Lebih kurang setahun yang lalu.
PERBUALAN antara Diha dan Marsha melalui Skype petang itu agak suram. Tidak disulami gelak tawa seperti biasa. Tiada usik gurau mengiringi tutur kata. Sesekali mereka berdua hanya diam sekadar memandang satu sama lain. Masing-masing putus buah bicara.
“Sudah makan, Marsha?” Prihatin Diha bertanya. Waktu sudah pun menjangkau ke pukul dua petang. Kebelakangan ini, temannya itu sering mengadu tidak ada selera untuk menjamah makanan.
“Orang sakit kae aku mana lalu makan, Diha,” balas Marsha, tetap memaniskan riak wajah meskipun berada dalam kesakitan. Diha meneliti keadaan Marsha. Nampak pucat tidak bermaya. Kulitnya kusam dan kering. Tidak lagi berseri. Pipi yang dahulu gebu kini semakin cengkung. Tubuhnya juga kian susut. Blaus kuning cair yang dipakai kelihatan terlalu besar buat tuan punya diri.
“Memanglah tak lalu, tapi kau harus makan. Barulah ada tenaga. Kau perlu tubuh yang kuat agar cepat sembuh, Marsha,” pujuk Diha. Marsha senyum tanpa membalas. Dia sedar Diha sedang cuba menenangkan hatinya. Menghantar sejalur semangat agar dia terus kuat. Sedangkan, kedua-dua mereka tahu yang penyakit Marsha berada pada tahap kritikal. Tidak ada jalan lagi untuk sembuh.
Sudah hampir tiga tahun Diha mengenali temannya yang berasal dari Jakarta itu. Tetapi atas faktor kesibukan masing-masing, persahabatan mereka terbatas di alam maya. Kedua-duanya belum pernah berkesempatan bersua empat mata di dunia nyata. Hanya dunia internet yang merapatkan mereka.
Perkenalan antara mereka bermula apabila Marsha menjadi follower atau pengikut blog Diha, ‘Tentang Sesuatu’ dan kerap meninggalkan komen di blog tersebut. Marsha selalu mencari resepi mudah yang enak untuk dimasak buat suaminya. Kebetulan, dia terjumpa entri-entri resepi yang menarik di blog Diha. Blog Diha tidak mengkhusus kepada penulisan berkaitan masakan sahaja, tetapi lebih merupakan blog peribadi yang berkisar tentang kehidupannya secara kasar dan sesuatu yang ingin dikongsikan. Sejak itu mereka sering berutus e-mel dan berkomunikasi melalui Skype. Malah, beberapa resepi Diha yang telah dicuba oleh Marsha turut menjadi kegemaran suaminya.
Keserasian wujud antara kedua-dua mereka. Marsha senang dengan sikap terbuka dan penyayang Diha. Diha seorang yang mudah didekati. Tidak suka mengadili orang lain, teman pendengar yang baik juga seorang yang sangat memahami. Marsha melihat Diha sebagai seorang yang sentiasa berfikiran positif. Jiwanya sarat dengan kasih sayang. Jika tidak, masakan Diha sanggup melepaskan kerjaya bergaji besar semata-mata demi menjaga adiknya yang sakit dan memerlukan perhatian.
Diha pula selesa dengan keramahan Marsha, keceriaannya. Bertukar-tukar cerita bersama Marsha menjadikan hidupnya lebih terisi. Marsha tidak pernah ketandusan idea untuk berkongsi pelbagai kisah menarik. Marsha seorang yang suka mengambil berat. Dia ibarat seorang kakak buat Diha. Tidak lokek memberikan pandangan dan nasihat pada Diha apabila perlu.
Mereka menjadi teman berbual yang ideal. Bilamana Diha mempunyai masalah dan memerlukan teman mendengar, Marsha sentiasa ada melayannya. Tatkala Marsha kebosanan atau sunyi kerana suaminya kerap dihantar bekerja di luar kota, Diha ada cuba menghiburkan hari-harinya. Kedua-dua mereka juga rajin berutus hadiah pada hari-hari istimewa. Dengan kecanggihan teknologi maklumat, jarak bukanlah penghalang komunikasi. Tidak pernah bersua bukan alasan untuk mereka tidak menjadi sahabat akrab.
