Home Novel Cinta Tersilap Pinang Isteri
Tersilap Pinang Isteri
Niesya Hanie
20/6/2014 13:54:43
71,770
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 4
TEPAT jam 8.00 malam, Hairul Zafrel sampai di tempat yang dijanjikan. Dia tercari-cari kelibat sepupunya tetapi masih tidak kelihatan. Tiba-tiba matanya tertumpu kepada tiga orang gadis yang sedang menjamu selera di restoran berdekatan. Dengan serta-merta wajahnya menjadi ceria. Senyuman indah terukir di wajahnya.

Ya, Syarina Azwani. Terima kasih ya ALLAH, KAU telah kabulkan permintaanku, ucap Hairul Zafrel dalam hati.


“ZWANA, kau janganlah ambil ayam aku!” marah Maya kerana kepak ayam goreng kegemarannya diambil Syarina Azwana.
“Aku punya makanan tak sedaplah, Maya. Menyesal aku order makanan ni,” ujar Syarina Azwana.
“Yalah Zwana, makanan aku pun tak berapa sedap. Chef kat kedai ni tak pandai masak agaknya,” tambah Juita pula.
“Ni semua kau punya pasal. Aku dah ajak kau makan kat KFC tadi tapi kau tak nak. Sekarang kau orang berdua makanlah semua makanan ni,” ujar Syarina Azwana, tidak puas hati.

Makanan yang masih penuh di pinggannya ditolak ke arah sahabatnya. Maya dan Juita merupakan sahabat baik Syarina Azwana dan Syarina Azwani. Maya seorang guru tadika manakala Juita merupakan seorang kerani sekolah. Selepas habis Peperiksaan SPM, mereka tidak mahu menyambung pelajaran atas alasan tidak mahu lagi bergelumang dengan buku-buku pelajaran.

“Zwana, aku rasa mamat yang duduk kat sebelah pintu tu tengah pandang kitalah,” bisik Juita di telinga Syarina Azwana sambil memuncungkan mulut ke arah seorang lelaki yang sedang asyik memerhatikan mereka.
“Mana ada. Kau jangan nak perasanlah. Mana ada lelaki yang nak tengok kau. Tengok aku adalah,” gurau Syarina Azwana.
“Aku tahulah kita orang ni tak lawa macam kau,” ujar Juita.
“Aku gurau ajelah. Janganlah ambil hati,” pujuk Syarina Azwana seraya tersenyum.
“Tapi aku rasa mamat tu memang tengah tengok kita,” tambah Maya.
“Jangan mengarutlah. Makanlah cepat, aku tak boleh balik lambat. Mengamuk nanti mak ayah aku,” arah Syarina Azwana.
“Eh! Kawan-kawan, control cun...control cun... Mamat tu datang sinilah. Handsomenya...” puji Juita.
“Ya ke? Mintak-mintak mamat tu berkenan kat akulah. Amin...” ujar Maya sambil meraup muka dengan kedua-dua belah tapak tangan.
Syarina Azwana berasa kurang senang dengan gelagat Maya dan Juita. Dadanya juga turut berdebar-debar. Dalam diam dia juga mengakui kata-kata dua orang sahabatnya. Dia juga sempat mencuri pandang semasa rakan-rakannya sibuk membicarakan perihal lelaki itu.
“Hai, bertiga aje ke?” sapa lelaki itu.

