Home Novel Cinta TAKKAN KULEPASKAN, EMY RAZIELA
TAKKAN KULEPASKAN, EMY RAZIELA
EMY RUSLI
5/12/2014 23:13:41
39,977
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8 & 9

Tajuk Novel :Takkan Kulepaskan

Penulis :Emy Raziela (FB; Emy Raziela Novelis)

Terbitan : Alaf21 (Januari 2013)

Selamat membaca dan semoga terhibur :-)


JERITANTengku Alyah mengejutkan penghuni Vila istana. Maria yang berada di dapur menelan air liur. Kecut perutnya tiba-tiba.

“Kenapa ni Alyah? Terjerit-jerit. Apa lagi yang tak kena?” tegur Tengku Zafrul agak berang.

Tengku Ezairul yang tengah kusyuk menonton TV hanya menjeling sekilas.

“You tahu tak, baju I yang you beli kat London dulu dah terkoyak!” Tengku Alyah menjerit lagi tidak puas hati.

Terkejut Tengku Zafrul dan Tengku Ezairul. Keduanya terus merenung wajah marah di depannya ini.

“Baju yang mana?” tanya Tengku Zafrul.

“Ni hah!”

Tengku Alyah menunjukkan baju berwarna putih itu. Memang cantik dan mahal. Sakit hatinya saat ini.

“Macam mana boleh terkoyak sampai besar macam ni?” Tengku Ezairul pula bertanya.

“Mana bonda tahu Zairul. Kalau bonda tahu senanglah. Bonda pakai baju ini hari semasa mesyuarat di rumah Datuk Paduka Azizah. Kemudian, baju ni bonda suruh budak tu yang basuh. Tengok sekarang ni apa jadi?”

Tengku Alyah menghentak kakinya geram. Dia sayangkan baju yang mahal ini.

“Bonda tanyalah budak tu sendiri macam mana boleh terkoyak,” saran Tengku Ezairul. ‘Nampaknya kena lagilah orang gaji baru tu dengan bondanya. Padan muka kau!’ getus hati Tengku Ezairul.

“Jangan nak menuduh Alyah. Cuba tanya elok-elok. Jangan asyik berkasar aje dengan budak tu. Kesian I tengok dia,” nasihat Tengku Zafrul.

Menyirap telinga Tengku Alyah mendengarnya. ‘Boleh pula suaminya ini membela budak tak guna tu!’

“I bukan sengaja nak tuduh. Memang dia yang basuh baju ni. I taulah! Memang sengaja nak cari nahas. Ingat baju ni murah ke?” bentak Tengku Alyah dengan muka merah menyala, menahan rasa marah yang belum terburai lagi.

“Suka hati youlah Alyah. I tak nak dengar you buat yang bukan-bukan kat budak tu. Dia datang sini nak cari makan. Belajar sikit hormatkan orang lain.”

Sebaik berkata begitu Tengku Zafrul terus bangun meninggalkan dua beranak itu.

Tengku Alyah yang masih memegang bajunya bertambah geram. “Timah! Panggil kawan kau tu datang sini,” arah Tengku Alyah dengan suara yang garang.

“Baik mak engku,” kata Timah takut-takut.

Beberapa minit kemudian, Maria dengan dada yang berdebar-debar menghampiri kedua beranak itu. Dia sudah mendengar apa yang isteri majikannya ini bebelkan tadi. Dalam hatinya tidak putus-putus berdoa agar ALLAH melindunginya. Maria menelan liur. “Mak engku panggil saya?”

Tengku Alyah dan Tengku Ezairul serentak memandang Maria.

Sakitnya hati Tengku Alyah melihat Maria. Dia terus bangun dan berdiri di depan Maria.

Maria tunduk. Tidak berani dia hendak melawan pandangan Tengku Alyah.

“Kau ni memang sengaja nak cari nahas dengan aku kan?” tengking Tengku Alyah seraya memegang dagu gadis ini supaya memandangnya. “Kau tahu tak apa yang kau dah buat hah?”

Maria menggeleng. Hendak bersuara pun dia rasa takut.

Tengku Ezairul mengambil kesempatan merenung wajah kacukan Inggeris ini.

“Ni... kau nampak tak baju aku ni?” Tengku Alyah menayangkan baju putihnya di hadapan Maria. “Kau sakit hati dengan aku dan kau koyakkan baju aku ni, kan?”

“Tak mak engku. Saya tak koyakkan baju mak engku. Buat apa saya nak koyakkan baju mak engku. Hari tu masa saya basuh, baju ni masih lagi elok.” Terketar-ketar Maria menjawab.

“Pandai kau nak kelentong ya!” Tengku Alyah mencampakkan baju itu di atas muka Maria.

“Kau tahu tak laki aku belikan baju aku ni di London! Gaji kau sepuluh tahun kerja kat sini pun, belum tentu lagi dapat ganti baju aku ni. Kau ni memang bawa sial!”

Maria tunduk. Air matanya menitis perlahan di pipi. Tergamaknya Tengku Alyah melabelkan dia sebegitu. Pembuluh darahnya pecah dengan kata-kata nista isteri majikannya ini.

“Huh! Zairul, tengoklah ni. Kita cakap sikit, dia dah menangis. Hei, kau ingat ya! Kalau kau nak balas dendam kat aku, kau memang silap besar!” Tengku Alyah berterusan menyakitkan hati Maria.

Tengku Ezairul tersenyum mengejek. “Orang macam ni kan bonda, tak boleh diberi muka. Apa kata bonda potong aje gaji dia untuk bayar balik baju bonda tu. Apa susah! Hidup menyusahkan orang aje!”

“Kau tahu tak! Hati aku ni sakit sangat bila tengok baju aku ni terkoyak. Kau ni reti buat kerja ke tak?” Pekik Tengku Alyah di muka Maria.

“Mak engku... sumpah saya tak koyakkan baju mak engku. Saya tahu baju tu mahal.” Maria cuba membela dirinya.

