Hari itu
Pak Long Azem menziarah Mak Aseh. Lelaki itu hanya mampu geleng kepala melihat
keadaan Mak Aseh yang seperti sudah hilang separuh nyawa. Entah ke mana menghilang
semangatnya. Mak Aseh seakan telah terlupa kewujudan anak-anaknya.
“Dah enam
bulan arwah pergi, kamu tetap begini. Kesian anak-anak kamu, Aseh Mereka semua
masih kecil, masih perlukan kamu.” Pak Long Azem cuba menasihati Mak Aseh namun
adik sepupunya tetap membisu seribu bahasa.
Hanya bola
matanya yang ralit merenung wajah Pak Long Azem. Pandangannya dalam tanpa
berkedip. Pak Long Azem melepaskan keluhan berat. Dia tidan menyangka akan
sebegitu penangggungan Mak Aseh. Lebih hiba apabila melihat anak-anak Mak Aseh
yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa.
Razak sedang
menggendong dan memujuk Zainal yang kelaparan. Tangisannya mendayu-dayu dek
laparkan susu. Sedang Mak Aseh tidak mengendahkan. Wanita itu tidak punya jiwa
lagi. Zainal hanya diberi air masak di dalam botol yang sekadar mengalas perut
kecilnya.
“Pak long…air.”
Azizah yang masih berhingus muncul dari dapur bersama secawan air.
“Terima kasih! Pandai Azizah!” Pak Long
Azem tersenyum sambil mengusap rambut kanak-kanak itu.
“Tengok
anak kamu, Aseh. Masih kecil terpaksa sediakan makan-minum sendiri.
Sayangnya
Mak Aseh hanya memandang sekali lalu. Tanpa rasa. Azizah yang mempamer
senyuman, tidak berbalas. Bergenang air mata Azizah. Sudah enam bulan ibunya
tidak lagi mahu bersuara. Apatah lagi mahu membelai dan memanjakannya. Ibunya seperti tidak lagi kenal dirinya.
“Kamu tak
boleh terus macam ni, Aseh. Kamu mesti ada azam untuk sembuh. Yang dah pergi,
biar dia pergi. Kita yang masih hidup perlu teruskan hidup.”
Setiap kali
Pak Long Azem datang mengunjungi, kata-kata itulah yang diluah. Dia tidak mahu
Mak Aseh lemah. Dia tidak mahu melihat Mak Aseh terus rebah. Sedangkan masih
ada anak-anak yang perlu diurus. Sayangnya setiap kata-kata Pak Long Azem tiada
sambutan.
“Malam
tadi Aseh mimpikan Abang Resad. Dia senyum pada Aseh. Dia lambai Aseh.” Kali
ini tiba-tiba Mak Aseh bersuara. Lemah dan rendah suaranya. Diluah dengan
payah.
“Dahlah
tu, Aseh! Kalau anak-anak dengar tentu mereka sedih.”
“Razak!...bawa
adik-adik kamu ke bawah ya.” Arah Pak Long Azem tidak mahu mereka turut
mendengar.
Pak Long
Azem tidak mahu keadaan Aseh berlarutan seperti itu. Jika Mak Aseh rindukan Pak
Resad, sudah tentu anak-anaknya pun begitu. Jarang sekali terlihat air mata di
pipi Razak dan Shahrudin. Mungkin mereka menyimpannya di dalam hati. Yang pasti
raut wajah mereka tidak lagi ceria. Hanya Azizah dan Zainal saja yang selalu
tumpah air mata.
“Abang
Resad ajak Aseh ikut dia.” Ujar Mak Aseh lagi.
Tidak tahu
apa yang mahu dikatakan lagi. Pak Long Azem hanya mendengar dan menggeleng
berat. Tidak ada yang mampu membantu Mak Aseh untuk kuat dan pulih selain
dirinya sendiri. Setiap kata-kata semangatnya pula hanya dipandang sepi oleh
Mak Aseh.
“Abang
balik dulu, Aseh.” Sudah lama di situ, dia mahu beredar. Mak Aseh tidak terpujuk
lagi. Dia tetap dalam dunianya sendiri.
