PAGI esoknya, dalam pukul 4.30 pagi Nurlisa sudah
bangun. Entah mengapa, tidurnya tidak begitu lena
sebenarnya. Sementara menantikan masuk
waktu solat subuh, Nurlisa bersembahyang sunat tahajud dahulu. Selesai tahajud
dia mengambil al-Quran dan membacanya perlahan-lahan. Di saat itu, hatinya rasa
tidak begitu tenteram. Jauh menyusup ke dalam kalbu, dia terkenangkan emak dan
adik-adiknya.
Rindunya amat mendalam. Apa khabar emak dan
adik-adiknya? Begitulah soal hatinya. Dia juga terkenangkan Aldi. Sudah hampir enam bulan lelaki itu pergi
meninggalkan rumah itu. Belum pernah sekali pun dia menghubungi Vila Kencana
Emas untuk bertanya khabar. ‘Mungkin Aldi sudah melupai aku.’ Hatinya sering
berbisik begitu. Namun, bibirnya terus
membaca al-Quran perlahan-lahan. Lama kelamaan, hatinya kembali tenang.
Bibirnya kembali tersenyum tatkala dia teringatkan yang Allah akan sentiasa
membantu hamba-hamba-Nya.
Mendengar gemersik suara gadis itu membaca
al-Quran, Bibik Sunarti pun terjaga dari tidurnya. Nurlisa sudah memulakan
solat subuh, kerana sudah masuk waktunya.
Bibik Sunarti segera ke bilik air untuk
membersihkan diri sebelum mengadap Allah di subuh hari itu.
“Semalam ada berita kebakaran di kawasan
setinggan.Cuba buka televisyen itu, Lisa. Kita tonton berita jam 6.00 pagi.”Bibik Sunarti bersuara serak dan agak
perlahan. Dia masih bertelekung.
“Apa bibik? Kebakaran?” Nurlisa membulatkan
matanya mendengar berita itu lantas memetik switch
di dinding dan mencapai alat kawalan jauh peti televisen. Matanya melihat ke
kaca tv. Berita televisyen jam 6.00 pagi memang sedang disiarkan.“Ya Allah. Emak!” Hati kecilnya meraung dan menjerit.
Sudah sahlah gambaran yang dilihatnya di kaca televisen itu
sememangnya kawasan setinggan tempat tinggal keluarganya. Hampir 40 buah
keluarga hilang tempat berteduh. Itulah
yang dikatakan oleh pembaca berita televisen itu.
“Bibik! Bibik! Benar! Benar! Emak saya
tinggal di situ! Macam mana ni? Bibik tolong saya bibik.” Nurlisa menangis
sambil mencengkam-cengkam tilamnya.
“Sabar! Sabar! Jangan menangis lagi.” Bibik
Sunarti memeluk Nurlisa sambil memujuk dan mengusap-ngusap belakang anak gadis
itu cuba menenangkannya. Air mata keduanya berderaian.
“Mengapa bibik tak kejutkan saya semalam?”Dalam tangisannya, Nurlisa menyoal wanita tua
itu. “Tapi datuk dan datin tiada di rumah. Bolehkah saya pergi begitu
saja?” Nurlisa terus menangis. Jika dia
ada sayap, pada waktu itu juga dia akan terbang ke kawasan kebakaran itu. Tidak
sabar rasanya untuk menanti pagi mendatang. Kalau boleh dia ingin pulang ke
rumahnya sekarang.
“Tak mengapa. Kalau perlu, beritahu saja sama
Adzman. Rasa-rasanya pagi nanti dia akan
pulang.” Bibik Sunarti terus memujuk Nurlisa. Semenjak ketiadaan Aldi, Adzman
kerap berada di rumah.
PAGI itu, Sebaik sahaja ternampak kelibat Adzman, Nurlisa
seolah ingin menerpanya. “Encik! Encik! Saya nak minta cuti.” katanya.
Adzman sedikit terkejut.Mengapa nak minta cuti? Siapa yang melarang?
