Home Novel Cinta Dia Diktator Hatiku
Dia Diktator Hatiku
7/1/2014 15:39:45
19,950
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

SETELAH bertungkus lumus bagai nak rak mengejar deadline, sampailah masanya Sumayyah serta warga editorial yang lain menarik nafas lega kerana diberi cuti selama satu hari.

Alhamdulillah...

Bolehlah qada tidur yang terkurang. Namun, ada juga yang keluar bersuka ria. Mahu merungkai resah di jiwa agaknya. Biar sifar tekanan sebelum berdepan dengan deadlineyang seterusnya. Poket kosong tak jadi masalah, asalkan hati bahagia dan gembira.

Bagi Sumayyah dan Ainien pula, duduk di rumah adalah paling baik. Tenaga yang ada boleh disimpan, duit berbaki sebelum gaji bulan hadapan masuk pun selamat tanpa pembaziran tidak terancang.

“Sakit betul hati Yaya ni dengan Zahin dan Kamil tu,” ujar Sumayyah dengan tidak semena-mena.

Mulutnya memuncung bagai Daisy Duck, kekasih hati si Donald Duck. Matanya pula tidak berkedip memandang Ainien yang begitu ralit mengupas bawang merah.

Dahi Ainien berkerut. Dia menoleh ke arah Sumayyah yang masih mencuka sejak dari pagi semalam. Bukan setakat semalam, bahkan kelmarin dahulu pun sama. Bibir Sumayyah tidak lagi menguntum senyuman seperti biasa.

“Pasal apa pula kali ni?” Soal Ainien macam nak tak nak saja.

Bukan apa. Rungutan Sumayyah ini berlangsung secara konsisten sejak dia menjadi wartawan, merangkap editor di syarikat penerbitan milik En. Abdullah. Lebih tepat lagi, sejak Sumayyah bekerjasama secara langsung dengan Zahin dan Kamil.

Dengan perkataan lain, setiap kali bila tiba waktu deadline...

Sumayyah yang lemah gemalai dan sopan santun itu secara automatik akan berubah menjadi seorang yang garang!

Senyumannya hilang bagai dibawa angin Laut China Selatan. Entah ke mana perginya, tiada siapa yang tahu.

Bicaranya acap kali mengguris hati dan perasaan.

Sumayyah, Zahin dan Kamil pula seperti anjing dengan kucing yang asyik bercakaran.

Masing-masing tidak berpuas hati.

Masing-masing mengutuk sesama sendiri.

Tidak kurang juga yang memendam rasa benci. Akibatnya...

Ainienlah yang menjadi mangsa keadaan kerana terpaksa mendengar bebelan dan rungutan Sumayyah tentang dua jejaka sehati sejiwa itu.

Ada sahaja yang tidak kena.

Ada sahaja yang menyakitkan hati.

Silap hari bulan, Ainien yang akan dimarahi.

Sumayyah mendengus kecil dengan wajah masam. Hatta dengan Ainien pun, dia tidak sudi memaniskan muka. Bukan Sumayyah tidak sudi tetapi...

Ah! Dia tidak berdaya untuk mengikhlaskan diri. Hatinya sakit, tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Setakat merungut dan mengata di hadapan Ainien, bolehlah. Namun masih belum cukup untuk menyejukkan jiwanya yang sedang membara. Wajah Zahin dan Kamil pula tidak segan silu hadir bersilih ganti melingkari benaknya. Akibatnya, ketenteraman Sumayyah terganggu.

Astaghfirullah...

“Akak pun kenal sangat dengan Zahin, kan? Serius memanjang. Yaya dapat terima kalau dia nak serius waktu bekerja. Itu hak dia. Syarikat tempat kita bekerja mengamalkan sistem demokrasi walaupun hakikatnya tak berapa nak mendengar suara majoriti. Kalau Zahin nak serius setiap jam, minit, saat dan detik sekalipun, Yaya tak kisah. Tapi, berlaku adillah kepada SEMUA!” kata-kata Sumayyah terhenti di situ.

Dia menghembus nafas perlahan.