Syarina Azwana menoleh ke arah datangnya suara itu.
“You ni tak ada mata ke?” jawab Syarina Azwana, kurang senang.
“Amboi... kasarnya bahasa. Hmm... boleh I duduk sini dengan you all?”
“Kalau you tak tahu malu, silakanlah.”
Semakin kasar jawapan yang diberikan.
“Kenapa makan sikit aje ni? Tak sedap ke makanan tu?” soal lelaki itu lagi.
“Iya, memang tak sedap. Menyesal order. Kalau tahu nak jadi macam ni, lebih baik makan masakan mak kat rumah, lagi sedap,” sambung Syarina Azwana lagi.
“Mak masak? You tak pandai masak ke?” gurau lelaki itu pula.
“Hei mamat, lu dahlah menyibuk datang ke meja kita orang, dah tu nak menyindir orang pulak. Lu blah sekarang sebelum gua meletup!” jerkah Syarina Azwana menyebabkan lelaki itu terperanjat.
Cepatnya Syarina Azwani berubah? Bisik hati Hairul Zafrel.
“Dahlah tu, janganlah bising. Semua orang tengok kita. Malulah,” ujar Maya.
“Aku bukan apa, mamat ni kurang ajar. Dahlah datang tak bagi salam, tup tup nak sound aku pulak,” ujar Syarina Azwani tidak puas hati.
“Dahlah tu.”
Juita pula bersuara.
“Sorry...sorry... okey, I cuma nak berkawan aje. Tu pun kalau you all sudi nak jadi kawan I.”
“It’s okay, nama I Juita, yang ni Maya dan yang garang macam harimau ni...”
“Wei, melampaulah tu. Aku garang macam harimau pun bertempat tau,” pintas Syarina Azwana.
“Nama saya Hairul Zafrel. Panggil Erul,” ujar Hairul Zafrel, memperkenalkan diri.
“Cantik baju you tapi baju yang you pakai pagi tadi lagi cantik,” luah Hairul Zafrel ikhlas ke arah Syarina Azwana yang hanya mengerutkan dahi, malas memandang dan malas hendak bersuara.
“I ganggu you ke?” soal Hairul Zafrel apabila melihat Syarina Azwana tidak memberikan reaksi positif kepadanya.
“You ni memang menyibuk kat sini!” balas Syarina Azwana, garang.
“Okey, I takkan ganggu you all,” jawab Hairul Zafrel sambil bangun dari tempat duduk.
Garangnya Syarina Azwani. Pagi tadi nampak lembut dan bersopan santun, sekarang dah nampak brutal pulak? Aku yang salah menilai agaknya. Hairul Zafrel membuat perkiraan sendiri.
“Nanti dulu!” panggil Syarina Azwana.
Hairul Zafrel berpaling semula ke arah Syarina Azwana sambil menggaru-garu kening yang tidak gatal.
“I mintak maaf. I tahu I tak sepatutnya berkasar dengan you. Sorry ya,” ucap Syarina Azwana sambil tersenyum.
“It’s okay, mungkin I salah time kut?” balas Hairul Zafrel sambil memerhatikan senyuman yang membuatkannya mabuk cinta pagi tadi.
Tetapi senyuman itu agak hambar sedikit. Hairul Zafrel kembali duduk. Lama-kelamaan perbualan mereka menjadi semakin rancak.
“You ni cantiklah. I suka tengok you senyum,” puji Hairul Zafrel.
“You pun bergaya jugak,” ujar Syarina Azwana, malu-malu.
Maya dan Juita dapat merasakan Hairul Zafrel sebenarnya hanya berminat pada Syarina Azwana.Mereka berdua membuat keputusan untuk memberi ruang kepada mereka berdua untuk berkenalan antara satu sama lain.
“Kami beredar dulu, you all berdua berbuallah,” ujar Maya sambil menarik tangan Juita.
“Eh, kau orang nak pergi mana?” soal Syarina Azwana.
“Tak apalah, aku dan Juita balik dulu. Nampaknya mamat tu berminat kat kau. Jadi aku dengan Juita tak nak kacau daun,” bisik Maya di telinga Syarina Azwana sambil diperhatikan Hairul Zafrel.
“Aku pun nak ikut,” ujar Syarina Azwana.
“Tak apalah, biarkan dia orang balik. Nanti I hantar you balik okey?” cadang Hairul Zafrel.
Dia dapat melihat perubahan pada wajah gadis di hadapannya.
“Okey,” ujar Syarina Azwana ringkas tetapi cukup menyenangkan hati Hairul Zafrel.
“Duduklah, kita berbual-bual,” pelawa Hairul Zafrel, lembut.
Syarina Azwana duduk semula di kerusinya. Maya dan Juita sudah hilang entah ke mana.
Apalah yang mamat ni nak daripada aku? Tak ada lain nak menggatallah ni. Tapi mamat ni okey jugak kalau nak dibandingkan dengan lelaki-lelaki lain yang aku kenal sebelum ni. Layan ajelah, bisik hati Syarina Azwana.
“Kenapa you diam?” soal Hairul Zafrel sambil melihat Syarina Azwana yang sedang merenungnya.
“Tak ada apa-apa, saja.”
“Biar I terus terang dengan you. Sebenarnya sejak I nampak you pagi tadi, hati I dah terpaut dengan you dan I harap sangat dapat mengenali you dengan lebih rapat lagi,” ujar Hairul Zafrel.
Berkerut dahi Syarina Azwana. Kenal lebih rapat? Aku? Pagi tadi? Hmm... seingat aku, pagi tadi mak suruh aku ke kedai ayah untuk hantar makanan. Mungkin mamat ni nampak aku kat kedai agaknya, bisik hati Syarina Azwana, tersenyum.
“You ni pelik, kan? Takkan baru nampak I sekali you dah...” ujar Syarina Azwana, berhenti. Mukanya merah menahan malu
“Dah apa? Hmm? Dah jatuh cinta? Tu maksud you?” soal Hairul Zafrel, menduga.
Syarina Azwana hanya menunduk.
“Ya, I memang dah jatuh hati dengan you,” sambung Hairul Zafrel.
Syarina Azwana tersenyum mendengar pengakuan Hairul Zafrel. Mereka berdua berbual-bual sehinggakan Hairul Zafrel terlupa yang dia ada temu janji dengan sepupunya. Manakala Syarina Azwana semakin asyik bercerita dan bergurau sehinggakan jam telah menunjukkan tepat jam 9.00 malam.
Yes! Aku dah mula dapatkan hatinya. Dia memang ditakdirkan untuk aku. Terima kasih, ya ALLAH. Dia, Syarina Azwani akan jadi milikku, bisik hati Hairul Zafrel.
Hatinya berbunga-bunga kerana menyangka Syarina Azwana adalah gadis yang ditemuinya di pejabat Mr. Lim pagi tadi.
Trit! Trit! Trit!
“Alamak bro, aku lupalah. Kau kat mana?”
“Apalah kau ni, Erul. Dari tadi aku tunggu kau tapi kau tak muncul.”
“Kenapa tak call aku? So kat mana kita nak jumpa?” soal Hairul Zafrel.
“Hoi! Kau tak tengok ke kat skrin handphone kau tu? Dah berpuluh-puluh kali aku call, kau tak angkat. Tak apalah, aku dah sampai hospital ni. Lain kali kita jumpalah ya,” jawab Syahrul Zikri, hampa.
“Kalau macam tu okeylah. Jangan marah bro, nanti tak handsome,” usik Hairul Zafrel.
“Aku memang tak handsome pun. Okeylah, bye,” ucap Syahrul Zikri di hujung talian kemudian memutuskan talian.
“Siapa?” soal Syarina Azwana setelah melihat Hairul Zafrel meletakkan telefon bimbit di atas meja.

