Bab 21 : Beransur
Ikran bersama-sama Maya berjalan menyelusuri Taman Bunga Utama Pasadianka. Orang ramai ketika itu sedang sibuk menikmati keindahan taman bunga itu. Memang tidak dapat dinafikan, keindahan taman bunga itu memukau mata sesiapa sahaja yang memandang. Suasana pagi di situ juga amat tenang sekali. Kebanyakkan orang yang datang ke situ adalah penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran. Selalunya, mereka mengambil kesempatan untuk berjoging atau melakukan senaman ringan seperti Tai chi dan Yoga.
Ikran mula berasa penat, dia kemudiannya mengambil tempat duduk yang berhampiran dengan laluan pejalan kaki. Kehadiran Maya di situ membuatkan orang ramai kehairanan. Maya sememangnya lain daripada yang lain. Ikran juga tahu yang 'kupu-kupunya' itu agak jarang ditemui. Namun, Ikran dan Maya lansung tidak ambil peduli kerana apa yang penting adalah misi mereka.
Ikran dan Maya mengambil tempat duduk yang terletak berhadapan dengan skrin di Taman Bunga itu. Sejurus sahaja duduk, Ikran menjamah beberapa keping
roti yang dibelinya sebentar tadi. Matanya pula tertumpu kepada skrin yang menyiarkan iklan-iklan menarik mengenai Pasadianka. Orang ramai yang lalu-lalang di situ juga tidak melepaskan peluang mereka untuk menonton skrin besar itu terutama sekali pelancong asing yang baru sahaja menjejakkan kaki ke Pasadianka.
Namun, iklan-iklan yang menarik itu tiba-tiba diberhentikan. Skrin besar itu membawa perhatian orang ramai yang berada di taman itu kepada berita mengenai apa yang telah terjadi di PRASASTI. Berita mengenai pembunuhan Doktor Adam Raufal dan letupan yang berlaku di PRASASTI mengejutkan orang ramai. Semua yang berada di taman itu berhenti melakukan aktiviti mereka. Masing-masing mula memperkatakan mengenainya dan membuat spekulasi mereka sendiri.
Ikran memandang ke arah Maya dan memberi isyarat untuk segera beransur dari situ. Dia tidak mahu orang ramai yang berkumpul di situ menyedari kehadiran mereka di taman itu.