Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
33,732
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 7

Selesai melunaskan fardhu Zuhur, Uzma berdiri di muka tingkap merenung masa depan yang dirancang berubah malap. Baru sebulan lebih bangku sekolah ditinggalkan. Bersama Muna mereka berdua membuat pelan sementara menantikan keputusan peperiksaan. Mahu berkerja di sebuah kilang elektronik di Pekan Tampin. Kecundang. Cukup satu bulan, pelan melayang Muna menghilang. Dan dia, masih di kampung. Membilang detik yang makin pendek.

Esok, merupakan hari penentuan. Hari di mana coretan kehidupan yang dilakar bersama Atuk bakal bertemu lembaran terakhir. Tiada lagi watak utama bernama Atuk. Esok juga, buku baru bakal dimiliki. Berserta watak utama yang baru pula. Dan esok juga, permulaan takdir kehidupan bergelar sang isteri. Hiba? Sudah kering air mata yang bertamu ketika bersendirian. Remuk redam jiwanya menanggung rasa sedih yang tidak berkesudahan.

Seruan salam dari halaman mengejutkan lamunan yang dalam. Buru-buru dia menerpa ke muka pintu yang ditutup rapat. Sudah satu jam lebih semenjak waktu Zuhur masuk. Kelibat Atuk masih tidak kelihatan. Mungkin terlajak masa dek kerana bersembang dengan geng suraunya itu. Suara Mak Teh mengalunkan salam buat kali ketiga disahut dengan nada yang kuat menandakan ada seseorang di dalam rumah itu. Daun pintu serambi yang dikunci dengan mangga dibuka. Satu senyuman diukirkan menyambut kehadiran wanita itu setelah hampir dua minggu membawa hati. Wajah Mak Teh pula masih kelat seperti kali terakhir dia melihatnya.

"Masuklah, Mak Teh." pelawanya seraya menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Dia perasan lama tenungan Mak Teh singgah di wajahnya. Namun, sengaja dia berpura-pura tidak melihat.

"Ju, tak payah susah-susah nak bancuh air. Mak Teh singgah sekejap aje ni." maklum Mak Teh seraya menarik kerusi lalu terus duduk.

Dia ikut duduk. Arahan ibu saudaranya itu langsung dipatuhi.

"Atuk kau mana?"

"Entah. Dekat surau lagi, kot." sahutnya sambil kepala tertoleh-toleh ke luar melirik ke arah laluan kecil yang membelah ladang getah dan kebun buah itu.

Tangannya terasa disentuh. Cepat-cepat dia berpaling.

"Erm, Mak Teh datang sorang-sorang, ke? Mana Pak Teh?" soalnya.

Noriah menoleh seketika ke arah kereta yang dipandu sebelum menatap wajah anak remaja bersebelahannya. Antara ramai-ramai anak saudaranya, Uzma yang paling menarik perhatiannya. Bukan atas alasan wasiat dari Idah, arwah adiknya semata-mata. Tetapi, mengenangkan peribadi gadis itu sendiri membuatkan hatinya terpikat. Menutup aurat dan juga bersopan-santun itulah terpaling penting. Ditambah bonus pandai mengemas dan juga memasak. Gadis remaja itu mempunyai kecantikan tersendiri. Berkulit sawo matang dengan bentuk muka bujur sireh, hidung yang sederhana mancung, ulas bibir yang penuh dan sepasang mata bundar dengan bulu mata yang panjang. Ketinggiannya pula sedang-sedang sahaja. Sesuai dengan ketinggian perempuan Melayu. Cukup pakej anak dara arwah Idah itu. Sesuailah digandingkan dengan Angah yang merupakan anak yang rajin dan mendengar kata.

Noriah sudah bulatkan tekad walaupun ayahnya, Pak Malik menentang hasratnya sebelum ini. Jangan fikir dia sudah berputus asa. Dia kembali dengan niat yang lain pula. Setelah difikir semasak-masaknya, hati Uzmalah yang patut dibeli dahulu. Dipupuk dan dibelai. Barulah anak gadis itu dengan rela hati mahu.

"Mak Teh..."

Khayalan bertempiaran. Renungan realiti berlabuh di wajah anak saudara kesayangan.

"Hari ni Pak Teh pergi kerja bawak motor." terang Mak Teh.

Uzma tersenyum sumbing sambil mengangguk kecil.

"Ju, betul ke esok Ju nak nikah ni?" tanya Mak Teh pula.

Dada Uzma mula sebak. Dia berdehem sambil menarik nafas yang dalam.

"Ye, Mak Teh. Esok Ju nikah." sahutnya dalam emosi yang bercampur-baur.

"Kenapa Atuk buat Ju macam ni?.." ujar Mak Teh dengan perasaan sesal.