Tiba di
bawah rumah, Pak Long berbual-bual sebentar dengan Razak. Razak dan Shaharudin
sedang sibuk membelah kayu api. Azizah pula mendukung Zainal ke hulu ke hilir
agar adiknya tidak lagi menangis. Masing-masing ada tanggungjawab sendiri.
Keadaan yang mendesak mereka melakukan itu semua. Selepas kematian Pak Resad
tidak ada apa-apa yang boleh diharapkan dari Mak Aseh. Mereka terpaksa mendiri.
“Pak long
balik dulu. Jaga adik-adik ya!” Pesan Pak Long Azem.
“Baik, pak
long.” Razak mengangguk.
Sesudah
membelah kayu api, Razak dan Shaharudin mencari ubi kayu di belakang rumah.
Azizah mengekori kedua abangnya dengan pantas. Tidak teratur langkahnya kerana
pinggangnya mengelek Zainal yang tidak duduk diam. Apabila kedua abangnya
berjalan laju, Azizah berlari-larian mengejar mereka. Takut akan ketinggalan di
belakang.
Sampai di
kebun ubi, Razak memilih pokok ubi yang sudah matang untuk dicabut.
Sekurang-kurangnya, mereka tidak perlu memikirkan makan tengahari. Ubi rebus
dan ikan masin akan mengalas perut mereka hari itu. Kenyang atau tidak itu
bukan soalnya, asalkan perut terisi.
Zainal
meraung apabila tubuhnya digigit nyamuk. Dia tidak suka berada di situ. Bukan
saja tubuhnya gatal tetapi perutnya juga kelaparan. Tangisan Zainal membuat
Razak tidak selesa. Dikerlingnya Azizah dengan tajam. Pantas Azizah cuba
memujuk Zainal agar diam.
“Siapa suruh datang sini? Budak perempuan kena
masak di rumah. Tak payah ikut ke kebun.” Razak memarahi Azizah. Geram kerana
Azizah selalu mengekorinya dan Shahrudin ke mana saja.
“Nanti orang masaklah…tapi rebus ubi lagi
ke? Kan pak long ada bawak beras.”
Azizah tidak mengendahkan kemarahan Razak sebaliknya asyik
memikirkan tekak dan perutnya yang rindukan butiran nasi.
“Beras tu
bukannya banyak. Kita buat bubur untuk mak sebab mak sakit. Kita makan ubi,
sudahlah.” Razak bercekak pinggang.
“Balik
cepat! Buat bubur untuk mak.” Arah Razak tegas. Azizah menjuih tidak puas hati.
Apabila Razak membulatkan matanya, Azizah tidak berani bersuara lagi.
Dia
berlalu dengan wajah kelat. Sebentar lagi wajah itu akan dipenuhi abu dapur.
Bukan mudah untuk menyalakan kayu api. Silap tiup, abu akan berterbangan ke
seluruh muka. Kalau Azizah tidak mahu melakukannya, seisi rumah pasti akan kelaparan. Azizah naik ke atas rumah. Pinggangnya sudah
terasa sakit akibat terlalu lama mengelek Zainal.
“Orang letak
adik kat sini, mak. Orang nak masak.”
Kata-katanya
tidak mendapat sambutan. Azizah tidak peduli kerana selama enam bulan ini
begitulah keadaanya. Mak Aseh akan diam dan terus diam. Dia tetap meninggalkan
Zainal bersama ibunya itu. Wajah Zainal direnung lama oleh Mak Aseh. Pelipisnya
berkerut-kerut menahan sakit.
“Azizahhh!”
Untuk sekian lama berdiam diri, Mak Aseh bersuara melaung Azizah yang di dapur.
Zainal pula bermain-main dengan hujung baju Mak Aseh.
“Azizahhh!”
Ulang Mak Aseh apabila Azizah tidak mendengar. Kali kedua suara itu masuk ke
cuping telinga Azizah. Dia menjengah ke tempat Mak Aseh terbaring. Di tiang
seri, tempat yang sama di mana Pak Resad terbaring di saat akhirnya.
“Orang
datang, mak. Mak nak apa?” Azizah yang baru tujuh tahun berlarian ke hadapan.
