Home Novel Cinta Himpunan Cerpen
Himpunan Cerpen
Maryani Zailani
5/10/2024 13:31:06
303
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
CP 1
CERPEN PENDEK: CERITA SEBUAH RUMAH LAMA


Tahun 2024…

Sebuah perkampungan di Negeri Selangor…

Tengahari itu, Zaini dan Rizal keluar dari perut kereta Proton S70. Bola mata dua orang anak muda berusia lewat 20-an, tertegun pada sebuah rumah kayu tradisional jenis Limas yang sudah hampir setahun tidak berpenghuni. Rumput-rumput meninggi menghiasi halaman rumah. Lokasinya agak jauh ke dalam kebun getah. 

“Aku dah sibuk kerja kat Kuala Lumpur. Daripada rosak macam tu aje… baik jual sementara tengah ada harga baik orang nak bagi. Bukan selalu ada peluang macam ni.” Rizal bersungguh-sungguh menyakinkan sepupunya. Dia bercekak pinggang.

“Jangan! Kau tak sayang ke dengan kenangan yang ada di rumah ni? Di rumah inilah, kau dibesarkan oleh arwah atuk nenek kau. Kau merangkak, berjalan, malah mula bercakap. Di tangga inilah, arwah nenek tunggu kau pulang tiap kali persekolahan. Petang pula, kau berkejaran dengan itik, ayam dan angsa. Pernah sekali, kau terjatuh dalam parit sebab kena kejar dengan ayam belanda.”

Rizal mengeluh. Terimbas kelibat dirinya semasa kecil, melakukan aktiviti yang disebutkan oleh sepupunya. Arwah atuk dan nenek ibarat ibu bapanya sendiri. Mama papa bekerja sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik dan kerap ulang alik ke luar negara. Hampir 20 tahun tinggal di kampung dengan arwah atuk neneknya menyebabkan hubungan mereka menjadi lebih akrab dan mesra.

Semasa di universiti, nasibnya baik kerana perjalanan ke tempat pengajian hanya mengambil masa 15 minit. Dia sanggup ulang alik dengan motosikal Ysuku setiap hari. Apabila memasuki alam pekerjaan, barulah mereka berjauhan kerana dia bekerja di tengah ibu kota.

Hampir gugur air mata, terbayangkan arwah atuk dan neneknya tersenyum di tepi tangga menyambutnya pulang hari ini. Cuping telinga seakan terdengar arwah nenek bertanya lembut, “Rizal cucu nenek ni dah lama tak balik.”

Rindu itu semakin sendat di dada. ‘Nek... tuk... maafkan Rizal kerana terlalu sibuk dengan kerja kebelakangan ni. Rizal janji lepas ni... Rizal akan selalu balik kampung ziarah kubur tuk dan nenek.’ 

“Kau yang duduk kat kampung, tak boleh tengok-tengokkan?”

Zaini menghela nafas. “Aku boleh tengokkan. Cuma, aku tak setuju kalau kau nak jual. Sayang. Kenangan semua tu. Tapi, terpulanglah kepada kau. Rumah ini diwasiatkan kepada kau. Aku hanya boleh nasihat aje.”

“Tak apalah. Aku fikir lagi. Nak dibuat sewa, orang terdekat pun tak berani nak menyewa. Ada hantu katanya! Malam-malam, orang kampung tak berani nak lalu sini. Bimbang ternampak benda-benda menakutkan bertenggek atas atap! Memandai aje. Nak tuduh arwah atuk nenek membelalah tu!” Hujung kata, dia tertawa.

Zaini tersengih. “Sabar... sabar. Biasalah. Kau bukan tak tahu orang kampung. Buat modal bersembang kat warung. Dahlah. Tak payah fikir sangat hal tu.” 

Sambung Zaini, “Kalau kau sibuk sangat tak boleh balik kampung, kau upahlah orang jaga. Ada aje orang kampung sanggup nak jaga. Tinggal dibayar upahnya. Tiap seminggu sekali, kau suruh mereka bersih-bersihkan kawasan dalam. Sebulan sekali, mesin rumput di halaman rumah. Zaman sekarang, dah susah nak nampak rumah tradisional macam ni. Orang dah tak minat nak bina rumah macam ni. Ketinggalan zaman, katanya.”