“Menjawab kau ya! Menjawab!” Tengku Ezairul pula bangun dan dengan sengaja menolak-nolak bahu Maria kasar.

Maria memegang bahunya sakit.

“Jangan pegang perempuan kotor macam ni Zairul! Nanti dengan kita-kita jadi kotor! Okey tak apa, aku tahu kau tak mampu nak bayar baju aku yang mahal ni. Jadi aku akan potong gaji kau tiap-tiap bulan. Maknanya gaji kau yang sememangnya sikit akan menjadi sikit.”

Tengku Ezairul merenung Maria dengan tajam.

“Malas bonda nak layan perempuan jahat macam ni!” Tengku Alyah menjeling tajam pada Maria dan terus berlalu. Dalam hatinya gembira kerana dapat mengenakan orang gajinya ini. Yang sebenarnya, dia yang telah menggunting baju itu selepas Maria menyidainya di ampaian.

Kini, hanya Maria dan Tengku Ezairul berada di ruang tamu. Maria mahu ke dapur.

Tengku Ezairul segera menangkap pergelangan tangan Maria. Dia dapat rasa lembutnya tangan Maria tapi dia tidak peduli tentang itu.

Langkah Maria terhenti. Dia berpusing semula mengadap lelaki ini. Takut dia melihat wajah bengis Tengku Ezairul yang sedari tadi merenungnya.

“Dari awal aku tengok kau, aku dah tahu yang kau ni ada niat jahat pada keluarga aku, kan?” soal Tengku Ezairul dan mencengkam kuat pergelangan tangan Maria.

Berkerut dahi Maria menahan rasa sakit. “Tengku... saya tak ada niat apa pun pada keluarga, Tengku. Percayalah, saya ke mari untuk bekerja dan mencari rezeki.”

“Huh! Aku tengok muka kau aku dah tahu hati kau yang busuk tu!”

Hati Maria dipagut rasa sebak. Sampai hati Tengku Ezairul berkata begitu. “Maafkan saya Tengku. Percayalah, saya tiada niat apa-apa pun pada Tengku sekeluarga. Saya ikhlas melakukan tugas saya.”

“Ikhlas kau kata kalau baju bonda aku pun kau koyakkan?”

Maria menggeleng berkali-kali menafikan tuduhan itu.

“Orang yang buat jahat takkan nak mengaku dirinya jahat! Dahlah, pergi! Sakit hati aku tengok kau lama-lama kat sini. Ingat kau tu cantik sangat ke? Kalau hati kau tu busuk, memang jelas nampak kat muka kau!” herdik Tengku Ezairul lagi tanpa pedulikan perasaan Maria yang sudah calar balar.

Dengan rasa sedih, Maria terus berlalu dari situ. Air matanya terus tumpah. Sedih mengenangkan nasib diri.


---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

SHIRIN dan Tengku Ezairul sedang menari bersama di atas pentas. Mereka berdua kelihatan benar-benar seronok dan seperti lupa pada dunia yang hanya persinggahan semata-mata. Shirin memaut erat leher Tengku Ezairul.

Penat menari mereka duduk. Shirin memesan minuman keras. “You tak nak ke Zairul? Cubalah dulu. Kalau you tak cuba, mana you nak tahu sedap atau tidak.”

Tengku Ezairul menggeleng. “I tak nak dan I tak suka you minum air tu. You kena ingat, esok you kerja.”

Shirin hanya ketawa. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Dia keluar untuk menjawab panggilan.Tidak lama kemudian, dia kembali semula.

“Siapa call?” tanya Tengku Ezairul penuh curiga.

“Kawan I,” jawab Shirin. Dia perasan wajah Tengku Ezairul yang berubah rona seperti tidak suka. Dia memeluk lengan Tengku Ezairul dan mendekatkan tubuhnya pada Tengku Ezairul. “Kenapa dengan you ni Zairul? Macam tak happy aje malam ni. You cemburu ya?”

Tengku Ezairul hanya diam. Sebaliknya dia meneguk airCoke. Entah kenapa, malam ini dia berasa tidak gembira seperti malam-malam yang lain. Hatinya mahu segera pulang ke Vila istana.

“Okeylah... Datuk Ismail yang call tadi.”

Tengku Ezairul merenung Shirin.

“You jangan fikir yang bukan-bukan Zairul. I dengan Datuk Ismail tak ada apa-apa. Dia selalu travel dan selalu terjumpa dengan I dalam flight,” kata Shirin manja. Tangan Tengku Ezairul digosok-gosok lembut.

“I tak kisah you nak kawan dengan siapa. Kalau tak terserempak dengan I, tak apa. Tapi kalau I jumpa you dengan lelaki lain, memang nahas I kerjakan!” beritahu Tengku Ezairul lembut tetapi tegas.

Shirin melentokkan kepalanya di bahu Tengku Ezairul. “I sayangkan you Zairul. I sayangkan you.”

Tengku Ezairul hanya diam.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

“HEI, sini kau!” panggil Tengku Alyah dengan kasar sebaik sahaja ternampak kelibat Maria.

Dengan rasa takut, Maria terus menghampiri Tengku Alyah yang sedang berdiri tegak di tepi tangga ruang tamu.

“Ya, mak engku. Ada apa yang boleh saya tolong?” Terketar-ketar Maria bertanya. Takut melihat wajah wanita ini apabila mata mereka bertentang.

“Aku nak kau masuk bilik anak aku dan kemas bilik dia. Aku akan masuk check nanti. Kalau ada yang tak kemas dan ada habuk, siap kau! Dah, pergi kemas sekarang. Terhegeh-hegeh buat kerja!” herdik Tengku Alyah.

“Baik, mak engku.” Maria terus berlalu ke bilik Tengku Ezairul.

