BAB 27
AKHIRNYA, Nurin Amira berkesempatan menjejaki kampung halaman
tempat kelahiran Safiah di Batu Kurau, Perak. Terubat rindunya pada kediamannya
yang sudah lama ditinggalkan. Sudah banyak kali Safiah mengajaknya untuk
berkunjung ke rumah pusaka peninggalan arwah datuknya itu. Oleh kerana ada
sebab yang tidak dapat dielakkan, ajakan Safiah itu tidak dapat Nurin Amira
penuhi. Begitu bermakna buat Nurin Amira kerana ini kunjungan kali pertamanya
ke sebuah daerah yang terlalu asing buat dirinya itu.
Kerap benar Puan Salmi sekeluarga
mengunjungi rumah pusaka itu. Tambahan pula anak sulung Puan Salmi, Saiful
menetap di rumah itu. Oleh kerana sunyi dan janggal tinggal sendirian, Saiful
mengajak anak saudara sepupunya tinggal bersamanya. Kali ini mereka menumpang kereta Waja milik Nurin
Amira. Encik Lutfi tidak dapat menyertai mereka kerana terpaksa bertugas pada
hari Sabtu itu. Safiah ingin menjamu Nurin Amira makan buah-buahan tempatan
yang meranum di dusun. Buah durian pula buah yang paling menjadi pada tahun
ini.
Akan tetapi, itu bukanlah
agenda utamanya. Safiah ingin menggembirakan Nurin Amira, memandangkan Nurin
Amira sudah lama tidak pulang ke rumah keluarganya. Sekurang-kurangnya dengan
melihat keindahan di sekitar rumah pusaka itu boleh mengembalikan keceriaan
kepada Nurin Amira.
Lebih kurang dua jam
memandu melalui highway Sungai
Petani-Butterworth, mereka pun sampai ke destinasi yang dituju. Nurin Amira
sudah semestinya seronok dapat melihat suasana sekitar kediaman itu.
“Emmm bestnya. Ada kolam ikan lagi,” ujar Nurin Amira sebaik saja keluar
dari perut keretanya. Saiful yang sedari tadi menunggu kedatangan keluarganya,
datang bersalam dengan Puan Salmi. Nurin Amira melemparkan senyuman mesra
kepada Saiful.
“Dah datang sini baru tau,
kan. Best ke tak best. Dah lama Yaya ajak. Saja jual mahal.” Tergelak manja Nurin Amira apabila diusik oleh Safiah.
“Jom masuk ke dalam. Emak
masak apa ni sedapnya bau?”
Saiful mengajak tetamunya masuk ke dalam, sambil
tangannya menjinjit beg plastik yang dibawa oleh Puan Salmi. Wanita lewat 30-an
itu sejak awal pagi lagi sibuk di dapur memasak makanan kegemaran anak
lelakinya.
“Apa lagi, bang. Masakan
kegemaran abang la. Jealous tau mak
masak untuk abang sorang. Yaya pun ada juga makanan kegemaran Yaya. Tapi, hari
ni mak tak masak pun.”
Safiah sekadar hendak bergurau dengan abangnya. Sesekali
berjumpa dengan abangnya buat dia rindu menggiat satu-satunya saudara lelaki
sulung. Dengan adik lelakinya dia sudah biasa bergaduh.
“Ek eleh. Mengada-ngada,” celah
Sofian sambil menjuihkan bibirnya.
“Kau orang berdua ni dua kali
lima aje. Sesekali emak masak untuk abang pun nak berkira,” jawab Saiful.
“Tengoklah anak mak cik ni,
Mira. Pantang berjumpa, ada-ada saja,” kata Puan Salmi sambil menggeleng-geleng.
Wanita itu berlalu ke dapur untuk menyiapkan hidangan tengah hari. Tidak tahu
hendak berbuat apa-apa, Nurin Amira mengekori langkah Puan Salmi ke dapur.
Melihat susun atur perabut
yang kemas dan elegan buat Nurin Amira terpegun. Dia tidak menyangka lelaki pun
suka mengemas dan menghias rumah. Potret keluarga menghiasi dinding, manakala
gambar-gambar permandangan yang sejuk mata memandang terpampang indah di dua
sudut yang berbeza.