“Ini, tidak. Suka sangat meninggikan suara. Orang lain buat salah, Yaya juga yang kena. Cakap elok-elok tak boleh ke? Susah sangat ke nak senyum? Payah sangat ke nak siasat sebarang khabar berita yang diterima? Memang tak ada ciri-ciri seorang pemimpin yang berkaliber. Berkaki lebar, adalah. Dahlah dahi tu pun lebar dan luas juga.”

Mata Ainien pejam celik beberapa kali. Panjang sungguh bicara Sumayyah. Langsung tidak ada koma dan noktahnya. Ainien turut berasa penat mendengarnya.

Tanpa membasuh tangan yang berbau bawang, Ainien terus mengusap rambut Sumayyah perlahan. Senyumannya tetap terukir nipis di bibir meski dia sendiri berasa lelah menadah telinga. Dia cuba menyelami ‘masalah besar’ yang dialami oleh Sumayyah. Tiap-tiap bulan pula.

“Sabar, Ya. Bertenang. Sesungguhnya ALLAH bersama hamba-NYA yang sabar,” ujar Ainien lembut membujuk.

Sumayyah menggeleng.

“Yaya tahu. Tapi sampai bila Yaya terpaksa berhadapan dengan rakan sekerja yang suka ikut kepala sendiri macam tu, kak? Sabar seorang manusia pun ada hadnya...”

Ainien menggeleng laju.

“Siapa cakap sabar itu punya had? Selagi kita bergelar hamba ALLAH, selagi itu kita akan diuji.” kata-kata Ainien terhenti di situ.

Dia memegang kuat kedua-dua lengan Sumayyah. Anak mata temannya itu ditenung jauh ke lubuk hati.

“Jangan kamu kata kamu beriman, selagimana kamu tidak diuji. Ujian pula macam-macam. Ada yang diuji dengan harta. Ada yang diuji dengan keluarga. Macam Yaya, diuji dengan karenah rakan sekerja. Jadi, Yaya pilihlah sendiri sama ada hendak menjauh atau mendekat,” sambung Ainien dengan nada suara yang sedikit meninggi.

Ainien tidak mahu Sumayyah terlalu melayan perasaan. Kelak akan membinasakan jasad sendiri. Dia juga yang rugi.

Dahi Sumayyah berkerut. Seperti Ainien, dia turut memandang jauh ke dalam anak mata rakan akrabnya itu.

“Mendekat? Maksud, Kak Ain? Yaya tak fahamlah.” soal Sumayyah yang kurang mengerti.

Sumayyah yang berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil nampaknya gagal memproses setiap bait kata-kata Ainien dengan baik. Wajahnya jelas keliru.

Ainien menghembus nafas seraya meleraikan pegangan Sumayyah. Kemudian, dia berjalan lambat-lambat meng-hampiri singki. Dibiarkan sahaja Sumayyah terpinga-pinga dengan mata mengecil. Ainien memulas pili air perlahan. Sengaja dia melengah-lengahkan masa begitu.

“Kak Ain...” panggil Sumayyah dengar tidak dengar.

Ainien tetap membisu. Dia terus membersihkan tangannya yang masih berbau bawang.

“Kak Ain...” Sumayyah memanggil lagi.

Ainien berkalih ke arah Sumayyah yang jelas suram.

“Bertenang,” ujarnya lembut tetapi terselit ketegasan.

Sumayyah pun memandang lantai. Matanyaterkedip-kedip. Sumayyah cuba memikirkan kembali kata-kata Ainien sebentar tadi, tetapi otaknya beku.

Ainien menggeleng.

“Pilihan terletak di tangan Yaya...” kata-katanya terhenti di situ.

Dahi Sumayyah berkerut lagi. Kali ini, bertambah maju dengan mulutnya yang ternganga separuh.

“Maksud, Kak Ain? Pilihan apa? Nak Yaya biarkan dia orang membuli Yaya sesuka hati? Kamil dengan sikap sambil lewanya dalam bekerja. Kemudian, melemparkan kesalahan pada orang lain. Zahin pula suka menuduh tanpa usul periksa. Perlu bersabar sampai bila? Sampai hilang sabar?” soal Sumayyah bertalu-talu.

