Home Novel Keluarga WASITAH
WASITAH
Abdul Rahim Awang
18/12/2019 09:01:44
20,000
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
BAB 2


Datin Salmah merenung potret wanita yang terpapar pada halaman pertama dossier yang diserahkan kepadanya oleh Tarmizi.  

Dia yakin dia pernah melihat wanita itu, tetapi tidak pasti bila dan di mana.

 Dia melerekkan pandangannya kepada nama yang dicatatkan di bawah potret itu: Nur Adiba binti Saad.

Dia mengerutkan dahi dan cuba meneroka ingtannya. Nur Adiba … Adiba … Diba … bukan nama yang pernah dikenalinya.

Nur … mungkin wanita itu dikenali dan dipanggil Nur sahaja. Dia kenal ramai wanita yang bernama Nur, tetapi tidak ada Nur  Adiba. Dan tidak ada yang menepati wajah yang terpapar pada kertas di tangannya.

Dia membuka ke halaman dua dan mula membaca.

Perkataan ‘balu’ yang tercatat pada ruang status perkahwinan Nur Adiba menyebabkan pipinya tiba-tiba berasa panas dan  degupan jantungnya tergelincir beberapa detik dilanda perasaan cemburu.

Cemburu? Mengapa aku harus cemburu? Dia bertanya dalam hati, menafikan perasaannya sendiri.

Namun dia tetap terus menyemak maklumat dalam dossier dengan rasa ingin tahu yang meluap-luap.

Dia mengalih ke halaman satu dan membelek potret Nur Adiba semula setelah membaca maklumat tentang arwah suami wanita itu – seorang bekas tentera seperti bekas suaminya juga.

Mungkin mereka pernah terserempak dalam upacara-upacara rasmi ketika suami masing-masing masih berkhidmat dulu.

Tetapi nama dan wajah wanita itu tetap tidak muncul dalam ingatannya.

Dia membuka halaman dua semula. Kali ini menyemak ruang pekerjaan pula. Cacatan di situ tertulis ‘suri rumah’.

Suri rumah … balu … kedua-dua catatan itu menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Dia mendongak dan memandang Tarmizi yang sedang lahap bersarapan di hadapannya. Tetapi, belumpun sempat dia membuka mulut untuk mengajukan soalan yang bermain dalam fikirannya, Tarmizi berkata, “Sebenarnya saya tidak begitu selesa berjumpa di sini.”

“Mengapa?” dia bertanya. Dalam hatinya, dia menyambung: Tidak selesa konon, tetapi telah beberapa kali berulang alik ke meja buffet dan makan bagaikan telah beberapa hari kelaparan.

Namun, dia terpaksa mengaku berasa bangga melihat Tarmizi begitu berselera makan juadah sarapan yang dihidangkan secara buffet di situ. Dia banyak mempengaruhi Khairul, Pengurus F & B Hotel Sri Angsana, memilih chef dan juadah yang dihidangkan di Café Anjung Angsana.

Tetapi mana Khairul? Dia bertanya dalam hati sambil memandang keliling. Mengapa bayang Khairul pun tidak kelihatan sedangkan Café Anjung Angsana dipenuhi pelanggan? Tidakkah, sebagai Pengurus F & B, Khairul sepatutnya ada di situ untuk memantau keadaan?

Arus fikirannya terhenti apabila Tarmizi menjawab, “Ada dua sebab.”

“Apa?” dia ingin tahu.

Tarmizi menamatkan kunyahan dan menelan makanan dalam mulutnya sebelum menjawab, “Pertama, hotel ini milik bekas suami Datin.”

“Ia milik saya juga,” dia membalas, pantas dan bangga.

Tarmizi menggeleng. “Tidak lagi!”

“Maksud awak?” Lebih pantas dia membalas, tetapi berbentuk soalan pula. Kata-kata Tarmizi tidak menyenangkan hatinya.
“Nama Datin tidak lagi tersenarai sebagai ahli lembaga pengarah hotel ini,” terang Tarmizi.

Dia terperanjat, termenung dan berfikir seketika, tetapi tidak mahu mempersoalkan perkara itu dengan Tarmizi yang dianggap tidak layak berbicara tetang statusnya di Hotel Angsana. Sebaliknya dia bertanya, “Sebab kedua?”

“Urusan kita ini urusan rasmi,” terang Tarmizi. “Bukankah lebih selesa kalau kita berurusan di pejabat saya?”

Dia menggeleng, tidak setuju, “Encik Mizi nak semua konco bekas suami saya nampak saya keluar masuk pejabat Encik Mizi?”

Tarmizi merenung wajahnya seketika sebelum berkata, “Bekas suami. Dia tidak ada hak nak kongkong Datin lagi, kan?”

Dia mula berasa rimas. “Tak payah cakap pasal dialah!” Kemudian, sambil mengetuk potret wanita dalam dossier di tangannya, dia menyambung, “Saya nak tahu pasal perempuan ini!”

Tarmizi menggeleng perlahan. Dengan nada simpati, dia membalas, “Datin dah baca fail itu, kan?”

