Tajuk : TAKKAN KULEPASKAN
Penulis: Emy Raziela (FB: Emy Raziela Novelis)
Terbitan :Alaf21 Jan 2013
“KAU
dah fikir masak-masak ke Maria nak kerja sebagai
pembantu rumah tu? Aku bukan nak halang niat kau tu, tapi aku tak nak kau
menyesal kemudian hari,” kata Maryam.
Maria diam mencari
kekuatan untuk berbicara. Direnung padang Basyirah di depan sana dengan
pandangan yang kosong sama seperti otaknya ketika ini.
“Maryam, Maria dah lama sangat nak bekerja. Ini
peluang dah datang. Maria tak nak lepaskan begitu aje. Lagipun sampai bila kita
nak tinggal kat Basyirah ni. Bila dah bekerja, sekurang-kurangnya kita ada
kehidupan sendiri. Lagipun bukan Maria tak biasa buat kerja macam tu.” Maria
merenung Maryam dan merenung pula Syawal yang kelihatan muram.
“Tak boleh ke tangguhkan dulu kerja tu. Tahun
depan kau mulakanlah kerja.” Maryam cuba memujuk.
Maria ketawa kecil. Tangan Maryam diraih.
“Maryam ingat tak janji kita?”
“Janji apa?” Berkerut dahi Maryam.
“Kan kita janji nak buka butik. Sekarang ni
Maria nak kerja dan kumpul duit. Bila dah cukup duit, kita buka kedai sama-sama
ya,” kata Maria lembut.
Maryam mengeluh.
“Kalau itu dah keputusan kau, aku tak boleh nak buat apalah. Tapi ingat, kau
kena selalu balik sini.”
“Itu sudah semestinya,” jawab Maria. Selepas
itu, dia memeluk Maryam.
Syawal hanya melihat dua sahabat itu berpelukan
antara satu sama lain. Tiba-tiba hatinya rasa bimbang untuk melepaskan Maria
pergi.
Maria melepaskan pelukan Maryam. Dia merenung
Syawal. “Abang Syawal, Maria nak ucapkan banyak-banyak terima kasih pada abang
Syawal.”
“Terima kasih untuk apa?” tanya Syawal perlahan.
Direnung wajah milik Maria.
Maria tersenyum. Berat juga hatinya meninggalkan
orang-orang tersayang di Basyirah. “Sebab abang Syawal dah jaga Maria dengan
baik. Maria beruntung sangat sebab ada abang seperti abang Syawal.”
Hati Syawal remuk redam. Benar bagai di kata,
Maria tidak mengerti isi hatinya yang sebenar. “Abang sayangkan Maria. Abang...
abang cintakan Maria.”
Syawal tunduk. Luahan hatinya sudah diberitahu.
Terpulanglah pada Maria untuk menerima atau tidak.
Maria terkejut. Tidak disangka, Syawal yang di
anggap seperti abang sendiri mempunyai rasa cinta kepada dirinya.
“Abang bukan saja sayangkan Maria tapi abang dah
lama jatuh cinta pada Maria. Abang tak pernah anggap Maria sebagai adik abang
tapi lebih dari itu.”
Hati Maria berdegup kencang. Dia tidak dapat
menerima luahan cinta Syawal. Padanya Syawal tidak ubah seperti abangnya
sendiri. “Maria... Err... Abang Syawal tak sepatutnya jatuh cinta pada Maria.
Maria sayangkan Abang Syawal, tapi hanya sebagai seorang abang,” jawab Maria
takut-takut.
“Abang tahu Maria tak ada rasa cinta tu pada
abang. Tapi sejak abang tahu Maria nak keluar dari Basyirah dan bekerja, abang
jadi bimbang. Abang takut Maria lupakan abang.”
“Tak Abang Syawal. Abang Syawal kenalkan Maria
macam mana. Di sini Maria dibesarkan. Maria tak mungkin melupakan orang yang Maria
sayang,” kata Maria sambil matanya memerhati keadaan sekeliling Basyirah. Tidak
lama lagi dia akan meninggalkan Basyirah. Berat hatinya tapi dia perlu lakukan
demi kehidupan yang lebih baik.
“Abang nak sunting Maria jadi isteri abang suatu
hari nanti. Itu impian abang.”
Sekali lagi Maria terpempan. Syawal nampak
bersungguh-sungguh. Dia tidak mahu Syawal menaruh harapan yang tinggi. Dia cuba
mengukirkan senyuman tapi dia tidak berdaya melakukannya. Benar kata Maryam
bahawa Syawal sukakan dirinya.
“Oh ya, sebelum Maria lupa. Maria ada hadiah
untuk abang Syawal.” Maria mengalihkan topik. Tangannya mencapai beg plastik
yang diletak di atas meja.
Syawal hanya memerhati. Dia hampa. Maria
kelihatan tidak berminat untuk mendengar luahan hatinya.
Maria menghulurkan bungkusan plastik tersebut.