“Abang memang rajin
mengemas. Kalau bab menghias, dia memang pakar sebab dia lulusan grafik
berkomputer. Tapi, bergiat aktif dalam bidang pertanian pulak. Jauh betul
selera dia sekarang jika hendak dibandingkan dengan kelulusannya.” Safiah
menghuraikan segala persoalan yang berlegar di fikirannya tanpa diminta.
Nurin Amira mengiakan sahaja.
Dia berlalu ke dapur, sementara Safiah membantu abangnya memunggah barangan
yang dibawa oleh emaknya untuk di simpan di atas rak yang disediakan. Ada serunding,
susu, gula, tepung, Nestum, dan Milo buat abangnya serta anak saudaranya.
Barangan itu memang sengaja dibawa oleh Puan Salmi. Dia tidak suka anak
lelakinya membuang waktu makan atau minum di kedai. Dia arif benar andai ke
kedai, lelaki akan mengambil masa yang cukup lama melepak. Seolah-olah tidak
ada satu perkara pun yang perlu dilakukan.
Kemudian secara tiba-tiba
menjengah seorang lelaki muda di muka pintu. Kedua-dua belah tangannya menjinjit
beberapa biji buah durian. Nurin Amira mengagak umurnya lebih kurang sebaya
dengan Nurin Anisha.
“Waduh! Bau semerbak.
Masak pulut sedap jugak ni mak makan dengan durian. Bubuh santannya sekali,”
ujar Safiah sambil berlalu untuk mengupas durian yang dibawa oleh anak
saudaranya itu.
“Baguih jugak. Tapi, ada
kelapa ke?” jawab Puan Salmi pula.
“Ada. Nanti Lan kupas kelapa.
Nak makan dengan pulut nampaknya nak kena tambah lagi ni. Tak cukup. Bukan Lan
tak tau Acik Ya ni hantu durian,” kata Alan, mengusik ibu saudaranya.
“Pandai la hang nak
menyakat Cik Ya, noh.”
Nurin Amira ketawa,
terhibur melihat kemesraan mereka. Dia menghampiri Safiah kerana tidak tahan
dengan bau durian yang sungguh menyelerakan itu. Sedar-sedar sahaja sudah lima
biji durian menjadi santapan mereka. Nurin Amira tidak larat hendak makan buah
rambutan yang masak meranum di dalam raga. Buah duku juga ada di situ. Sofian
pula apabila selesai menjamah durian, dia makan buah duku pula.
Sementara Puan Salmi
sedari tadi merungut kerana masakan yang dibawanya tidak disentuh pun oleh
anak-anaknya. Terpaksalah dia memanaskannya untuk hidangan makan malam.
Oleh sebab masing-masing
sudah kekenyangan menjamah buah-buahan tempatan, tidak jadilah untuk menikmati
hidangan tengah hari itu. Ini memudahkan kerja Puan Salmi. Dia tidak perlu lagi
masak untuk kali kedua. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya kini. Dari jauh,
dia memerhatikan gelagat anak terunanya yang sudah pun menjangkau usia 27
tahun.
**********
MENITI batas-batas sawah mengingatkan Nurin Amira pada zaman
kanak-kanak yang pernah dilaluinya suatu waktu dahulu. Dia, adik dan abang
berkejar-kejaran sambil bermain layang-layang yang dibuat sendiri oleh abangnya.
Lintah dan lumpur tidak dipedulikan lagi. Walaupun menjerit kegelian berhadapan
dengan lintah, itu tidak menjadi soal kepadanya untuk tidak bermain di sawah.
Indah sungguh zaman kanak-kanaknya.
Dia menghampiri Sofian dan
Saiful yang sedang memancing ikan di kolam. Ada beberapa ekor sepat di dalam
raga.
“Melihat keindahan kampung
kawasan sekitar di sini mengingatkan akak pada zaman kanak-kanak dulu. Tak jauh
bezanya.” Nurin Amira meluahkan apa yang dirasa dalam hatinya setelah hampir di
sisi Sofian.
“Kalau suka, datang la
lagi. Jangan tak datang,” celah Saiful.
“Itu pun kalau ada
kesempatan. Tak boleh nak janji,” jawab Nurin Amira pula.
“Dalam kolam ni banyak
ikan, kak. Ada sepat, keli, haruan, baung, dan jugak lampam. Sekali makan gulai
lemak ikan air tawar ni, sampai bila-bila pun tak boleh lupa keenakannya,” ujar
Sofian kemudian.