Perhubungan yang erat itu menyaksikan banyak detik suka duka yang dikongsikan bersama. Malah, apabila Marsha disahkan menghidap kanser, Diha merupakan insan yang pertama sekali diberitahu. Bukan suaminya. Bukan juga keluarganya.
“Aku disahkan menghidap kanker, Diha.” Sebaris ayat Marsha tentang penyakit yang dialaminya serta-merta membuatkan nafas Diha jadi sesak. Diha masih ingat dengan jelas ekspresi muka Marsha ketika memaklumkan berita itu kepadanya. Marsha tetap cuba untuk kelihatan tenang biarpun matanya sudah berkaca.
“Apa kata doktor? Kau,..kau punya peluang untuk sembuhkan? Kau masih boleh dirawat bukan?” Laju sahaja dia menghujani Marsha dengan soalan demi soalan. Jantungnya seakan terhenti sebentar mendengar secebis berita duka yang baru diterima.
“Sudah terlambat. Penyakitku kini di tahap kritikal. Doktor bilang operasi bukan lagi satu pilihan, Diha,” sayu suara Marsha menjelaskan keadaan kesihatannya.
Saat itu air mata Diha tumpah laju. Hatinya betul-betul sedih. Dia fikir dirinya telah lali menangisi pemergian insan-insan yang dikasihi. Rupanya tidak! Dia bakal kehilangan Marsha pula.
’Ya Allah, Pemilik Nyawa Sekalian Makhluk, panjangkanlah umur Marsha. Berikanlah Marsha kekuatan untuk melawan penyakitnya. Sembuhkanlah penyakit Marsha, Ya Allah. Sesungguhnya, Kau Maha Penyembuh. Hanya Kau Tempat Tujuan orang-orang yang memohon.’ Diha sentiasa menitip doa buat sahabatnya setiap kali usai solat.
Hari ini, saat berbual dengan temannya, sekali lagi Diha mengalirkan air mata. Marsha benar-benar sakit. Tahap kesihatannya jatuh merudum. Namun, ada sesuatu yang tidak hilang. Cahaya di matanya. Marsha tetap ceria seperti dulu. Mahu berbual itu ini. Cuma keadaannya yang tenat membuatkan dia cepat penat. Dihimpit kehibaan, akhirnya kedua-dua sahabat itu sama-sama menangis.
“Maaf, Marsha. Aku tak dapat ziarah kau di sana. Kau harus kuat dan bertahan.” Diha benar-benar ingin melawat Marsha tetapi malangnya dia sendiri mempunyai kekangan di Kuala Lumpur. Dina, adiknya sedang menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara. Adik tunggalnya itu menjalani pembedahan jantung, penyakit yang dihidapnya semenjak menginjak remaja. Walaupun Dina kini tunangan orang dan bakal melangsungkan perkahwinan, Diha tidak mahu menyusahkan Fahim dan keluarga. Dina masih di bawah tanggungjawabnya.
“Nggak apa. Aku faham. Kau sibuk menjaga Dina. Aku pula asyik gagal mengatur percutian ke Kuala Lumpur. Alangkah baiknya jika kita berkesempatan untuk bertemu,” balas Marsha. Ada kekesalan dalam nada suaranya.
Sayu hati Diha mendengar kata-kata Marsha itu. Disentuh paparan wajah Marsha di skrin komputer ribanya. Dia sendiri bagai dapat merasa keperihan yang ditanggung oleh wanita itu.
“Sekalipun kita nggak pernah bersua secara nyata, aku gembira mengenalimu, Diha. Kau selalu ada saat aku perlukan teman bicara.” Satu-satu Marsha menuturkan patah kata. Perkataan ‘teman bicara’ yang diucapkannya membuatkan Diha tersentuh.