“Duit gaji nak tapi buat kerja malas. Lembap!” Tengku Alyah menjeling tajam pada Maria dan terus berlalu pergi. Benci betul dia melihat Maria. Memang sengaja dia berkata begitu dan dia tahu Maria mendengarnya.

Tercekik rasa leher Maria mendengar kata-kata itu.

Pintu bilik Tengku Ezairul dibuka. Sempat Maria melihat keadaan sekeliling bilik mewah ini. Terpegun dia melihatnya. Segalanya lengkap. Hilang sekejap rasa sedihnya sebentar tadi. Beruntung lelaki itu dilahirkan dalam dulang emas. Tidak seperti dirinya. Lelaki ini tidak pernah hidup susah. Ah... itu memang takdir ILAHI.

Maria terus mengelap segala perabot yang berada di dalam bilik itu. Kemudian, dia mengemas katil. Bilik air turut dicuci. Pakaian kotor Tengku Ezairul dikutip dan dimasukkan ke dalam bakul.

Selesai segalanya, dia mengvakum bilik tersebut. Khusyuk sekali dia melakukan kerjanya.

Pintu bilik itu dibuka juga dia tidak sedar. Tengku Ezairul merenung Maria yang sedang terbongkok-bongkok membersihkan biliknya. Setiap kali melihat Maria, hatinya sakit. Sedangkan gadis ini tidak pernah berbuat salah padanya. Dia terus mematikan suis vakum.

Maria terkejut apabila suis vakum ditutup. Terhenti kerjanya. Kecut perut melihat Tengku Ezairul berada di belakangnya. Dia benar-benar ketakutan.

Mata mereka bertentangan. Wajah Tengku Ezairul begitu bengis sekali manakala wajah Maria penuh ketakutan.

“Maafkan saya Tengku. Saya tak sedar Tengku masuk.” Matanya tidak lagi memandang Tengku Ezairul sebaliknya Maria tunduk. Tidak berani dia hendak berdepan dengan lelaki ini.

“Siapa suruh kau kemas bilik aku?” tengking Tengku Ezairul.

Maria menelan liur. “Mak engku. Saya cuma buat kerja saya Tengku. Maafkan saya.”

Tengku Ezairul menghampiri Maria. “Kau tahu tak ini bilik siapa?”

“Bilik Tengku.”

“Kau tahu kau tu siapa kat sini?”

“Orang gaji.” Maria seperti orang bodoh menjawab setiap soalan Tengku Ezairul.

“Hah, tahu pun yang kau tu orang gaji kat sini. Jadi yang kau masuk bilik aku kenapa?” jerit Tengku Ezairul di telinga Maria dan tanpa belas kasihan Tengku Ezairul menunjal-nunjal kepala Maria. Puas hatinya dapat menyakiti Maria.

“Sakit, Tengku…” Halus saja suara Maria memohon simpati.

“Dah, berambus dari bilik aku! Benci aku tengok muka kau tu!” Tengku Ezairul menolak pula badan Maria sehingga ke muka pintu. “Kau dengar sini baik-baik! Aku nak kau sedar sikit diri kau tu. Kau tu orang gaji kat rumah aku. Orang gaji! Jangan kau buat benda yang aku tak suka. Kalau tak, nahas kau aku kerjakan! Faham?” pekik Tengku Ezairul tanpa ada rasa simpati dalam dirinya.

Mata Maria mula berkaca-kaca. Kalau tidak suka pun, cakap elok-elok tak boleh ke? Tidak perlulah menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati. Hati Maria betul-betul pedih tapi ditahan.

“Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?”

“Dengar Tengku…”

“Dengar pun! Ingat kau pekak! Jadi lepas ni, kau jangan nak masuk bilik aku lagi. Kau simpan apa yang aku cakap ni dalam otak kau!” Sekali lagi, Tengku Ezairul menunjal kepala Maria sehingga Maria terdongak. Dia perasan mata Maria yang mula mengalirkan air mata tapi dia tidak peduli.

“Pelajaran tak ada, sekolah pun tak habis, ada hati nak masuk bilik aku. Usahkan bilik aku, pintu bilik aku ni pun belum tentu kau dapat cium!”

Tengku Ezairul menutup kuat pintu biliknya meninggalkan Maria yang sarat dengan kesedihan di hatinya.

Perlahan-lahan air mata Maria mengalir di pipi. Dia benar-benar berkecil hati dengan kata-kata Tengku Ezairul. Dia sedar siapa dia tapi dia juga ada hati dan perasaan.

Perlahan-lahan air mata Maria mengalir di pipi. Dia benar-benar berkecil hati dengan kata-kata Tengku Ezairul. Dia sedar siapa dia tapi dia juga ada hati dan perasaan.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

LEXUS baru saja memasuki pagar villa istana. Tengku Ezairul tergesa-gesa memasuki villa. Selepas maghrib dia akan ke hotel Istana bagi menghadiri satu jemputan khas untuk semua ahli perniagaan.

“Hai bonda, ayahnda tak balik lagi ke?” sapa Tengku Ezairul lembut dan menghampiri Tengku Puteri Alyah yang sedang mengunyah buah-buahan sambil menonton rancangan kegemarannya. Pipi wanita itu dikucup.

“Sekejap lagi baliklah. Kamu kenapa ni Zairul? Macam ribut je. Ada yang tak kena?” soal Tengku Puteri Alyah dan matanya memerhati langkah laju anak sulungnya mahu mendaki tangga.

“Zairul ada mesyuarat malam ini pasal urusan niaga antarabangsa. Jalan mesti jam, Zairul kena cepat. Ayahnda pun kena pergi sekali. Kalau ayahnda lambat, Zairul pergi dulu.”

“Oh, bonda lupa pulak. Ayahnda ada beritahu. Makan dulu Zairul, baru pergi.”

“Tak sempatlah bonda. Dah lewat ni. Zairul naik atas dulu nak bersiap.”

