Home Novel Fantasi Surat Untuk Azazil
Surat Untuk Azazil
Osman Deen
17/12/2019 19:41:35
30,175
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Kuntum3

Ke hadapan, Malik.

Kalau kau sedang membaca surat ini, maknanya aku sudah pergi meninggalkan dunia. Pergi dalam kata erti, aku telah mati. Ya, mati. Aku mengambil keputusan untuk menulis surat ini setelah cucu aku, Orkid berjaya menemukan kau.

Hanya dia yang mempercayai cerita tentang kita berbalas surat melalui buku Nur A. lalu aku sampaikan amanat kepada dia untuk mencari kau. Ya, Orkid yang kau kenali dan sudah berkawan itu adalah cucu aku.

Sudah terlambat untuk aku mencari kau kerana masa aku sudah semakin suntuk. Maka aku tinggalkan dia untuk membantu kau. Harapnya kau tidak bosan pula dengan kerenahnya. Ini saja yang aku mampu lakukan untuk kau.

Masa akan terus berjalan tanpa aku. Jadi terus melangkah Malik. Aku tahu kau mampu. Sekarang sudah ada Orkid di sisi kau. Akhirnya aku boleh pergi dengan tenang. Lucu sekali takdir kita. Rupanya kita terpisah jauh dalam ruang dan masa.

Aku lahir pada 10 November tahun 1949. 51 tahun sebelum kau lahir ke dunia ini. Pada ketika aku menulis surat ini, aku sudah berumur 66 tahun. Dan mungkin aku hanya punya beberapa tahun saja lagi untuk hidup.

Mungkin kau terfikir, mengapa aku tidak berjumpa saja dengan kau sementara masih hidup ini bukan? Aku sangsi kau akan percaya dengan cerita aku. Bayangkan seorang nenek, yang entah datang dari mana, datang kepada kau dan katakan yang dia pernah mendapat surat dari kau melalui celahan buku.

Tak kah pelik. Mahu aku di buangnya ke dalam wad sakit jiwa. Lagi pun, setahu aku melalui cerita-cerita Orkid tentang kau, ayah kau masih hidup dan sihat. Lalu mengapa aku begitu yakin yang kau akan melalui waktu-waktu getir sepertimana yang kau ceritakan dalam surat-surat yang lalu?

Aku hanya percaya, Malik. Dan sungguh, jika pun ayah kau akan terus sihat dan kau tidak perlu melalui saat-saat payah itu, lebih baik bukan? Sekurang-kurangnya hidup kau berteman dengan adanya Orkid. Dan sekurang-kurangnya Orkid punya peluang merasa kembali kasihnya seorang ayah.

Kau mungkin akan hairan mengapa Orkid begitu gigih membantu kau. Begitu gigih mendekati kau. Untuk cerita itu, biar Orkid yang khabarkan kepada kau. Keluarga kami terhutang budi besar kepada kau. Dan hanya aku tahu mengapa.

Tidak aku ceritakan kepada sesiapa kerana tidak mahu dipandang seperti perempuan gila. Apa yang kau telah lakukan? Bila sampai masanya, kau akan tahu. Kalau tidak, kau tak akan membaca surat ini kerana aku sudah mati di umur yang lebih muda.

Mati, mati, mati. Lucu apabila yang memisahkan kita hanya satu perkataan, mati. Kerana aku bakal mati, kita tidak dapat berjumpa. Maaf kerana aku terpaksa memungkiri janji. Lawatlah aku di pusara kelak.

Jangan biarkan Orkid menangis lagi. Aduh, air mata turun juga ya. Jagakan Orkid, Malik. Aku yang tua ini sudah mahu pulang ke pangkuan Tuhan. Doakan aku. Moga kita dapat berjumpa di sana, sahabat.

Alangkah indahnya hari ini Malik. Langit berawan dan matahari menyinar redup. Bayu petang yang tenang menyapa muka aku saat surat ini ditulis. Orkid sedang tidur di atas sofa. Aman sekali mukanya.

Seronok dia bercerita pabila akhirnya dia dapat bertemu dengan kau. Jagakan dia untuk aku ya? Budak ini baik tapi kasihan, sudah tidak berayah. Tapi aku suruh dia rahsiakan dulu perkara ini. Belum sampai masa untuk kau ketahui tentang aku.

Malik,

Alangkah indahnya hari ini jika kita dapat bertemu.

Namun aku mohon maaf,

Kerna aku perlu pergi dulu.

Sekian,

Kuntum.


Previous: Kuntum2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Osman Deen