Datuk Haris dan Datin Rabiatul tidak ada di rumah ke? Nurlisa bebas ke
mana-mana tanpa halangan sesiapa. “Cuti?” Adzman menyoal kembali. Tajam matanya
merenung ke wajah Nurlisa yang kelihatan cemas.
Nurlisa mengangguk-angguk berapa kali. “Saya
nak tengok mak dan adik-adik saya, encik. Ada kebakaran di kawasan setinggan
tempat mereka duduk tu.” Nurlisa tidak dapat menahan rasa sedihnya lalu
menangis.
Adzman terdiam. Hatinya
rasa tersentuh melihat keadaan Nurlisa yang bersedih itu.“Rumah terbakar?” tanyanya lagi sambil
menarik nafas panjang. Teringat dia kebakaran yang dilihatnya semalam.
Kebetulan dia berada tidak jauh dari situ. Selepas itu, dia turut berada di
sana untuk mengambil gambar. Keadaannya amat menyedihkan. Semua rumah ranap
menjadi arang dan abu. Kemungkinan untuk menemui ahli keluarga yang masih
hidup, agak mustahil.
“Wak! Wak! Wak Dollah!”
panggil Adzman.
“Wak ikut Datuk dan Datin pergi Jakarta,” terang Bibik Sunarti dengan suara
yang agak kuat kerana jarak mereka yang agak jauh.
“Jomlah! Saya hantarkan.” Dengan perasaan
simpati yang mendalam, Adzman menghulurkan bantuan kepada gadis itu.
Walaupun dengan perasaan hati yang sangat
berat, Nurlisa terpaksa juga melangkah masuk ke kereta dan duduk di sebelah
Adzman.
Memang benarlah seperti kata Adzman sewaktu dalam kereta
tadi. Tiada suatu apa pun yang tinggal di kawasan kebakaran itu kecuali abu dan
puntung-puntung kayu yang setengahnya masih lagi berasap dan membara.
“Mak! Mak!” Nurlisa terjelepok jatuh di atas
abu dan tunggul-tunggul arang di tapak rumahnya. Dia menangis. Ke mana harus
dicari keluarganya yang dikasihi? Ya Allah, tolonglah hamba-MU ini. Batinnya
merintih-rintih mengharapkan keajaipan daripada ilahi.
“Encik Adzman baliklah. Saya tak mahu balik
ke sana lagi. Saya nak cari mak dan adik-adik saya. Mak!!!” Nurlisa terus
menangis sambil menguis-nguis abu-abu yang berlonggok.
“Saya kerja dengan datin sebab nak bantu mak
dan tanggung adik-adik saya. Sekarang mereka semua dah tak ada lagi. Saya dah
sebatang kara.” Nurlisa menangis teresak-esak.
Pipinya basah dengan air mata.
“Semuanya tak ada makna lagi. Tak ada.”
Nurlisa terus meratap-ratap.
Adzman hanya memerhatikan gadis itu dengan
perasaan sayu. Tidak henti-henti malang yang menimpanya.
“Lisa...”
Adzman memberi isyarat kepada Nurlisa supaya mengikutnya untuk
meninggalkan tempat itu.
Nurlisa masih duduk bertinggung sambil menguis-nguis
puntung-puntung yang masih berasap.
“Lisa!” Adzman memegang tangan gadis itu lalu
menariknya supaya berdiri.Air mata Nurlisa menjurai
dipipinya.
“Sabar!” pujuk pemuda itu.
Nurlisa masih tersedu.
Ujian kali ini bagaikan mencarik ketabahannya selama ini. Bukankah dia
hanya manusia biasa. Kadangkala tidak
dapat mengelakkan diri daripada tunduk kepada perasaan sedih.
“Jom kita balik ke rumah!” Pujukan Adzman masih belum berakhir.Simpatinya terhadap gadis itu
menggunung. Tambahan apabila melihat
gadis itu terhincut-hincut ke sana sini kerana ketempangan kakinya, perasaan
hati Adzman bertambah berat dan sebak. Ada rasa penyesalan dan bersalah
bermukim di hatinya.