Saat Tengku Ezairul hendak mendaki tangga, Maria baru keluar dari ruang makan. Di tangannya ada batang mop. Dia baru saja selesai mengemop lantai. Masa itu jugalah bola matanya terpandang Tengku Ezairul yang masih berdiri di tangga.

Kedua mata itu terpaut seketika. Tengku Ezairul dapat lihat dengan jelas wajah pembantu villa istana ini sekali gus menerokai mata coklat milik gadis ini. Tapi hatinya menjadi benci melihatnya.

Wajah Tengku Ezairul berubah menjadi bengis apabila Maria cuba memberikan senyuman sekadar menghormati anak majikannya ini dan sudah pasti senyumannya tiada balasan. Kecut perut Maria melihatnya.

Tengku Ezairul menjeling tajam kepada Maria.

“Huhh!!” Kasar dengusan Tengku Ezairul dan terus naik ke biliknya.

Sedih hati Maria dengan kelakuan Tengku Ezairul tapi dia harus sentiasa bersedia menerima keadaan ini.

“Apa lagi yang kau tercegat kat situ? Kat luar tu penuh bunga-bunga yang dah gugur. Itu kan kerja kau. Kau tak check ke?” Marah Tengku Puteri Alyah pada pembantu villa ini.

Tengku Ezairul yang baru sampai ke tangga teratas senyum mengejek. Padan muka. Desis hatinya.

Maria menelan air liur dan memberanikan diri memandang Tengku Puteri Alyah.

“Saya dah bersihkan taman pagi tadi mak Engku.”

“Itu pagi tadilah. Kau ni loyar burukkan.” Tengku Puteri Alyah terus bangun dan menghampiri Maria. mencerlung matanya melihat Maria.

“Eh, kau ingat aku tak nampak tadi kau cuba nak goda anak aku pulakkan?” Tengku Puteri Alyah menunjal kasar bahu Maria dengan tangannya. Sebentar tadi dia nampak Tengku Ezairul dan Maria bertentang mata. Tidak senang hatinya.

Terkejut Maria dengan kata-kata Tengku Puteri Alyah.

“Tidak mak Engku. Saya tak ada niat nak goda sesiapa pun mak Engku. Saya cuma buat kerja saya saja.” Jawab Maria takut-takut.

Ada saja yang tidak kena. Senyum pun di salah anggap. Apa lagi yang dia boleh buat.

“Kau dengar sini baik-baik ya perempuan. Kalau aku nampak lagi kau cuba nak dekat-dekat dengan anak aku atau laki aku, siap kau! Aku hentak-hentak kepala kau kat tangga ni. Faham?”

Selamba sahaja Tengku Puteri Alyah menolak-nolak kepala Maria sehingga sakit kepala Maria di buatnya.

“Baik mak Engku..” suara Maria di sulami dengan perasaan yang sangat sedih tapi di tahan. Dadanya mahu pecah kerana terlalu memendam rasa.

“Timah!!!” Kuat sungguh suara Tengku Ezairul menjerit memanggil nama Timah.

Tergesa-gesa Timah naik ke bilik Tengku Ezairul. Dia hanya berdiri di muka pintu lelaki itu. Tengku Puteri Alyah masih bercekak pinggang di tangga mahu mengetahui apa lagi yang akan berlaku. Maria sudah keluar ke taman untuk membersihkan halaman.

“Mana kau letak coat kerja aku?” Keras suara Tengku Ezairul bertanya.

Coat yang mana Tengku?” Timah pula bertanya. Dalam hatinya begitu takut sekali. Susah bercakap dengan orang berlagak seperti Tengku Ezairul ini.

“Warna kelabu. Kenapa tak ada dalam almari aku. Kan aku dah cakap apa-apa saja barang dalam bilik aku jangan usik. Sekarang kau cari sampai dapat. Aku nak cepat!”

“Saya cari sekejap ya Tengku.”

Timah menyusup masuk ke kamar mewah ini. Tengku Ezairul yang masih lagi berdiri di tepi pintu hanya memerhati Timah yang sedang mencari bajunya di dalam almari. Tengku Ezairul mendengus kasar. Sakit betul hatinya.

Beberapa minit kemudian, Timah datang semula kepada Tengku Ezairul.Kepalanya digaru. Coat warna kelabu itu memang di simpan dalam almari besar itu, kenapa tidak ada pula. Pelik juga Timah di buatnya.

“Err.. saya memang simpan coat Tengku dalam almari tu je. Saya tak ubah ke tempat lain.” Gementar tubuh Timah melihat wajah bengis Tengku Ezairul.

“Kalau ada kat dalam almari, mestilah dah ada kalau aku cari tadi. Kau ni bukan menyenangkan tapi menyusahkan aku tahu tak! Aku ni dah lambat. Tak guna betul! Sekarang kau pergi panggil kawan kau yang dungu tu. Hari tu dia yang kemas bilik aku. Cepat!” jerit Tengku Ezairul betul-betul di depan muka Timah.

“Baik.. baik Tengku.” Terus Timah turun mencari Maria. Dalam hatinya menyumpah-nyumpah. Dia dapat mengagak pasti sahabatnya itu kena lebih teruk lagi.

Cepat-cepat Maria naik ke atas apabila Timah memaklumkan tentang coat Tengku Ezairul yang tiada di dalam almari. Dalam hatinya tidak putus berdoa agar sentiasa di lindungi Allah. Sejak di beritahu oleh Timah yang Tengku Ezairul memanggilnya, hati Maria terus saja berdegup takut.

“Tengku.. Tengku panggil saya?” sopan Maria bertanya tanda menghormati.

Kecil saja mata Tengku Ezairul melihat Maria yamg sudah berdiri di depannya.

“Kau tahukan kenapa aku panggil kau?”

“Tahu Tengku..”

“Dah tahu, apa lagi yang kau berdiri lagi kat sini. Kau pergi cari coat aku sekarang!” arah Tengku Ezairul.

