Home Novel Cinta Sepasang Kurung Pink
Sepasang Kurung Pink
7/1/2014 22:54:28
48,920
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

“AUNTIE berkenan sangat dengan Diz. Auntie nak pinang Diz untuk anak auntie, Syahrin.”

Itulah hajat Puan Lisa yang sampai sekarang masih tergantung tiada jawapan dari pihak Diza. Berat kepalanya setiap kali memikirkannya. Hendak tolak, bimbang dikata orang menolak tuah. Hendak terima, takut diri tidak sepadan pula dengan anak teruna Puan Lisa itu. Maklumlah, pemuda yang mahu dijodohkan dengannya itu bukan calang-calang orang. Berketurunan baik-baik. Sedangkan dia? Ah! Cuma dia dan keluarganya saja yang tahu siapa Diza Irdina sebenarnya.

Mengapa Puan Lisa berkenan sangat dengannya? Diza mengeluh. Hairan betul dia memikirkannya. Dia bukannya rapat sangat dengan Puan Lisa. Kenal-kenal macam itu saja. Setakat terserempak sekali-sekala di ruang parkir kereta bila Puan Lisa menghantar dan menjemput cucunya, Afiq Husaini pulang dari sekolah.

Seingat Diza, cuma beberapa kali sahaja dia pernah berbual dengan Puan Lisa sebelum wanita itu menyuarakan hajat tidak masuk akalnya. Itu pun secara tidak sengaja. Hari itu, Afiq Husaini menghidap demam panas di sekolah. Kebetulan dia menjadi guru bertugas pada hari kejadian. Dia menelefon Puan Lisa untuk memaklumkan tentang keadaan Afiq. Sejak itu, mereka jadi rapat. Setiap kali terserempak di ruang parkir, Puan Lisa akan menegurnya. Kadang-kadang Puan Lisa berkirim salam padanya melalui cucunya itu.

Entah dari segi apa yang Puan Lisa berkenan sangat dengannya, dia sendiri tidak faham. Hendak dikatakan cantik, cantik manalah dia ini? Mata pun sepet. Kuyu pula. Bak kata Firsya, macam mata orang hendak terlelap. Berlambak-lambak lagi perempuan lebih cantik darinya yang boleh dibuat menantu. Mengapa Puan Lisa bersungguh-sungguh mahukan dia juga?

Anaknya yang bernama Syahrin itu sendiri sudah tentu banyak pilihan lain. Sudah namanya lelaki berkerjaya. Mestilah setiap hari bertemu ramai wanita berbeza. Yang cantik, yang matang dan yang seksi. Semuanya tinggal pilih saja. Macam tidak logik Syahrin meminta emaknya mencarikannya jodoh. Ataupun, entah-entah pemuda bernama Syahrin Haiqal itu tidak tahu menahu tentang jodoh yang diatur emaknya. Emaknya sendiri yang pandai-pandai.

“Anak auntie tu bukannya baik sangat. Sebab tu, auntie nak jodohkan dia dengan Diz. Auntie rasa hanya Diz yang boleh mengubah dia menjadi lebih baik.”

Diza teringat lagi kata-kata Puan Lisa.

Anak teruna Puan Lisa itu bukan orang baik? Kalau bukan orang baik, bermakna orang jahatlah. Eeii... seram sejuk Diza memikirkannya. Jahat yang macam mana agaknya? Perompak? Perogol? Kaki botol? Entah-entah lelaki hidung belang. Buaya darat, buaya tembaga dan segala macam jenis buaya. Tidak cukup dengan seorang perempuan, habis semua perempuan mahu disapunya.

Hisy... tak inginlah dia lelaki begitu. Buat berserabut kepala memikirkan perangai tidak senonohnya. Lagipun, kalau sekadar mahu mengubah perangai anak terunanya, mengapa tidak dijodohkan dengan seorang ustazah? Dia ini bukannya baik mana. Amalan hanya buat sekadar yang wajib. Walaupun sekali-sekala ada juga dia melakukan amalan sunat, tetapi rasanya dia belum cukup sempurna untuk membimbing orang lain. Inikan pula mahu mengikis perangai seorang lelaki dewasa yang sudah sebati dengan corak hitam dalam hidupnya.

“Dia tidak ada apa yang kurang, Diz. Dia ada segalanya. Rupa, harta tapi tak tahulah kenapa perangai dia macam tu. Dah puas auntie tegur tapi dia buat dengar tak dengar aje.”

Diza terkenang lagi luahan hati Puan Lisa.

Memanglah orang macam itu susah hendak ditegur. Sudah tua bangka. Macam rebung, kalau sudah jadi buluh cukup susah hendak dilentur. Terlebih melentur ia akan patah di tengah. Seperti juga Syahrin. Sudah terbiasa dengan perangai bebas lakunya tiba-tiba sekarang dipaksa berubah menjadi orang baik-baik. Manalah lelaki itu mahu? Syahrin pun sudah tentu ada egonya sendiri.

“Dia jadi begitu sejak putus tunang dua tahun lepas.”

Bergema lagi kata-kata Puan Lisa.

Oh... itu sebenarnya yang menjadi punca permasalahan anak bujang Puan Lisa itu. Sejarah hidup lelaki itu rupa-rupanya serupa dengan sejarah hidupnya. Dua tahun lalu Diza juga pernah putus tunang. Tetapi, tidak pula dia menjadikan itu sebagai penyebab untuknya gagal mengharungi arus kehidupan. Walaupun hakikat itu pada mulanya amat perit untuk ditelan, namun dia tidak pernah menjadikan itu sebagai alasan untuk menjadikan hidupnya porak-peranda. Dia tetap gagah menempuh badai yang mendatang kerana bukankah itu namanya kehidupan?

