Home Novel Cinta SEANDAINYA DIA UNTUKKU
SEANDAINYA DIA UNTUKKU
Zahra Darina
1/2/2022 19:23:19
16,913
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 5

SETELAH Amar keluar dari perut keretanya, Puan Zainab segera menarik lengan Amar dan mengajaknya masuk ke dalam rumah mereka. Amar mengerutkan dahi melihat perilaku ibunya yang seolah-olah gelisah.

           “Duduk sini! Ibu nak cakap sekejap.”  Arah Puan Zainab.

            “Kenapa ibu?” Amar masih hairan melihat gelagat ibunya.

            “Ibu sebenarnya tak puas hati dengan kakak kamu tu.” Puan Zainab mula melabuhkan punggung di atas sofa bersebelahan Amar.

            “Tak puas hati kenapa pula, ibu? Kak Mira ada buat apa-apa ka kat ibu?” Amar mula menggaru kepalanya yang tidak gatal.

            “Kak kamu tak setuju dengan pilihan ibu. Dia tak nak bertunang dengan Azim.” Puan Zainab mula menceritakan punca dia gelisah. Semuanya gara-gara Amira yang tidak mahu menerima Azim sebagai calon tunangnya.

            “Ya Allah, ibu. Kenapa nak paksa kakak terima Azim tu? Soal hati ni tak boleh dibuat main.” Amar menggaru semula kepalanya yang tidak gatal.

            “Amboi, kau! Nak ajar ibu pula. Ibu tau lah yang mana terbaik untuk kakak kamu tu.” Puan Zainab mula geram dengan Amar. Bukan nak menyokongnya, malah membantah cakapnya.

            “Ibu, kakak pun berhak membuat keputusan. Ini berkaitan perasaannya.” Amar mula bangun. Niatnya hendak melangkah ke dalam biliknya.

            “Kamu nak pi mana? Ibu belum habis cakap lagi ni.” Puan Zainab mendongak memandang Amar yang tiba-tiba bangun.

            “Amar nak masuk bilik dulu.” Amar mula melangkah meninggalkan ibunya seorang diri di ruang tamu.

            “Bertuah punya anak. Ditinggalkan aku sorang-sorang macam ni. Dahlah aku belum habis cakap lagi.”  Puan Zainab berang dengan sikap Amar. Niatnya hanya ingin Amar memujuk kakaknya untuk setuju bertunang dengan Azim, namun Amar langsung tidak mengendahkannya. Dia belum habis cakap tetapi anak bertuahnya dah nak masuk ke dalam bilik.

 

 

SHAZA terkejut setelah mendengar luahan hati adiknya, Farhana. Tidak menyangka selama ini, ayah tirinya menghabiskan wang  yang dia pernah kirimkan kepada Farhana semata-mata untuk berjudi. Namun dia belum lagi mendengar kebenaran yang amat perit yang selama ini yang Farhana rahsiakan.Kebenaran yang memang akan mengundang kemarahannya.

            “Apa lagi yang ayah buat selain mengambil duit yang kak bagi kepada Hana?” Soal Shaza. Dia merasakan ada sesuatu lagi perkara yang Farhana rahsiakan daripadanya. Dia tidak pasti rahsia apa, tetapi dia memang berasa tidak sedap hati. Seperti ada sesuatu perkara besar yang Hana rahsiakan.

Dia tidak menyangka selama ini ayah tirinya sebenarnya kaki judi. Sebelum dia berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun lepas, ayah tirinya tidak menunjukkan sikap seorang kaki judi. Ayah tirinya melayannya dan Farhana dengan baik sekali. Tidak menyangka semudah itu ayah tirinya berubah.

            “Ayah cuma ambil duit saja.” Jawab Farhana ringkas lalu menunduk. Dia berasa bersalah dengan kakaknya. Perlukah dia memberitahu perkara sebenar, atau rahsiakan selamanya? Mampukah dia merahsiakan perkara ni selamanya?

            “Kak tak rasa yang tu saja. Ada sesuatu yang Hana rahsiakan kepada kak kan? Cuba bagitau kak sekarang juga. Kak nak tau apa yang ayah dah buat kepada Hana?” Shaza meneka. Semoga Farhana memberitahunya perkara sebenar.

            Farhana memandang kakaknya semula setelah beberapa minit menunduk. Matanya mula berkaca-kaca. Sebenarnya, dia tidak mampu menahan lagi. Cuma dia tiada keberanian untuk menceritakan perihal aib ini.

            “Cakap Hana! Ayah tiri kita tu buat apa lagi?” Shaza memaksa Farhana membuka mulut menceritakan perkara sebenar setelah melihat air mata Farhana mengalir perlahan di pipi.

            “Ayah...ayah...” Farhana terketar-ketar ingin memberitahu kakaknya.

            “Ayah buat apa???” Shaza mula meninggikan suaranya.

