Home Novel Cinta DiBius Cinta Encik Arahan
DiBius Cinta Encik Arahan
Nkal
22/5/2018 10:50:28
33,683
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

BAB 1


“ Selamat pagi Cik Adilla. Maaf saya menggangu."

“ Ya Intan. Ada apa ya?”Adilla masih khusyuk menyemak kertas kerja yang disiapkan sebentar tadi. Esok dia akan bentangkan kertas kerja ini di dalam mesyuarat pengurusan syarikat.

“ Bukan ke petang ni Cik Adilla ada temujanji dengan Mr Wong tentang pemasangan CCTV di pejabat kita?”Intan mengingatkan Adilla.

Adilla menepuk dahinya perlahan.

“ Allah, Saya terlupa la Intan. Nasib baik awak tolong ingatkan. Emm pukul berapa temujanji saya dengan Mr Wong?” Pantas Adilla menyimpan semua dokumen-dokumen yang berselerak di atas meja. Sejak menjawat jawatan Ketua Eksekutif  Teknologi Maklumat di syarikat Insky Copration, kerjanya kian bertambah. Macam-macam urusan yang perlu diselesaikan. Mungkin satu masa nanti dia akan usulkan pada CEO syarikat ini.

“ Mr Wong dalam perjalanan. Lima belas minit lagi dia sampai.” Ujar Intan, selaku pembantu merangkap setiausaha Adilla.

“ Oh! Ok.” Adilla mencapai dokumen yang berkaitan. Intan turut membantu Adilla mengemas mejanya agar kembali kemas seperti biasa. Fail-fail yang bertimbun di atas meja tadi sudah disusun seperti biasa di tempat asalnya.

“ Emm, terima kasih Intan. Nanti kalau Mr Wong sampai awak maklumkan pada saya.”Arah Adilla lembut.Membetulkan shawlnya agar tampak kemas dan selesa.

“ Baiklah Cik Adila. Tapi, Cik Adila belum makan lagikan?”

Inilah sikap Intan yang paling Adilla sanjungi. Sentiasa mengambil berat tentang dirinya. Walaupun Intan cumalah pembantu peribadinya di pejabat, namun Adilla menghargainya lebih dari itu. Dia seperti seorang sahabat yang sentiasa mengambil berat tentang kawannya. Sama seperti Natasha. Yang sentiasa menyayangi sahabatnya. 

Sudah lama Adilla tidak bertemu Natasha. Yelah, masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri. Tamat sahaja latihan praktikal masing-masing membawa haluan sendiri. Ada juga masa mereka bertemu dahulu. Namun sekarang semuanya terbatas. Tidak seperti sebelum terikat dengan kerja. Tambah lagi mereka tinggal di berlainan negeri, semakin payahlah untuk bertemu. Hanya skpye dan whats’up yang menjadi penghubung mereka berdua sehingga kini.

“Terima kasih Intan. Nanti lepas habis perbincangan dengan Mr Wong saya pergi makan. Awak jangan risau ya.”

“ Kalau macam tu baiklah. Saya keluar dulu.” Pinta Intan mesra.

Adilla mengangguk membenarkan Intan keluar.

“ Emm, Intan..” Intan berpaling sejurus mendengar panggilan bosnya.

“ Kalau ada sesiapa telefon atau nak berjumpa dengan saya, bagitahu saya sedang meeting ya. Dan jangan lupa….

“ Ambil nama, dari mana dan atas urusan apa.” Pintas Intan laju.

Adilla ketawa kecil. Intan sudah mula faham kehendaknya sekarang. Nampaknya Intan memang peka dengan setiap perkara yang Adilla arahkan pada dia. Punya pembantu seperti Intan seakan ringan sedikit beban yang dipikul.

“ Err Intan.” Panggil Adilla lagi.

“ Ya Cik Adilla.” Intan berpaling. Menunggu apa yang ingin disampaikan Adilla.