“Ini untuk abang Syawal. Maria jahit khas untuk abang.”
“Apa ni?” Syawal merenung beg plastik tersebut.
“Baju Melayu. Maria jahit khas untuk abang.
Nanti abang pakailah bila teringat pada Maria ya,” kata Maria dengan senyuman
yang menawan.
Luluhnya hati Syawal. Perasannnya tidak menentu
apabila melihat Maria tersenyum. “Abang cintakan Maria. Abang akan tunggu
sampai terbuka hati Maria untuk abang.”
Maria serba salah. “Abang Syawal, Maria balik
dulu ya. Maria nak kemas baju dan barang-barang. Nanti kita jumpa lagi. Maria
akan sentiasa ingat Abang Syawal.”
Selepas itu, Maria terus berlalu pergi
meninggalkan Syawal seorang diri.
Syawal meraup mukanya berkali-kali. Kecewa
hatinya dengan reaksi Maria. ‘Kenapa Maria tak boleh nak faham hati abang.
Kenapa?’
Tengku Ezairul berhenti menandatangani beberapa cek apabila pintu biliknya
diketuk. “Masuk...” arahnya. Pintu bilik dibuka. Terjengil biji mata Tengku
Ezairul melihat tetamu yang datang.
“Hai sayang. Kenapa nampak terkejut ni?” Shirin
menghampiri Tengku Ezairul dan terus memeluk leher kekasihnya itu.
“You buat apa kat sini?” tanya Tengku Ezairul
masih lagi terkejut. Dicapai tangan Shirin.
“I datang nak jumpa youlah. Rindu kat youlah. I
juga bawakkan kawan I yang nak beli kereta tu. Kawan I tengah tunggu kat bawah.
I nak kenalkan you pada dia,” kata Shirin dengan lagak menggoda. Dia sudah
duduk di atas paha Tengku Ezairul.
Tengku Ezairul rasa tidak selesa. Takut
sekiranya pekerjanya masuk dan melihat aksi mereka.
“Tengku... Ops...sorry.” Jess yang tidak jadi masuk dan terus berpaling belakang.
Tengku Ezairul terkejut dan terus menolak tubuh
Shirin.
Shirin pula terkejut dan geram dengan cara
Tengku Ezairul menolaknya.
“Jess,wait
wait.. Come.” Panggil Tengku Ezairul dan cuba
berlagak biasa.
Jess berpaling semula dan masuk ke dalam pejabat
Tengku Ezairul.
“Ada apa Jess?”
“Tadi Mr Chan call. Dia nak jumpa dengan you petang ni pasal urusan pelaburan tu. Dia
juga mintak you tengokkan saham yang naik turun hari ni,” kata Jess tanpa
memandang Shirin yang berdiri tegak seperti patung.
“Okey, Jess. Oh ya, you tolongcheckkan saham tu. I tak
sempatlah,” arah Tengku Ezairul.
“Okey...” Jess terus berlalu keluar.
Sebaik Jess keluar, Tengku Ezairul memandang
Shirin yang masam mencuka. Dia tahu Shirin marah. “I bukan sengaja nak tolak
you tadi. Tapi you janganlahover sangat kat sini. You tahukan, kat sini ramai mata-mata ayahanda I.
silap hari bulan, mereka emailkan pada ayahanda I dan beritahu apa yang kita
buat ni. Tak pasal-pasal I yang kena tau,” bebel Tengku Ezairul dan terus
bangun.
Shirin tidak memberi sebarang reaksi.
“Jomlah kita jumpa kawan you tu.” Tengku Ezairul
sudah mahu keluar.
Shirin tidak berganjak.
“Shirin please. Cepatlah... Jangan nak buat perangai pula!” Tengku Ezairul mula
naik angin. Terus dia merapati Shirin dan menarik tangan Shirin.
Shirin hanya menurut saja. Dia tahu Tengku
Ezairul sudah naik angin.
MARIA melangkah lemah ke penjara wanita itu. Ikutkan hati, dia tidak mahu
menjejakkan kaki di sini. Namun, ajakan Puan Siti tidak mampu ditolaknya.
Maria sudah berada di ruang menunggu.
“Maria... Anakku...” Wan Rozita terus menerpa ke
arah Maria sebaik sahaja dia ternampak kelibat Maria dan memeluk anak
tunggalnya itu. Rindunya terlepas sebaik sahaja dapat mendakap tubuh kurus dan
tinggi itu.
Maria cuba meleraikan pelukan itu.
Wan Rozita melepaskan pelukannya. “Maria... Ini
ibu nak. Ibu yang telah kandungkan Maria selama ini dan ibulah yang lahirkan
Maria di dunia ini.”
“Ibu saya dah lama mati!” jawab Maria dengan
suara yang keras.
Wan Rozita terpempam. Menitik air matanya. Dia
berkecil hati. Anak sendiri mengatakan dia sudah mati.
“Ibu saya tidak tinggal dalam tempat jijik macam
ni dan sampai bila-bila saya tak akan terima puan sebagai ibu saya!” Maria menahan
perasaan. Air matanya hampir keluar.