Pada malam itu, televisyen masih melaporkan kebakaran
yang melanda kawasan setinggan tempat tinggal keluarga Nurlisa.
“Lisa! Jangan-jangan familimu masih ada!”
Bibik Sunarti seolah memberi harapan.
“Entahlah, bibik. Semalam sewaktu saya berada di sana, tak seorang pun jiran-jiran yang saya
temui untuk saya tanyakan tentang emak.” Suara Nurlisa tersendat pilu. Hatinya masih resah selagi berita tentang
keluarganya tidak diperolehi. Seluruh kawasan setinggan itu menjadi abu.
“Lisa. Sabarlah. Ingat Allah.Semua ini ujian daripada Allah.”Bibik Sunarti terus memujuk gadis itu. Dia faham setabah mana pun seseorang manusia
itu, jika ditimpa musibah sedemikian rupa, takkan dapat menahan rasa sedih
dijiwa. “Mana tahu, ada yang masih hidup dan pergi menumpang di rumah saudara
mara mereka. Lisa bersabar dulu.” Dia
terus menasihati Nurlisa, persis seorang ibu.
“Saya faham, bibik. Insya-allah... Saya tahu
semua ini ujian daripada Allah untuk saya. Saya redha. Cuma saya rasa tidak
puas selagi tidak bertemu dengan jenazah mereka kalau mereka benar-benar sudah
tiada...” Sungguh ngilu rasa hatinya apabila mengucapkan perkataan ‘sudah
tiada’. Nurlisa tersedu lagi. Matahari
di dunia ini seolah telah terpadam. Dia berasa kehilangan yang amat sangat.
“Bibik, saya rasa lebih baik saya berhenti
dari sini! Duduk di rumah ini saya tidak
boleh bebas untuk mencari famili saya.”
“Berhenti? Habis nanti kalau Aldi pulang macam mana? Jika dilihatnya kamu sudah tidak ada lagi di
rumah ini tentu Aldi berasa sedih.” Bibik Sunarti bersuara perlahan dan cuba
untuk memujuk Nurlisa.
Mendengarkan itu, Nurlisa bertambah kuat sedu dan sedannya.
Haruskah dia menceritakan apa yang terpendam dijiwanya kepada Bibik Sunarti?
Yang diinginkannya ialah kasih sayang lelaki itu untuk selamanya. Namun dia
berasa dirinya terlalu kecil untuk digandingkan dengan lelaki itu.
“Bibik... saya hanya orang gaji di rumah ini.
Biarlah saya pergi. Di sini pun saya ibarat melukut di tepi gantang. Encik Aldi
tentu melupai saya. Melupai kita.” Nurlisa memancung terus sebarang perasaannya
terhadap Aldi. Meskipun sebenarnya sesekali rasa rindu seolah sedang membelah
dadanya. Bayangan Aldi selalu terbayang di matanya. Tambahan apabila terkenangkan genggaman
tangan Aldi tempoh hari dan renungan matanya yang seolah mengisi seluruh ruang
hatinya.
“Lisa! Bibik sudah tua nak. Bibik tahu, Aldi
ada perasaan sayang kepada Lisa. Tetapi Aldi masih mengawal perasaannya sebab
dia anak tuan rumah ini. Lagipun dia seorang duda dan Lisa seorang anak gadis
yang masih perawan. Sudah tentu dia bimbang dan berjaga-jaga dengan perasaan
hatinya. Tidak mahu dikecewakan dan tak mahu kehilangan lagi.” Bibik Sunarti
mengusap-ngusap belakang Nurlisa yang sedang meniarap.
“Saya cacat, bibik. Cacat! Saya tak mahu dan
tidak pernah ada impian apa-apa kepada Encik Aldi. Bibik jangan bercakap
mengenai hal ini lagi, ya. Saya rasa sedih.” Nurlisa menelentang lalu menutup
mukanya dengan bantal. Dia tidak mahu mendengar apa-apa lagi tentang Aldi.