Maria terus masuk ke dalam bilik pemuda ini. Tengku Ezairul hanya memerhati.

“Apa lagi Zairul? Dari tadi terjerit-jerit.” Tengku Puteri Alyah turut naik apabila di lihatnya Maria naik ke atas sebentar tadi. Dia dapat rasa ada sesuatu yang tidak kena. Belum sempat Tengku Ezairul menjawab, Maria sudah pun datang kepadanya.

“Tengku.. ini baju yang Tengku cari kan?” Maria sudah pun berdiri di pintu. Dihulurkan coat lelaki itu kepada tuannya.

“Inilah yang aku cari! Mana kau letak baju aku ni? Kan aku dah cakap jangan ubah apa-apa barang aku!”

Dengan kasar Tengku Ezairul merampas coat tersebut dari tangan Maria.

“Saya letak dalam almari satu lagi, Tengku..” takut betul wajah Maria melihat kebencian di wajah Tengku Ezairul.

“Kau ni kalau tak menyusahkan anak aku, memang tak sahkan? Anak aku ni nak pergi jemputan. Nak kena cepat. Bengap!” Tengku Puteri Alyah menambah lagi. Sengaja dia berbuat begitu dan matanya tidak kalih melihat Maria.

“Eee.. lain kali jangan nak pandai-pandai ubah! Tak payah layan perempuan ni bonda. Menyampah betul Zairul tengok dia!”

Tajam jelingan Tengku Ezairul dan segera masuk ke biliknya meninggalkan Maria sesudah Tengku Puteri Alyah turun. Seperti biasa pintu akan ditutup kuat. Maria menelan air liur cuba menutup rasa sebak yang bertamu di hatinya. Semoga ada keinsafan di hati kedua beranak ini terhadap insan yang lemah.

Maria tersedar dari tidurnya. Dia berasa dahaga. Dia segera bangun. Rambutnya yang perang disanggul tinggi. Suasana sepi dan sunyi. Dia segera menuju ke dapur. Tekaknya terasa mahu minum Horlicks. Dia segera membancuh Horlicks dan duduk di kerusi meja makan dapur.

“Ewah-ewah... sedapnya kau bersantai!”

Maria terbahak. Horlicks yang diminum tersembur keluar. Tengku Ezairul sudah duduk di sebelah Maria. Maria ketakutan. Dia mahu bangun pergi dari situ.

“Kau nak ke mana? Duduk sini!” arah Tengku Ezairul. Matanya merenung Maria.

“Saya nak masuk tidur, Tengku,” kata Maria tanpa memandang Tengku Ezairul di sebelahnya.

Maria duduk kembali.

“Air apa yang kau minum tu?” tanya Tengku Ezairul penuh minat. Matanya tetap merenung hidung, mata dan bibir halus Maria. ‘Macam manalah dia boleh jadi orang gaji. Tak ada kerja lain ke yang dia nak buat?’ soal Tengku Ezairul dalam hati.

“Air Horlicks aje.”

Tengku Ezairul bangun. Dengan pantas dia mencapai gelas yang masih lagi berisi air itu dan menuang ke dalam sinki.

Maria terkejut. ‘Kenapa Tengku Ezairul buang air tu?’

Tengku Ezairul merenung Maria dengan tajam. “Kau ingat, bila kau dah duduk rumah besar macam ni, kau boleh buat sesuka hati kau ya? Kau ingat ni rumah mak bapak kau ke?” tengking Tengku Ezairul.

Rasa mahu pecah pembuluh darah Maria mendengar tengkingan itu. ‘Maria tak ada ayah. Maria tak pernah tengok macam mana rupa arwah ayah. Tapi kenapa Tengku Ezairul mengungkit soal ayah.’

“Kau dengar sini baik-baik. Selagi aku ada dalam rumah ni, kau tak boleh nak bebas buat macam rumah kau sendiri. Faham!” Tengku Ezairul menunjal kepala Maria. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan sedih yang dialami oleh Maria.

Maria mengangguk. Tidak pernah orang-orang di Basyirah menunjal kepalanya.

“Aku tak nak tengok lagi kau makan dan minum sedap-sedap dalam rumah aku ni. Faham!” herdik Tengku Ezairul lagi.

“Faham, Tengku.” Tanpa disedar, air mata Maria bergenangan.

Tengku Ezairul memandang Maria sekilas sebelum berlalu pergi meninggalkan Maria.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

“MARIA, kenapa mata bengkak? Maria menangis ke?” soal Timah keesokkan paginya dan terus merapati Maria.

“Tak ada apa-apa,” jawab Maria yang sedang membancuh Nescafe. Malam tadi dia tidak dapat tidur. Air matanya tidak henti mengalir kerana perbuatan Tengku Ezairul.

“Tak cukup tidur ke?” soal Timah lagi tidak puas hati.

“Timah, Maria okey. Malam tadi Maria rasa ada semut gigit mata ni. Lepas tu, Maria gosok-gosok mata ni. Tu yang jadi merah ni,” bohong Maria.

Timah berasa lega. “Eh, cepat Maria. Pak engku dah turun. Singa jantan tu pun ada sama.” Timah menggelabah.

Maria cepat-cepat keluar dari dapur dan terus menghidangkan makanan. Tengku Alyah turut sama berada di situ. Maria mahu menyendukkan nasi goreng kepada Tengku Zafrul tetapi Tengku Alyah terus merampas senduk dari tangan Maria.

Maria terpaku seketika.

Tengku Ezairul nampak perbuatan bondanya. Tetapi dia hanya diam. Dia memandang Maria. Tanpa diduga Maria mengalihkan pandangannya. Untuk beberapa saat, mata mereka bertaut.

Tengku Alyah yang perasan keadaan itu mula berasa tidak sedap hati. “Apa yang Zairul tengok tu?” tegurnya. Matanya bergilir-gilir memandang Maria dan Tengku Ezairul.