“Ya, aku tahu!”

“Aku harap, rumah macam nilah kita pelihara supaya dapat dikenali oleh generasi akan datang. Tidaklah ditelan dek zaman. Oh, ya… kau tak nak masuk ke dalam? Tengok-tengok ke? Banyak barang dan peralatan rumah yang masih elok. Mana tahu, kau teringin nak simpan buat kenangan.”

“Bolehlah. Aku pun nak tengok-tengok. Lama sangat tak balik.”

“Tapi, kena hati-hatilah. Rumah yang dah tak orang duduk ni ibarat rumah mati. Banyak yang dah reput kayunya. Nak kena renovate. Nanti aku cari tukang rumah.” Zaini mendahului langkah Rizal meredah semak-samun. Hujung seluar sudah dipenuhi kemuncup.


Jari-jemari runcing Rizal menyentuh permukaan bilah piano yang berhabuk. Ditekan-tekan bilahnya secara rawak.

“Bunyinya dah sumbang. Dah nak kena selenggara.” Rizal terimbas bayangan lalu di mana, dia duduk di situ sambil berlatih. Sesekali, arwah atuk dan nenek menemaninya walaupun satu patah haram pun tidak difahami.

“Yalah. Dah lama sangat piano tu. Hasil jual kerbau seekor. Arwah atuk nenek beli demi kau tau! Masa tu baru berjinak-jinak nak main piano. Umur kau 10 tahun, kan?”

“Haah. Sekarang jari-jemari aku dah kaku. Dah lama sangat aku tak praktis.” Kaki Rizal terpijak helaian kertas mengandungi note lagu ‘Namun Ku Punya Hati’ nyanyian oleh Revolvers pada tahun 1982 yang berselerak di atas lantai. Dia mengutipnya. “Antara lagu kegemaran aku. Selalu aku praktis piano guna lagu ni.”

“Kau pernah bawa lagu ni masa pertunjukan bakat kat sekolah. Terlopong mulut masing-masing. Manakan tidak, kau masih sekolah rendah masa tu. Tapi, kau punya mahir main piano, serupa profesional!”

“Sayang seribu kali sayang. Aku terus berhenti main dengan alasan nak study untuk UPSR. Takut kena marah dengan papa mama sebab tak skor. Mama papa ugut nak hantar aku masuk asrama. Aku tak nak jauh dengan arwah atuk nenek. Aku suka tinggal sini.”

“Kalau dah suka tinggal sini, kenapa nak jual rumah ni? Sekurang-kurangnya, kau ada tempat nak tuju bila pulang ke kampung. Tidaklah seperti orang merempat di tempat sendiri.”

Rizal terdiam. Menghadam kata-kata sang sepupu. Ada benar katanya itu.

Kini, pandangan Rizal tertumpu pada bahagian para di atas piano. Beberapa kaset lagu lama era 80-an dan 90-an. Salah satunya ialah album kompilasi lagu-lagu rakyat nyanyian oleh Sudirman yang dikeluarkan dalam bentuk kaset pada tahun 1989. Tidak ketinggalan, koleksi piring hitam artis tempatan dan luar negara seperti The Beatles.

“Koleksi arwah atuk, kan?” Zaini, inginkan kepastian. “Aku rasa tali tape dalam kaset tu dah putus. Apa tak putus, siang malam... pagi petang diulang pasang! Betul-betul die hard fans!”

“Betul. Arwah atuk suka sangat dengan Sudirman yang terkenal dengan julukan the singing lawyer! Kau tahu, pada tahun 1989 di Albert Hall, London, arwah Sudirman dinobatkan sebagai penghibur nombor satu Asia! Fuh, hebatkan! Dapat kalahkan penyanyi negara lain yang bukan calang-calang. Mendiang Leslie Cheung, Anita Sarawak dan ada beberapa lagi.”