“Lisa! Dengar dulu nasihat bibik. Lisa pernah
dengar omongan orang yang cinta itu buta, kan? Lisa jangan pergi dulu. Tunggu
sampai Aldi balik.” Wanita tua itu terus menasihati gadis yang dihadapannya.
Nurlisa kini sudah duduk bertimpuh di atas
tilamnya di hadapan Bibik Sunarti.
“Bibik tahu. Lisa mesti sedang merindukan
Aldi. Tunggulah sehingga dia pulang. Tak
lama lagi sahaja. Mungkin lagi dua tiga bulan.” Bibik Sunarti terus memujuk.
“Tidak, bibik. Saya takkan tunggu dia
kembali. Saya mesti mencari ibu yang telah melahirkan saya ke dunia ini.” Suara
Nurlisa seolah berbisik.Hatinya semakin pilu dan air matanya kembali menitis di pipi. Kerinduan yang
membingkai di hatinya biarlah dipendam keseorangan. Tidak perlu diceritakan
kepada sesiapa.
“Aldi sudah melupai saya. Dia tak pernah
sekali pun menghubungi saya semenjak dia pergi.Siapalah saya, bibik. Gadis cacat yang miskin. Tidak pantas
beriringan dengannya.” Nurlisa semakin
sebak. Hatinya memang ingin Aldi menjadi miliknya. Namun layakkah dia untuk
bersama dengan lelaki itu?
“Lisa, Aldi bukan begitu. Percayalah cakap, bibik. Tidak menghubungi, bukan bermaksud sudah
melupakan. Kemungkinan dia sibuk dengan
pengajiannya.” Bibik Sunarti berharap, Nurlisa akan termakan pujukannya itu dan
membatalkan niatnya untuk pergi dari rumah itu. Kalau Nurlisa pergi, bertambah
kesunyiannya di vila
itu sekiranya Datuk Haris dan Datin Rabiatul keluar negara.
“Sudah ketentuan Allah, saya tinggal di rumah
ini bibik.Dengan
ketentuan-Nya juga saya akan pergi.” Nurlisa benar-benar sudah membulatkan
hatinya untuk pergi dari rumah itu.
“Saya dan Aldi akan bertemu kembali sekiranya
itu ketentuan ilahi.” Dalam kelembutannya, gadis ini amat tegas.
“Lisa nak pergi ke mana? Bibik tidak pernah
tahu yang Lisa ada kawan-kawan di luar sana. Nanti Lisa nak tinggal di mana?
Nak kerja apa?” Bibik Sunarti terus menyoal gadis itu. Di hatinya ada rasa
bimbang mengenangkan nasib gadis kecil molek yang tidak sudah-sudah dirundung
malang itu. Pertanyaan daripada Bibik
Sunarti membuatkan Nurlisa terdiam sejenak. Bagaimana dia hendak memulakan
segala-galanya. Keseorangan. Namun bukankah selama ini dia berasa cukup dengan
adanya Allah di hatinya. Insya-allah segalanya akan jadi baik.
“Allah ada, bibik. Saya serahkan diri saya
bulat-bulat kepada Allah. Dia yang maha kuasa dan mengaturkan segala-galanya
untuk saya. Bibik jangan bimbang.” Hati Nurlisa kembali tenang. Keputusan yang
diambilnya untuk berhenti bekerja di rumah itu adalah muktamad. Setiap
perjalanan bermula dengan langkah pertama. Dia akan berikhtiar, berusaha serta
bertawakal kepada Allah. Dia redha menerima segala keputusan daripada Allah
sekiranya dia akan berpisah dengan Aldi buat selamanya.
“Baiklah, Lisa. Nanti jaga diri baik-baik.
Solat jangan lupa. Orang yang sentiasa memelihara solatnya akan menemui
kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Insya-allah, tuhan akan
bersamamu, nak.” Bibik Sunarti memeluk anak gadis yang berada dihadapannya
seolah memeluk dan memujuk anaknya sendiri. Dia yakin anak itu mempunyai
semangat juang yang sangat kuat kerana dia mempunyai keyakinan yang teguh
terhadap Allah.