Wan Rozita menggeleng berkali-kali. Dia tidak
percaya apa yang dikatakan oleh Maria. “Maria... Ini semua bukan kesalahan ibu.
Ibu tak bunuh ayah Maria. Percayalah cakap ibu nak.”
‘Ayahnya
mati kerana dibunuh. Apakah ibu membunuh ayah? YaAllah!’ Maria meraup mukanya. Dadanya terasa mahu pecah.
“Ibu dan ayah berkahwin atas dasar cinta. Ibu
sanggup lakukan apa saja untuk ayah. Ayah juga sanggup memeluk Islam dan
tinggal di Malaysia. Selepas kahwin, ayah mula berubah. Dia menjadi pemarah.
Suatu hari, ibu nampak ayah bersama seorang perempuan di dalam bilik hotel.
Kekasih ayah terkejut sebab tahu ibu ini adalah isteri ayah,” cerita Wan Rozita
sambil menangis.
“Pada masa tu, ayah dan kekasihnya bergaduh.
Kekasih ayah tembak ayah. Ayah meninggal waktu tu juga. Kekasih ayah lari dan
tinggalkan kami. Waktu tu ibu seperti hilang akal. Tambah pula ibu sedang
mengandungkan Maria. Ibu jadi tidak tentu arah.”
“Cukup! Saya tak nak dengar apa-apa lagi!
Cukup!” jerit Maria. Dia menekup telinganya sambil menangis.
Wan Rozita sudah teresak-esak. “Maria, ibu
rindukan Maria. Ibu nak jaga Maria. Ibu nak berikan kasih sayang pada Maria.
Ibu tak sempat lakukan semua itu untuk Maria. Izinkan ibu peluk Maria walaupun
sekejap.”
“Maafkan saya, puan. Saya tak dapat nak terima
puan sebagai ibu saya. Ibu saya dah lama mati.” Maria segera bangun dan
melangkah pergi.
Wan Rozita meraung sekuat hati. Anak yang di
rinduinya selama ini meninggalkannya begitu saja. Sampai hati Maria. Ini ibu
nak...
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Maria menekan loceng berkali-kali. Dia terpegun melihat kawasan rumah
besar itu. Dia membaca papan tanda sebelah. Kediaman YAM Tengku Zafrul. Hmm...
macam pernah baca aje nama ni. Dia cuba mengingati tapi tidak ingat. Mungkin
dalam televisyen.
Sekali lagi Maria menekan loceng. Keluar
seseorang terburu-buru. Dia berasa sedikit lega. Banglo inilah yang akan
menjadi tempatnya bekerja. Dia tidak sabar lagi.
Perempuan itu membuka pintu. “Cik ni pembantu
vila yang barukan?” tanya perempuan tersebut.
Maria mengangguk dan senyum. “Ya, saya pembantu
vila yang baru.”
“Saya Timah. Jemputlah masuk. Mak engku ada di
dalam. Marilah...”
Maria mengangkat
beg pakaiannya dan mengikut langkah Timah. Sempat dia melihat keadaan
sekeliling Vila Istana. Luas kawasan vila ini. Kereta mewah tersadai di dalam
garaj. Patutlah tak cukup pembantu rumah. Besar sangat kawasan ni.
Sekali lagi Maria terpegun sebaik menjejakkan
kakinya dalam Vila istana ini. Ini pertama kali Maria melihat rumah semewah
ini.
“Mak Engku.. pembantu rumah baru dah sampai.”
Tengku Alyah yang sedang leka menonton rancangan
Malaysia Hari Ini segera berpaling. Bulat matanya memandang pembantu baru
rumahnya. ‘Biar betul? Budak secantik ini akan jadi orang gaji.’
Maria berasa serba salah apabila melihat
renungan Tengku Alyah. Dia mengukirkan senyuman. “Assalamualaikum, mak
engku...” sapa Maria lembut dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman.
Tengku Alyah tidak menyambut tangan Maria. Maria
menarik semula tangannya.
“Siapa nama kamu?” tanya Tengku Alyah.
“Nama saya Maria... Maria Edani,” jawab Maria
takut-takut.
“Hmm... Kamu orang Malaysia ke?” tanya Tengku
Alyah lagi untuk kepastian.
“Saya orang Malaysia dan beragama Islam. Cuma
arwah ayah saya bukan orang Malaysia,” jawab Maria lagi sebaik mungkin.
“Baiklah. Kamu boleh mulakan kerja hari ini.
Timah akan ajarkan awak apa yang patut
dan tidak patut buat dalam vila ni. Timah, tunjukkan Maria bilik dia. Kalau nak
bekerja lama di sini, kena ikut undang-undang dalam rumah ni,” kata Tengku
Alyah serius.
“Baik, mak engku. Saya faham.” Maria tunduk
tidak tahu hendak bercakap apa lagi.
