Home Novel Cinta DIALAH CINTA HATIKU
DIALAH CINTA HATIKU
7/8/2014 13:29:47
89,022
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

3

“TAPI, itu kemahuan kau jugak ke, Ju?” tanya Zila, teman baikku ketika di kolej sehinggalah masing-masing berkarier.

Aku diam. Enggan mengulas kata-katanya. Dalam tempoh tiga bulan sahaja lagi aku bakal menjadi tunang Rizan dan seterusnya kemudian menjadi suri hidupnya dalam tempoh tidak sampai setahun. Ya, itu kemahuan dia. Kemahuan mamanya, kemahuan mamaku juga dan juga kemahuan kedua-dua belah keluarga.

“Mestilah. Siapa yang tak mahu kahwin?” balasku bersahaja.

Zila memandangku. Dia mengeluh perlahan.

Aku pandang temanku itu kembali. Ketika itu aku dan dia sama-sama sedang menikmati hidangan tengah hari. Aku tersenyum geli hati melihat kekalutan pada wajahnya. Kenapa aku yang nak bertunang tapi dia yang berkeluh kesah? “Kau ni kelakarlah, Zi. Aku yang nak bertunang, kau pulak yang kalut semacam.”

“Kau ni kan... aku cakap serius kau pulak main-main dengan aku. Yalah, aku saja nak pastikan kalau kau betul-betul dah bersedia nak bertunang dengan si Rizan tu.” Zila menjeling ke arahku tajam.

Aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Sudah acap kali isu ini dibicarakan. Aku tidak tahu bagaimana hendak menyakinkan dirinya lagi. “Aku dah lama kenal dia, beb. Dah bertahun-tahun aku dengan Rizan. Dia sayang aku, setia, selalu protect aku, tak pernah sekali pun dia sakitkan hati aku. Kau pun kenal dia. Jadi siapa lagi lelaki yang boleh dijadikan suami pada aku, sebaik dia? Dia dah jadi sebahagian hidup aku. Jadi aku rasa...” Aku terdiam, tidak mampu menyampaikan maksudku. Tapi apa yang aku cuba sampaikan kepadanya, jelas. Biarpun aku tidak mampu untuk menghabiskan ayatku sendiri, tetapi ternyata apa yang aku luahkan kepadanya menunjukkan alasan kukuh yang aku bersedia mengahwini Rizan.

“Kau rasa dia yang paling sesuai jadi suami kau?” Zila menghabiskan ayatku. “Kalau apa yang kau rasa sama macam yang Rizan rasa, aku doakan kau bahagia, Ju.”

Sebaik Zila berkata sedemikian, dadaku berombak kencang. Kata-katanya seolah mencuit satu ruang dalam perasaanku. Aku seharusnya rasa senang dan gembira kerana teman baikku sedari kecil ini mendoakan kebahagiaan aku dengan Rizan. Namun apa yang aku rasa adalah sebaliknya. Namun aku pantas tepis perasaan tersebut.

“Alhamdulillah…, amin. Tapi kenapa aku tengok muka kau saja yang tak gembira. Cakap dengan aku terus terang, kau tak suka aku dengan Rizan ke? Ada apa-apa yang aku tak tahu kau tahu?” Aku menduganya.

Teman baikku yang bukan sekadar teman baik sahaja, malah teman seribu macam rahsia tentang diriku hanya mencebikkan bibirnya. “Aku okey aje. Tak ada apa-apa pun.”

Aku tidak puas hati dengan jawapannya. “Cakap terus terang. Aku tak suka kau cakap macam tu pada aku. Macam ada benda kau sorokkan dari aku.”

“Tak adalah...” Dia berbasa-basi dengan muka bersahaja.

Aku semakin tidak senang dengan sikapnya itu. “Zila! Aku tak suka kau macam ni. Aku dah nak bertunang dengan dia, okey. Kau kenal Rizan, kan? Kau tau dia sayangkan aku. Jadi apa masalahnya ni?” dengusku, mula bertegas dengan sikapnya yang sungguh mencurigakan.