“ Tolong buatkan kopi untuk tetamu kita nanti boleh? Mak Cik Siah cuti hari ini." Perlahan Adilla meminta pertolongan Intan. Risau Intan fikir yang bukan-bukan pula nanti.

Kerja setiausaha tiba-tiba kena buat kopi. Apa kelas??..

Intan tersenyum. “ Saya baru nak ke dapur buatkan kopi untuk tetamu kita. Cik Adilla ni macam tahu-tahu je.” Seloroh Intan membuatkan Adilla tertawa kecil.

“ Oh yake? Thanks Intan.”

Ucap Adilla menarik nafas lega. Hilang terus semua prasangka buruknya. Adilla beristighfar di dalam hati. Tidak pasal-pasal dia berprasangka negatif pada Intan sebentar tadi.

“ Sama-sama Cik Adilla.” Balas Intan perlahan.

“ Ada apa-apa lagi Cik Adilla?” Soal Intan sebelum dia melangkah keluar.

“ Tak ada Intan.” 

Intan menutup perlahan pintu bilik Adilla. Segera langkahnya diatur ke pantry pejabat Insky Copration bagi menyediakan kopi untuk tetamu mereka nanti.

Adilla menyandarkan badannya ke kerusi empuk. Dia cuba merehatkan otaknya yang seakan penat memikirkan soal kerja yang semakin bertimbun. Ingin sahaja dia memohon cuti panjang dengan majikannya namun memikirkan kerja-kerja yang perlu diselesaikan segera mengikut jadual Adilla terpaksa membatalkan hasratnya itu. Adilla cuba memejamkan matanya.

Ingatan pada Daniel menjelma lagi. Entah kenapa dari semalam wajah Daniel seakan menggangu tidur Adilla. Sudah lama Adilla tidak berhubung dengan lelaki itu. Kali terakhir bertemu Daniel dua tahun lepas. Semasa Adilla meluahkan isi hatinya pada Daniel. 

Emm mungkin juga Daniel sudah punya teman sekarang. Adilla percaya Daniel kini sudah punya kerjaya sendiri. Dan sudah tiba masa untuk Daniel mencari teman hidup. Adilla membiarkan sahaja ingatan itu berlalu seketika. Ada kerja penting yang harus diselesaikan seberapa segera.

Pertemuan dengan Mr Wong petang ini berjalan lancar. Sebut harga pemasangan CCTV akan dikeluarkan secepat mungkin. Kos bagi semua peralatan seperti kamera, main power dan komputer bagi menyelenggara kamera menelan berlanja hampir RM 60,000 bagi sebuah syarikat ini. Semua ini akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat esok.

“Cik Adila..”

Intan menghulurkan sebungkus polistrine bersama segelas air sirap limau. Adilla mengerut dahi melihat makanan yang sudah sedia di atas meja kini. Tiada apa yang mampu Adilla ucapkan pada Intan.

“ Intan. Saya boleh pergi sendiri beli semua makanan ni.” Ujar Adilla jujur. Dia serba salah sebenarnya. Adilla tahu Intan ikhlas membelikan semua makanan-makanan ini. Tapi..

“ Cik Adilla. Saya tahu Cik Adilla serba salahkan? Jangan risau saya buat semua ni ikhlas, bukan bertujuan untuk membodek Cik Adilla.”Seloroh Intan.

 Intan membantu membuka polisterin yang berisi nasi putih, seketul ayam goreng, sambal belacan, sayur kacang dan gulai ayam. Bau makanan yang dibeli Intan itu cukup membangkitkan selera Adilla yang sememangnya tengah kelaparan sekarang.

“ Saya tahu awak bukan macam tu Intan.” Cepat Adilla memperbetulkan tanggapan Intan itu.

“ Cik Adilla makanlah. Saya tahu Cik Adilla takkan makan selagi kerja-kerja ni semua tak selesaikan?” 

“ Terima kasih Intan.”