“Maria, mari ikut saya. Saya akan tunjukkan awak
bilik. Lepas tu kita boleh buat kerja di dapur.”
Maria mengangguk dan segera mengikut Timah.
Biliknya terletak bersebelahan dengan dapur.
Maria memasuki bilik tersebut. Masih kosong. Rumah besar tapi tiada katil pun
disediakan dalam bilik tersebut. Yang ada hanya tilam nipis dan satu bantal.
“Maaflah Maria. Ini aje yang mak engku mintak
saya sediakan untuk awak. Awak tak kisahkan tidur atas tilam ni?” soal Timah
dan membantu Maria meletakkan beg.
Maria tersenyum. “Tak apa, Timah. Maria tak
kisah. Dah dapat bekerja kat vila ni pun bersyukur sangat.”
“Maria salin baju dulu, ya. Nanti saya tunjukkan
Maria kawasan vila ni. Kita bukan saja kena masak dan mengemas dalam vila, tapi
kita juga kena pastikan seluruh kawasan vila ni bersih. Mak engku tu kuat
membebel.”
Maria mengangguk.
TIMAH membawa Maria ke seluruh kawasan Vila istana. “Dah lama ke Timah
kerja kat Vila ni?” soal Maria ingin tahu.
“Hmm... tak adalah lama. Baru lima tahun. Tak
ada pelajaran macam nilah.”
“Lamalah jugak tu.”
“Kenapa Maria nak kerja di vila ni?” soal Timah
pula.
“Dah tak ada kerja. Bukan senang nak dapat
kerja. Lagipun Maria bukan lulusan universiti. Yang masuk universiti tu pun
payah nak dapat kerja. Apatah lagi yang macam Maria ni.”
“Maria ni cantik tau. Macam anak patung. Kan
bagus kalau Maria jadi model, pelakon ke. Mesti dapat banyak duit dan glamor,”
seloroh Timah.
Maria ketawa. Dia tidak pernah terfikir untuk
menjadi artis. Dia hanya seorang anak banduan. ‘Ah... kenapa nak fikirkan lagi
perempuan itu?’
“Setiap pagi Pak Mat akan siram dulu pokok-pokok
bunga ni sebelum hantar pak engku ke tempat kerja. Kalau kita ada masa, ni kita
kena buat tau Maria.”
Maria mengangguk.
“Mak engku ni sayang sangat pada pokok-pokok
dia. Tengoklah pasu ni pun, cantik-cantik. Kalau mereka anak beranak ke luar
negara, mesti mak engku beli pasu ni,” terang Timah lagi.
“Lagi satu, selepas semua orang ke pejabat, kita
kena basuh baju dan jemur baju. Maknanya pukul 5.45 pagi kita dah kena bangun,”
kata Timah lagi.
“Eh, dah nak tengah hari ni. Jom kita ke dapur.
Kita kena masak. Kejap lagi pak engku balik nak makan.”
Maria mengikut Timah ke dapur.
“Biasanya pukul berapa pak engku balik makan
tengah hari?” tanya Maria sambil tangannya mengacau kari di dalam periuk.
“Pukul satu pak engku sampailah. Dia jarang
makan kat luar. Anak pak engku pulak, tak pernah balik makan tengah hari,” kata
Timah.
Maria mengangguk.
“Nampak macam sedap aje kari ni. Maria ni pandai
masak ya?” Timah menjenguk ke dalam periuk. Bau kari semerbak.
“Taklah. Biasa-biasa aje.” Maria merendah diri.
Selesai memasak, Maria dan Timah menghidangkan
makanan di atas meja makan. Bunyi enjin kereta di luar menandakan Tengku Zafrul
sudah pulang.
Tengku Zafrul melangkah masuk ke ruang makan.
“Selamat tengah hari pak engku. Jemput makan,”
sapa Timah sambil menarik kerusi untuk majikannya ini.
Maria menarik pula kerusi Tengku Alyah.
Apabila memastikan segalanya terhidang Maria dan
Timah masuk ke dapur semula.
----------------------------------------------------------------------------------------------------
Baru saja hendak meletakkan kepala di bantal, Maria terdengar bunyi
ketukan pintu utama bertalu-talu. ‘Siapa pula yang datang malam-malam ni?
Pencuri ke? Mana ada pencuri. Vila istana ni ada pengawal kat luar sana.’
Maria melihat jam loceng di hujung kepalanya.
Pukul satu pagi? Dia memberanikan diri dan keluar dari bilik tidurnya.
Rambutnya diikat satu. Dia menghampiri pintu yang masih diketuk itu.
Terketar-ketar tangannya membuka pintu itu. Sebaik
pintu dibuka…
“Kan aku dah cakap….” Tengku Ezairul tidak jadi
marah. Mulutnya ternganga melihat manusia di hadapannya ini.
Maria jadi takut melihat wajah bengis Tengku
Ezairul. Tengku Ezairul masih tidak berkelip melihat Maria.
“Siapa kau?” tanya Tengku Ezairul dengan kasar.