Tengku Ezairul terkejut mendengar teguran Tengku Alyah. Yang pasti, satu perasaan aneh muncul dihatinya apabila melihat wajah Maria. Dia hanya diam. Dia terus mengunyah nasi gorengnya. Sesekali mata lelakinya mencuri pandang pada si gadis yang comel itu.

Maria hendak ke dapur.

“Hmm... Sedap nasi goreng ni. Awak masak Maria?”

Terhenti langkah Maria. Dia berpaling semula. “Ya... pak engku. Saya yang masak.”

Tengku Alyah rasa sakit hati dengan pujian suaminya itu. Selama ini, Tengku Zafrul tidak pernah memuji masakan Timah. Dengan Maria, siap puji-puji lagi. Mentang-mentang orang gaji ni ada rupa.

“Saya suka masakan awak Maria. Sedap dan cukup rasa,” Puji Tengku Zafrul lagi.

“Eeii… masin? Eeii... Macam manalah korang masak ni hah? Guna garam sekilo ke?” jerit Tengku Alyah.

Tengku Ezairul merasa lagi nasi goreng tersebut. Sedap. Mana ada masin. Apa kena dengan bonda ni? Deria rasa dia rosak ke?

“Janganlah menjerit macam tu. Tak baiklah depan rezeki terpekik-pekik!” tegur Tengku Zafrul.

Tengku Alyah buat tidak peduli. Dia menjerit memanggil nama Maria. Maria meghela nafasnya perlahan cuba mencari kekuatan untuk mendengar kemarahan Tengku Alyah sebentar lagi.

“Ada apa mak engku?” Terketar-ketar Maria bertanya.

Tengku Alyah merenung Maria dengan tajam. “Macam mana awak masak nasi goreng ni? Masin! Berapa banyak garam yang awak letak?”

Maria berfikir sejenak. Dia sudah berkali-kali minta Timah merasa nasi gorengnya. Timah kata sedap dan cukup rasa. Mana pulak datang masinnya. “Saya dah rasa tadi mak engku. Saya rasa okey.”

“Itu kata kau!”

“Alyah! What happen to you? Kalau nasi ni tak sedap tak payahlah you nak marah dia sampai macam ni sekali. You makanlah benda lain. Nak makan pun tak senang!” marah Tengku Zafrul dan terus bangun.

Tengku Ezairul turut bangun. “Zairul pun nak pergi kerja. Bonda layanlah orang gaji yang dungu ni!” Sekali lagi dia menjeling ke arah Maria yang sedang ketakutan.

Maria berlalu ke dapur.

Dengan perasaan geram dan bengang, Tengku Alyah ke dapur mahu mencari Maria dan Timah.

“Timah, hari ni kau tak payah buat kerja! Biar si Maria yang buat kerja,” arah Tengku Alyah sambil bercekak pinggang.

“Tapi mak engku...”Timah sudah terketar-ketar di situ.Takut yang teramat.

“Apa tapi-tapi? Hei, aku yang bayar gaji kau! Kalau kau tak buat kerja dalam rumah ni, aku tetap bayar gaji kau tu! Sekarang, aku nak kau masuk dalam bilik kau! Pergi sekarang!”

Dengan perasaan takut, Timah bergegas ke biliknya.

Tengku Alyah menghampiri Maria. Rasa mahu ditendang saja Maria saat ini. “Kau main mata dengan laki aku kan? Baik kau cakap. Apa yang kau dah bagi Dato Zafrul tu makan sampai aku ni pun dia boleh meninggikan suara?” pekik Tengku Alyah.

Maria beristighfar di dalam hati. ‘Tidak! Maria tidak pernah bermain mata dengan pak engku.’ Tidak berani dia menentang mata garang Tengku Alyah. “Saya tak buat apa-apa mak engku..”

“Ooo… Kau tak nak mengaku ya. Jaga kau!” Tengku Alyah menarik Maria dengan kasar.

“Mak engku... jangan buat saya macam ni. Saya tak buat apa-apa pada pak engku,” rayu Maria.

“Ikut aku!” jerit Tengku Alyah dan terus mengheret kasar tangan Maria.

Timah menggeletar di sebalik pintu biliknya. Apa kesalahan Maria sehingga dia diperlakukan sebegitu?

Pintu bilik air ditolak. Tengku Alyah menarik tangan Maria sehingga Maria terdorong ke dalam bilik air.

“Tolong mak engku... Apa salah saya? Jangan buat saya begini.” Air mata Maria mengalir dengan laju.

“Ini hadiah untuk kau sebab main mata dengan laki aku.” Pancutan air panas ditalakan pada tubuh Maria.

Maria meraung. Pedih kulitnya.

Tengku Alyah semakin galak menyembur air panas itu.

Tengku Ezairul yang baru menapak masuk Vila istana terkejut mendengar suara orang berteriak. Terus dia menerpa masuk. Suara itu kemudian menangis. Itu bukan suara Timah, bukan suara bonda tapi suara…

“Bonda! Bonda!” jerit Tengku Ezairul. Dia segera berlari ke bilik air. “Apa yang bonda buat ni?” pekik Tengku Ezairul sedikit terkejut. Dilihatnya Maria sedang menangis tersedu-sedan. Tengku Alyah pula sedang menyiram tubuh Maria dengan air panas.

Tengku Ezairul menutup paip itu.

Maria tunduk menahan pedih bukan saja di tubuh tetapi juga di hati.

“Apa yang bonda buat ni?” tanya Tengku Ezairul. Suaranya sedikit meninggi.

“Zairul tahu tak apa yang dia dah buat pada ayahanda?” tanya Tengku Alyah dengan kasar. Dia tidak boleh terima sekiranya ada perempuan lain cuba memikat Tengku Zafrul. Tambah pula perempuan cantik seperti Maria.

“Apa yang dia dah buat bonda?” Tengku Ezairul berulang-ulang kali memandang Maria yang seperti sudah lemah.