Ainien, rakan karibnya sendiri kelihatan lebih memihak kepada Zahin dan Kamil. Ini tidak boleh jadi!

Suasana menjadi sepi seketika.

Ainien mengambil pinggan mangkuk yang sudah kering lalu diletakkan di atas rak pinggan. Manakala, Sumayyah pula tetap setia tercegat di sebelah Ainien. Matanya pejam celik entah sudah berapa kali. Pada ketika ini, akalnya tidak dapat berfikir dengan waras. Emosi lebih menguasai diri.

“Pilihlah sama ada mahu mendekat atau menjauh daripada ALLAH tatkala didatangi ujian. Jika Yaya memilih untuk semakin menghampiri-NYA, maka bersabarlah. Banyakkan bermuhasabah. Kembalilah kepada ALLAH yang telah merencana kehidupan hamba-hamba-NYA,” Ainien terdiam sejenak.

Mata Sumayyah ditenung lagi.

“Sekiranya Yaya memilih untuk merungut dan mencela, Yaya sendiri tahu apakah rasa dan akibatnya. Senang hati ke, gembira ke, pokok pangkalnya... tepuk dada, tanya hati sendiri,” sambung Ainien bersahaja.

Sumayyah mendengus kecil. Dia menganggukmengeyakan. Kata-kata Ainien memang benar, tidak ada yang salah. Sumayyah sendiri yang perlu membuat pilihan namun...

“Yaya memilih untuk mendekat kepada ALLAH tapi...” air mata Sumayyah tidak semena-mena mengalir perlahan di pipinya.

Sakit hatinya mengenangkan rakan sekerja yang sebegitu. Lebih-lebih lagi terhadap Zahin yang jelas tidak berlaku adil terhadapnya. Beruntunglah mereka yang sekepala dan sebulu dengan lelaki itu. Sumayyah pula... jauh panggang dari api. Ada sahaja yang tidak kena. Hanya terpampang kesalahan Sumayyah pada kaca matanya. Bukan itu sahaja, bahkan kecuaian sang kroni pun terpaksa ditanggung oleh orang lain. Mangsanya pula ialah diri Sumayyah sendiri!

“Ah!” Sumayyah mendengkus kuat.

Tidakkah lelaki itu tahu yang dia juga punya hati yang perlu dijaga?

Semakin lama, semakin laju pula aliran air yang gugur dari kelopak mata Sumayyah. Dia betul-betul tertekan memikirkan Zahin!

Nah, punca sebenar permasalah besar yang dihadapi Sumayyah sudah dikenalpasti - Zahin!

“Yaya!” Ainien menepuk belakang Sumayyah.

“Kenapa sampai menangis ni? Pasal kerja aje pun. Jangan terlalu ikut perasaan sangat. Kelak diri yang binasa. Memanglah dalam kerja kita akan berhadapan dengan sikap manusia yang kadang-kadang menyakitkan jiwa tapi normallah. Kita ni bukannya bekerja dengan mesin. Makhluk ALLAH yang bernyawa pasti tak akan terlepas daripada melakukan kesalahan. Manusia itu pastinya ada kelemahan tetapi kita kena ingat! Disebalik kelemahan itu, pasti ada kelebihan dan kebaikan pada diri mereka.”

Keras, tegas dan serius bicara Ainien sampai terkedu Sumayyah jadinya.

“Lepas ni, akak tak nak tengok dan dengar Yaya merungut lagi. Sekali dua, tak apalah. Ini, tidak. Setiap kali deadline, setiap kali itulah Yaya mengeluh tak tentu hala. Ingat, Ya. Tidak redha kepada qadak dan qadar TUHAN namanya.” kata-kata Ainien terhenti di situ.

Dia menghembus nafas perlahan, kemudian menambah, “Kalau Yaya sakit hati, beristighfarlah. Ambil wuduk dan solat sunat taubat. ALLAH tak akan buat sesuatu yang sia-sia. DIA Maha Tahu, Maha Segalanya. Semua yang jadi ni pasti ada hikmahnya. Ada faham?”

