arahan..,"
Dengan itu Suraya tidak lagi mengikuti sebarang perbualan yang berlangsung. Hanya dia, mendengar pintu pejabat Mr. Lee ditutup dengan kuat. Tragedi yang membuatkan perasaannya makin sebal.
Tengah hari itu Suraya menerima pelawaan untuk makan tengah hari daripada Amy dan Lisa yang bertugas di bahagian dokumentasi. Terkapai-kapai dua sejoli itu melambai tangan memanggilnya. Sharon, yang bertugas sebagai setiausaha di jabatan itu turut menyertai.
Sebuah warung yang agak tersorok yang berselindung di belakang sebuah deretan bangunan kedai dan bangunan-bangunan yang mencacak menjadi pilihan. Sebenarnya ia terletak tidak jauh pun dari pejabat. Hanya perlu berjalan kaki sahaja untuk sampai ke situ. Meski warung nasi campur itu berada di kawasan yang agak terperuk, pelanggannya tidak pernah kurang. Sentiasa tidak cukup meja jika terlambat datang. Tengah hari itu Suraya memilih untuk menikmati nasi putih berlaukkan ikan bakar dan sayur campur. Juga, sambal Thai.
"Anne, tadi tu kenapa dengan Dr. Adrian?" tutur Lisa memulakan bicara setelah keempat-empat mereka duduk.
"Kenapa, kenapa pulak?"
Dia berhenti dari mengunyah untuk menyoal kembali kerana tidak memahami. Kemudian, dia menyambung makan tanpa membuang masa. Lapar punya pasal. Lagipun, perutnya sedang rancak berkaraoke ketika ini.
"Laa... Belum pernah kitorang dengar dia hempas pintu tau." Sharon menyampuk.
"Kan?.. Biasanya Dr. Adrian tu orangnya cool aje. Sejuk mata memandang." celah Amy.
Suraya tetap dengan kunyahan. Suapan demi suapan. Kepala pun tidak diangkat. Tumpuan hanya kepada makanan.
"Hisy, kitorang bercakap ni dia relaks je makan." tegur Lisa.
"Lapar." ringkas disahut sebelum kembali mengunyah lagi.
Sharon menggeleng sambil tertawa geli hati.
"Kesian korang. Nak korek rahsia last last tak dilayan." ejek Sharon dalam tawanya.
Suraya menjungkitkan bahu. Dalam masa sepuluh minit pinggan dan gelas minumannya kosong. Dia bersandar kekenyangan.
"Anne, dengarlah apa aku nak tanya ni." getus Amy seakan memaksa.
Suraya melirik ke arah gadis genit yang sebaya dengannya itu. Gayanya sofistikated. Mengenakan selendang hitam yang melilit di kepala yang menampakkan batang leher dan menonjolkan sedikit jambul serta hujung cuping telinga. Dua bentuk anting-anting tersembul keluar. Busana blouse dengan labuci bergemerlapan di bahagian lengan dipadankan dengan sepasang slack berwarna hitam. Berbeza pula dengan Lisa yang lebih gemarkan gaya kasual sepertinya. Tetapi gadis itu lebih suka mengenakan tudung bawal bercorak abstrak. Setiap hari trademark itu pasti digayakan oleh Lisa.
"Apa dia?.." soal Suraya perlahan.
Hiruk pikuk keadaan sekeliling tidak menjejaskan perbualan mereka. Melihatkan ada sekumpulan staf mahu menggunakan meja itu pula, Sharon memberi cadangan agar mereka beredar terlebih dahulu bagi memberi peluang kepada pelanggan lain untuk menggunakan meja tersebut. Kesemua setuju dan setelah membuat bayaran mereka bergerak melalui celahan lorong untuk keluar dari kawasan itu.
"Kenapa dengan Dr. Adrian? Dia marah siapa?" tanya Amy tidak berputus asa mahukan jawapan.