Sekarang Diza pula mahu dipertanggungjawabkan untuk mengubah hidup Syahrin. Soalnya, mahukah Syahrin menurut? Sedangkan emaknya sendiri gagal membentuk Syahrin menjadi orang baik-baik, inikan pula dia yang hadir dalam hidup pemuda itu seperti bidan terjun. Lainlah kalau dia dan Syahrin sememangnya dari awal punya suatu ikatan perasaan. Perasaan cinta. Tetapi, itu semua mustahil namanya. Macam mana mahu bercinta jika tidak kenal? Seperti kata pepatah, ‘Tak kenal maka tak cinta’. Hah... betul sangatlah kata pepatah Melayu itu!

“Auntie percaya Diz dan dia akan bahagia. Percayalah cakap auntie ni,” sambung Puan Lisa lagi.

Memicit dahi Diza memikirkannya. Puan Lisa yakin anaknya akan berbahagia hidup bersamanya. Macam pasti sangat dengan kemampuannya untuk membahagiakan Syahrin. Masalahnya sekarang, jika mereka berdua gagal menggapai kebahagiaan, apa akan jadi pada hidup mereka dikemudian hari? Dia tidak mahu menanggung risiko dikecewakan Syahrin. Dia tidak mahu ditinggalkan terkontang-kanting sendirian menempuh kehidupan setelah seluruh jiwa raganya diserahkan. Dan yang paling utama, dia tidak rela memegang status janda dalam usianya yang masih muda. Dia malu dan tidak bersedia.

Namun, bukan itu satu-satunya sebab Diza menolak lamaran Puan Lisa. Ada sebab lain. Sebab yang lebih penting. Sebab yang paling menakutkan. Lebih mengaibkan. Dia rasa kalaulah Puan Lisa mendengar cerita aib itu dari mulutnya, jangankan kata mahu meminang, mukanya pun akan dipandang sebelah mata. Silap hari bulan, mukanya akan diludah Puan Lisa.

Diza bukan sekadar cakap-cakap kosong. Peristiwa itu telah dialaminya sendiri dua tahun lalu. Kerana takut hendak berterus-terang, dia peram rahsia hitam itu daripada pengetahuan Hazif, bekas tunangnya. Sebulan lagi majlis perkahwinannya berlangsung, rahsia itu pecah juga di telinga keluarga Hazif. Entah siapa yang membawa mulut, sampai sekarang dia tidak tahu dan tidak pernah mahu mengambil tahu. Baginya, biarlah kenangan cinta bersama Hazif berlalu seiring dengan waktu yang pantas berlari. Tidak ingin dia menoleh ke belakang lagi.

Ahli keluarga Hazif terkejut dan tidak percaya mendengar kisah yang disampaikan entah dari mulut siapa. Hazif marah-marah dan menuduhnya seorang penipu. Apa saja alasan diberi, Hazif tidak mahu menerima. Malah Hazif mencemuhnya dengan kata-kata nista yang tidak mampu dikikis daripada ingatan sampai bila-bila.

Dan... yang paling menyedihkan, Hazif ludah mukanya di hadapan ibu dan adik-beradiknya. Juga di hadapan keluarga Mak Ngah Sutinah, emak saudaranya. Malunya Diza tidak usah cakap. Sedihnya tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Mukanya terasa tebal bagaikan ditepek dengan tahi lembu. Bagaimana busuknya tahi lembu bertepek di muka, begitu juga hinanya terasa diri bila dibuat tunang sendiri sebegitu rupa.

Sejak itu, Diza serik mahu rapat dengan mana-mana lelaki walaupun dia sebenarnya tidak lepas daripada menjadi objek perhatian kaum lelaki. Dia tidak mahu kenangan lalu berdarah kembali. Kalaulah ditakdirkan dia membujang sampai ke tua, dia rela asalkan kisah masa lampaunya tidak dibongkar dan diungkit-ungkit semula. Biarlah dia berbahagia dengan cara begitu.

Tetapi sekarang, wajar ke kenangan pahit masa lampau itu digali semula? Puan Lisa masih menanti kata pasti darinya. Selagi dia tidak memberikan alasan yang munasabah, selagi itulah dia akan terus didesak dan ditekan. Alasan apa yang patut diberikan? Kalau cakap sudah bertunang, adakah Puan Lisa akan percaya? Mesti diselidiki dan dikoreknya dengan siapa dia bertunang. Pak sanggup mana pula yang sudi berlakon menjadi tunang tangkap muatnya?

Huh! Itu sudah namanya menipu. Tergamak ke Diza hendak menipu? Dosa yang bakal dipikul kelak berbakul-bakul. Dia tidak mahu berbohong sekadar mahu menempah satu tempat duduk di neraka jahanam nanti. Kalau Puan Lisa masih beria-ia dengan niat tidak masuk akalnya itu, dia akan mengambil keputusan di luar kemahuan.

Diza akan berterus-terang dengan Puan Lisa. Biarlah Puan Lisa kenal siapa dirinya yang sebenar. Siapa dia Diza Irdina yang mahu disatukan dengan anak lelaki kesayangannya itu. Selepas ini kalau Puan Lisa pun akan meludah mukanya, dia akan faham. Dia langsung tidak menyalahkan Puan Lisa. Siapalah yang sudi mengambil seorang perempuan bersejarah hitam ini untuk dibuat menantu?

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.