“Tahu juga kau ya fakta tu. Dah lebih 30 tahun berlalu.” Zaini memuji sepupunya.

Kring! Rizal membunyikan basikal tua milik arwah atuk. Basikal itu diletakkan di rumah bahagian atas semenjak pemiliknya berada di alam fana. Gugur jua mutiara jernihnya. Terbayang-bayang, arwah atuk memboncengnya ke sekolah dengan basikal itu.

Semasa mereka mahu keluar dari rumah itu, Rizal terpijak sesuatu. “Ni... gambar Mak su dan...”

“Kekasih dia kan?”

“Sayang sekali. Mereka tak dapat bersatu.”  Rizal menilik foto yang diambil pada tahun 1992. Mak su mereka anggun dalam busana kebaya labuh hitam bercorak bunga kecil. Rambutnya disanggul satu dan terselit bunga melur. Manakala lelaki di sebelah berbaju melayu Teluk Belanga dan bersongkok sambil memainkan alat muzik akordion. “Mungkin bukan jodoh ketika itu.”

“Kemungkinan, jodoh mereka ialah sekarang?”

“Who knows, kan?”


Beberapa bulan kemudian...

“Tahniah Rizal atas pembukaan muzium persendirian kau! Kau buat keputusan tepat.” Zaini menyalami sepupunya. Bola mata melirik ke arah papan tanda yang tertulis ‘Replika Rumah Tradisional’ di halaman rumah. 

“Tak adalah. Aku terjentik dengan rasa nak memelihara dan menghargai apa yang ditinggalkan kepada aku. Setiap kali aku pandang benda-benda dalam rumah, tiap kali tu terkenangkan memori dengan arwah. Aku tak nak memori tu mati begitu sahaja.”

Zaini menepuk bahu Rizal. “Aku setuju. Cara kau ni, buatkan orang yang datang melawat, terasa seperti memasuki kapsul masa. Apa tidaknya. Sambil melawat, sambil belajar kehidupan orang dulu-dulu. Bukan aje sebagai tarikan pelancong tapi kesempatan kepada orang kampung untuk jana ekonomi tambahan.”

Rizal terangguk-angguk.

“Tadi masa aku nak datang sini, aku nampak signboard homestay kat rumah hujung kampung. Sebelum ni, terbiar aje rumah tu. Sekarang, dah jadi homestay dah,” beritahu Zaini, tersengih.

“Perkembangan yang baguslah tu. Desa kita tak kurang hebatnya. Ada sawah padi. Nak pancing udang, ada tempatnya. Nak healing-healing dengan alam sambil belajar sejarah, boleh naik Bukit Melawati. Nak jalan-jalan cari makan, banyak aje tempat makan yang best. Teringin nak makan seafood? Ada! Masakan kampung? Ada! Cendol durian... cendol pulut... semua ada!”

“Kau sebut-sebut ni, terliur pula aku! Wajib singgah lepas ni.” Zaini menepuk bahu Rizal. “Eh, kau dah buat media sosial muzium? Aku belek-belek phone, ada lalu FYP kat TikTok pasal muzium ni.”

“Ya, akulah tu yang up video tu. Aku nak ramai yang tahu kewujudan muzium ni. Zaman viral ni, kita manfaatkanlah teknologi yang ada.”

Zaini menepuk bahu Rizal. “Jomlah, kita mengopi kat warung kak Leha. Kesat tekak aku. Kau tak dahaga ke?”

“Dahaga. Ingatkan kau masih nak berbual. Aku teringin betul nak makan mi kari kak Leha. Bancuhan kopi O dia... pergh, kaw!”

“Tulah...”

“Kejap aku panggil Pak Ali. Pak Ali...” laung Rizal kepada seorang penjaga muzium. Pak Ali terjengul dari tingkap rumah atas.

“Ada apa Rizal?” soal Pak Ali, berpenampilan kemas seperti pekerja pejabat. Usianya menghampiri 50. Orang setempat juga. Diupah oleh Rizal untuk membersihkan rumah dan melayani pengunjung. 

“Saya nak keluar kejap dengan sepupu saya. Mengopilah apalagi. Pak Ali nak pesan apa-apa?”