“Saya... pembantu rumah baru…” Tergagap-gagap
Maria menjawab.
“Kenapa kau kunci pintu? Timah tak beritahu kau
ya yang aku tak suka bawak kunci pendua?”
Maria menelan liur.
Tengku Ezairul menutup ppintu dengan kuat.
“Maafkan saya encik...”
“Tengku! Panggil aku Tengku!” marah Tengku
Ezairul. ‘Sudahlah penat. Ada pembantu rumah yang baru pun menyusahkan aje,
bisik hati Tengku Ezairul dan terus menghenyakkan tubuhnya di atas sofa. Kerana
kepenatan, dia memejamkan matanya.
Maria tidak tahu hendak buat apa. Dia berjalan
ke biliknya. Dia mahu tidur. Penat satu hari bekerja bagaikan mesin kilang.
Tengku Ezairul membuka matanya. Dia melihat
Maria berjalan perlahan-lahan memasuki biliknya. “Kau nak ke mana tu?”
Maria menoleh ke belakang. “Saya... Saya nak
masuk tidur,” jawab Maria takut-takut. Mukanya ditundukkan.
“Jangan harap aku nak bagi kau tidur selagi kau
tak buatkan aku air.”
“Tengku nak minum air apa? Saya buatkan.”
“Aku nak teh panas. Cepat buatkan! Kejap lagi
aku nak tidur,” arah Tengku Ezairul.
Maria segera ke dapur. Siap membancuh teh, dia
membawa air tersebut ke ruang tamu. Berhati-hati Maria membawa air panas itu.
Tengku Ezairul sudah terlelap di atas sofa. Dia serba salah. Mahu mengejutkan
lelaki itu atau biarkan aje.
“Letak ajelah kat situ. Yang kau tercegat kat
situ buat apa,” tegur Tengku Ezairul kasar dengan mata yang masih terpejam.
Maria terperanjat dan terus meletakkan cawan
tersebut di atas meja kecil. Selepas itu, dia terus masuk ke biliknya.
Sebaik sahaja Maria pergi, Tengku Ezairul
membuka matanya. Dari jauh dia melihat bilik pembantu baru Vila istana.
KEESOKAN paginya, Maria membuat sandwich telur dan tuna. Timah pula membakar
roti. Selepas itu, dia menghidangkannya di atas meja makan.
“Selamat pagi pak engku,” sapa Maria sebaik
sahaja dia ternampak kelibat Tengku Zafrul.
Tengku Ezairul berjalan belakang Tengku Zafrul
dan sempat dia mencuri pandang pada Maria.
“Jemput makan pak engku, Tengku...” kata Maria
lagi.
“Bonda mana ayahanda?” tanya Tengku Ezairul
sambil membetulkan tali lehernya. Matanya melirik sekilas pada Maria.
“Dalam tandas tadi. Kejap lagi turunlah tu,”
jawab Tengku Zafrul.
Maria mencapai beberapa sandwich telur dan tuna.
Kemudian diletakkan di atas pinggan Tengku Zafrul. Ketika dia mahu meletakkan
di atas pinggan Tengku Ezairul, Tengku Ezairul secara perlahan menolak kasar
tangan Maria hingga roti yang dipegang olehnya hampir jatuh ke lantai.
Maria terkejut dan cepat-cepat meletakkan
kembali roti itu ke tempat asal.
“Mana Timah? Timah!” jerit Tengku Ezairul.
Kelam kabut Timah datang. “Ya Tengku.”
“Mana roti bakar aku! Macam biasalah kerja awak
pagi-pagi,” kata Tengku Ezairul serius.
Timah cepat-cepat mencapai roti bakar dan
diletakkan di atas pinggan Tengku Ezairul.
Maria berlalu ke dapur.
Timah mengikut jejak Maria. “Maria, jangan ambil
hati sangat dengan anak pak engku tu. Dia tu memang macam tu. Cerewet dan
bengis,” kata Timah perlahan takut sekiranya Tengku Ezairul dengar.
“Tak apa, Timah. Maria tak ambil hati pun. Itu
perkara kecil aje.”
“Kau orang mengumpat pasal aku ke?” tiba-tiba
Tengku Ezairul muncul di dapur.
Terkejut Maria dan Timah. Pucat muka mereka.
Maria memandang Tengku Ezairul yang sedang
memandangnya dengan tajam.
“Tak adalah, Tengku. Kami borak-borak biasa
aje,” kata Timah takut-takut.
Tengku Ezairul berlalu pergi. Lega hati Maria
dan Timah.
“Huh! Nasib baik. Kalau tak teruk kita kena maki
hamun dengan singa jantan tu,” kata Timah.
Maria tersenyum. “Timah, Maria nak siram pokok
bunga kat luar tu. Pak Mat tak sempat nak siram pokok tu. Dia mintak tolong
Maria.”
“Okey. Maria pergilah. Lagipun tak ada apa dah
nak buat kat dapur ni.”