            “Ayah bawa balik seorang lelaki ke rumah ni, dan lelaki itu...” Farhana mula menangis teresak-esak.

            “Cakap terus Hana! Lelaki itu buat apa???” Shaza tidak dapat membendung lagi kemarahannya.

            “Lelaki itu merogol Hana.” Terketar-ketar Farhana berbicara. Shaza terbeliak setelah mendengar kebenaran daripada Farhana.

            “Ya Allah!!!” Shaza bingkas bangun dari birai katil Farhana lalu mundar mandir di dalam bilik tidur adiknya itu.  Dia menyentuh dahinya. Kepalanya bagaikan dihempap oleh batu setelah mendengar rahsia yang Farhana pendamkan selama ini.

“Bagitau kak, siapa lelaki tu? Lelaki itu patut diajar.” Shaza mula bersuara setelah mundar mandir di situ. Dia duduk semula di birai katil menghadap Farhana yang juga masih terpaku di situ dengan linangan air mata. Dia cuba untuk bertenang tetapi tidak boleh.

“Hana tak kenal siapa lelaki itu. Yang pasti dia bukan dari kampung ini. Dia kelihatan seperti orang berada.” Jawab Farhana.

“Ingat wajah dia kan?” Soal Shaza lagi. Farhana sekadar mengangguk.

“Jom kita pi balai polis. Buat report.”  Shaza mula bangun. Farhana terpinga-pinga lantas bangun.

“Taknak! Hana tak nak!” Farhana menggeleng.

“Kenapa tak nak?” Shaza mula hairan.

“Hana tak nak! Hana tak nak malu!” Farhana masih belum bersedia untuk membuat laporan polis. Kalau satu kampung kecoh, habislah dia. Suatu hari nanti dia terpaksa berhadapan dengan orang-orang kampung yang akan mencemuhnya jika mereka dapat tahu.

 

 

AMIRA termenung di dalam bilik, memikirkan soal ibunya yang betul-betul nekad ingin menjodohkannya dengan Azim. Patutkah dia terima atau menolak? Kalau ikutkan hatinya,semestinya dia ingin menolak. Hanya Allah saja tahu hatinya untuk siapa. Walaupun dia sendiri tidak mengetahui adakah perasaannya terhadap lelaki itu hanya bertepuk sebelah tangan atau tidak?

            “Kak!” Amar menegur Amira dari luar pintu bilik yang terbuka. Amira yang sedang mengelamun jauh tersentak. Dia terus berpaling ke arah Amar.

            “Kenapa?” Soal Amira ringkas.

            “Jom keluar jalan-jalan nak?” Pelawa Amar.

            “Nak pi mana?” Soal Amira. Masih ringkas.

            “Jomlah. Ikut ja. Amar tunggu kat depan.” Amar mula menghilangkan diri ke ruang tamu.

            “Tunggu sat! Kak nak bersiap.” Amira terjerit kecil meminta Amar menunggu.

            “Jangan lama sangat, kak!!!” Terdengar suara Amar menjerit  dari ruang tamu. Mujurlah ibu mereka tiada di rumah. Kalau tak, habislah terkena tempias leteran padu daripada ibu mereka kerana menjerit di dalam rumah peninggalan arwah ayah mereka.

 

 

AMIRA menoleh ke kanan. Dia hairan melihat Amar diam membisu ketika memandu. Jarang sekali ketika memandu, dia mendiamkan diri. Selalunya Amar ramah berbicara ketika memandu. Sebelum keluar rumah tadi, Amar kelihatan baik-baik sahaja. Siap bergurau lagi. Sekarang wajahnya kelihatan masam mencuka. Agak-agaknya dia memikirkan masalah apa?

            “Fikir apa, Amar?” Amira mula menyoal. Tak seronoklah dia melihat wajah adiknya, Amar yang masam mencuka itu.              

            “Ha? Fikir apa?” Amar menoleh ke kiri sesaat sebelum memandang ke hadapan semula.

            “Ya la. Kak tengok termenung ja. Muka Amar tu nampak masam sangat. Sejak dalam kereta tadi diam ja. Selalunya kecoh masa bawa kereta.” Amira menoleh ke arah Amar menanti  jawapan daripada adiknya.

            “Eh, mana ada kak. Taklah.”  Amar mula tersenyum ceria menyembunyikan wajahnya yang masam mencuka.

            “Tak payah tipu kak lah. Kak bukan baru kenal Amar.  Ada masalah kan? Cerita ja kat kak. Ni mesti fikir pasal awek kan?  Tengah bergaduh kot. Tak nak cerita ka siapa dia?” Amira mula ketawa. Mungkin Amar sudah mempunyai teman wanita tetapi dirahsiakan daripadanya.

            “Mana boleh cerita. Rahsia.” Amar mula ketawa.

            “Amboi, dengan kak pun nak rahsia ka? Sampai hati noh.” Amira mula tarik muka.