“Tak apalah Rizal. Pak Ali boleh pergi sendiri. Kau orang pergilah. Baik-baik memandu,” katanya, tersengih.

“Kalau macam tu, kami pergi dulu.”

“Ya, hati-hati.”

Mereka berdua melangkah ke kereta Zaini. Pak Ali memerhati sahaja.

“Apa yang menyebabkan kau terima Pak Ali kerja?” Zaini sekadar ingin tahu. Mereka sudah di dalam perut kereta Proton S70.

“Aku tahu Pak Ali suka barang-barang antik. Katanya, setiap barang ada cerita tertentu. Saksi bisu kepada zaman lampau.”

“Bukan sebab dia ex boyfriend Mak su kita ke?” usik Zaini. “Sampai sekarang, Pak Ali tak kawin-kawin. Frust agaknya. Yalah... arwah atuk kan tak restu hubungannya dengan Mak su.”

“Kau pun... disebut-sebut peristiwa lama. Bimbang ada hati yang terluka. Aku ni, mudah kesian. Hari tu, terjumpa Pak Ali jalan tak ada tujuan kat pekan. Rupanya, masa tu kontrak dia sebagai pengawal keselamatan tak disambung.”

“Mulia hati kau! Kalau Mak su tahu Pak Ali ada kat sini...” Kening Zaini sudah terangkat.


Esoknya, dalam pukul 8:00 pagi, Pak Ali berjalan kaki menuju ke rumah itu. Dahinya berkerut. “Siapa yang buka semua tingkap tu? Takkan ada pencuri?”

Pak Ali jalan dengan berhati-hati. Setahunya, hanya dia dan Rizal sahaja mempunyai kunci rumah itu. “Mungkin, Rizal yang buka. Adalah tu yang dicarinya.”

Baru ingin bersangka baik, jantungnya hampir gugur terlihat ada seorang wanita dalam persalinan baju kebarung ungu dan berselendang hitam, duduk bersimpuh di sebelah tingkap ruang tamu. 

“Abang Ali...” panggil wanita itu, sudah berdiri. Dia mahu mengajak masuk dan menikmati sarapan namun, lidahnya kelu.

Pak Ali terkebil-kebil. Wanita berkulit kuning langsat itu yang sudah lama tidak didengari khabarnya, muncul di situ. Meskipun usia mereka sebaya, namun kecantikan asli wanita itu tetap terserah. Bahkan tampak lagi muda berbanding usianya. Kini, mereka saling merenung dalam pandangan mata yang berkaca.

Kesunyian dicelah oleh dehaman Rizal yang sedari memerhatikan mereka. Tiba-tiba dia mengusik mereka dengan menyanyi lagu yang dipopularkan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Tan Sri Dato S. M. Salim, “Menjeling menjeling kubertentang. Mata kita sama memandang. Kucuba kucuba nak bertanya. Siapa diakah namanya.”

Barulah keduanya berpaling. Rizal tergelak. “Baik luahkan apa yang nak diluahkan. Takut rugi aje kalau jual mahal.”

Mereka tidak memberi reaksi. Kekok.

“Marilah naik Pak Ali. Saya ada,” kata Rizal. Pak Ali tetap beku di tempatnya. “Mari. Saya bawa nasi lemak. Kita makan sama-sama.”

Pak Ali akur.

Di tepi pintu, mereka bertembung. Pak Ali berkira-kira untuk mengikuti langkah Rizal ke dapur atau berhenti sejenak di situ.

“Awak... awak apa khabar?” soal wanita itu dengan bibir bergetaran. Namun, tetap menunduk malu.

“Saya...”

Perbualan mereka dicelah lagi dengan bunyi loceng basikal. Seorang penduduk kampung yang baru balik menoreh getah, mengangkat tangan sebagai tanda menegur mereka.

Mata wanita itu berkaca-kaca. Terbayangkan kenangan lalu. Dahulu, kira-kira 20 tahun sudah... dia pernah dibonceng basikal oleh seorang lelaki yang istimewa dalam hatinya menuju ke sekolah tempatnya mengajar. Mereka bahagia namun tidak lama. Hubungan terhalang dek orang tua. Mereka tidak setaraf. Dia guru sekolah. Lelaki itu, hanya bekerja kampung.