Setibanya di hadapan Mak Aseh, Azizah termangu.
Nafas Mak
Aseh yang turun-naik menakutkan Azizah. Peluh dingin membasahi dahi ibunya. Dia
hanya terbaring lesu sambil tangannya menggamit agar Azizah lebih
menghampirinya. Azizah mendekat lalu duduk di sisi Mak Aseh. Dia menanti dan
memerhati. Azizah tidak mengerti mengapa terlalu sukar untuk Mak Aseh bersuara.
“Azizah
jaga adik baik-baik. Jangan nakal-nakal, jangan gaduh-gaduh. Mak nak pergi ikut
ayah.” Suara Mak Aseh tersekat-sekat dan terlalu sukar untuk diluahkan.
“Mak nak
ikut ayah pergi mana? Ayahkan dah mati!” Azizah masih tidak memahami apa-apa.
Kudrat Mak
Aseh sudah tiada untuk membalas kata-kata Azizah. Tubuhnya terlalu lemah.
Sayangnya Azizah tidak tahu Mak Aseh sedang bertarung nyawa. Sorot mata Mak
Aseh terlalu jauh. Perlahan-lahan mata Mak Aseh tertutup rapat. Zainal
merangkak ke atas tubuh Mak Aseh kerana mahukan susu. Sayang, tidak ada gerakan
tangan Mak Aseh untuk memberi Zainal susu. Zainal menangis tidak henti-henti.
Azizah undur
perlahan-lahan. Dia duduk di sudut rumah sambil menggigit-gigit jari. Dierenung
Mak Aseh tanpa berkelip. Suara tangisan Zainal tidak didengari lagi.
Terbayang kembali oleh Azizah enam bulan lalu. Ketika Pak
Resad sudah terkaku tidak bergerak dia dibawa pergi oleh orang ramai. Jauh dari
rumah mereka. Ayahnya diusung di dalam kotak yang panjang. Sejak hari itu ayahnya
tidak pulang-pulang lagi.
Kini, di
hadapan matanya keadaan Mak Aseh tiada bezanya. Ibunya kaku tidak bergerak
lagi. Akan dibawa pergikah ibunya oleh orang kampung sama seperti ayahnya? Azizah
terlalu takut. Dia mahu ditinggalkan oleh lagi. Lebih-lebih lagi oleh ibunya.
Ketakutan membuat air matanya berjejeran, dia menangis teresak-esak.
“Orang nak
ikut mak! Nak ikut makkk! Bawak orang, mak! Jangan tinggalkan oranggg!” Jeritan
Azizah begitu sayu.
**********
Azizah
menyapu air mata. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini, dia begitu hiba apabila
terkenangkan kisah lalu. Biarpun sudah berpuluh tahun berlalu namun ia masih
segar dalam ingatan. Untung nasibnya begitu malang. Menjadi yatim piatu, menumpang
kasih di rumah orang. Tidak mahu tenggelam dalam kesedihan, Azizah mengambil
wuduk untuk solat Asar.
Seusai
bersolat, doa dipanjatkan. Memohon kesejahteraan untuk diri dan anak-anak. Biar
hati sering terluka namun kasih Azizah terhadap mereka tidak sedikit pun
berkurang. Sebagai ibu, dia tetap mahu hanya yang terbaik untuk mereka. Dia tidak
mahu anak-anaknya merasai apa yang telah dideritainya.
Melalui
sorot mata tuanya Azizah masih dapat melihat dengan jelas. Di benak nya belum
terpadam kisah pahit-getir perjalanan sebuah kehidupan. Segala liku-liku itu
telah menjadi teman setia di sepanjang laluan kehidupannya. Renungannya telus,
seakan menembusi dinding bilik. Dia melihat seorang anak kecil sedang sibuk
melakukan kerja-kerja rumah….
“Macam
mana kamu buat kerja ni! Basuh pinggan pun tak bersih! Ambil semua, cuci
balik!” Mak Long Ba’ayah memarahi Azizah.
“Orang
rasa dah bersih, mak long.” Azizah yang sudah lapan tahun membela diri sambil
tunduk.