“ Tak payahlah nak berterima kasih dengan saya Cik Adilla. Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan Cik Adilla makan dan sihat selalu. Nanti kalau Cik Adilla sakitkan susah. Silap-silap satu organisasi ni tutup.” Gurau Intan mesra. Adilla ketawa kecil. Lucu mendengar keletah Intan yang bersahaja.

“ Awak ni Intan..ada-ada je. Kalau macam tu awak cadangkan pada Encik Zahim tu supaya dia ambik pembantu untuk saya. Barulah ringan sikit tugas saya ni.” Adilla memberi cadangan pada Intan. Nasi di hadapannya dijamah perlahan.

“ Oh, sebut pasal Encik Zahim. Baru saya teringat. Dia nak jumpa Cik Adilla pagi esok. Sebelum mesyuarat. Intan menyampaikan pesanan yang baru dingatinya.

“ Awak ada tanya untuk apa dia nak jumpa saya?” Soal Adilla cuba mendapatkan kepastian.

“ Ada. Dia cakap nak bincang pasal CCTV nilah.”

Nasi di dalam mulut ditelan perlahan-lahan. Adilla hairan. Untuk apa diadakan mesyuarat sekiranya Encik Zahim ingin bertemunya semata-mata membincangkan hal yang sama. Bukan ke itu perkara yang sama dilakukan pada masa satu hari.

Adilla mengeluh bingung.

“ Cik Adilla..saya keluar dulu. Saya nak siapkan beberapa dokumen untuk Cik Adilla bentangkan pagi esok.”

“ Aaaa…ok. Semua maklumat yang saya inginkan ada dalam ni. Awak tolong buat macam biasa ya.” Intan mengangguk faham sambil mencapai kertas yang dihulurkan.

“ Baiklah Cik Adilla.” Intan menyambut pen drive yang diberikan kepadanya.

Intan bangun meninggalkan Adilla keseorangan termangu di kerusi empuk. Fikirannya ligat memikirkan tujuan sebenar Encik Zahim ingin bertemu dengannya awal pagi esok sambil menghabiskan sisa-sisa nasi yang hanya tinggal beberapa suap sahaja lagi.

***************

               Adilla menutup bekas polisterin. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Adilla mencapai tetikus di sebelah kanan lalu mengerakkannya pada satu folder yang terletak di dalam partion E. Adilla menekan butang tetikus sebanyak dua kali pada folder kenangan. Satu persatu gambar yang tersimpan di dalam folder itu dilihat. Kerinduan dia pada zaman sewaktu di universiti semakin menebal. Matanya tiba-tiba terpaut pada seraut wajah yang pernah menjadi igauan dia dahulu.

Semakin hari ingatan aku pada kau semakin mendalam..Detik hati Adilla.

“ Awak tak pernah memberi peluang untuk saya meluahkan perasaan saya. Awak tak pernah memberi ruang untuk saya merasai cinta awak. Awak tak pernah membalas apa yang saya berikan. Setiap kali saya meluahkan isi hati, awak seakan mengelak. Menjauhkan diri dari saya. Awak bawa jauh hati saya. Bila saya cuba menjauhkan diri dari awak, awak datang pada saya.  Memberi sebuah harapan.Tetapi itu semua tak lama. Awak terus membiarkan saya terkapai-kapai mencari cinta awak. Awak tak pernah izinkan perasaan di hati saya untuk mendampar di lubuk hati awak. Kejam ke saya seandainya saya mencintai awak? Hinakah saya seandainya perasaan ini hadir dalam diri saya? Saya tak pernah meminta perasaan ini hadir dalam hati saya.” Perasaan Adilla berbisik. Sayu sekali. Sesayu malam tanpa bintang, siang tanpa cahaya mentari. Kelam bagaikan dunia tidak bercahaya. Isi hati yang terpendam selama berbulan lamanya diluahkan. Perasaan yang cuba ditipu dengan satu ikatan persahabatan cuba diungkaikan. 