“Tak sangka, kita akan bertemu semula,” kata Pak Ali dengan hiba. “Ke mana awak pergi selama ini, Adibah?”

“Baik straight to the point aje, Pak Ali. Tanyalah Mak su tu, dah kawin ke belum?”

“Rizal...” Adibah terasa malu diusik. Pipinya hangat. 

“Siapa lambat, dia rugi! Sia-sia aje menunggu selama 20 tahun.” 

Malu mereka berdua masih menebal. 

“Saya... selama 20 tahun saya mengajar di bandar. Sekarang... saya dah kembali mengajar di sini. A... awak pula?”

“Saya... saya buat macam-macam kerja. Jadi buruh binaan. Ada kala, mengait kelapa sawit. Beberapa tahun kebelakangan ni, saya... saya jadi jaga di merata-rata sekolah. Sekadar cuba nasib, jikalau dapat jumpa awak di sekolah. Tapi, nasib saya tak baik. Tak pernah terjumpa dengan awak,” balas Pak Ali, penuh kesal.


Mereka berdua kekok tanpa kehadiran Rizal. Saling menunduk dan kelu lidah untuk berbual sebarang topik.

“Apa senyap aje tu? Sembanglah.” Rizal muncul dari arah dapur. Dia datang membawa bersama alat muzik akordion. “Nah, Rizal jumpa kat dalam stor.” 

Pak Ali cuba menyentuh alat muzik itu. Tiba-tiba sahaja membatalkan hasratnya. Dia jadi terkenangkan peristiwa lampau.

Adibah pun begitu. Dia mengeluh. 

“Dulu kan, Rizal selalu dengar Pak Ali mainkan akordion tiap kali ada majlis-majlis kenduri kawin. Lepas tu, mak su akan jadi penyanyi, kan? Selalunya, lagu-lagu asli kan yang jadi pilihan? Menggamit kenangan betullah!”

Adibah senyum kelat. Dia masih ingat, sekitar tahun 1992, dia sedang menunggu keputusan SPM. Daripada duduk termenung di rumah, dia menyertai persatuan seni budaya di kampung mereka. Kebetulan dia seorang yang sangat suka menyanyi. Di situlah mereka bertemu. Pak Ali memang sedia ada dalam kumpulan itu sedari sekolah rendah.

Selalulah, mereka berlatih bersama di balai raya. Pak Ali sejenis yang akur tiap kali diminta memainkan bermacam-macam lagu menerusi akordionnya. 

“Adibah, abang Ali ingat nak cubalah pergi audition sebagai artis kebudayaan di Istana Budaya,” kata Pak Ali ketika menjelang beberapa hari pengumuman keputusan SPM.

“Wah, baguslah tu! Cubalah. Mana tahu, rezeki abang Ali di situ.”

“Adibah, tak nak ikut?”

“Ayah mesti tak kasi. Ayah suruh masuk maktab. Jadi guru seperti abang dan kakak Adibah.” Adibah masih ingat, wajah ceria Pak Ali mendadak berubah sugul. “Abang Ali pergilah uji bakat tu.”

Pak Ali tidak menjawab sebaliknya bertanya, “Lepas habis belajar, Adibah cadang nak mengajar di mana?” 

“Jika memang ada rezeki di sini, Adibah nak mengajar di kampung kita.”

Pak Ali mengangguk. “Jika begitu, abang Ali tunggu Adibah sampai habis belajar.”

Adibah tergamam. Pipinya terasa hangat menahan malu. 

Entah macam mana, Pak Ali memainkan lagu Har Dil Jo Pyar Karega dari filem Sangam (1964) menggunakan arkordionnya. Adibah tersengih lantas tertawa apabila Pak Ali cuba untuk menyanyi.

“Abang main alat muzik, bolehlah. Disuruh nyanyi, bimbang banjir kampung kita,” gurau Pak Ali.