“Eiii... akak tak biasa
makan ikan-ikan sungai ni. Tak tahan bau hanyirnya. Kalau sepat, akak makan.
Mak akak suka masak gulai lemak cili padi. Masa dulu-dululah. Sekarang mana ada
sawah macam ni. Sawah pun penuh dengan lalang,” kata Nurin Amira sambil
menjenguk ke dalam bakul.
“Apa ikan-ikan ni makan,
Abang Epul?” Tidak lama kemudian, Nurin Amira terperasan yang soalannya itu
lucu. Tapi, dia berpura-pura berlagak selamba untuk menutup perasaan malu yang
menular di benaknya.
“Cacing, dedak, dan entah
apa-apa lagi yang ikan-ikan biasa makan,” jawab Saiful.
“Cacing? Eiii... memang
patut la Mira tak suka makan ikan-ikan ni.”
“Itu sebab ikan-ikan abang
gemuk-gemuk,” kata Saiful sambil ketawa gembira melihat wajah Nurin Amira
menahan kegelian.
“Alah, Abang Epul tu
bergurau aja, kak. Ada pulak nak bagi makan ikan cacing. Ikan-ikan ni pun tak
berselera nak makan cacing. Ada la makanan ikan ni, kak. Abang Epul beli di
kedai,” ujar Sofian pula.
Nurin Amira tersengih
sambil mengurut perlahan-lahan tekaknya yang meloya. Dia ingin beredar. Namun,
langkahnya terhenti apabila Saiful seakan-akan tidak mengizinkan dia berlalu
pergi.
Lelaki itu ingin berbicara
lagi. Padahal Nurin Amira sudah kehilangan kata-kata untuk dibualkan bersama
lelaki yang mudah mesra itu. Baharu sahaja bertemu bagaikan sudah lama mengenali.
Ada kalanya Nurin Amira senang hati berbicara dengan Saiful yang suka
mempamerkan humor secara spontan.
Safiah yang menyedari telatah
Saiful dengan Nurin Amira itu menahan pilu dalam hati. Suatu waktu dahulu
ketika Nurin Amira rapat dengan Zakuan, Saiful pernah menyuarakan hasrat untuk
menyunting Nurin Amira sebagai suri hidupnya. Apabila diberitahu Nurin Amira
sudah ada teman istimewa, Saiful tidak lagi mengungkit cerita itu. Kini setelah
Nurin Amira kembali sendiri menongkah arus kehidupan, Safiah tidak menolak
kenyataan bahawa abangnya itu masih menyimpan perasaan terhadap gadis manis
itu. Walau apa pun persepsi masyarakat terhadap Nurin Amira, dia reda
seandainya ada jodoh di antara Nurin Amira dengan abangnya.
**********
SEHARI semalam bermalam di rumah pusaka arwah nenek dan datuk
Safiah, Nurin Amira puas merakam kenangan yang tidak mungkin dilupakan dalam
kamus hidupnya. Keluarga Safiah sudah dianggapnya seperti keluarganya sendiri.
Pagi-pagi lagi Alan dan
Saiful mengait buah-buah yang sudah ranum untuk dibawa pulang ke rumah mereka
di Sungai Petani. Ada limau Bali, rambutan, duku langsat, pulasan dan durian.
Sempat lagi Puan Salmi memasak serawa durian. Resepi orang utara. Setahu Nurin
Amira, orang luar menggelarkan resepi itu pengat durian ataupun bubur durian.
Nurin Amira juga sempat membantu Puan Salmi mengacau tempoyak yang diperbuat
daripada durian yang tidak habis dimakan. Sekurang-kurangnya buah yang tidak
habis dimakan itu tidak dibuang begitu sahaja.
“Abang! Yaya teringin nak pergi
Lake Town. Abang temankan kami, ya,” ujar Safiah mengejutkan semua orang yang
sibuk dengan kerja masing-masing.
“Boleh jugak. Boleh bawak
bekal berkelah kat sana,” jawab Saiful, bersetuju dengan cadangan adiknya itu.
“Mak macam mana? Setuju
tak?” tanya Safiah sambil mengerling wajah ibunya.
“Emak ikut saja.”
“Tapi, nak bawak bekal apa,
ya?” kata Safiah seolah-olah bertanya pada diri sendiri.
“Bawaklah mihun goreng ka,
kuetiau goreng ka. Tak pun nasi lemak. Mak kan terror masak,” celah Sofian.
