Home Novel Cinta SEANDAINYA DIA UNTUKKU
SEANDAINYA DIA UNTUKKU
Zahra Darina
1/2/2022 19:23:19
16,916
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

TELEFONNYA berbunyi menandakan satu mesej masuk. Dia segera mengambil telefon pintarnya di dalam tas tangannya, lantas melihat satu mesej yang baru masuk. Dia melihat nama pengirim yang tertera di situ. Dahinya berkerut. Amar?

             Assalamualaikum, kak! Ada kat mana la ni?          

            Sebaik sahaja melihat mesej dari Amar, Amira segera membalasnya lalu menghantar kepada Amar.

           Waalaikumussalam, kak ada kat depan bangunan Penang 3D TrickArt Museum. Kenapa tanya?

            “Siapa yang hantar mesej tu?” Shaza yang memerhati dari tadi bersuara.

            “Amar! Dia tanya, kita kat mana.” Amira memandang Shaza sebentar sebelum melihat semula skrin telefonnya. Sedang menunggu mesej masuk. Aik! Diam pulak Amar ni! Tadi tanya, sekarang diam? Dahinya mula berkerut.

            “Mira ok ka?” Soal Shaza kehairanan.

            “Aku ok la! Kenapa tanya?”

            “Ok? Aku tengok macam tak ok je? Kat feri tadi lagi la nampak ketara. Sangat gelabah. Ni mesti sebab Hanif Izzudin kan?” Shaza mula tersenyum. Amira hanya diam.

            “Tapi ok la, sekurang-kurangnya Mira dah jumpa dia setelah bertahun tak jumpa walaupun secara kebetulan. Kan selama ini Mira harap macam tu. Akhirnya doa Mira dimakbulkan.” Shaza bersuara lagi.Terukir senyuman pada wajahnya.

Amira sekadar tersenyum. Ya! Memang itulah doanya selama ini. Berjumpa dengan Hanif Izzudin merupakan harapannya selama ini. Walaupun cuma sebentar. Namun perasaan gelabahnya tidak dapat diusir tatkala berdiri di hadapan lelaki itu. Amira mula melangkah ke kaunter di hadapannya untuk membeli tiket sebelum masuk ke dalam bangunan Penang 3D Trick Art Museum. Shaza sekadar memerhati Amira. Setelah membeli tiket, mereka berdua beriringan masuk ke dalam bangunan dua tingkat itu.

 

 

PERTAMA kali menjejakkan kaki ke dalam bangunan yang memaparkan pelbagai jenis lukisan 3D di setiap dinding muzium itu membuatkan mereka berdua terpesona. Kelihatan beberapa peralatan dan patung terletak berdekatan dengan setiap lukisan bagi memenuhi  tema lukisan-lukisan itu. Shaza dan Amira segera mengeluarkan telefon pintar mereka untuk mengambil gambar bagi setiap lukisan yang terpapar. Mereka juga sempat mengambil gambar masing-masing dengan pelbagai gaya di setiap lukisan 3D yang terpapar.

            Setelah puas mengambil gambar di tingkat bawah dalam muzium itu, mereka beralih pula ke tingkat atas. Mereka berdua melangkah menuju ke arah tangga yang terletak dihujung muzium itu. Setiap anak tangga muzium itu dinaiki mereka. Sebaik tiba di atas, mereka terpaku. Sebuah lukisan 3D beberapa orang jurugambar dan peminat kelihatan seolah-olah sedang mengambil gambar mereka saat melalui karpet merah yang terhampar di laluan itu.    

            “Shaza, aku nak pi kat sana sat!” Ujar Amira sambil menuding jari ke arah sebuah lukisan 3D yang menarik perhatiannya sebelum melangkah ke sana.

            “Ok!” Balas Shaza ringkas. Dia sibuk mengambil gambar pada setiap lukisan yang terpapar di hadapannya melalui telefon pintarnya. Dia kemudiannya merenung kembali pada telefonnya, setiap gambar yang baru diambilnya tadi.

            “Ehem!” Satu suara berdehem mengejutkannya. Dia berpaling ke kanan.

            “Khairul? Kenapa kat sini?” Soal Shaza. Dia tergamam sebentar tatkala melihat Khairul yang tiba-tiba muncul dihadapannya.

            “Kenapa, tak boleh ka saya mai sini?”Jawab Khairul selamba.