“Aku pun bertuah diizinkan Allah untuk berkawan dengan kau, Marsha. Kau juga selalu ada saat aku perlukan sokongan. Moga satu hari nanti, Allah berikan aku peluang untuk balas jasa dan segala pertolongan kau,” tutur Diha. Rusuh hati mengenangkan sahabatnya yang berperang dengan penyakit pembunuh nombor satu itu.
“Usah bilang begitu, Diha. Antara sahabat tidak perlu berkira siapa berbudi pada siapa. Tapi Diha, satu hari kelak kau mesti datang ke Jakarta! Tinggalkan duniamu di Malaysia buat sementara. Kapan lagi mahu lihat tempat orang.”
Diha angguk. Airmatanya gagal dibendung. Dibiarkan sahaja manik-manik jernih terus jatuh dari kelopak mata. Tumpuannya masih terhala kepada Marsha tetapi dia tidak mampu untuk meneruskan kata.
“Shhh...shhh...shhhhh...Jangan menangis, Diha,” lembut nada Marsha memujuk. “Bukankah kau juga yang bilang aku ini amat bertuah? Akukan insan terpilih,” sambung Marsha, cuba menguntum senyum kendatipun serba payah.
Dalam kepiluan, Diha menganggukkan kepalanya. Dia teringat perbualan antara dia dan Marsha beberapa bulan lalu. Ketika itu Marsha hampir-hampir putus asa berdepan dengan penyakitnya. Isu kematian acapkali meniti di mulut. Dia sudah putus harap. Dia tidak mahu lagi bertahan melawan penyakit. Sampai ke satu tahap, Marsha mempertikaikan mengapa dia yang terpaksa menghadapi semua itu.
“Kenapa aku, Diha?” rintih Marsha dengan suara yang tidak bermaya. “Kenapa aku?!” ulangnya. “Kenapa nggak orang lain? Aku nggak kuat mengharungi semua ini! Udah nggak betah lagi!” keluhnya.
Diha terdiam. Dia faham akan gejolak rasa temannya itu. “Sebab kau insan bertuah, Marsha,” jawabnya dalam suara yang menahan tangis.
“Insan bertuah? Apa yang bertuahnya, Diha? Aku sedang mendepani maut! Maut, Diha! Aku akan mati.”
“Mati itu memang sesuatu yang pasti. Kau sangat-sangat bertuah, Marsha. Allah telah pilih agar kau dapat tahu bila masanya kau akan pergi. Bukankah kita harus sentiasa siap untuk meninggalkan dan ditinggalkan?” Deras air mata Diha gugur ketika menuturkan kata-kata tersebut. Marsha sudah pun menangis tersedu-sedu.
“Sekurang-kurangnya aku bisa lebih bersedia untuk bertemu Tuhanku, kan?” Marsha bertanya sekadar ingin menyedapkan hati. Namun, itulah hakikatnya. Dia diberi kesempatan untuk menyiapkan diri sebelum bertemu dengan Sang Pencipta.
“Macam aku,.. aku tidak punya sebarang klu. Entah bila Allah akan ambil nyawaku. Satu tahun lagi? Satu bulan lagi? Entah-entah esok aku pergi mendahuluimu. Tuhan tidak memilih aku untuk kelebihan itu. Tuhan pilih kau, Marsha.”
Marsha memaniskan riak wajah. Tangannya segera menyeka air mata di pipi. Ada secebis semangat yang tersuntik ke jiwanya tatkala mendengar butir bicara Diha. Dia yang terpilih. Dia harus reda. Semenjak itu, Marsha lebih tenang. Lebih merelakan setiap apa yang terjadi ke atas dirinya.
“Diha,..” Panggilan Marsha mengejutkan Diha dari lamunan. Wajah Marsha di skrin segera dicarinya.
