Home Novel Fantasi HARIS SI KUCING JADIAN
BAB 20

KOLEJ DELTA

 

            Haris menggaru-garu belakang tengkuknya sambil matanya meneliti setiap baris ayat yang telah diberi penambahbaikan oleh Razif. Selesai membaca salinan emel itu, Haris tersengih sendiri.

            “Bengong kau Razif, habis jadi bangang emel aku. Tapi lantak kaulah Razif, aku tak kisah dah. Yang penting, Amelia dah jinak dengan aku.”

            Harisbmengklik ikon “delete” dan kemudian mengklik ikon “shut down” di sudut kiri komputer ribanya. Dia menyambar telefonnya di atas meja tulis. Nombor Amelia dicari-cari. Setelah nombor Amelia ditemui, Haris teragak-agak pula hendak membuat panggilan. 

            “Rasa tak yakin pulak nak call dia. Walaupun dia dah bagi restu, tapi manalah tahu. Mungkin sekarang ni dia tengah sibuk. Tengah study ke, tengah buat assignment ke, tengah tangkap cicak ke, tengah masukkan cicak dalam baju Wawa ke.

Tapi kalau aku tak call dia malam ni, bila pulak aku nak call dia? Kalau tangguh-tangguh nanti hilang pulak momentum dia.Tapi kalau aku call dia, aku nak cakap pasal apa? Baru je tengahari tadi borak-borak dengan dia. Rasa boring borak dengan aku pun tak hilang lagi.

Adus… nak cakap pasal apa ni? Pompuan ni dia suka cakap pasal apa hah? Pasal artis kot? Tapi aku pulak tak minat cakap pasal artis. Ah, tak payah cakap pasal apa-apalah. Call dia, cakap selamat malam,lepas tu bye bye.” 

 

“Hello? Siapa ni?” Kedengaran suara perempuan menjawab panggilan.

“Hah? Err… ini Haris cakap. Itu Amelia ke?”

“Ya, saya Amelia. Awak nak cakap dengan siapa?”

“Err…saya nak cakap dengan awaklah.”

“Awak ni siapa?”

“Eh, saya ni Harislah.”

“Haris? Haris mana?”

“Eh budak Amelia ni, biar begedel!”

“Haris budak jahat tahun 80’an!”

“Ooo…Haris yang itu rupanya. Hah, ada apa awak call saya malam-malam ni?”

“Eh, kan Liya cakap malam-malam saya boleh call?”

“Eh, takdelah. Bila saya cakap macam tu?”

“Alah Liya ni, buat-buat lupa ingatan pulak.”

“Hehe, ada apa awak call saya ni?”

“Takde apa, saja nak ucap selamat malam untuk Liya.”

“Ooo...OK, cakaplah.”

“Apa dia?”

“Selamat malamlah! Tadi kan awak kata nak ucap selamat malam untuk saya.”

“Ni nak cakaplah ni.”

“Hah, cakaplah cepat.”

“Apa dia?”

“Selamat malamlah! Eeee… letihlah cakap dengan awak ni.”

“Hehe...eh Liya, saya baru dapat satu idealah, nak dengar tak idea saya?”

“Idea? Idea apa?”

“Err...hari Jumaat ni Liya habis kelas pukul berapa?”

“Hari Jumaat? Hari Jumaat saya habis kelas pukul lima. Ngapa?”

“Lepas kelas Liya ada nak pergi mana-mana tak?”

“Mmm...entahlah. Takde pergi mana-mana kot. Ngapa, ada apa?”

“Err...petang Jumaat ni kita pergi lepak-lepak dekat Tasik Universiti nak tak?”

“Hah, lepak dekat tasik? Nak buat apa?”

“Alah, boleh borak-borak, boleh tengok diorang main kayak.”

“Tak naklah, nyamuk banyak.”

“Takpe, nanti saya bawak ubat nyamuk.”

“Awak bawak ubat lagilah nyamuk tu suka.”

“Kalau macam tu, saya bawak katak pisang jelah. Lepas tu letak atas riba Liya, biar katak pisang tu tolong makan nyamuk yang nak gigit Liya.”

“Haha, daripada awak bawak katak pisang tu, baik awak bawak goreng pisang. Kalau tak habis makan, boleh bagi diorang bawak belayar dengan kayak.”