“Degil betul!” Mak Long Ba’ayah tidak puas
hati lalu mengambil segulung getah paip.
“Kamu
mesti belajar patuh! Jangan terlalu pandai menjawab!” Mak Long Ba’ayah melibas
getah paip ke tubuh Azizah beberapa kali.
Tiada
suara tangisan, jauh sekali raungan. Perit tubuh menahan sakit, Azizah hanya
menerima. Dia terlalu kecil untuk melawan tenaga seorang dewasa seperti Mak
Long Rohaya. Azizah mencengkam kuat genggaman tangannya kerana menahan sakit tidak
terperi. Bibir mungilnya bergetar, seiring tubuhnya yang terketar-ketar.
“Sudahlah
tu! Sakit budak tu!” Pak Long Azem menegur sikap isterinya.
“Saya cuma
nak didik dia, bang. Dia perempuan, besar nanti semua kerja dia boleh buat.”
Libasan getah paip terhenti lalu Mak Long Rohaya menyimpannya semula.
“Azizah! Mari
sini.” .
Azizah
berlari menerpa Pak Long Azem. Dipaut pinggang Pak Long Azem tanpa suara. Dia
berasa selamat untuk seketika. Pak Long Azem mengusap rambutnya dengan perasaan
sebak. Dia dapat menyelami ketakutan dalam diri kanak-kanak itu. Ketakutan yang
tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Dah tu,
pergi jaga Haris. Nanti mak long marah lagi.” Pak Long Azem merungkai pautan
tangan Azizah sambil menjeling Mak Long Ba’ayah.
“Haris
tidur lagi, biar dia bantu saya giling cili.” Arah Mak Long Ba’ayah yang sedang
menyiang ikan.
“Baik mak
long.” Azizah tidak pernah engkar arahan yang diberi walaupun tubuh masih
terasa ngilu.
Diam-diam
wanita itu menyungging senyum. Berpuas hati kerana Aziah dengar kata. Dia
bangga apabila membayangkan Azizah bakal menjadi gadis dewasa yang tahu serba-serbi. Sudah tentu itu semua hasil didikannya.
Kedua
tangan Azizah yang kecil mulai bermain dengan penggiling cili. Cili kering yang
telah dibuang bijinya diletakkan di permukaan batu giling. Kemudian
direnjis-renjis dengan air. Apabila cili kering telah basah, ia mulai digelek
dengan penggiling.
“Adoi! Pedas!
Pedas!”
Percikan
cili mengenai mata. Azizah memejamkan mata lalu terlompat-lompat menahan pijar
dan pedih. Air mata berjuraian tanpa henti. Mak Long Ba’ayah menarik Azizah
lalu dibawa ke bawah pili air. Air pili ditadah dengan tempurung lalu airnya
dicucur ke kedua kaki Azizah. Itulah petua turun temurun.
“Macam mana?
Lega?” soalnya setelah melihat Azizah mengerdip-ngerdipkan mata beberapa kali.
“Lega tak?”
ulangnya.
“Baik sikit,
mak long.” Sahut Azizah jujur.
“Sudah baik,
sambung kerja ya.”
Azizah hanya
angguk. Takut mahu membantah. Dia berjalan perlahan ke arah batu giling. Berat
hatinya mahu melakukan sekali lagi tetapi dia tidak punya kekuatan untuk
engkar. Wanita tegas itu selalu menjadi mimpi ngerinya.
“Azizah…naik
atas. Biar pak long bantu mak long.”
Tiba-tiba
terdengar suara Pak Long Azem. Azizah lega. Dia meletakkan semula batu giling
yang baru dipegang. Berjalan laju untuk ke tingkat atas. Tanpa berani memandang
Mak Long Ba’ayah.
“Jangan
manjakan dia bang. Dia mesti berdikari.”
“Tak apalah…kali
ni saja.” Balas Pak Long Azem yang malas bising-bising.
Sikapnya yang
suka membela Azizah selalu membuat Mak Long Ba’ayah berasa kalah. Tidak mengapa
untuk kali ini. Di lain kali dia akan memastikan Azizah akan tetap melakukan
setiap arahannya.