Zila yang sedang makan, terhenti dan memandang tepat ke arahku. Dia meletakkan sudu dan garpu di pinggan, lantas meneguk sedikit jus oren di gelasnya. Aku berasa mula tidak menahan perasaan dengan tingkahnya yang tenang, melakunya satu per satu, membiarkan aku menanti dengan hujahnya. Atau dia sebenarnya mengumpul ayat yang hendak diberitahunya? “Macam nilah... straight to the point. Aku tahu, Rizan sayang kat kau. Cinta kat kau. Kau pun sayang kat dia.”

“Betul! Aku memang sayang kat Rizan. Jadi apa masalahnya?” Aku mula keliru dengan caranya.

“Tapi, beb... aku tak pasti sayang kau pada Rizan sehebat sayang Rizan pada kau,” katanya sambil memandangku tajam, tidak berkelip.

Aku tersentak. Entah kenapa, kenyataan itu membuatkan jiwaku sedikit terganggu. Aku tidak suka dengan kata-katanya. “Aku tak percaya kau sanggup cakap macam tu pada aku.”

Zila pantas membetulkan kata-katanya, “Ju, ini pandangan ikhlas aku pada kau. Kau kawan baik aku. Kita bukan sehari dua kenal. Dari kita tadika sama-sama, sekolah rendah, menengah, masuk universiti pun sama-sama. Kau ingat aku ni suka nak mengada-adakan cerita?”

“Aku tak faham,” ujarku menggeleng-gelengkan kepala. Giliran aku pula meneguk minuman aisku.

Zila menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum dia kembali memberi penjelasannya. “Aku bukan nak kau sekadar dengar apa yang aku cakapkan ni, tapi aku nak kau jugak fikir dan tanya betul-betul pada diri kau pasal hal yang aku nak cakap ni. Ju, bertunang, bernikah, berkahwin... bukan hal kecil, kau tau tak? Ini pasal diri kau, masa depan kau, hidup kau, maruah kau. Maruah kau termasuk maruah mak bapak kau dengan keluarga kau. Ini bukan hal main-main, Ju.”

Aku tidak mengerti. “Apa maksud kau ni?”

“Sayang dengan cinta, dua perkara berlainan, Ju.”

Aku mengerutkan dahi. “Aku tak nampak pun dua perkataan tu jauh berbeza. Kalau berbeza pun, kenapa?”

“Kau betul-betul tak faham, kan?” Zila mendugaku secara terang-terangan.

Aku mengerutkan dahiku memandang dirinya. “Zila, aku tak nampak perbualan kita ni ke mana. Andaikan saja begini... dalam perasaan sayang, ada cinta. Begitu juga dengan perasaan cinta, mesti ada rasa sayang.”

Zila ketawa setelah seketika terpegun mendengar kata-kataku. “Kau masih tak faham lagi, kan?”

Aku memandangnya dengan perasaan tidak senang. Aku mula rasa, dia keterlaluan dalam hal ni. “Beb, pasal aku dengan Rizan... aku tak rasa kau tahu tentang apa yang aku rasa pada dia, okey? Ya, aku tahu kau kenal aku sejak kecil lagi, tapi hubungan aku dengan Rizan, kau tak tahu. Kau tak boleh baca perasaan aku pada Rizan.”

Zila mengeluh. “Dengar cakap aku dulu, Ju. Kau jangan ambil hati dengan apa yang aku nak cakap ni. Sumpah, demi ALLAH, aku tak ada niat langsung nak huru-harakan hubungan kau dengan Rizan. Tapi masalahnya, aku tak nampak cinta kau. Aku tak nak cakap pasal Rizan sebab aku tahu... Rizan memang menggila cintakan kau sejak dia kenal kau. Semua orang tahu. Satu universiti tahu perasaan dia pada kau. Cuma apa yang aku nak sampaikan, kau mungkin sayang kat Rizan tapi aku tak yakin tentang cinta kau pada dia.”

Aku termangu. Fikiranku beku. Tidak mampu berfikir untuk membalas balik, jauh sekali untuk menepis kata-katanya itu. Terasa mulutku bagai dikunci, sukar untuk mempercayainya. Kerana saat itu aku merasakan diriku teramat kerdil di hadapannya.

