Home Novel Cinta USAH MENANGIS SAYANG
USAH MENANGIS SAYANG
Aini Marisha Marisha
25/2/2014 23:21:14
45,586
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

“Pergi mana tadi Tini?” tanya Rohana kepada Kartini yang baru naik ke atas rumah. Dia hanya menjeling Tini dari ekor matanya sahaja.

“Seluar siapa tu mak?” tanya Kartini pula apabila dilihat emaknya sedang menjahit. Soalan emaknya belum dijawab lagi.

“Nazrin…koyak lagi,” jawab Rohana tanpa memandang ke arah Kartini, anak sulungnya.

Tudung yang agak lembap ditanggalkan lalu Kartini bersandar di dinding rumah berhampiran dengan Rohana. Getah rambut yang tadinya mengikat kemas rambutnya ditanggalkan lalu Kartini membiarkan rambutnya yang panjang melepasi bahu terurai bebas.

“Pergi ke Lata lagi ke?”

Kartini memandang emaknya kemudian mengangguk. Senyuman terukir di bibirnya. Rohana membawa seluar itu ke mulutnya lalu benang digigit hingga putus.

“Kan ada gunting tu…,” selar Kartini. Muncungnya dihala ke arah gunting di atas riba emaknya.

“Senang…,” jawab Rohana pendek. Kartini menggeleng-geleng kepala.

“Ada surat tak mak?”

“Surat? Mak tak tengok…tapi tadi rasanya posmen ada singgah. Nazrin yang ambik kot. Cuba tengok atas almari tu,”

Belum sempat Kartini bangun, bunyi hon motosikal yang bertalu-talu kedengaran di halaman rumahnya. Kartini menjengukkan muka di muka pintu. Wajah Isma dengan senyuman yang melebar di bibir kelihatan sedang berjalan ke arah rumahnya setelah menongkatkan motor di halaman rumah.

“Hoi, kenapa kau ni? Macam orang gila bunyi hon banyak kali,”

“Ishh..apa cakap orang macam tu…,” tegur Rohana menggeleng kepala.

Isma hanya tersengih.

“Padan muka kau,” ejek Isma kemudian menyalami tangan emak Kartini.

“Surat apa tu?” tanya Kartini apabila dia terpandangkan sekeping sampul surat berwarna coklat di tangan Isma.

“Kau tak dapat ke?” tanya Isma.

“Dapat apa?” tanya Kartini-hairan.

“Surat panggilan ke universiti. Aku dapat UM, Ijazah undang-undang. Engkau pergilah tengok. Kita kan sama-sama mintak…,” beritahu Isma.

Kartini memandang emaknya. Wajahnya menunjukkan kerisauan. Dadanya berdebar kencang. Bimbang sekiranya permohonannya ditolak. Tetapi tidak mungkin kerana keputusan STPMnya nyata lebih bagus daripada Isma.

“Pergi tengok dulu…,” pujuk Rohana. Dia tahu perasaan Kartini yang memang benar-benar berharap untuk melanjutkan pelajaran di universiti dalam jurusan undang-undang. Dia juga sentiasa berdoa siang dan malam agar Kartini berjaya.

Dengan perasaan yang gelisah, Kartini bangun kemudian menuju ke almari di belakang rumah, di mana surat-surat diletakkan. Matanya terpandang beberapa keping surat yang berada di situ. Dengan tangan yang menggeletar, dia mengambil sekeping sampul surat coklat yang tertulis namanya. Perlahan-lahan Tini mengoyak hujung sampul surat tersebut kemudian dia mengeluarkan isi kandungannya.

Lama Kartini menatap isi kandungan surat itu. Anak matanya laju mengikuti baris-baris ayat yang tertulis. Selesai membaca surat tersebut, Kartini terduduk di sisi almari. Matanya berair. Tangannya menekup mulut.

“Makkk!!!!!”

Rohana yang masih berbual-bual dengan Isma di ruang tamu terkejut besar apabila mendengar jeritan Kartini. Seluar di tangan dilepaskan kemudian dia tergesa-gesa bangun menuju ke bahagian belakang rumah. Wajahnya kelihatan begitu bimbang. Kenapa dan apa yang telah berlaku kepada Kartini? Pelbagai persoalan menerjah fikirannya.

Isma juga turut bangun mengikuti emak Kartini. Dia juga amat terkejut apabila mendengar suara Kartini sebentar tadi. Apa yang telah berlaku?

“Kenapa ni Tini?” Tanya Rohana risau apabila dilihatnya Kartini sudah tersengguk-sengguk menangis di tepi almari. Dia memegang bahu Kartini dan menggoyangkannya beberapa kali.

Perlahan-lahan Kartini menghulurkan surat tersebut kepada Rohana. Mata Rohana pantas membaca isi kandungan surat itu kemudian seperti Kartini, air matanya mengalir membasahi pipi. Tubuh Kartini ditariknya rapat lalu kedua-dua beranak itu saling berpelukan.

“Tahniah Tini, mak tahu Tini pasti akan berjaya…,” bisik Rohana di telinga Kartini.

Isma yang terpinga-pinga terus mengambil surat itu dari tangan Rohana lalu membacanya. Selesai membaca, dia terduduk lalu ketawanya meledak.

“Issshhh…kau ni. Buat aku terkejut je,” Isma menepuk bahu Kartini kemudian dia turut memeluk Kartini.

“Tahniah Tini,” bisik Isma. Kartini mengangguk.

“Ohh..aku pun belum ucap tahniah pada kau lagi. Tahniah Isma. Aku gembira sebab kita sama-sama akan masuk universiti yang sama,”

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aini Marisha Marisha