“ Bukankah kita ditakdirkan untuk menjadi sahabat? Awak juga setuju dengan ikatan ini bukan?” Daniel bersuara. Apakah dia bingung. Atau dia cuba untuk terus menyembunyikan perasaan sebenar hatinya

“ Ya! Memang hubungan ini tidak lebih dari seorang sahabat. Memang saya yang minta. Tapi semua ini saya lakukan kerana awak!! kerana awak Daniel.”Luah Adilla menahan kesakitan di hati.

Daniel terkesima.Memandang Adilla, cuba mencari satu kepastian. Adilla tahu Daniel tahu apa yang bermain di dalam perasaannya selama ini. 

“ Saya tak sanggup tanamkan sebuah harapan yang tak mungkin terjadi. Saya tak sanggup merindu pada yang tak memberi. Saya tak sanggup mengharap pada yang belum pasti dan saya tak sanggup menyintai pada yang tak sudi.” Tepat anak mata Daniel direnung.

Perasaan Daniel terus berlagu. Berlagu dengan irama yang kosong. Tanpa alunan muzik, tanpa suara, tanpa lirik yang meluahkan kata-kata romantis. Yang lahir dari jiwa yang tulus dan suci. 

“ Maafkan saya Adilla. Saya faham maksud hati awak. Tapi..” Berat hati Daniel meluahkan kata-kata yang ingin disampaikan. Bimbang hati Adilla yang sudah sedia terluka terus dirobek dengan sembilu berbisa.

“ Saya faham. Awak tak perlu melafazkan apa yang ingin awak sampaikan. Cukup sampai di sini. Saya akan cuba membuat hati saya mengerti erti sebenar perhubungan kita. Saya akan belajar untuk menerima awak sebagai seorang sahabat dan bukannya sebagai seorang kekasih.”

“ Awak memang sahabat yang baik. Awak banyak mengajar saya erti sebuah persahabatan. Terima kasih kerana menghormati saya sebagai seorang sahabat. Saya menyanjung tinggi keperibadian awak. Kejadian malam itu tidak pernah meragut kesetiaan awak pada seorang sahabat. Luhurnya hati awak. Tak mungkin saya bertemu seorang sahabat seperti awak. Terima kasih untuk segalanya, Daniel.” Adilla puas. Walaupun hatinya berlagu sedih namun alunannya tetap menghiburkan hati yang lara. Walaupun cinta yang diungkapkan tidak berbalas namun kejujuran seorang sahabat mengubati hati yang berduka dan sedih. 

Buat pertama kalinya Daniel memandang tepat ke dalam mata Adilla. Berdegup jantung Adilla, berirama kencang sepantas kilat yang menyabung. Dilontarkan satu senyuman yang cukup bermakna buat gadis itu. Adilla membalas tanpa dipinta. Mata Daniel direnung sayu. Adilla tahu dia tidak akan memiliki sepasang mata ini lagi. Untuk terakhir kalinya biarlah dia merenung mata itu sepuas-puasnya sebelum ia hilang dari pandangan nanti.

“ Adilla. Ingat pesan saya. Jangan putus asa dalam mencari cinta. Jangan jadikan kekecewaan sebagai batu penghalang untuk awak merasai nikmat sebenarnya cinta. Bukalah hati awak untuk seseorang yang mencintai awak lebih daripada awak mencintai dia.” Begitu berkesan nasihat itu sehingga cepat ia meresap masuk ke dalam jiwa. Adilla mengangguk yakin.

Satu pesan Adilla sebelum Daniel melangkah pergi.

“ Awak, seandainya saya di hati awak. Dan seandainya awak teringatkan saya atau merindui saya. Pandanglah ke arah langit. Andai waktu itu di siang hari, pasti wajah saya akan kelihatan disebalik awan biru yang berarak mengukir corak-coraknya dengan senyuman yang cukup manis. Dan andai waktu itu dimalam hari, pasti awak akan melihat keceriaan saya seindah rembulan yang tersenyum ketika itu.”


Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.