“Betulkah perempuan ini bukan jururawat?” dia betanya tegas.

Tarmizi mengangguk.

Dia tidak sanggup lama-lama di situ lagi, di café hotel yang dikatakan bukan miliknya lagi. Dia tidak mahu Tarmizi, penyiasat persendirian yang diupahnya untuk mencari maklumat, terus membaca fikiran dan perasaannya. Cepat-cepat dia bangun dan melangkah ke kaunter bayaran.

“Bil!” dia meminta.

Gadis yang bertugas di kaunter terperanjat. “Bil, Datin?”

“Ya, Bil!” dia menjawab sambil menjeling bangga ke arah Tarmizi kerana keteperanjatan gadis itu membuktikan tiada bil yang disediakan untuknya. Dia masih boleh makan dan minum percuma sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah di situ walaupun diberitahu sebaliknya oleh Tarmizi tadi.

“Kami tidak dibenarkan buka bil untuk ahli lembaga pengarah,” gadis itu mengesahkan anggapannya, terus menafikan maklumat yang disampaikan oleh Tarmizi.

“Terima kasih,” katanya sambil tersenyum bangga. Dia melangkah meninggalkan café, melintasi lobi, menuju ke arah pintu utama.

Dia berhenti dan menoleh ke arah kaunter penyambut tetamu di lobi kerana yakin ternampak kelibat Chong di situ. Sebagai peguam peribadi bekas suaminya dan penasihat undang-undang Hotel Angsana, Chong pasti boleh mengesah atau menafikan maklumat Tarmizi tentang statusnya dalam lembaga pengarah.

Apabila Chong tidak kelihatan di situ, dia berpaling kepada Tarmizi yang masih berdiri di sisinya dan bertanya, “Encik Mizi pasti maklumat ini tepat?”

Tarmizi tersinggung, lalu mejawab tegas, “Saya tidak pernah beri maklumat palsu kepada klien saya.”

“Jadi, betullah nama saya tidak tersenarai sebagai ahli lembaga pengarah hotel ini lagi?” dia meminta kepastian.

“Macam saya kata tadi, saya tidak penah beri maklumat palsu kepada klien saya,” balas Tarmizi.

“Bila nama saya digugurkan?” dia ingin tahu.

“Saya minta maaf. Maklumat itu tidak ada pada saya,” balas Tarmizi. “Saya tidak akan mengaku tahu perkara yang saya tidak tahu.”

Dia menggawangkan fail dossier yang ada di tangannya. “Yang ini?” dia bertanya.

“Semua perkara yang Datin ingin tahu ada dalam fail itu,” Tarmizi menawab. Kemudian mengulangi, “Saya tidak pernah beri maklumat palsu kepada klien saya.”

Dia termenung seketika.

“Saya tahu, ada kalanya maklumat saya beri tidak digemari oleh klien,” tambah Tarmizi. “Tapi saya tidak mahu menipu. Saya akan berikan semua maklumat secara tepat.”

“Memang betullah dia bukan jururawat?” dia mengulangi soalan yang telah diajukan tadi.

“Dia memang bukan jururawat!” tegas Tarmizi.

“Kalau dia bukan jururawat, apa dia buat di rumah saya?” dia menekan.

Tarmizi merenung tepat wajahnya, mahu mengatakan sesuatu. Tetapi terhenti dan mengawal diri.

Pandangan mereka bertaut seketika.

“Apa?” dia bertanya.

Tarmizi menggeleng.

“Tolong jangan buat macam ni!” dia marah. “Saya tidak suka orang berfikir sesuatu tentang saya tetapi tidak mahu berterus terang tentangnya.”

Tarmizi mengeluh perlahan sebelum berkata, “Rumah itu bukan rumah Datin lagi.”

Kata-kata Tarmizi tidak mampu dinafikannya. Namun tetap juga dengan kasar bertanya, “Mengapa Encik Mizi tidak beritahu apa hubungan perempuan itu dengan Datuk Ghafur dan apa dia buat tinggal di rumah bekas suami saya?”

Tarmizi senyum. “Datin cuma mengupah saya untuk siasat tentang kelulusan Nur Adiba sebagai jururawat, bukan tentang hubugannya dengan Datuk Ghafur.”

“Saya tahu!” dia membalas tegas. “Tapi sekarang saya nak tahu apa hubungan mereka!”

Tarmizi tidak berkata apa-apa, tetapi memandang tepat wajahnya.

Dia amat faham pandangan itu, lalu berkata, “Jangan bimbang. Saya akan bayar untuk tugas tambahan ini!”

Tarmizi mengangguk, kemudian mula bergerak ke arah keretanya di sebarang jalan.

“Encik Mizi pasti perempuan itu bukan jururawat?” dia mengulangi soalan sama lagi, ingin benar-benar pasti.

Tanpa berhenti melangkah dan memandang ke arahnya, Tarmizi menjawab, “Lebih dari pasti!”

Dia teragak-agak seketika, kemudian berpusing, melangkah ke lobi semula dan terus menuju kauter penyambut tetamu.



Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Abdul Rahim Awang