            “Bukan Amar ada dengan awak ka? Diakata ada kerja nak buat. Kenapa awak ada kat sini pulak?” Soal Shaza kehairanan.

            “Saja je datang sini. Amar pun ada kat sini.” Jawab Khairul.

            “Hah! Saja?” Soalnya lagi. Khairul hanya mengangguk tanpa bicara. Matanya mula beralih ke arah lukisan 3D dihadapannya. Shaza sekadar memerhati gelagat Khairul dengan penuh tanda tanya. Lama juga dia memandang Khairul dengan wajah kehairanan. Perlahan-lahan wajah kehairanan bertukar ceria. Dia tersenyum sendirian sambil memandang Khairul. Entah perasaan yang bagaimana harus digambarkan apabila melihat lelaki dihadapannya ini.

             “Tak payah la tengok saya lama-lama sangat! Nanti hati saya cair siapa nak bertanggungjawab?” Ujar Khairul perlahan. Matanya masih memandang lukisan dihadapannya.

            Shaza tersentak. Mukanya berona merah. Dengan pantasnya Shaza memandang telefon pintarnya sambil terus melangkah meninggalkan Khairul sendirian di situ. Perlahan-lahan Khairul menoleh memandang ke arah Shaza  yang sedang berjalan sambil  memegang telefonnya. Senyuman terukir diwajahnya sambil melangkah perlahan  mengekori Shaza.

 

 

“AMAR buat apa kat sini?” Soal Amira. Dia terkejut saat melihat adiknya yang tiba-tiba muncul di hadapannya.

“Ikut kak la!” Jawab Amar ringkas. Bibirnya tersenyum saat memandang ke satu arah.

“Ikut kak? La! Tadi kata tak nak ikut. Kata ada kerja nak buat dengan Abang Khairul. Kenapa tiba-tiba ada kat sini? Abang Khairul mana? Tak ikut sekali ke?” Soal Amira bertubi-tubi.

“Tu! Ada kat sana!” Jawab Amar ringkas sambil menuding jari ke satu arah. Amira segera memandang ke arah itu. Bibirnya mula terukir senyuman. Dia memandang Amar semula.

“Oh, baru akak faham!  Patutlah berahsia tadi. Tak nak bagitau nak pi mana. Rupanya ini rancangan Amar. Patutlah tanya kak kat mana tadi.” Amira mula mengangguk tanda faham.

 “Abang Khairul dan Kak Za tu sepadan kan, kak?” Soal Amar. Matanya tidak lekang dari memandang ke arah Shaza dan Khairul yang berdiri agak jauh dari mereka.   

“Betul! Kak setuju! Mereka memang sepadan.” Amira dan Amar tersenyum tatkala melihat Shaza yang berjalan ke arah sebuah lukisan sambil diikuti oleh Khairul.

 

 

SHAZA melabuhkan punggungnya pada salah satu kerusi di sebuah kedai makan di Padang Kota lalu mengukir senyuman kepada Amira yang sedang menunggunya muncul.

 “Dah pesan makanan ka?” Soal Amira kepada Shaza setelah gadis itu memandangnya dengan wajah manis.

“Dah!”Jawabnya ringkas sambil mengeluarkan telefonnya untuk melihat gambar-gambar yang diambilnya ketika di  Penang 3D Trick Art Museum. 

“Kalau macam tu, giliran aku pulak.” Ujar Amira sebelum melangkah meninggalkan Shaza sendirian di meja makan itu.

Shaza mengamati gambar-gambar yang diambilnya bersama Amira, Amar dan Khairul di Penang 3D Trick Art Museum. Matanya tertumpu kepada gambar Khairul yang berdiri disebelahnya. Dia mula mengukir senyuman tatkala mengamati gambar Khairul.

Baru beberapa saat Shaza mengamati gambar-gambar tersebut, Shaza menoleh ke arah Khairul yang berada tidak jauh dari tempatnya duduk. Kelihatan Khairul sedang beratur untuk memesan makanan. Shaza perlahan-lahan mengukir senyuman sambil matanya tak lekang memerhati Khairul. Sekelip mata sahaja, fikirannya melayang.