“Hehe...kelakarlah Liya ni. So, kira macam jadilah ni, kan? Liya kan? Kan?”

“Tengoklah nanti. Tapi saya tak boleh nak janji tau.”

“OK, thank you, domo arigato, selamat malam, bye! See you on Friday.”

“OK, bye.” 

 

Haris mematikan panggilan lalu meletakkan telefonnya di atas meja tulis. Dia bangun dari kerusi lalu pergi merebahkan badannya di atas katil. Haris meletakkan lengan kanannya di atas dahi sambil tangan kirinya mengusap-ngusap perut. Keenakan nasi ayam yang dimakan sebelum Maghrib tadi bercampur pula dengan keterujaan perasaannya akan potensi untuk beriadah bersama Amelia membuatkan Haris tenggelam dalam gelembung bahagia.

Namun begitu, gelembung bahagia yang membendung Haris itu tidak dapat bertahan lama. Ia pecah berderai sebaik saja Razif membuka pintu dan melangkah masuk ke dalam bilik.

“Assalamualaikum wahai my friend yang tak habis-habis berangan nak jadi kaya.” Razif menyapa Haris.

“Waalaikumsalam wahai my friend yang tak habis-habis menderat macam orang kaya.”

“Wei, malam ni dewan makan lauk apa?”

“Nasi ayam.”

“Nasi ayam? Huihh..sedap tu, ruginya.”

“Kau dah makan belum?”

“Dah. Aku makan nasi goreng kimchi.”

“Eh, macam best je bunyi dia. Kau makan kat mana?”

“Dekat warung depan rumah flat Rizal. Rizal ler yang ajak aku makan situ.” 

“Best tak?”

“Alah,macam nasi goreng biasa je. Cuma diorang masukkan kimchi dalam nasi goreng tu. Ada ler rasa masam-masam pedas sikit. Bestlah jugak kalau kau suka kimchi.”

“Ooo…eh, apa hal Rizal ajak kau makan kat situ? Mesti ada benda penting dia nak beritahu kau, kan?”

“Takdelah penting sangat cuma dia cakap sem depan ramai budak rumah dia nak keluar. So, dia tanyalah aku kita ni jadi ke nak stay luar sem depan. Kalau jadi, dia ajak kita join diorang.”

            “Eh, bagus sangatlah kalau macam tu. Rumah dah ada, tak payah nak cari-cari lagi. Tapi kenapa ek ramai yang nak keluar? Diorang bergaduh ke?”

            “Lebih kuranglah. Tapi takdelah sampai bertumbuk. Gaduh pakai mulut je.”

            “Gaduh pasal apa?”

            “Entah. Rizal cakap hand phone budak-budak rumah dia hilang. Ada ler dalam lima biji. Entah siapa yang curi. Lepas tu, biasalah, aku tuduh kau, kau tuduh aku.”

            “Hand phone je? Benda lain, laptop,tak hilang?”

            “Rizal cakap hand phone je, laptop semua diorang tak ambik. Tapi aku pernah cakap dengan Rizal, rumah diorang tu open house sangat. Kau bayangkan, dari pagi sampai ke malam, pintu rumah diorang tu tak pernah ada masa tutup. Selamba je terbukak ternganga macam tu. Kalau tutup pun time diorang semua pergi kelas.

            Duduk rumah flat kau tahu jelah, orang tak putus lalu lalang. Ada satu petang tu masa aku pergi rumah diorang, masuk-masuk tengok diorang semua tengah tidur. Dengan Rizal-Rizal sekali. Siap berdengkur lagi. Aku cakap kau, kalau ada badak sumbu sesat masuk pun diorang takkan sedar. Aku rasa badak sumbu tu dengan selamba je boleh pergi dapur buat nasi goreng. Lepas tu lepak-lepak depan TV sambil tengok drama Melayu.”

            “Hehe... siap main Playstation lagi.”

            “Ah-ah, badak sumbu main Playstation. Macam itulah tahap keterbukaan rumah diorang. Lepas tu ada satu lagi keterbukaan yang melampau dekat rumah diorang. Siapa-siapa pun boleh bawak kawan yang entah dari mana datang lepak, makan-makan, tidur rumah diorang. Memang betul-betul boleh buat macam rumah sendiri. Yang datang lepak pulak bukan semuanya student. Drug dealer ada, bookie bola ada, bapak ayam ada, tok bomoh nombor ekor pun ada.”