Mata Sumayyah terkebil-kebil. Hatinya tidak henti-henti beristighfar. Titipan Ainien memang betul 100 peratus. Dia kemudiannya tunduk memandang lantai dapur yang berminyak. Matanya membulat buat kesekian kalinya.

‘Rasanya, baru semalam mop rumah,’ bisik hati kecil Sumayyah sendiri.

Selepas itu, dia mendongak ke arah Ainien yang masih tidak berkedip merenung wajahnya semula.

“Ambillah masa untuk bermuhasabah. Renung balik apa yang telah berlaku. Insya-ALLAH, Yaya sendiri akan mendapat jawapan serta ketenangan hati,” tutur Ainien sungguh-sungguh.

Sumayyah menghembus nafas sambil mengangguk-angguk perlahan.

SABREENA yang sedari tadi berdiri di tepi dinding sebelah dapur tidak semena-mena tercongok di belakang Ainien.

“Astaghfirullah...”

Ainien terloncat sedikit membuatkan Sumayyah yang sedang membasuh pinggan mangkuk tersentak kecil.Cepat-cepat dia berpaling ke arah Ainien.

“Kenapa, kak?” Sabreena menyoal pendek.

Ainien menggeleng laju. Wajah Sabreena yang sedang mencuka ditatap tajam.

“Aduh, tak reti bagi salam?” Ainien menepuk dadanya perlahan-lahan.

“Kalau Ain pegang pisau, tak pasal-pasal ada yang masuk wad. Sorang lagi kena humban dalam penjara,” dia menambah serius. Tindakan Sabreena yang muncul secara tiba-tiba memang membahayakan.

Sabreena mencebik.

“Alahai, cik kak. Awal-awal pagi lagi dah buat ketupat. Tak takut jadi ketupat basi? Sudahlah bercakap pasal lelaki. Hisy, menjatuhkan martabat wanitalah. Tak ada isu lain ke?” Sinis Sabreena mengungkap kata penuh emosi.

Ainien dan Sumayyah saling berpandangan. Dahi mereka berkerut. Sudahlah masuk dapur senyap-senyap, mencelah tanpa memberi salam. Minta izin jauh sekali. Apabila bersuara, sesuatu yang menyakitkan hati. Siapa-siapa yang mendengar pastiterguris dan terhiris.

“Kenapa ni, Reen?” Ainien bertanya serius.

Tidak Ainien nafikan yang dia dan Sumayyah bersalah kerana berbicara sesuatu yang tidak elok tentang orang lain. Mengumpat namanya.

Ah, bukan! Sumayyah hanya mahu meluahkan rasa.

Meluah rasa?

Apa bezanya dengan mengumpat dan mengata?

Namun persoalan lainnya, apakah kewajaran Sabreena untuk menekan persoalan LELAKI itu?

“Reen dengar Yaya bercakap pasal Zahin.” ujar Sabreena dengan suara mendatar.

Dia diam sejenak. Wajah Sumayyah yang tidak berkedip memandangnya dipandang sekilas, kemudian berkalih ke arah Ainien semula.

Ainien menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Kenapa dengan Zahin?” Bersahaja dia bertanya.

Bukankah Zahin merupakan subjek dalam isu yang dibangkitkan? Justeru, memang perihal lelaki itulah yang akan diperkatakan. Tak kan pula bercakap tentang Tun Mahathir pula!

Muncung mulut Sabreena semakin panjang.

“Yaya tak bosan ke asyik bercakap pasal Zahin? Lepas dari deadlineaje,nama tu juga yang keluar. Yaya tak malu ke? Kerja memanglah macam ni. Ada benda yang buat kita suka. Ada benda yang kita benci. Diam-diam sudah. Tak payah nak menangis bagai luah perasaan. Macam orang baru kematian laki...” Sabreena menelan air liur sekali.

Dia memandang tajam ke dalam anak mata Sumayyah seraya menambah, “Ke, Yaya rasa gembira dapat sebut nama dia? Rasa dia bagi perhatian. Pura-pura marah dan benci tetapi dalam hati meloncat suka hati. Tak rasa murah ke?”

Dahi Ainien berkerut. Begitu juga dengan Sumayyah. Mereka berada dalam keadaan buntu sekejap.