Namun biar apa sahaja yang diperkatakan, aku sedar, perancangan yang telah ditetapkan ke atas aku oleh keluarga kami berdua adalah yang terbaik untuk hidupku. Ibu bapa mana yang tidak mahukan yang terbaik untuk anak mereka? Aku sebenarnya tidak berani melawan takdir dan mempertahankan hak aku walaupun ini kena-mengena dengan maruah dan masa depanku.

“Kau pasti ke aku tak ada rasa cinta? Kalau sayang dah ada, kau ingat cinta tak boleh datang sekali?” Aku jeling padanya.

Barulah kali ini pandangannya redup kepadaku. Kembali tenang. Malah, pandangannya penuh simpati, tetapi dalam pada masa yang sama mengharapkan pengertian dariku. “Ju, sayang dengan cinta tu lain. Kasih pun lain maknanya. Perasaan sayang tu masih boleh buat kau kuat kalau hubungan kau dengan dia tak kesampaian. Kau sakit sekejap aje. Lepas tu kau kuat semula. Tapi kalau cinta tak kesampaian, huru-hara hidup kau dibuatnya. Silap-silap boleh separuh mati. Kau hilang separuh dari kekuatan, semangat, kegembiraan kau.”

Aku ketawa. Sedikit sinis. “Pakar cinta,” omelku perlahan.

Zila memandangku. Pandangannya telus. “Aku bukan nak mengaku aku ni pakar cinta. Tapi cinta buatkan kau sempurna! Sepanjang hubungan kau dengan Rizan, aku tengok kau layan dia macam kawan. Aku tak pernah tengok kau letak Rizan di depan kau. Contohnya, baru-baru ni... kau nak ikut kami keluar berjalan sedangkan kau dengan dia dah ada perancangan sendiri yang kau dah buat berminggu yang lalu. Sebab kau nak ikut kami, kau sanggup batalkan plan kau dengan dia. Kalau aku, aku tak sanggup. Sepuluh kali aku nak keluar dengan tunang aku.”

“Yalah... aku tahu kau tu tengah bercinta. Jadi cakap memang dari orang dah pakar,” getusku, sinis.

Zila tersenyum kali ini. “Ya, memang aku tengah bercinta. Nak kahwin pun tak lama lagi. Sebab tu aku pelik kenapa perasaan kau tak sama dengan perasaan aku. Orang yang tengah bercinta ni Ju, bahagia aje perasaannya. Setiap minit setiap saat, kau nak melekat dengan dia, nak dia depan mata kau selalu. Tapi aku tengok kau, tak macam aku. Macam manalah kau nak yakinkan aku yang kau tengah bercinta?”

“Mungkin cara aku tak sama dengan kau. Kau mana nak tahu? Rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Kita mungkin sama, tapi cara kita mungkin berbeza.” Aku mempertahankan diriku.

“Yalah... aku faham maksud kau. Kau lain, aku lain. Tapi kau..., tiapkali kau bercerita tentang Rizan, jiwa kau kosong. Sinar mata kau pun tak bercahaya. Kau tak pernah kisah Rizan ada kat mana kalau dia outstation. Maksud aku, kalau kau benar-benar cintakan dia, sayangkan dia... tiap kali dia tak ada, kau resah, kau gelisah. Tak sabar nak tunggu dia balik biarpun dia belum pergi pun. Kau tak pernah melekat dengan handphone. Bila dia jauh dari kau, aku tak pernah nampak kau cuba nak calldia. Asyik-asyik Rizan yang callkau dari jauh.”

Aku terdiam. Perasaanku dan juga fikiranku sedang berperang mencari alasan tersendiri. Betul. Aku tidak berapa kisah keadaan Rizan setiap kali dia ke luar daerah atas urusan kerja kerana aku sentiasa yakin bahawa dia sihat selamat. Jadi kenapa aku perlu risau? Dan aku tidak perlu rasa ingin selalu dekat dengannya kerana kami sudah berkawan lebih enam tahun dan aku tidak perlu ada alasan lagi untuk selalu dekat dengannya!