“Sepupu I. Sebenarnya tadi I ada temu janji dengan dia,” jawab Hairul Zafrel
“Kalau ada temu janji, kenapa you tak pergi jumpa dia?” soal Syarina Azwana pula.
“I tak jumpa dia disebabkan you,” jawab Hairul Zafrel, selamba.
“Apa kena-mengenanya dengan I pulak?” soal Syarina Azwana, tidak puas hati.
“Sebab kecantikan you yang buatkan I lupa semua kerja I. Kalau you nak tahu, dari pagi tadi I tak dapat fokus pada kerja I. Tu semua sebab you,” ujar Hairul Zafrel, menyebabkan Syarina Azwana kehilangan kata-kata.
“Erul, hari pun dah semakin lewat, I nak baliklah.”
“Biar I hantar you balik,” ujar Hairul Zafrel menawarkan diri.
“Tak apa, I balik naik teksi. Lagipun I dah biasa.”
“Nanti apa pulak kata kawan-kawan you tadi? Bukan ke I dah janji nak hantar you balik?”
“Dia orang takkan tahu kalau you atau I tak beritahu,” jawab Syarina Azwana.
“Boleh beri I nombor telefon you? Nanti senang-senang kita boleh keluar lagi.”
“You nak keluar dengan I lagi ke?” soal Syarina Azwana, ragu-ragu.
“Mestilah I nak. Kalau boleh, hari-hari I nak jumpa you,” jawab Hairul Zafrel.
Syarina Azwana hanya tersenyum mendengarkan pengakuan Hairul Zafrel. Dalam diam dia mengakui kata-kata Maya dan Juita bahawasanya jejaka ini amat tampan dan bergaya.
“Helo... jauhnya you mengelamun. Dah sampai mana?”
“Mana ada,” sangkal Syarina Azwana, menahan malu.
“Berapa?” soal Hairul Zafrel lagi.
Berkerut dahi Syarina Azwana.

“I tanya nombor telefon youlah, sayang. Berapa nombornya?” ulang Hairul Zafrel lagi.
Syarina Azwana berasa berdebar-debar mendengar Hairul Zafrel memanggilnya dengan perkataan sayang. Ah, indahnya duniaku! Syarina Azwana tersenyum.
“Hai, termenung lagi. You ni kuat berangan ke?” usik Hairul Zafrel.
Syarina Azwana menjeling Hairul Zafrel sambil menyerahkan telefon bimbit kepada lelaki itu. Selesai bertukar-tukar nombor telefon, Syarina Azwana terus menghala ke perhentian teksi. Kalau dia lambat pulang, pasti dia akan dileteri Puan Rosmini dan Encik Rostam.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Niesya Hanie