Home Novel Fantasi Neo : Mimpi Semalam
Neo : Mimpi Semalam
Kid Haider
26/2/2015 13:36:56
135,519
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 30

F.A.D.E


Beberapa bulan yang lalu…

"Silakan duduk Maria" Profesor Alex mempersilakan Maria duduk sejurus sahaja mereka memasuki pejabatnya.

"Terima kasih prof" ucap Maria. Punggungnya dilabuhkan ke atas kerusi yang terletak berhadapan dengan tempat duduk Profesor Alex. Dia meneliti beberapa lukisan yang tergantung di atas dinding. Yang paling menarik perhatiannya adalah satu lukisan hitam putih seorang wanita Jepun yang bersaiz begitu kecil sekali berbanding lukisan-lukisan lain.

"Dia seorang lelaki yang bergiat dalam seni Kabuki dari tahun 1764 sehingga 1774. Namanya Yoshizawa Ayame III. Di dalam gambar ini, dia sedang memerankan watak isteri Chojiro's di dalam drama "Osaka Nikki Shio no Chojiro" yang dipentaskan pada Ogos 1767 di Kado no Shibai. Dia merupakan anak kepada Yoshizawa Ayame I yang merupakan seorang onnagata dan orang penting dalam pengasasan seni Kabuki" terang Profesor Alex.

"Onnagata?"

"Dalam Kabuki, pelakon lelaki yang melakonkan peranan perempuan dipanggil Onnagata ataupun Oyama" jawab Profesor Alex. Maria masih lagi memandang ke arah lukisan bersaiz kecil itu.

"Kamu nak minum apa-apa? Ada coklat. Oren, Soda pun ada" Profesor Alex pergi ke arah peti sejuk mini di pejabatnya itu dan menunjukkan beberapa jenis minuman yang diletakkan di dalamnya. Kebanyakkannya minuman di dalam kotak.

"Minum? Um…tak mengapalah" Maria menolak.

"Janganlah malu-malu. Kita nak berbual panjang ni tau. Buat pertama kalinya dalam tempoh tiga tahun, saya mempelawa kamu" Profesor Alex memujuk.

  "Mmmm… coklat pun boleh juga"

"Ha… macam tu lah. Janganlah malu-malu." Profesor Alex mengambil sekotak minuman berperisa coklat daripada peti sejuk itu dan menghulurkannya kepada Maria. 

"Terima kasih prof" ucap Maria. Profesor Alex kembali ke meja dengan air berperisa oren. Namun, dia tidak terus meminumnya. Dia meletakkannya di sebelah kanan mejanya. Sebuah fail berwarna merah jambu yang diletakkan di dalam laci meja dikeluarkan. Dia membuka fail itu dan mula menyelak helaian-helaian kertas yang diletakkan di dalamnya.

"Bagaimana dengan tesis kamu tu?" tanya Profesor Alex kepada Maria yang masih leka melihat  lukisan-lukisan yang tergantung pada dinding pejabatnya.

"Masih dalam proses prof. Masih banyak lagi yang belum diselesaikan. Saya baru membaca beberapa buah buku mengenainya" jawab Marina.

"Sedikit?" mata Profesor Alex menjeling penuh makna. Begitu juga senyuman yang terukir dari bibirnya. Maria terdiam. Dia tidak tahu respon apa yang sepatutnya diberi. Dia hanya mengangkat keningnya.

" 'Masyarakat, minda, etika dan tingkah'. Itu tajuk tesis yang awak pilih bukan?"

"Ya prof. 'Masyarakat, minda, etika dan tingkah'. Itu tajuk tesis yang saya pilih"

"Tajuknya amat ringkas. Tetapi jika awak sudah mula melakukan tugasan ini, pasti awak menyedari yang ianya bukanlah semudah yang disangka."

"Ya. Banyak perkara yang perlu diteliti. Sejarah, persekitaran, bahasa, kesenian, kebudayaan, sains dan teknologi."