Uzma bungkam. Mendiamkan diri adalah jalan terbaik yang dirasakan ketika ini.

"Jom, ikut Mak Teh balik rumah Mak Teh. Ju jangan bagitau Atuk. Nanti bila Atuk cari kau dekat rumah Mak Teh, pandai-pandailah Mak Teh beri alasan."

"Tapi, kenapa Ju kena pergi rumah Mak Teh?" soalnya separuh hairan.

"Laa... Habis tu, tak kan Ju nak nikah dengan orang yang Ju tak kenal tu?"

"Tapi, kalau duduk dengan Mak Teh maksudnya Ju kena nikah dengan Angah?" soalnya lagi menginginkan kepastian.

Tangan Mak Teh tidak lagi mengelus tangannya. Tetapi dibawa pula ke bahu. Disitu, tangan berisi itu kemas berlabuh.

"Iye... Tapi, Mak Teh tak mintak kahwin sekarang. Mak Teh rasa Mak Teh akan tunggu lepas Ju habis belajar. Ju nak belajar dekat mana? Cakap je. Biar Mak Teh tanggung. Asalkan Ju kahwin dengan Angah. Macam mana?" jelas Mak Teh dengan perasaan berkobar.

Sekali lagi Uzma membatukan diri. Arghhh! Umpan bersyarat rupanya. Tak sangka yang dia masih terikat dengan perkahwinan aturan. Bahu terasa dielus lemah. Lirikan jatuh ke atas meja. Bagi Uzma, Mak Teh telah lama dianggap seperti ibu kandungnya sendiri. Selain kerap bertemu, wanita itu terlalu mengambil berat akan hal ehwal dirinya. Keperluannya diambil tahu. Begitu juga dengan hal ehwal persekolahan. Dari bersekolah rendah hinggalah menengah. Setiap kali musim perayaan pula, Mak Tehlah yang bersusah payah menyediakan baju kurung untuknya meskipun Atuk mampu untuk membelikan sepasang persalinan baharu.

"Ju, nak fikir apa lagi? Sanggup Ju nak hidup dengan orang yang kita tak tahu peribadi dan akal budi? Mak Teh dah pening merisik. Langsung tak kenal siapa pilihan Atuk kau tu." cerita Mak Teh seraya menyedarkan dirinya bahawa ibu saudaranya itu langsung tidak tahu menahu akan kebenaran episod perkahwinannya pada keesokan hari.

Nampaknya kes kena tangkap itu masih kekal tercatat sebagai rahsia. Dia senyum kelat. Tak kisahlah sama ada lelaki pilihan Atuk atau pun Ahmad itu, kedua-dua lelaki itu tidak dikenali budinya. Jadi, Angah berada di carta terataslah? Salah. Yang betulnya dia langsung tidak mahu berkahwin lagi. Tidak bersedia dan tidak pernah terlintas di fikiran untuk berkahwin.

Dia berani bersumpah. Ketika tamat sahaja persekolahan tiada yang lain dalam fikirannya melainkan mahu menabung dan menyambung pelajaran. Kemudian, mempunyai kerjaya. Rutin selayaknya yang dijalani oleh para remaja lepasan sekolah sepertinya. Hati yang waja bersemangat mahu menabur bakti kepada Atuk pula. Tidak sabar mahu melihat Atuk berehat dengan mengisi masa yang lapang dengan menimba ilmu akhirat daripada perlu bersusah mencari rezeki. Biarlah gilirannya pula yang bersusah untuk Atuk.

"Kau datang nak ajar Ju jadi kurang ajar dengan aku, Yah?"

Hampir melompat dirinya kerana terperanjat. Dan dia pasti begitu juga Mak Teh. Uzma berpaling. Melihat Atuk dalam persalinan lusuh itu.

Laa... Bila masa pulak Atuk pergi ke kandang? Tak ke berada di surau? Tak nampak pula motosikal Atuk di laman tadi.

"Eh, ayah?.." seru Mak Teh dengan suara jelas terkejut.

Uzma bingkas bangun. Menuju ke dapur lantas membancuh minuman sejuk buat Atuk. Peti ais satu pintu dibuka. Sebuku ais dalam plastik gula bersaiz kecil dikeluarkan. Sebotol sirap dicapai. Tidak sampai lima minit minuman siap dan dia kembali dengan dulang minuman ditatang. Atuk dan Mak Teh kelihatan duduk saling bertentang.

Sunyi.

"Atuk, minum."

Dituang air dari jug ke dalam gelas lalu disuakan ke arah Atuk. Kemudian, secawan lagi untuk Mak Teh. Dia kembali duduk di sisi ibu saudaranya itu.

"Malam besok kau dengan Aziz datang. Akad lepas Isyak."

Mak Teh diam tidak menjawab. Uzma tertunduk merenung jari-jemari yang bertautan di atas riba.