Mereka berbalas senyuman. Maria ke taman Vila
istana. Dari situ Maria dapat lihat Tengku Ezairul sedang bercakap dengan
seorang lelaki. Lelaki itu kemudiannya membuka pintu untuk Tengku Ezairul. Dia
memerhati lagi. Macam pernah jumpa aje lelaki tu. Tapi tak ingat kat mana pula.
Sebaik sahaja Lexus keluar dari pintu pagar Vila
istana, Maria meneruskan kerjanya. Sebaik saja dia mahu memulas paip air,
Tengku Alyah sedang merenung tajam kepada Maria. Terkejut Maria bercampur
takut.
“Apa yang awak tengok tu? Lelaki tadi tu anak
sulung saya, Tengku Ezairul. Sorang lagi tu pengawal peribadi dia,” beritahu
Tengku Alyah tanpa ditanya.
Maria mengangguk.
“Kat sana saya ada beli pokok bunga yang baru.
Pasu pun ada sekali. Tolong masukkan bunga tersebut dalam pasu dan letak di
sini,” arah Tengku Alyah.
“Baik, mak engku. Saya akan buat nanti,” jawab
Maria.
Tengku Alyah terus pergi meninggalkan Maria.
Maria dan Timah bertungkus lumus menyediakan makan tengah hari.
“Boleh cepat sikit tak? Kejap lagi pak engku nak
balik. Pukul berapa dah ni? Tak siap-siap lagi. Apa yang korang berdua buat
dari tadi? Macam nilah kalau dah ramai-ramai sangat kat dapur, berborak aje
kerjanya!” marah Tengku Alyah.
“Maaf mak engku. Semua dah siap. Cuma nak
hidangkan aje,” jawab Timah perlahan.
“Kalau aku cakap menjawab aje. Cepat hidang!”
tengking Tengku Alyah dan terus keluar dari dapur.
Tengku
Zafrul sudah tiba di meja makan. Dilihatnya meja lagi
kosong. Maria dan Timah cepat-cepat menghidangkan makanan di atas meja.
“Maaf pak engku, lambat sikit. Jemputlah makan,”
pelawa Maria lembut.
Tengku Zafrul memandang Maria. Terpegun dia
melihat Maria. Gadis secantik ini menjadi orang gaji?
Tengku Alyah yang menyedari renungan suaminya
kepada Maria rasa tidak sedap hati. Dengan rasa sedikit cemburu Tengku Alyah
tetap menyudukan nasi ke dalam mulutnya.
Apabila Tengku Zafrul kembali ke pejabat, Tengku
Alyah dengan rasa sakit hati terus ke dapur. Dia mahu menjenguk Maria. Apa yang
orang gajinya itu sedang buat. Timah tiada di situ.
“Apa yang pak engku cakapkan pada kau tadi?”
Keras suara Tengku Alyah.
Maria yang sedang mencuci pinggan mangkuk berasa
kecut perut. “Err... tak ada apa-apa mak engku.”
“Kau jangan nak bohong! Beritahu aku apa yang
laki aku cakap pada kau tadi. Baik kau cakap?” Tengku Alyah menghampiri Maria
dan menolak kasar bahu Maria.
Maria terdorong ke belakang.
“Cakap!” Tengku Alyah menolak lagi bahu Maria
tidak puas hati.
Maria menelan air liur. Kecut perutnya dengan
panahan mata Tengku Alyah. “Pak engku cuma cakap saya masak sedap.”
“Huh!” Tengku Alyah mendengus kasar. Sakit
hatinya. Sejak bila Tengku Zafrul ni pandai memuji orang. Dia bengang dan terus
keluar.
Maria tersandar di sinki. Dia rasa mahu menangis
dengan sikap kasar Tengku Alyah.
Maria sedang membersihkan halaman Vila
istana, ketika Tengku Ezairul pulang dari kerja. Dia hanya mengerling sekilas
lalu meneruskan kerjanya.
Tengku Ezairul keluar dari Lexus. “Malam ni kau
tak payah datang ambil aku. Aku nak drive sendiri.”
“Bos nak ke mana?Dating ke?” usik Adli sambil tersengih-sengih.
“Aku nak jumpa Shirin.”
“Datinglah tu. Beruntung bos ada awek. Saya ni bila entah nak ada awek.
Saya bukan tak hensem, tapi tak taulah kenapa perempuan lari setiap kali tengok
saya.”
Tengku Ezairul ketawa kecil. Macam-macamlah Adli
ni.
“Err bos... Bila lagi kita nak ke rumah anak
yatim hari tu?”
Dahi Tengku Ezairul berkerut. “Kenapa nak ke
sana pula?”
“Saya nak jumpa dengan bidadari saya kat sana.”
Tengku Ezairul tersenyum. “Kau pergilah
sorang-sorang. Tak kuasa aku. Dah pergi balik.”
“Baik, bos,” kata Adli lalu berlalu pergi.