Shaza mula teringat di zaman sekolah menengah di Bukit Mertajam.  Dulu semasa berumur 16 tahun, dia, Khairul dan Hanif Izzudin berada di satu kelas yang sama dan berkawan rapat.  Khairul dan Hanif Izzudin merupakan pengawas di sekolah tersebut. Seorang pengawas sememangnya tidak asing dari sikap yang tegas.

Dia teringat ketika di awal tahun persekolahan bermula ketika berumur 16 tahun, dia pernah terlewat ke sekolah. Ketika sampai di pintu pagar sekolah, kelihatan beberapa pengawas berdiri berdekatan pagar sekolah. Salah seorangnya adalah Khairul. Hanif Izzudin juga berada di situ mengawasi para pelajar yang baru melangkah ke dalam pagar sekolah. Namun sikap tegas Khairul melebihi Hanif Izzudin.

“Ni kenapa lewat?” Soal Khairul kepada Shaza dengan suara yang agak tinggi setelah dia berada di pintu pagar sekolah.

“Sorry, saya tak sengaja lewat. Ada masalah sikit.” Jawab Shaza. Wajahnya kelihatan gemuruh apabila memandang pengawas di hadapannya ni. Aduh, kenapa garang sangat! Shaza mengetap bibir sambil memandang pengawas tersebut.

“Masalah? Masalah apa sekalipun, tak payah lah mai lewat. Peraturan tetap peraturan.”  Bebel Khairul. Sesaat kemudian satu buku nota bersaiz B5 yang dipegang oleh Khairul diselak helaiannya.

Aduh, mamat kerek ni... Shaza mula mencebik. Geram juga tengok gaya pengawas ni.

“Nama apa?” Soal Khairul. Matanya tertumpu kepada buku nota tersebut sambil menunggu jawapan Shaza.

“Nurul Shaza Alya!” Jawab Shaza. Khairul kelihatan mula menulis di dalam buku nota kecil tersebut.

“Sedap nama...Ok Nurul Shaza Alya, boleh masuk!” Khairul memberi isyarat tangan tanda pelawa Shaza masuk ke dalam pagar sekolah.

 “Hisy...Mamat ni... Nama aku memanglah sedap sebab ibu bapa aku yang bagi nama ni.” Bebel Shaza perlahan sambil melangkah masuk.

Khairul tergelak kecil apabila terdengar Shaza membebel. Dia berpaling ke arah Shaza yang sedang berjalan perlahan masuk ke dalam sekolah sambil tersenyum. Hanif Izzudin yang juga berada tidak jauh dari Khairul juga tergelak apabila mendengar bebelan Shaza.

 

 

 “ASSALAMUALAIKUM. Termenung sorang-sorang ni, fikir pasal siapa? Fikir pasal saya ke?” Soal Khairul setelah melihat Shaza yang sedang menongkat dagu sambil mengelamun jauh.

Shaza tersentak. Lamunannya terhenti. Dia terus memandang ke arah lelaki yang berdiri dihadapannya.

“Awak ni buat terkejut saya ja.” Shaza berpura-pura menarik muka masam setelah melihat Khairul yang tiba-tiba muncul di hadapannya.

“Awak tak jawab lagi salam saya tadi!”

“Waalaikumussalam.” Jawab Shaza ringkas.

“Ha, Macam tu la!” Khairul mula mengukir senyuman tatkala melihat riak wajah Shaza yang kelihatan masam mencuka.

Seorang pelayan lelaki muncul dengan membawa dua gelas sirap limau ais dan dua gelas teh ais yang telah dipesan lalu diletakkan di atas meja makan di hadapan mereka. Shaza segera mengambil satu gelas yang berisi sirap limau ais yang dipesannya tadi lalu menyedut minuman tersebut menggunakan straw yang telah tersedia di dalam gelas itu. Alhamdulillah, terasa segar tekaknya.

“Tadi awak termenung sebab fikir pasal saya ka?” Hampir tersedak Shaza apabila terdengar soalan Khairul.

“Awak ni merepek la. Buat apa nak fikir pasal awak?” Soal Shaza. Wajahnya mula berona merah. Mana Mira dan Amar ni? Lamanya pesan makanan. Soal Shaza di dalam hati sambil matanya melilau mencari kelibat Amira dan Amar.

 

 

AMIRA mula berpaling setelah memesan makanan. Sebaik saja hendak mula melangkah ke meja makan, dia terpaku. Terpaku gara-gara melihat lelaki yang berdiri dihadapannya sedang tersenyum memandangnya.