“Janji sama aku, Diha. Satu hari kelak, kapan punya kesempatan, kau akan ke Jakarta. Maaf ya. Kalau ikut perancangan asal kita, aku yang sepatutnya bawa kau jalan ke sana ke mari. Tapi, kau harus janji. Meski tanpa diriku, kau akan terokai dan alami sendiri setiap apa yang pernah aku ceritakan sebelum ini.”
“Insya-Allah. Bila ada kesempatan, aku pasti akan ke sana.”
Marsha senyum lebar mendengar kata-kata Diha. Seketika dia membetulkan duduknya. Jelas Marsha tidak berdaya lagi. Wajahnya pucat umpama tidak berdarah. Susuk tubuh itu kelihatan uzur benar. Dia bernafas dengan penuh kesukaran.
“Diha, sebelum aku pergi, aku perlukan bantuanmu,” kata Marsha dalam tenaga yang masih bersisa.
“Katakan saja Marsha. Aku akan cuba bantu,” jawab Diha pantas. Biarlah dia dapat meringankan beban sahabatnya. Tidak dapat banyak, sedikit pun jadilah.
“Tapi aku udah capek nih. Capek bangat! Kita bicara lain kali saja ya. Aku pingin istirahat dulu.”
“Hmmm. Rehatlah,Marsha. Jika kau perlu apa-apa, hubungi aku segera.” Diha menyuruh temannya itu berehat. Dia tidak sampai hati melihat Marsha terus memaksa diri, cuba bertahan semata-mata untuk berbicara dengannya.
“Oh, Diha, aku perlu kau janji denganku seperkara lagi,” pinta Marsha sebelum menghentikan perbualan mereka. Sepasang matanya tidak berkelip memandang Diha. Ada sejalur harapan terzahir melalui renungannya.
“Janji apa?”
“Lupakan kisah silammu dengan dia. Seandainya ada cinta baru datang, kau harus bersedia membuka pintu hati buatnya. Sampai kapan mau hidup sendiri kae gini?”
“Marsha, dalam saat-saat begini, kau masih nak risaukan aku?” soal Diha dengan tangisan yang tertahan. Dia mengeluh kecil. Wajah Marsha dipandang lama. Sejurus, tanpa dapat dihindar ingatannya menggamit memori-memori lama bersama Muammar. Kehibaan menghuni sudut hatinya kala itu. Air matanya mengalir lebih deras.
“Diha...” Marsha memanggil sahabatnya.
“Ya?”
“Janji sama aku....”
Diha senyap. ‘Tidak semudah itu, Marsha,’ keluhnya dalam hati. Dia menggelengkan kepala berkali-kali. Air mata yang tumpah disapu dengan jemarinya.
“Kau pingin aku pergi dengan membawa rasa terkelindan bangat ya? Gimana aku bisa tenang kalau asyik mikirin temanku yang terus-terusan hidup dalam kekecewaan cintanya?” Soalan-soalan Marsha itu seperti sengaja mahu menjerat Diha. Bagaimana dia boleh melupakan Muammar? Dia tidak akan mampu. Biarlah. Dia lebih senang dengan hidupnya sekarang.
“Diha,..” Suara lirih Marsha membuatkan Diha serba salah. Ketara wanita itu menantikan kata putus yang lebih berbentuk janji daripadanya.
“Janji sama aku, deh...kapan ada cinta...”
“Ya, Insya-Allah,”balas Diha dengan berat sebelum sempat Marsha menghabiskan ayat. Biar jawaban ringkasnya itu membuatkan Marsha tenang sekaligus berhenti memikirkan dirinya.
Namun, Diha tidak menduga sama sekali, itulah perbualan terakhir mereka. Beberapa hari selepas itu, dia menerima kiriman e-mel daripada Miranda, salah seorang kenalan Marsha yang mengkhabarkan berita pemergiannya. Setelah puas berjuang menentang kanser, Marsha akhirnya kembali kepada Sang Pemilik Nyawa.
Terjemahan kata:
- kanker - kanser
- bangat - sangat
- terkelindan - terkilan