"Entah. Aku tak pastilah sebab masa tu aku tengah buat kerja. Dia bercakap dengan Abang Zam tiba-tiba, senyap. Tahu tahu berdentum bunyi pintu." cerita Suraya.
Ketika itu mereka berhenti sebentar di sebuah gerai menjual buah-buahan potong. Dia tidak berminat untuk turut sama membeli kerana seleranya mati apabila perkara itu diungkitkan kembali. Tak mampu ditolak kemarahan Dr. Adrian yang bertugas sebagai konsultan itu adalah disebabkan oleh dirinya. Tentu lelaki itu berang melihat seorang junior sepertinya mengendalikan laporan itu sedangkan staf yang lebih berpengalaman masih ramai. Namun, isi hati itu ditelan sendirian.
Usai membeli, mereka kembali menapak ke pejabat. Tatkala tiba di lobi, pergerakan mereka terpecah dua. Amy dan Lisa terus ke surau manakala Suraya dan Sharon pula terus ke tingkat enam. Namun, mereka berdua singgah sebentar di restroom. Ketika sedang membetulkan selendang di kepala, tiba-tiba Suraya teringatkan sesuatu.
"Alamak! I lupa save file tadi!! I pergi dulu, Sharon!" tuturnya cemas.
Mungkin kerana terlalu lapar tadi, terkocoh-kocoh dia keluar untuk berehat tengah hari hinggakan terlupa untuk menyimpan fail laporan yang sedang disediakan.
Sharon yang baru keluar dari kubikel tandas terpinga-pinga melihat kelakuannya itu.
Tanpa membuang masa, bergegas Suraya keluar. Bimbang kerana komputer riba yang digunakan itu tidak disambungkan dengan alat pengecas. Andai komputer riba itu kehabisan bateri sia-sia sahajalah usaha membuat laporan yang hampir siap itu. Bukan lagi laporan milik Dr. Adrian tetapi laporan baharu yang diterima daripada ahli tim sendiri. Dan laporan itu harus dihantar kepada Mr. Lee tepat pada jam tiga petang!
Riak wajah Suraya berubah lega ketika melihat pintu pejabat terbuka luas tanpa perlu dia berhenti untuk membukanya menggunakan kad akses yang tergantung di leher. Tatkala tiba betul-betul di hadapan muka pintu, dia terpaksa berhenti secara drastik dan melicik sedikit untuk mengelakkan tubuhnya daripada berlaga dengan seseorang yang tiba-tiba muncul di laluannya. Tubuhnya berpusing dan jika tidak kerana satu tangan telah memegang lengannya pasti dia telah tersungkur di situ juga. Dia tercungap. Lelah bercampur terkejut. Dan berganda kejutan kerana penyelamatnya itu orang yang ingin dijauhkan!
"Suraya, are you okay? Kenapa ni?"
Direnggut lengan yang sedang dipegang kemas. Seperti baru tersedar, Dr. Adrian melepaskan dengan kadar segera.
"Oh, sorry."
'Iye... ye... Maaf diterima. Tapi..,'
"Dr. Adrian, that's not fair. Isn't it too soon to evaluated my performance? Lagi pun, apa lagi yang boleh saya buat sepanjang duduk di ofis melainkan buat report seperti yang diarahkan?" luah Suraya sedikit geram. Dia beredar dengan pantas meninggalkan lelaki itu yang terkebil-kebil menapis setiap kata bicaranya.
Apabila tiba di meja kerjanya dapat dirasakan dadanya sedang deras berdebar. Marah. Kepada dirinya sendiri kerana berani melepaskan perasaan itu kepada seseorang yang agak berjawatan. Dan marah kerana terlupa mengucapkan terima kasih di atas bantuan tak sengaja dari lelaki itu yang menahannya dari terjatuh. Namun, apakan daya, dia benar-benar terkilan. Kerana kemampuannya dinilai ketika baru sebulan setengah dia berada di syarikat sedangkan tempoh percubaan yang diberikan masih berbaki beberapa bulan lagi.