“Hanif Izzudin!” Riak wajah Amira mula berubah berona merah.  Dia mula menunduk menyembunyikan riak wajahnya.

            “Assalamualaikum, Mira.” Ucap Hanif Izzudin. Wajahnya kelihatan ceria apabila melihat Amira dihadapannya.

            “Waalaikumussalam.”Jawab Amira. Dia mula mengukir senyuman.

            “Tak sangka kita terserempak lagi hari ni secara kebetulan.” Wajahnya masih kelihatan ceria. Maklumlah, terserempak lagi dengan gadis yang telah membuatkan hatinya berbunga.

            “Ya, saya pun tak sangka.” Ujar Amira ringkas. Rasa gugup menguasai dirinya.

            “Kak!” Terdengar suara Amar memanggil. Sekelip mata saja, Amar berada dihadapannya. Amar menoleh memandang Hanif yang sedang berdiri di sebelah kanannya. Sesaat Hanif juga menoleh ke arah Amar.

            Amar terus mengerutkan dahi. Tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki yang berdiri dihadapan kakaknya. Rasanya dia tidak pernah lihat langsung lelaki ini. Matanya terus memandang kakaknya dengan penuh tanda tanya.

            “Hanif, kenalkan ini adik saya Amar.” Amira memperkenalkan Hanif kepada Amar setelah melihat riak wajah Amar yang penuh tanda tanya.

            “Amar, ini Hanif. Kawan kak di Sekolah Menengah dulu.” Terang Amira.

Amar berjabat tangan dengan Hanif setelah Amira selesai berbicara.

            “Jadi saya kena panggil dengan panggilan Abang Hanif la kan?” Soal Amar sambil tersenyum ceria memandang kakaknya, Amira.

            “Panggilan apa pun tak kisah. Saya ok ja.”  Hanif mencelah sambil tersenyum memandang Amar.

            “Saya kena biasakan dengan panggilan abang. Mana tau suatu hari nanti abang jadi abang ipar saya ka?” Seloroh Amar sambil ketawa kecil. Hanif Izzudin hanya tersenyum sebaik mendengar bicara Amar.

            Amira memandang Amar sambil membulatkan matanya. Amar yang perasan riak wajah kakaknya itu terus minta diri ke meja makan.

            “Meja awak kat mana?” Soal Hanif.  Matanya tak lekang memandang gadis dihadapannya. Kalau ikutkan hati, dia hendak berbual lama dengan Amira.

“Kat sana!” Amira segera menuding jari ke arah satu tempat. Hanif segera menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh Amira.

Dia terus terkejut melihat seorang lelaki di meja makan tersebut. Kemudiannya dia tersenyum ceria sambil melangkah ke meja makan tersebut. Amira terpinga-pinga melihat Hanif Izzudin berjalan ke arah meja tersebut. Dengan pantas, Amira mengekori Hanif.

 

 

KHAIRUL menoleh ke arah lelaki yang sedang berjalan ke arahnya bersama Amira. Setelah Lelaki itu melangkah hampir ke arahnya, dia terpegun. Sesaat kemudian, dia bangun dari kerusi. Amar dan Shaza yang sedang berbual terus memerhati Khairul yang tiba-tiba bangun.

            “Hanif Izzudin! My best friend!” Panggil Khairul dengan rasa teruja. Setelah Hanif mendekatinya, Khairul terus memeluk kawan baiknya semasa zaman sekolah. Maklumlah, lama tak berjumpa. Setelah habis sekolah, kedua-duanya membawa haluan masing-masing.

            Amira yang memerhati gelagat mereka baru teringat yang Khairul dan Hanif adalah kawan rapat semasa sekolah menengah. Dia baru teringat yang Hanif Izzudin itu satu kelas dengan Khairul dan Shaza.

Shaza yang memerhati mereka berdua berpelukan tersenyum. Dia terus teringat semasa sekolah dulu Hanif dan Khairul memang akrab. Ke mana sahaja mereka pergi mesti berdua. Mengalahkan pasangan bercinta pula. Shaza hampir tergelak kecil.

Tiga rakan Hanif Izzudin hanya memerhati dari jauh ketika Hanif berbual dengan dua orang lelaki dan dua orang gadis di meja makan yang tidak jauh dari meja mereka.

 

                                               

 

 

 

 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zahra Darina