Ketika Tengku Ezairul hendak masuk ke dalam
rumah, dia terpandang Maria yang sedang menyelitkan bunga raya di cuping
telinga. Rambut pembantu baru itu dilepaskan panjang separas pinggang. Kemudian
Maria senyum menampakkan lesung pipitnya. Dia jadi tidak keruan. Dia
menghampiri Maria.
Maria yang leka menggunting ranting-ranting kayu
yang rosak tidak menyedari kehadiran Tengku Ezairul. Ketika dia hendak
berpusing ke belakang, tubuhnya hampir melanggar Tengku Ezairul. Dia tergamam.
Tengku Ezairul merenung Maria dengan tajam.
Maria mengundur ke belakang. Tapi malangnya
pasu-pasu itu menghalang.
Mata Tengku Ezairul menakluk mata Maria. Dia
terpana seketika melihat mata coklat cair milik gadis ini.
“Kau ingat mak bapak aku bayar gaji kau untuk
berangan ke?” tanya Tengku Ezairul dengan suara yang kuat.
“Maafkan saya. Saya tengah gunting bunga ni.”
Dengan kasar, Tengku Ezairul menarik bunga yang
terselit di telinga Maria. Direntap bunga itu dengan kasar dan dicampakkan ke
tanah.
“Kalau kau nak kerja lama kat vila ni, jangan
nak berangan aje. Kau tak nampak ke yang aku baru balik kerja tadi. Sepatutnya
kau buatkan aku air. Atau kau memang buta tak ada mata!” tengking Tengku
Ezairul lagi.
Maria hanya diam. Namun, dalam hati dia
menyumpah Tengku Ezairul. ‘Harapkan rupa saja kacak tapi mulut tak ada
insuran.’
“Sekarang kau buatkan aku air! Cepat!” jerkah
Tengku Ezairul lagi.
Dengan rasa takut, Maria segera masuk ke Vila
istana. Dia membancuh teh panas.
“Air apa kau buat tu?” tegur Tengku Ezairul
kasar.
Air yang dipegang Maria hampir tumpah. Maria
benar-benar ketakutan. “Teh panas.”
“Aku tak nak teh panas. Kenapalah kau ni bengap
sangat? Kenapa tak tanya aku dulu? Kan dah kena buang teh panas tu. Kau ingat
murah ke nak beli teh dan gula tu! Ingat murah ke nak bayar bil air ni?”
Maria hanya tunduk sambil menahan rasa sakit
hati.
“Yang kau tunduk tu kenapa? Bila aku cakap
pandang muka aku!”
Maria terpaksa memandang Tengku Ezairul.
“Patutnya kau tanya aku nak minum air apa?
Tanyalah!” tengking Tengku Ezairul lagi.
“Err... Tengku nak minum air apa?”
“Hah, macam nilah.
Lain kali tanya aku dulu air apa yang aku nak minum. Jangan nak buat pandai!
Buatkan aku Milo panas!” Tengku Ezairul duduk di meja makan. Sengaja dia duduk
di situ mahu mengenakan Maria. Baru padan dengan muka kau. Ingat senang ke nak
jadi orang gaji di Vila istana ni.
Maria segera membancuh Milo panas di dalam
gelas. Dia rasa tidak selesa apabila Tengku Ezairul turut berada di situ.
Kemudian dia menghulurkan gelas tersebut kepada Tengku Ezairul.
Tengku Ezairul menyambut gelas tersebut dan
terus minum. “Woi... Apa ni panas? Kau nak bagi aku mampus ke?” Dengan wajah
menyinga, dia terus bangun dan menghampiri Maria. “Ooo... kau nak balas dendam
ya sebab aku berkasar dengan kau tadi?” duga Tengku Ezairul sambil mendekatkan
tubuhnya pada Maria. Sengaja mahu menakutkan Maria.
“Tak, Tengku. Tadi Tengku cakap nak Milo panas.
Saya buatlah,” jawab Maria takut-takut. Tajam mata Tengku Ezairul seperti singa
lapar.
“Ooo... menjawab. Jaga kau. Kau rasa sendiri
Milo ni panas atau tak.” Tangan Tengku Ezairul mencapai gelas tersebut dan
memegang muka Maria. Dia memaksa Maria meneguk Milo panas itu.
Maria meronta-ronta. Tanpa belas kasihan, Tengku
Ezairul mencurah Milo panas itu ke dalam mulut Maria.
Maria menyemburkan kembali Milo tersebut. Dengan
kekuatan yang ada, dia menolak tubuh tinggi Tengku Ezairul dan berlari masuk ke
biliknya. Mulutnya terasa panas kerana terminum Milo panas itu.
Dia sedar yang dia hanya orang gaji tapi dia
juga punya hati dan perasaan. Ada rasa takut, sakit dan pedih. Tengku Ezairul
betul-betul tidak berhati perut.
Tengku Ezairul menghempas kuat gelas tersebut.
Milo panas terlekat di baju kemejanya kerana semburan Maria.