“Mak dah agak dah. Mak jugak yang akan masak nanti.”
“Alah, mak. Nanti Yaya
tolonglah. Mira pun boleh tolong mak di dapur nanti.”
“Dengaq tu, Mira. Anak
dara mak cik satu-satunya ni. Tak adanya dengan sukarela nak masak di dapur,”
usik Puan Salmi.
“Alah, mak ni. Bab masak-memasak
ni bukan boleh dipaksa. Bila rasa nak memasak tu datang, dengan sendirinya Yaya
masak la,” ujar Safiah, menutup rasa malunya.
“Yalah tu. Boleh percaya
ke?” sampuk Alan pula.
Safiah kehilangan
kata-kata. Sudahnya dia berlalu ke halaman rumah untuk mengangkat pakaian yang
sudah kering di jemuran. Pakaian yang dibasuh sejak pagi sekejap sahaja kering
apabila dijemur di tengah-tengah panas terik itu.
“Merajuk la tu.”
Suka benar Sofian mengusik kakaknya. Alan juga dua kali
lima dengan bapa saudaranya. Peluang yang ada tidak dilepaskan untuk menyakat
Safiah.
Nurin Amira menyedari mata
Saiful dari tadi asyik menatap wajahnya. Cepat-cepat Saiful mengalihkan
tumpuannya ke televisyen apabila mereka bertentangan mata seketika. Waktu itu
sudah jam 2.00 petang. Mereka baharu sahaja menikmati makan tengah hari.
“Abang Saiful ni dah dekat
30 tahun. Rasanya dah layak jadi suami dan punya keluarga sendiri. Bila agaknya
Mira dapat makan nasi minyak abang, ya?”
Tidak semena-mena terluah perkataan itu dari seulas bibir
Nurin Amira. Dia terperangkap dengan kata-katanya sendiri.
Ya Allah! Soalan apa ni? Ya,
Tuhan.
Pantas sahaja senyuman meniti
di bibir Saiful sebaik mendengar bait-bait kata Nurin Amira itu. Dipandangnya
Nurin Amira yang sudah kegelisahan.
“Kalau ada yang sudi, abang
tak kisah. Mak abang tau siapa calon menantunya,” ujar Saiful sambil mengerling Nurin Amira
yang kelihatan tidak tentu arah menahan malu.
Wajah Nurin Amira
serta-merta merona merah. Semua yang ada di ruang tamu itu perasan perubahan
air mukanya itu. Dia tidak tahu di mana hendak menyorokkan mukanya itu.
Kesudahannya dia membatukan diri. Bimbang tersalah cakap lagi.
“Mana ada. Kalau ada, dah
lama abang beritau mak,” ujar Saiful lagi. Kemudian dia berlalu keluar.
Nurin Amira berkali-kali
menerangkan kepada Safiah. Dia tidak bermaksud apa-apa tentang soalannya
terhadap Saiful itu. Safiah sudah tidak dapat menahan ketawanya lagi. Nurin
Amira kaget. Sementara Puan Salmi hanya tersenyum sahaja. Dia terhibur berada dalam
lingkungan anak-anak muda itu.
“Apa la Mira ni. Malu-malu
pulak. Itulah lain kali hati-hati,” kata Safiah, penuh makna.
Selepas itu, ada-ada sahaja
gurauan daripada Alan dan Sofian. Riuh-rendah gelak ketawa mereka memenuhi
ruang tamu rumah pusaka itu.
Gulp! Macam tahu saja aku
tengah gabra tadi. Hai... nasiblah dapat kawan dua kali lima dengan abangnya.
***********
SELESAI solat zuhur, mereka bertolak ke Lake Town. Lebih kurang
setengah jam memandu, mereka tiba di kawasan rehat itu. Keadaan sekitarnya sudah
banyak berubah. Sudah ada chalet, taman permainan, dan restoran di situ. Lake
Town kini sudah menjadi destinasi pelancongan dan percutian di kalangan orang
luar yang datang bercuti ke situ. Nurin Amira rasa bertuah kerana akhirnya dia
berkesempatan berada di situ menikmati permandangan yang indah. Sebelum ini dia
pernah dipelawa oleh Zakuan untuk datang ke situ. Namun, belum sempat dia
memenuhi permintaan Zakuan, dia ditangkap basah dengan Mohd Najib.