Bukankah alasan itu cukup munasabah?

Diamku membuatkan Zila terus menambah, “Ju, aku kalau Imran outstation, aku dah macam cacing kepanasan. Aku tak tahu kalau waktu tu kali terakhir aku jumpa dia atau aku masih boleh jumpa dia balik. Aku risau. Macam Kak Ita dulu, sewaktu bercinta dengan tunang dia, sanggup drivedari KL ke JB semata-mata nak jumpa tunang dia, padahal bukannya tunang dia tak balik esok harinya.”

Aku mengetap bibirku. Benarkah apa yang Zila cuba sampaikan kepadaku? Begitukah perasaan orang bercinta? Aku tak pernah risau, aku tak pernah rindu setiap kali dia bertugas di luar daerah. Dan sanggupkah aku memandu sejauh itu semata-mata ingin bertemu dengannya walaupun tahu dia akan pulang keesokan harinya sepertimana kakak Zila yang kami panggil Kak Ita terhadap tunangnya itu? Sanggupkah aku?

Sambung Zila, “Kalau tak abang long aku tinggal kat JB, dah tentu mak aku tak kasi dia ke JB,” tawanya. “Kata Kak Ita, kali pertama dia kenal dengan Abang Shuk, jantung dia berdegup kencang macam orang kena kejar anjing. Mula teringat-ingatkan dia. Bukan aku mengada-adakan cerita. Dia sendiri cakap kat aku macam tu. Jadi aku rasa... cinta yang ikhlas datang dari hati.”

“Dah, dah, dah! Meremang tengkuk aku dengar. Eeii...!” Benar, aku terasa bagaikan nak muntah mendengar cerita Zila itu.

“Hah! Tengoklah tu! Bila aku cakap, kau dah meremeng... meluat bagai. Cinta ni hanya orang yang mengalaminya akan tahu perasaannya.”

Aku mencebik lagi. “Kalaupun jiwa aku atau jantung aku tak berdebar-debar, tapi fikiran aku sentiasa ada kat Rizan, Zi. Jangan risaukan aku. Aku sayang Rizan dan aku bersedia nak jadi isteri dia. Dah tiba masanya hubungan aku dengan dia bukan sekadar teman rapat lagi, tapi lebih daripada itu. Lagipun betul kata mama aku, sampai bila aku nak berhubungan macam ni aje? Bertahun kenal, takkan nak tunggu lagi?”

Zila kembali menghirup minumannya. “Terpulang pada kaulah, Ju. Tapi aku nak ingatkan kau... kau kawan baik aku. Kalau betul, Rizan tu dah termaktub sebagai jodoh kau, aku gembira untuk kau. Tapi aku takut kalau bukan. Terlajak perahu boleh diundur. Kalau betul-betul kau nak berundur, biar undur sekarang. Jangan terlambat nanti, baru terhegeh-hegeh nak undur. Ini maksud aku... maruah kau dengan maruah keluarga kau.”

PETIKAN jari di hadapanku membuatkan aku tersedar. Aku segera berpaling ke arah Rizan. Malunya bukan main. Tidak sedar bahawa kenderaannya sudah berhenti di hadapan butik sedangkan aku terus-terusan mengelamun.

“You dah sampai mana?” tanya dia tersenyum penuh erti.

Aku memalingkan wajahku daripadanya. Cuba menyembunyikan perasaan malu darinya.

“Jauhnya!”

Aku ketawa akhirnya. “Taklah jauh sangat. Masih lagi di atas dunia ni.”

Keningnya terjongket sedikit. Wajahnya comel sahaja. “Hmm... kalau tak berapa jauh sangat, agak-agaknya you dah sampai kat mana?”

Rasa malu mula menjalar hingga ke pipi. “Venice.” Aku sekadar menjawab apa yang terlintas di fikiranku secara spontan!

“Wow! Itu betul-betul jauh. Ingatkan sini-sini saja.” Dia turut sama ketawa.

Enjin kereta dimatikan. Radio dan penyaman udara juga sudah dimatikan terlebih dahulu. Aku segera membuka pintu kereta.