"Awak tahu Maria. Sepanjang saya berada di sini. Awak adalah orang ke tiga yang memilih tajuk ini"

"Saya orang yang ke tiga? Wow! Betul ke?" apa yang dikatakan oleh Profesor Alex menarik perhatian Maria. Dia sedikit teruja.

"Tapi salah seorang daripada mereka telah menukar tajuk tesis ini."

"Kenapa?"

"Awak tanya saya kenapa?" soalan Maria tidak dijawab. Profesor Alex hanya ketawa kecil. "Mudah sahaja jawapannya. Sebab topik ini sukar." Jawapan yang diberi Profesor Alex agak selamba dan Maria sekali lagi tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Bagaimana dengan seorang lagi?" tanya Maria. Profesor Alex tidak terus menjawab. Raut wajahnya sedikit berubah.

"Dia sudah meninggal Maria"

"Sudah meninggal?" Maria terkejut dengan apa yang dikatakan oleh Profesor Alex.

"Ya Maria. Dia meninggal ketika dia sedang menyiapkan tesis ini."

"Saya tahu bukan mudah untuk meletakkan fail F.A.D.E ini apabila awak sudah mula membacanya" pantas Profesor Alex menukar topik perbualan.

"Ya. Saya sebenarnya kagum dengan apa yang ditulis di dalam fail itu tetapi saya masih kurang faham dengan Kentofes, Derof, Pemburu Emas dan beberapa nama lain di dalamnya. Ianya juga mempunyai cerita mengenai sejarah Pulau Ilusi yang sangat berbeza dengan apa yang saya pelajari di sekolah dahulu"

"Seseorang itu keliru kerana dia tidak tahu yang mana satu harus dipilih atau pun yang mana satu harus dipercayainya. Jika kamu keliru tentang perkara ini, saya fikir yang kamu sebenarnya tidak pasti sama ada apa yang kamu baca ini adalah benar ataupun khayalan semata-mata. Andaian kamu mungkin ianya merupakan satu manuskrip cereka yang akan diterbitkan tidak lama lagi atau satu parodi yang ditulis bagi melepaskan geram. Beritahu saya Maria, apa yang sebenarnya kamu fikirkan ketika kamu membacanya?"

"Saya rasa, ianya cuma satu cereka prof" kata Maria berterus-terang. Sekali lagi Profesor Alex tersenyum mendengar jawapan Maria.

"Awak silap Maria. Apa yang awak baca bukanlah satu cereka. Ianya satu sejarah. Apa yang kamu telah baca ini adalah perkara yang benar-benar terjadi."

"Apa yang prof katakan masih sukar untuk saya terima kerana apa yang tertulis di dalam F.A.D.E mempunyai cerita mengenai sejarah Pulau Ilusi yang sangat berbeza dengan apa yang saya pelajari di sekolah dahulu"

"Adalah mustahil untuk semua ini berada dalam mata pelajaran sejarah melainkan.....Kentofes dihapuskan"

"Apakah sebenarnya Kentofes? Terlalu banyak yang mengelirukan di sini. Seolah-olah, ada satu rahsia yang menyelubungi negara kita selama ini"

"Maria, saya ingin berkongsi sesuatu yang amat sulit sekali dengan kamu. Sesuatu yang telah menjadi rahsia negara ini untuk bertahun-tahun lamanya dan saya pasti, apa yang akan saya beritahu kepada kamu ini akan mengubah persepsi kamu dan sekali gus mengubah diri kamu sendiri"

"Perkara yang sulit dan rahsia?"

"Ya. Sesuatu yang amat sulit. Tidak ramai yang tahu mengenainya. Jika ada pun, bilangannya sedikit. Tetapi, kamu telah membaca fail ini dan saya perlu menerangkannya kepada kamu. Saya tidak mahu kamu terus tertanya-tanya selepas ini"

"Jadi apakah sebenarnya Derof?"

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.