‘Jika suka, apa masalah Kak Reen?’

Kata-kata sinis Sabreena yang bertubi-tubi sedikit sebanyak membuatkan hati kecil Sumayyah terasa. Cakapnya tidak berlapik. Sama seperti Zahin, Sabreena juga langsung tidak peka terhadap perasaan orang lain.

Suasana sepi seketika.

Ketiga-tiga anak dara sunti itu nampaknya lebih senang melayan perasaan sendiri.

“Kenapa bangun-bangun tidur terus nak marah ni, Reen? Lapar eh?” Ainien akhirnya bersuara. Keadaan tegang ini tidak boleh dibiarkan berterusan.

Sabreena mendengus lagi.

“Sudahlah. Malas nak layan. Yaya fikirlah sendiri. Tanya hati tu macam mana. Tak payah nak berdrama bagai. Orang lain pun ada deadlinejuga. Kalau tak bersedia nak hadapi tekanan, berhenti kerja. Tunggu orang masuk meminang. Akak bosanlah Yaya asyik bercakap pasal Zahin.”

Sabreena lalu beredar dari situ, membiarkan Sumayyah dan Ainien terpinga-pinga sendiri.

Dahi Sumayyah berkerut. Ada sesuatu yang sedang berlegar-legar di dalam benaknya tetapi tidak pula dia ungkapkan dengan kata-kata. Dia memandang Ainien yang tercengang sama.

“Apa masalah Kak Reen tu, kak? Masuk dapur, terus membebel aje,” ujar Sumayyah separuh berbisik.

Ainien menjungkit bahu.

“Entah. Masuk dapur, terus sembur orang. Dia cemburu-kan Yaya kot,” Ainien turut sama berbisik.

Sumayyah menggeleng tidak bersetuju dengan telahan Ainien.

“Tak baik kak, kita berburuk sangka. ALLAH ada. Malaikat catit semua.” Dia menitip pesan.

Sumayyah sebenarnya tidak mahu membuka ruang yang tidak sihat di antara mereka. Pasti Sabreena tidak suka apabila perihal buruknya dibicara. Lagipun, mengumpat namanya. Dosa dahlah menimbun, nanti bertambah banyak pula.

Oh, tidak!

Ainien mengeluh kecil.

“Astaghfirullah...”

Bukan dia tidak tahu. Membuat tanggapan yang salah itu, bisa sahaja memusnahkan tali sebuah persahabatan.

“Tapi, lain macam pula si Reen tu pagi ni,” ujar Ainien tidak lagi berbisik.

Sumayyah menganggukmengeyakan.

“Datang bulan agaknya.” Dia berseloroh, cuba menjernih-kan suasana.

“Tak pun, dia stres macam kita juga memikirkan deadline.Hahaha...” tambah Sumayyah sambil ketawa yang dibuat-buat.

Ainien turut sama tertawa tetapi bukanlah ketawa yang diada-adakan.

Sesungguhnya deadlinememang memberi impak kepada para editor. Semua orang terkesan. Paling teruk, tercalit pada Sumayyah. Sabreena pun sama tetapi jatuh nombor dua. Hanya Kamil dan Nik Umar sahaja yang dilihat seolah-olah tidak punya rasa. Sentiasa tenang walau apa saja yang berlaku.

“Yaya dah okey?” soal Ainien pendek.

Sumayyah mengangguk lesu.

“Terima kasih, Kak Ain. Sebab sudi jadi pendengar dan penasihat yang paling setia,” balas Sumayyah lembut.

Ainien mengusap-usap belakang Sumayyah.

“Alah, tak ada apa-apalah. Kita kan kawan,” kata-kata Ainien terhenti di situ.

“Ayuh! Jom kita kuatkan hati. Sabar menempuhi deadlineyangakan datang. Alah, baru deadline.Bukan die sebelum sempat bertaubat,” tambah Ainien sungguh-sungguh.

Sumayyah mengangguk seraya tunduk ke lantai.

Bicara Sabreena sebentar tadi kembali terngiang di telinga. Tidak Sumayyah nafikan, kata-kata sinis itu ada juga benarnya.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.