"Ayah... Ayah kenal ke budak yang nak dijadikan laki Ju ni?"

Suara Mak Teh kendur. Agaknya daripada bertelagah tak tentu pasal lebih baik berbincang dengan damai.

"Kau tak payah bimbang. Budak Ahmad tu bukan baru ni aku kenal. Dah lama. Selalu ikut jemaah dekat surau."

Dalam keadaan menunduk dia mendengar. Oh, Atuk kenal Ahmad tu.

"Ahmad mana ni, ayah?" soal Mak Teh ingin tahu.

"Bengkel kayu dekat kedai Ah Seng tu."

"Budak cina tu, ayah?"

Biji mata dibulatkan. Budak cina? Dia memejamkan mata. Cuba mengingat serpihan kenangan hitam itu. Ah, terlalu kabur dan pudar. Bayangan Ahmad tidak tertangkap di benak melainkan tompokan hitam itu sahaja.

"Dia dah masuk Islam. Lama dulu... Kau je tak tahu." ucap Atuk datar lalu gelas minuman dibawa ke mulut.

"Dia ke lelaki pilihan ayah tu?"

Tidak berjawab. Uzma menggigit bibir. Diangkat sedikit wajah. Tergamam sebelum lirikan kembali ke bawah. Atuk sedang merenungnya tajam.

"Kalau dah sampai jodoh Ju dengan Ahmad tu, aku tak boleh buat apa selain nikahkan aje diorang. Kalau bukan jodoh, tak kahwin jugak walaupun Tok Kadi ada depan mata."

Mak Teh pula terdiam. Begitulah prinsip yang dipegang oleh Atuk selama ini berpandukan kepada syariat. Bagi Atuk selagi ianya diizinkan oleh Pencipta maka menjadilah ia. Andai sebaliknya terimalah ketentuan itu. Mungkin sebab itulah Atuk terima sahaja kenyataan bahawa dia bakal berkahwin dengan Ahmad dan bukan lelaki pilihannya itu.

"Yah kecewa..."

"Kau ni, Yah... Ju ni bukan orang lain dengan kau. Anak sedara betul. Kalau dia dah jadi bini orang lain pun dia tetap anak sedara kau. Bila-bila masa boleh berjumpa kau."

"Tapi, Yah nak Ju jadi menantu Yah."

"Kau ada tanya Angah dia nak ke tak Ju ni jadi bini dia?"

"Ada. Angah setuju aje apa yang Yah suruh."

Atuk terdiam. Kemudian menggelengkan kepala.

"Itu kemahuan kau yang dia ikut. Kemahuan dia sendiri macam mana? Angah tu budak baik tapi dia pun ada perasaan sendiri." kata Atuk lalu berdiri dan terus menuju ke dalam.

Masuk melewati pintu dapur untuk ke biliknya. Tentu mahu membersihkan diri. Ditinggalkan Mak Teh terkebil-kebil memandang.

Uzma tetap membisu. Mak Teh menarik gelas di hadapan. Seteguk minuman ditelan.

"Nampaknya tak merasalah Mak Teh nak jadikan Ju sebagai menantu,"

Uzma senyum kelat. Tegar benar Mak Teh dengan keazamannya itu.

"Takpelah. Nak buat macam mana. Kalau Mak Teh yang tua ni pun tak boleh menang dengan Atuk, Ju apa lagi. Kita berserah ajelah. Mak Teh balik dulu. Esok malam Mak Teh datang," ujar Mak Teh seraya bangun.

"Eh..,"

Bahunya terasa disentuh. Uzma mendongak.

"Esok ni Ju nak pakai baju apa?"

Mulut Uzma sedikit melopong. Baru tersedar persiapan perkahwinannya langsung tidak seperti orang nak berkahwin. Atuk tak pernah buka mulut untuk berbincang tentang sebarang persiapan. Apatah lagi dirinya yang memang enggan perkahwinan itu dilaksanakan. Nak kena bersiap apa?

"Ju tak tahu, Mak Teh. Baju kurung, kot?"

"Isy, kahwin ni, Ju... Kahwin... Bukan hari raya. Takpelah. Esok-esok Mak Teh bawakan baju untuk akad nikah. Rasanya muat dengan Ju." tutur Mak Teh sambil menepuk-nepuk bahunya.

Dia bingkas bangun. Menghantar Mak Teh hingga ke muka pintu sebelum huluran salam diberikan. Terkelip-kelip matanya melihat Proton itu menjauh. Terfikir seandainya dia bersetuju dengan rancangan Mak Teh tadi tentu rumah ini telah ditinggalkan. Namun, terlepas dari kandang harimau masuk pula ke kandang buaya. Apa boleh buat. Minta-mintalah harimau yang memeliharanya nanti merupakan harimau yang jinak dan mesra!

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.