            “Nantilah Amar cerita kat kak. Tak yah lah buat muka macam tu kak. Kak dah cantik, buat muka macam tu kenapa?” Amar mula ketawa riang. Adakalanya kelakar juga kakaknya, Amira. Walaupun ada masalah, kakaknya tetap prihatin terhadapnya. Tetap juga kelakar.

            “Ok, nanti cerita kat kak. Janji kena tunaikan. Jangan lupa pula.”  Pinta Amira. Masalah yang Amira fikirkan ketika di rumah tadi, sudah hilang daripada fikirannya. Ternyata, bukan dia seorang sahaja yang mempunyai masalah. Adiknya, Amar juga mempunyai masalah. Mungkin masalah Amar lebih berat daripadanya.

Kadangkala kita fikir bahawa kita mempunyai masalah yang amat berat sehinggakan tidak mampu menghadapinya. Namun hakikatnya, masalah manusia di sekeliling kita lebih besar daripada masalah yang kita hadapi.

 

TAMPAK kemas dia berpakaian kemeja lengan panjang berwarna green mint dipadankan dengan  Jeans berwarna hitam. Dia membetulkan cermin matanya sambil tersenyum ceria ketika keluar dari biliknya lantas melangkah ke ruang tamu. Amirul, Zali dan Zarif yang sedang rancak berbual di ruang tamu terdiam seketika setelah  melihat Hanif Izzudin yang muncul tiba-tiba di ruang tamu dengan berpakaian kemas.

            “Nak pi mana ni, Hanif? Smart macam ni nak jumpa siapa? Awek ke?” Soal Zali kehairanan.

            “Adalah. Mana boleh cerita. ” Jawab Hanif Izzudin. Masih tersenyum ceria.       

            “Sah. Ni mesti nak jumpa kekasih hati ni. Nak rahsiakan daripada kami pula.” Zarif mula menyampuk. Amirul yang duduk di sebelah Zarif cuma memandang Hanif Izzudin dengan penuh kehairanan tanpa bersuara.

            “Tak perlulah sibuk nak tau. Lagipun, aku keluar tak lama sangat pun. Nanti kalau mak dan ayah aku dah balik dari kedai. Tolong bagitau yang aku keluar sekejap. Apa-apa hal call aku.”  Hanif  Izzudin mula melangkah ke arah pintu rumahnya. Di wajahnya tak lekang dengan senyuman ceria. Dia kemudiannya bersiul ketika memakai kasut Chukka Boots yang berwarna hitam.

            Ketiga-tiga rakannya menoleh serentak ke arah Hanif Izzudin dengan wajah penuh kehairanan.

           “Weh,Dia bersiul. Selama kita kenal dia, tak pernah pun dengar dia bersiul. Lain macam ja perangai kawan kita kali ni.” Ujar Zali perlahan. Sesaat kemudian dia ketawa dan diikuti oleh Zarif dan Amirul.

 

 

SEBUAH  Restoran Western menjadi  destinasi Amar. Amira mengerutkan dahinya setelah kereta Amar parkir di hadapan restoran tersebut. Biar betul Amar ni.Sebelum ni tak pernah Amar membawa dia ke restoran ni. Kenapa tiba-tiba Amar berhenti di hadapan restoran ini?

“Amar,kita buat apa kat sini?” Soal Amira. Dia menoleh ke kanan memandang Amar.

“Soalan kak boleh tahan juga ya.”  Amar kemudiannya ketawa.

“Janganlah main-main. Jawablah betul-betul. Sebelum ni tak pernah pun Amar bawa kak kesini. Kenapa tiba-tiba ja? Sejak bila pula Amar suka makanan western?” Soal Amira lagi.  

“Kak, jom kita masuk dulu. Nanti kak akan tau juga.” Amar mematikan enjin keretanya. Dia membuka pintu kereta lalu keluar dari perut kereta.

Amira masih di dalam perut kereta. Sedang memikirkan sikap pelik adiknya. Tiba-tiba mengajaknya keluar makan angin, dan tiba-tiba juga datang ke Restoran Western ni. Rasanya makanan western bukanlah kegemaran Amar.

“Kak,buat apa lagi dalam kereta? Jomlah!” Ajak Amar yang sedang berdiri di pintu kereta lalu menunduk sedikit memandang kakaknya yang sedang terpaku di dalam perut kereta. Lamunan Amira terhenti setelah mendengar suara Amar yang terjerit kecil.

“Apalah Amar ni. Terkejut kak.” Amira menoleh ke kanan memandang Amar yang masih berdiri di pintu kereta. Dia kemudian mengurut dadanya. Sesaat kemudian, Amira mula membuka pintu kereta dan keluar dari perut kereta. Kemudian, mereka berdua melangkah masuk ke dalam restoran tersebut.

 

 

 

 

Previous: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zahra Darina