“Julia...” panggil Rizan tiba-tiba. Lembutnya suara itu.

“Hmm?”

“Tiba-tiba I terfikirkan sesuatu,” katanya penuh rahsia.

Aku hairan. Peliknya dia saat ini walhal kami perlu segera mendapatkan kedua-dua orang tua kami. Dia masih lagi mahu berbual-bual denganku.

“Apa yang you fikir?” tanyaku.

“Venice,” balasnya singkat.

Hah? Aku makin diuliti dengan perasaan pelik. “Apa kena-mengena dengan Venice?” tanyaku lagi.

“Kita kahwin nanti, kita berbulan madu kat Venice?”

Aku tergamam. Venice? Syurga berbulan madu selain Paris. Kota penuh romantis untuk pasangan berkasih sayang. Dia menunggu jawapanku. Berharap.

Aku ketawa lagi. Dia benar-benar mahu melawak denganku. “Yang itu kita fikirkan nanti. Sekarang kita kena selesaikan mama kita berdua kat butik dulu. Selagi hajat dia orang berdua tak lepas, selagi tu kita jangan fikir tentang Venice, okey?”

Dia mengeluh. “You ni... nak romantik sikit pun tak boleh!”

Aku segera keluar dari keretanya kerana perlu menjarakkan diriku darinya seketika waktu. Tambahan pula, kami perlu segera menemui orang tua kami yang sudah lama menunggu. “Lain masa, kita romantik. Sekarang, kita kena romantik dulu dengan mama kita berdua. Selesai yang kat dalam tu, baru kita boleh fikir apa saja you nak fikirkan.”

Rizan berjalan mendapatkan aku. Pandangannya telus. Redup sekali.

“Laa... apa pulak kali ni? Kenapa you pandang I macam tu?”

Dia tidak putus-putus memandangku. Kemudian dia berkata, “You cantik, Julia. Cantik di luar dan juga cantik di dalam. You tak tahu betapa gembiranya I sejak you bersetuju terima lamaran I. Berminggu you buat I tak lena tidur. Kali pertama I jumpa you, I tahu you bakal isteri I.”

Aku meliriknya dengan senyuman dan mata yang menggoda. “Amboi, sakannya memuj! Rasa macam tak percaya aje I dengan pujian you tu. I. Okey, apa sebenarnya yang you nak dari I?” Aku bercekak pinggang. Entah kenapa aku tidak suka dengan pujian tersebut.

Rizan cuba untuk tidak tersenyum. Namun sepasang matanya yang bundar seolah-olah bercahaya, mengeyakan apa yang aku fikirkan.

“Jangan fikir you boleh beli I dengan senyuman you tu! Cepat cakap apa yang terlintas dalam fikiran you sekarang?” desakku.

Bila tawanya sekadar menjadi senyuman yang aku maksudkan terhadapnya, dia menjawab dengan penuh maka, “I tak nak sehari pun berpisah dari you.”

Aku tergelak mendengar kata-katanya. Dia tidak betah meluahkan perasaannya tidak kira bila dan di mana asalkan luahan hatinya mahu diketahui. Sudah acap kali aku mendengar. Sudah tidak terkira bilangannya. Sehingga kini, aku mendengarnya seperti satu bahan lucu di telinga. Entahlah, aku rasa semua ini tidak realistik sama sekali. Pastinya bila kami disatukan, dia tidak perlu khuatir tentang perasaan itu. Bukankah perkahwinan itu adalah untuk menyatukan dua manusia - lelaki dan perempuan? Aku cuba menyembunyikan rasa geli hatiku daripadanya.

“Ya... ya... I tahu you bertuah sangat dapat I. Dahlah, jom cepat kita masuk. Kesian kat mama-mama kita. Dah lama dia orang tunggu. Jom.”

Pintubutik terbuka dengan sendirinya sewaktu aku melangkah masuk ke dalam, meninggalkannya sendirian di belakang.

Mungkin ada hikmahnya menerima lamaran Rizan demi harga diri dan nama baik keluarga. Pasti ada pulangannya menantikan aku!

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.