Jaga kau! Melawan ya. Tengoklah nanti aku akan
buat kau derita seumur hidup kau! Dia masuk ke biliknya dengan perasaan tidak
puas hati. Entah mengapa, dia benci melihat orang gaji baru Vila istana ini.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Di dalam bilik, Maria menangis. Hatinya teramat sedih dengan perlakuan yang
ditunjukkan oleh Tengku Alyah dan Tengku Ezairul. Kedua manusia itu seperti
membenci dirinya.
Inilah pertama kali
Maria berdepan dengan situasi begini. Baru tiga hari dia tinggal di Vila
istana, macam-macam sudah berlaku.
Bukan besar manapun kesalahan yang dia lakukan.
Cuma tersalah membuat air sehingga dia dihukum sebegitu. Tidak berbaloi
kesalahan yang dia lakukan.
Maria mengesat lagi pipinya. Maria mencapai tuala
untuk membersihkan dirinya.
Maria ke dapur. Dilihatnya Timah sedang menyediakan makan malam. “Kenapa
tak panggil Maria tadi?” Dia menghampiri Timah.
Timah memandang Maria. “Kenapa bibir Maria
tu? Macam luka aje?” tanya Timah hairan.
Maria menyentuh bibirnya dan berpura-pura
senyum. “Err... tak ada apa-apa. Petang tadi Maria buat Milo panas.”
“Lepas tu apa jadi?” Tengku Ezairul menyampuk
dari belakang.
Maria ketakutan. Dia tidak berani memandang
Tengku Ezairul.
“Ceritalah. Aku pun nak tahu jugak apa jadi
dengan bibir kau tu,” kata Tengku Ezairul sambil membuka peti sejuk. Botol air
dikeluarkan dan dituang dalam gelas.
Timah menguis-nguis tangan Maria supaya
bercerita. Kalau Tengku Ezairul suruh, mesti dibuat. Kalau tak, kena maki
hamun.
“Saya minum Milo panas tadi,” jawab Maria dengan
seribu ketakutan.
“Dah tahu Milo tu panas, kenapa kau minum? Tak
ada otak ke?” Tengku Ezairul berterusan menyakitkan hati Maria. Dijeling bibir
Maria yang merah seperti luka itu.
Timah keluar dari dapur. Dia mahu mengambil
sesuatu di belakang Vila istana. Tinggallah Maria dan Tengku Ezairul.
“Hei perempuan, dengar sini! Jangan nak adukan
pada sesiapa apa yang telah berlaku petang tadi. Kalau tak, nahas kau aku
kerjakan!” ugut Tengku Ezairul. Dia berdiri terlalu dekat di belakang Maria.
Maria memejamkan matanya kerana takut. Dalam
ketakutan, dia mengangguk. Dia dapat dengar ketawa jahat Tengku Ezairul di
cuping telinganya.
Kemudian Tengku Ezairul keluar dari dapur.
“Ke mana lagi nak pergi tu Ezairul?” tegur
Tengku Alyah yang sedang menuruni tangga.
Tidak jadi Tengku Ezairul melangkah keluar.
Sebaliknya dia membuka televisyen dan mencari cerita yang menarik. CSI Miami
menjadi pilihannya.
“Tak ke mana-manalah bonda,” jawab Tengku
Ezairul.
“Ni pakai hensem-hensem, takkan nak duduk rumah
pulak malam-malam macam ni,” kata Tengku Alyah sambil duduk.
“Anak bonda ni kan memang hensem.” Tengku
Ezairul ketawa.
“Bonda tak suka Zairul berkawan dengan pramugari
tu.”
Tengku Ezairul terkejut. Apa yang bondanya
merepek ni. “Kenapa bond? tak suka sangat Zairul kawan dengan Shirin tu?” soal
Tengku Ezairul tidak puas hati.
“Ooo... Shirin namanya. Zairul nak tahu kenapa
bonda tak suka pada si Shirin tu?”
“Dia ada buat salah ke pada bonda?”
“Sebab Shirin tu bukan keturunan macam kita,”
jawab Tengku Alyah keras.
“Nonsense. Apa salahnya kalau kami kahwin. Rosak ke keturunan kita?”
“Memang akan rosak. Mana ada keturunan kita
berkahwin dengan orang biasa. Paling jauh pun dengan anak-anak menteri. Bonda
memang tak setuju kalau Zairul nak kahwin dengan Shirin.”
“Zairul yang nak kahwin bonda. Zairul tahulah.”
Tengku Ezairul terus bangun. Dia hendak keluar dengan Shirin.
“Tengok tu... cakap sikit merajuk.”
“Zairul nak keluar. Nak jumpa Shirin. Bakal
menantu bonda tu.” Sengaja Tengku Ezairul berkata untuk menyakitkan hati Tengku
Alyah.
Tengku Alyah berasa geram. Kalaulah Tengku
Ezairul itu masih kecil, sudah pasti dipukul-pukulnya Tengku Ezairul sampai
lebam.
Bersambung….