Adibah kembali semula ke masa kini tatkala telinganya terdengar bunyi sumbang daripada arkordion. 

“Mainkanlah satu lagu,” pinta Rizal, tersengih-sengih. 

“Dah lama sangat Pak Ali tinggalkan muzik sejak...” Pak Ali terhenti. Dia tersenyum dalam sayu. Teringat peristiwa yang membawa kepada perpisahan mereka.


3 Ogos, Tahun 1996...

“Hoi, cikgu... boleh lagi ke menyanyi tu?” usik Pak Ali. “Maklumlah, awak kan dah gantung mic. Sekarang, pegang pen.”

“Hei, abang Ali ni cakap tak reti pandang-pandang! Tengok oranglah. Kita ni juara karoake kampung tau. Sebut lagu apa, semua kita tahu!”

“Awak tak pergi konsert Slam Unplugged? Kata peminat Zamani. Apa ni peminat tapi tak pergi konsert dia!”

“Kalau saya pergi, siapa nak nyanyi kat majlis persandingan sepupu abang Ali?”

Pak Ali gelak sakan. “Awak nak nyanyi masa majlis persandingan kita juga ke?”

Rakan-rakan dalam kumpulan mereka, bersiul-siul.

“Apa abang ni...” Adibah tertunduk malu.

Kerancakan berborak di bilik solekan dicelah dengan terputusnya bekalan elektrik. 

“Eh, blackout ke?” soal Adibah.

Bilik itu diterangi dengan cahaya pemetik api.

“Yalah...” Pak Ali membuka tutup suis lampu dan kipas. 

“Jomlah keluar,” ajak Pak Ali. Mereka pun bersetuju. 

Setiba di luar, khemah diterangi dengan cahaya pelita minyak tanah. Mereka terdengar perbualan penduduk kampung yang sedang menjamu selera.

“Nampaknya memang tak boleh buat apa. Blackout satu kampung!” 

“Maaflah ya. Terpaksa makan dalam gelap. Harap cepatlah pulih bekalan elektrik ni. Kesian semua orang kepanasan,” ujar tuan rumah.

“Itulah. Pak cik dahlah rabun. Tak nampak apa pun ni makan dalam gelap. Jangan ada benda pelik-pelik sudah!”

Ternyata kegelapan tidak menghalang mereka daripada ketawa.

“Kita nak buat apa ni? Takkan nak buat persembahan dalam gelap, kan?” Adibah bertanya kepada yang lain.

“Di sini pun kamu!” Tuan rumah datang menyapa. “Macam nilah. Hari pun dah lewat. Pak cik fikir, esok sahaja kamu buat persembahan. Datang tengahari.”

Mereka bersurai. Disebabkan satu kampung bergelap, tambahan pula tidak manis dipandang orang jalan berdua-duan, mereka meminjam pelita daripada tuan rumah. Entah macam mana, seekor cicak tiba-tiba terjatuh di atas kepala Adibah. Perempuan itu menjerit sekuat hati. Lampu pelita yang dipegang terjatuh. Minyak tanah terpercik ke kain. Sumbu yang masih menyala menyambar kainnya. Dia terlompat-lompat.

Masing-masing terjerit panik kecuali Pak Ali yang cuba untuk kekal tenang dalam keadaan cemas. Dia pantas menarik kain meja. Dipukul-pukul ke bahagian kain Adibah sehingga padam apinya. 

Adibah menangis. 

“Apa semua ni?” Ayah Adibah muncul dari kerumunan orang ramai. Dia semakin membengis melihat kaki anaknya terdedah. Dia terus mencekak leher Pak Ali. “Apa kau buat pada anak aku?”

“Ayah...” Adibah cuba untuk menjelaskan. Ternyata kemarahan ayahnya tidak mampu dibendung.

“Jauhkan diri daripada anak aku! Aku tak nak tengok muka kau lagi! Aku tak suka!” 

Pak Ali sedar dari awal, hubungan mereka tidak akan berjalan lancar.