            “Iya? Memang bapak segala open house tu!”

            “Ah-ah. Aku rasalah, kalau kita nak join duduk rumah diorang, kita kena bincang betul-betul dengan Rizal. Kena overhaul balik siapa yang betul-betul sesuai jadi housemate kita. Aku tak nak housemate yang kepala bangang, jenis yang kita cakap apa pun dia buat bodoh je. Jenis yang susah nak bagi tunjuk ajar, dia pikir dia je yang betul, orang lain semua tak betul.”

            “Aku pun memang meluat dengan orang yang macam tu. Ada sorang yang aku kenal tu, macam itulah perangai dia.”

            “Iya? Siapa? Classmate kau ke?”

            “Taklah, kau tak kenal dia. Perangai dia tu selalu buat aku jadi bengang.”

“Memang bengang kalau dapat housemate yang perangai macam tu. Duduk rumah sewa ramai-ramai ni kena ada peraturan, kena ada toleransi. Kalau tak, memang takkan bertahan lama. Mesti jadi bergaduh, bertumbuk sudahnya. Aku tak nak terbabit dengan benda-benda macam ni. Aku datang sini nak belajar, bukannya nak bertumbuk. Kalau nak bertumbuk, dah lama aku masuk MMA Academy.”

            “Betul jugak kata kau tu. Nanti bila ada masa, kita pergi rumah Rizal. Kita bincang elok-elok dengan Rizal pasal ni.Sambil tu bolehlah lepak dekat warung depan rumah flat Rizal tu. Aku rasa macam nak trylah nasi goreng kimchi tu.”

 “Okeylah kalau dah macam tu. Aku nak pergi mandi dululah, berlengas-lengas je rasa badan aku ni. Eh, Amelia macam mana? Dah balas emel kau?”

“Belum.Tapi tadi aku jumpa dia dekat Kafetaria. Aku cakap dengan dia, tak payah balas sebab dah jumpa dia.”

“Dia takde komen apa-apa ke pasal emel kau tu?”

“Takde eh. Dia cakap dia happy gila baca emel aku.”

“Iya? Betul ni?”

“Pasal apa kau nak tahu sangat reaksi Amelia? Ke kau ada usik emel aku ke apa?”

“Eh, tak adalah! Takde seleralah aku nak usik-usik emel kau tu! Wei, kau betul-betul serius ke dengan Amelia ni, Ris?”

“Serius la kot. Aku bagi contoh senang. Bagi aku, Amelia tu macam wifi. Bila aku dekat je dengan dia, aku dapat rasakan bagai ada satu connection antara aku dengan dia. Kau faham kan maksud aku?”

“Tak tahulah Ris. Aku dapat rasa macam suatu hari nanti dia akan kecewakan kau. Kau tak pernah rasa putus cinta lagi, kan? Teruk Ris akibat putus cinta ni. Ada member aku masa zaman sekolah dulu hari-hari hisap ganja nak lupakan ex-girlfriend dia. Tapi oleh kerana dia otak bisnes, daripada penagih ganja, dia upgrade jadi pengedar. Lama-lama satu Kota Bharu ganja punya supply dia kontrol. Siap bukak cawangan lagi dekat Chow Kit. Dengar cerita sekarang ni dah jadi jutawan. Pompuan keliling pinggang.”

“Apa tujuan cerita kau ni? Kau nak bagi pengajaran ke, nak bagi motivasi?”

“Apa-apa jelah. Masa depan kita, susah nak ramal. Yang penting, kau kena ready selalu.Kalau dah Amelia pilihan kau, kau kena ada perancangan yang jelas. Dalam tilikan akulah, Amelia ni termasuk dalam kategori burung merpati, nampak jinak tapi susah nak tangkap. Nak tangkap dia kau kena kerja keras sikit. Kalau tak,kempunanlah kau!”

“Aku tahulah semua tu Zip. Aku dah ada dah rough idea strategi nak tawan hati dia.”

“Hmm…bagus tu. Bunyi macam confident je. Good luck to you, aku nak pergi mandi dulu.”

Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh JACK EL JAMILY