“Dia cuba nak goda ayahanda. Dia cuba main mata dengan suami bonda!”

Perit dan pedihnya hati Maria mendengar tohmahan itu. Tidak pernah terlintas di hatinya mahu memikat majikannya.

Tengku Ezairul kebingungan. Berkali-kali dia menoleh ke arah Maria. Gadis itu tidak berganjak dari tempatnya.

“Kalau Zairul tak percaya, Zairul tanyalah dia sendiri. Perempuan tak guna! Kau memang tak guna!” jerit Tengku Alyah lagi dan menarik rambut Maria.

“Sudahlah tu bonda! Biar Zairul tanya dia sendiri. Kalau dia betul-betul cuba pikat ayahanda, dia silap bonda. Tahulah Zairul nak ajar dia.”

Tengku Alyah terus berlalu pergi. Puas hatinya dapat mengerjakan Maria.

Tengku Ezairul memandang Maria yang masih menangis. “Pandang aku.”

Perlahan-lahan Maria mengangkat mukanya dan membalas renungan Tengku Ezairul.

Tengku Ezairul tidak mampu menahan getar di hatinya. “Betul kau main mata dengan ayahanda aku?” Keras bunyi suara Tengku Ezairul.

“Tidak, Tengku. Saya tidak ada niat apa-apa pada keluarga Tengku. Percayalah. Saya datang ke sini untuk mencari rezeki bukan untuk merosakkan keluarga Tengku.”

“Kalau kau tak buat tak payahlah kau nak takut. Dahlah, pergi tukar baju kau tu. Ingat aku terliur ke nak tengok kau dalam keadaan macam ni.” Sebelum melangkah keluar sempat Tengku Ezairul mengambil kesempatan melihat pakaian Maria yang basah sekali gus menarik perhatiannya untuk melihat sekilas tubuh Maria. Saat itu berdetak kencang jiwa lelakinya.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tengku Ezairul mencari Tengku Alyah di sekitar ruang tamu tetapi tiada. Dia terus mendaki anak tangga ke tingkat atas. Dilihatnya Tengku Alyah sedang melayan perasaan di bilik rehat. Dia menghampiri Tengku Alyah. “Selalu ke bonda buat budak tu macam tu?” soal Tengku Ezairul selamba.

“Zairul tahu tak yang hati bonda ni sakit sangat bila ayahanda puji setiap masakan budak hingusan tu. Selama ni, masakan Timah tak pernah dipujinya. Yang paling bonda tak boleh terima bila ayahanda tu asyik dok tenung orang gaji tu. Maunya bonda tak marah!” jawab Tengku Alyah dengan marah.

“Itu bukan salah budak tu. Ayahanda yang tenung orang gaji tu kenapa? Bonda kena belasah ayahandalah bukan budak tu,” kata Tengku Ezairul.

Tengku Alyah naik angin. Boleh anaknya bercakap begitu. Melampau!

“Zairul ni memang tak fahamkan maksud bonda? Bonda boleh rasa yang perempuan tu macam nak goda ayahanda,” tekan Tengku Alyah lagi dan matanya tajam merenung Tengku Ezairul yang seperti tidak berperasaan.

“Tapi tak patutlah bonda buat dia sampai macam tu. Itu dah macam kes dera. Kalau dia buat laporan polis, tak ke malu kalau media datang jumpa Zairul dan ayahanda. Zairul tak nak keturunan kita tercemar.”

Tengku Alyah terpukul dengan kata-kata anaknya sendiri. Boleh tahan jawapan Tengku Ezairul. Cukup pedas. “Eleh, Zairul ingat Zairul tu baik sangat. Zairul ingat bonda tak tahu yang Zairul pun sama macam nak dera budak tu.”

“Apa-apa ajelah bonda.” Tengku Ezairul terus bangun. Malas dia hendak melayan Tengku Alyah.

“Kenapa tiba-tiba kamu balik Zairul?” tanya Tengku Alyah sambil memerhati Tengku Ezairul.

“Zairul tertinggal dokumen kat bilik.” Tanpa menoleh, Tengku Ezairul terus keluar.

Tengku Alyah menjeling tajam. Dalam fikirannya, merencanakan satu program baru untuk perempuan yang cuba bermain mata dengan suaminya.

Petang itu di kawasan perumahan mewah ini gelap dan seperti mahu hujan. Tiada angin yang bertiup cuma awan berarak perlahan dan semakin hitam warnanya. Selesai menjahit tadi Maria tertidur. Dia benar-benar rasa letih seperti bertahun-tahun tidak berehat.

Maria menjenguk keluar mencari Timah. Tapi tiada. Dia mendongak le langit. ‘Ya Allah, nak hujan.’ Dia bergegas ke ampaian. Cepat-cepat dia mengambil bakul dan mencapai satu per satu kain di ampaian. Sambil mencapai pakaian mata Maria melilau mencari kelibat Timah.

Tidak tahukah Timah hari mahu hujan. Air hujan mula menitik perlahan. Ketika itu juga Porsche Cayenne milik Tengku Ezairul masuk ke garaj.

Tengku Ezairul keluar dari porschenya. Hari ini dia terpaksa memandu sendiri kerana Adli ada urusan lain yang perlu di selesaikan.

Ketika Tengku Ezairul mahu membuka pintu, matanya terpandang Maria sedang mengangkat pakaian di ampaian. Ralit dia memerhati. Dia tersedar apabila gadis itu sudah siap mengangkat pakaian dan tiada lagi di situ.

Tengku Ezairul rasa lain macam. Rasa seperti hatinya sedang bergolak kuat.Dia masuk ke Vila istana dan menghenyak tubuhnya di atas sofa. Matanya dipejamkan.

“Tengku, nak minum air apa?”

Sebaik mendengar suara Maria, mata Tengku Ezairul terus terbuka. Dia memandang gadis yang sedang berdiri di hadapannya ini. Dia hanya menjeling dan kemudian merebahkan tubuhnya di atas sofa. Dibiarkan Maria tertunggu-tunggu.