Adibah berjalan lambat-lambat. Kalau boleh, tidak mahu meninggalkan rumah itu. Dia terpaksa akur. Rumah itu mulai diserbu oleh pengunjung dari pelbagai lokasi.

Kring... Bunyi loceng basikal membuatkan dia berpaling ke belakang. 

“Abang Ali...” Adibah berhenti melangkah.

Pak Ali tersengih. Dia mengayuh basikal dengan laju. Tepat di hadapan Adibah, dia berhenti.

“Nak ke mana cik adik?” usiknya, seperti pemuda kampung yang nakal.

Adibah tersenyum. Girangnya bukan main. “Kenapa cik abang nak tahu?”

“Marilah naik basikal buruk saya. Saya hantarkan. Itu pun kalau sudi...”

“Kalau saya tak nak?”

“Jual mahal cik adik ni!”

“Mestilah!”

“Tak apalah. Abang pergi dulu...” Pak Ali berpura-pura mengayuh kembali basikalnya.

“Eh, nantilah dulu...” Adibah menggelabah.

“Tahu takut! Naiklah...”

Adibah menurut sahaja. “Boleh ke kayuh tu? Awak dah tua...”

Pak Ali mulai berkayuh. Dia tergelak sambil memandang pohon-pohon rendang memayungi sepanjang perjalanan. “Ya, kita sama-sama dah tua. Rambut pun banyak dah putih. Sendi pun banyak yang sakit. Tak tahu berapa banyak umur yang tinggal untuk hidup di dunia ni.”

Adibah mengeluh. “Teringat masa muda-muda dulu, awak selalu hantar saya ke tempat saya mengajar. Macam nilah...”

“Ya... ya... mungkin saya boleh ulang kembali perbuatan itu. Kali ini, bukan sahaja sebagai kekasih lama tapi, suami awak?”

Adibah tergamam. 

“Maaf saya tak pandai nak romantik dan berfatwa pujangga macam masa muda-muda dulu. Dah tua ni... saya suka berterus-terang. Maklumlah, dah lama saya tunggu saat ini. Impian yang berkecai suatu tika dulu.”

Perbualan terhenti. Mereka melayani perasaan sendiri dengan memerhati alam. Kicauan burung kedengaran mendamaikan.

“Kenapa awak tak kahwin?” Adibah bertanya. Ketika itu mereka sudah berada di jalan raya dan bersimpang dengan beberapa penduduk kampung. Ada antara mereka bersiul dan membunyikan hon.

“Saya tunggu awak...”

“Macam mana kalau sepanjang awak menunggu, saya dah ada orang lain?”

“Hati ini degil. Hati ini tetap mahu menunggu.”

Adibah sudah bergenang tangis. Dia mampu berkata apa-apa. Terlalu sebak.

“Dan, awak? Kenapa awak masih tak kawin? Apa tak ada cikgu-cikgu yang kacak di sana?” usiknya.

Pecah jua empangan air matanya. Hujungnya dia tergelak. “Saya pun seperti awak. Hati ini degil walaupun kadangkala saya benci dengan kedegilan sendiri. Risau terluka sendiri andai awak sudah ada yang lain.”

“Sekarang kita dah tahu, kita saling menanti antara satu sama lain.” Pak Ali membuat kesimpulan. “Adakah awak sudi menjadi peneman saya sehinggu ke akhir nafas saya?”

“Bawa saya ke suatu tempat...” Adibah tidak menjawab soalan itu.

“Ke mana?” Pak Ali berkerut dahi. 

Adibah menuturkan dengan malu-malu, “Ke rumah tok kadi!” 

“Betul ke ni?”

“Betullah!” 

“Kalau macam tu, saya kayuh lagi laju!” 

Mereka sama-sama ketawa bahagia. Sudah lama, tidak merasai sebahagia itu. Tanpa mereka sedar, Rizal mengekori mereka dengan basikal tua arwah atuk.

“Tak sangka, bukan aje aku dapat memelihara rumah arwah atuk dan nenek tapi, aku dapat menyatukan hati dua insan yang saling mencintai. Semoga berbahagian Mak su... Pak Ali...”

- TAMAT -

12 Ogos 2024


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.