Home Novel Fantasi Surat Untuk Azazil
Surat Untuk Azazil
Osman Deen
17/12/2019 19:41:35
30,170
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Malik#3

Kau tahu Azazil?

Memang satu perkara bodoh untuk aku tuju surat ini kepada kau. Surat kepada Azazil? Kah! Apa yang aku ingat boleh jadi? Kau akan membalas surat ini dan Abah sembuh? Dengan tiba-tibanya semua benda kembali seperti asal semula sewaktu kau bahagia? Simpan angan-angan itu. Lebih baik kau berdoa kepada Tuhan.

Surat-surat ini hanya satu cara untuk kau melepaskan kemarahan kepada Tuhan. Siapa kau untuk menidakkan ujian dan mengalah dari terus bertahan? Bagaimana aku mahu bertahan kalau suara-suara di dalam kepala aku ini lansung tidak memberikan ruang?! Aku bangun tidur, mereka ada. Aku makan, mereka ada. Aku mahu beribadah pun, mereka ada.

Lepaskan aku. Cukuplah menjaga Abah sudah aku mula rasakan sebagai beban. Tak perlu suara-suara asing ini mengiyakan setiap tomahan yang aku berikan kepada diri sendiri. Aku berdoa agar semua ini tamat. Agar suara-suara asing itu tidak terus gamat. Aku terus berdoa. Dengan harapan Tuhan akan mendengar.

adakah Dia mendengar?

Lihat saja Ibu. Kerana aku perlu menjaga Abah, Ibulah yang berkerja, mencari duit untuk keluarga kami. Setelah seharian penat berkerja, sebaik sahaja pulang ke rumah, Ibu akan terus ke dapur untuk sediakan makan malam. Sudah banyak kali aku tawarkan diri untuk memasak atau kalau tidak pun, beli saja makanan di luar. Ibu tetap katakan tidak. Memasak memberi ketenangan padanya.

Aku tidak pasti jika Ibu benar tenang. Setiap kali Abah meminta maaf, Ibu hanya tersenyum dan mengusap wajah Abah. Ibu katakan tidak mengapa. Kalau bukan Ibu dan Malik, siapa lagi yang mahu menjaga Abah? Adik-beradiknya semua hilang entah ke mana. Sudah lama Abah yang menjaga kami, giliran kami perlu menjaga Abah. Kata Ibu. Kalau lihat tubuhnya pun kau tahu, wanita ini telah berkerja terlalu keras sehingga memakan dirinya. Muka ibu semakin cengkung. Badannya semakin kurus. Senyumnya dipaksa.

Kau tahu Azazil?

Ada satu malam, aku terbangun kerana ingin ke tandas. Baru saja aku melangkah turun dari katil, aku terdengar esak tangis seseorang. Aku berjengket ke bilik Ibu dan Abah, dan menekupkan telinga di pintu mereka. Ibu sedang menangis. Aku lihat dari celahan pintu Ibu sedang khusyuk berdoa di atas sejadah memakai telekung. Wajahnya sudah kemerahan. Tangisnya ditahan-tahan. Dia berdoa supaya dipermudahkan urusan kami. Supaya Tuhan terus memberi kekuatan kepada kami. Supaya Abah akan sembuh.

Tapi Abah tak akan sembuh.

Tak mungkin Abah akan sembuh lagi. Itu apa yang doktor-doktor di hospital katakan. Tiada lagi peluang. Doktor sehingga memberi pilihan kepada kami sama ada ingin Abah tinggal di hospital atau di rumah. Dan aku ingat lagi, ada seorang doktor muda. Berbangsa Cina, namanya aku lupa. Dia murah dengan senyuman di dalam wad dan selalu menjenguk Abah. Apabila dia mengetahui keadaan Abah, dia sendiri tidak dapat menahan hiba. Dia hilang sebentar dan kembali dengan mata merah.

Kau tahu Azazil?

Setiap kali kami perlu membawa Abah keluar, mungkin kerana temujanji di hospital, atau untuk mengambil angin di luar, aku yang perlu mengangkat Abah ke atas kerusi roda. Pada awalnya, semua baik saja.

Tapi lama kelamaan, aku mulai sedar yang tulang belakang aku sakit. Aku diamkan saja. Aku tak beritahu Ibu. Aku tak mahu dia lebih risau. Walaupun ada hari-hari yang aku terpaksa menongkat diri untuk bangun juga. Walaupun ada masa aku terpaksa solat duduk di atas kerusi kerana sudah tak mampu membongkokkan badan. Maka, aku tidur dengan sakit belakang yang semakin menyucuk. Aku malu dengan Ibu yang lebih berkerja keras dari aku.

Aku sayang Abah dan Ibu tapi aku sudah penat Azazil. Aku penat, bodoh dan tak tahu apa yang aku patut lakukan sekarang. Mungkin ini satu petanda.

Untuk aku tamatkan semuanya.


Previous: Malik#2
Next: Kuntum1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Osman Deen