Maria hanya diam. Dia tidak berani untuk bertanya. Dia bimbang jika Tengku Ezairul menjerit kepadanya.

Mata Tengku Ezairul terbuka. Dilihatnya Maria masih lagi terpacak. Kenapa tercegat aje kat sini? “Apa yang kau tengok tu?” tengking Tengku Ezairul.

“Jawablah kalau aku tanya! Tak ada mulut ke?” Sekali lagi Tengku Ezairul menjerit dan terus bangun menghampiri Maria.

“Maafkan saya, Tengku. Saya cuma nak tahu Tengku nak minum apa?” jawab Maria. Tubuhnya menggeletar ketakutan.

Tengku Ezairul menghampiri Maria. “Lain kali kalau aku tak jawab pertanyaan kau, maknanya aku tak naklah. Kau tak faham ke?”

Tengku Ezairul menolak bahu Maria untuk menakutkan gadis itu.

Maria memegang bahunya yang terasa sakit kerana ditolak Tengku Ezairul. “Saya faham, Tengku. Lain kali saya tak akan buat lagi. Maafkan saya Tengku. Maafkan saya.”

Tengku Ezairul tidak mempedulikan rayuan Maria. Dia menolak Maria sehingga Maria terduduk. Sakit punggung Maria di buatnya. Tengku Ezairul ketawa. Tali lehernya dibuka. Dia tahu Maria takut kepadanya.

“Kau ni lembiklah. Macam ayam kampung. Tapi kau ni memang ayam kampung, kan? Perempuan tak ada tastemacam kau ni mana berani nak berdepan dengan orang macam aku ni,” kata Tengku Ezairul dan duduk di hujung anak tangga.

Maria masih lagi terduduk. Wajahnya ditundukkan. Dia memaut tangannya pada besi tangga dan berusaha untuk bangun tapi pinggangnya terasa sakit akibat tertolak tadi.

“Hei, bangunlah! Kau ingat aku nak tolong kau? Angkat kau dan hantar kau ke klinik? Kau silap oranglah. Cepat bangun! Lembik macam tak makan setahun. Dah pergi. Bau kau tu busuk! Tak jaga kebersihan langsung.” Tengku Ezairul menolak-nolak bahu Maria lagi supaya bangun.

“Kau ingat kau tu lawa sangat! Cerminlah sikit muka kau tu.” Sekali lagi Tengku Ezairul menyakitkan hati Maria dengan kata-katanya.

Sedihnya hati Maria mendengar kata-kata Tengku Ezairul. Dia hanya diam. Dengan susah payah, dia bangun dan terus berlalu ke dapur. Tanpa dipinta, air matanya mengalir. Cepat-cepat dia mengesat air matanya apabila melihat kelibat Timah di dapur.

Belum sempat dia menegur Timah, Tengku Ezairul muncul di dapur.

Tengku Ezairul menjeling Maria. “Timah, awak tolong cuci bilik air dalam bilik saya sekarang.”

Timah tidak jadi untuk berbual dengan Maria. Sebaliknya dia terus ke bilik Tengku Ezairul.

Maria mencapai pinggan dan dilapnya perlahan-lahan. Padahal pinggan-pinggan itu telah dilap tengah hari tadi.Tiba-tiba dia dapat rasa seseorang berdiri di belakangnya. Hembusan nafas itu terkena pada pipi Maria. Maria berdoa dalam hati agar Tengku Ezairul tidak memarahinya lagi.

“Mulai hari ni kau jangan buatkan air untuk aku. Kau boleh buat air untuk bonda dan ayahanda aku tapi bukan untuk aku. Aku tak suka setiap masakan dan minuman yang di buat oleh tangan kau.”

Rasa mahu jatuh jantung Maria apabila di perlakukan sebegitu. Sampai hati Tengku Ezairul berkata begitu. Apa salahnya Maria dia sendiri tidak tahu.

“Pandang aku.”

Maria masih lagi tidak memberi respon. Maria sebenarnya takut. Tengku Ezairul naik berang.

“Pandang akulah! Pekak ke?” Tengku Ezairul memusing kasar tubuh Maria menyebabkan Maria berpaling.

Dengan mata penuh ketakutan dan kesedihan, Maria memaksa juga dirinya untuk memandang wajah lelaki di hadapannya ini.

Pada ketika inilah Tengku Ezairul menerokai mata coklat milik Maria. Entah kenapa, dia terasa seperti berada di alam yang paling indah, penuh dengan cahaya yang bergemerlapan.

“Tengku...” panggil Maria.

Tengku Ezairul tersedar. Dia berpaling ke arah lain. “Kau faham tak apa yang aku cakap tadi?”

“Saya faham Tengku. Saya tidak akan memasak dan membuat air untuk Tengku lagi. Saya janji,” kata Maria bersungguh-sungguh.

“Kau nak tahu kenapa aku tak nak makan dan minum air yang kau buat tu. Kau nak tahu kenapa?” Tengku Ezairul menjauhkan dirinya dan mencapai beberapa biskut di atas rak dan mengunyahnya.

Maria hanya menggeleng.

“Sebab kau ni pengotor, busuk dan sangat menggelikan. Aku tak tahulah kenapa setiap kali aku makan apa yang kau masak, aku rasa macam nak muntah.” Tengku Ezairul memandang Maria dengan jengkel.

Maria hanya diam. Dia rasa kecil hati. Maruahnya rasa dipijak-pijak. Betulkah dirinya pengotor dan busuk? Kalau busuk, sudah tentu Abang Syawal tidak akan menyukai.

Tengku Ezairul menjeling Maria. “Malas aku nak layan perempuan busuk macm kau ni. Pengotor!” herdik Tengku Ezairul lagi dan terus berlalu pergi.


Bersambung….









Previous: Bab 8 & 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.