YANTI
menyuapkan Lidya bubur nasi yang dibawa dari rumah dengan penuh sabar. Setiap
kali Lidya membuka mulutnya untuk menerima suapan itu, matanya merenung ke
dalam matanya.
“Yanti!
Esok atau bila-bila saja, jika kau datang lagi ke sini...” Percakapan Lidya
terhenti. Dia terbatuk-batuk berulang kali.
Yanti
mengurut-ngurut dada dan belakangnya.
“Air! Air!” Lidya tercungap-cungap.
Kelam kabut Yanti menuangkan air
masak dari jug ke dalam gelas dan terus menghulurkan kepada Lidya.
Lidya meneguk air perlahan-lahan.
Beberapa ketika kemudian dia kembali lega. “Terima kasih, Yanti. Sedap kanji
yang kau buat. Sesuai dengan tekakku.Selera orang sakit.” Dia bersuara amat perlahan.
Bibirnya mengukir senyuman.
“Sampai
mana dah karangan kau?” Lidya menyoal Yanti sambil mengenggam tangan Yanti
dengan mesra.
Yanti
menggaru dahi yang tidak gatal. Cuba mengimbas kembali cerita yang telah ditaip
tiga malam yang lalu. “Wahid bawa engkau ke sebuah rumah tumpangan. Agaknya dia
ada rancangan yang tak elok.” Itu rumusan yang dia buat. Beria-ia dia bercerita.
Lidya
menggosok-gosok tapak tangan Yanti pula, kemudian menepuk-nepuknya perlahan.
Seolah menyetujui tekaan temannya itu.
“Lidya!
Aku nak tanya sesuatu boleh?”Yanti mencapai buku nota dan pen dari dalam beg. Setiap
pertanyaan itu, akan memudahkan dia memahami cerita sebenarnya.
Lidya
mengangguk.
“Mengapa
kau tidak menyiasat dengan teliti latar belakang Wahid sebelum menerima
pinangannya?” Bagaikan seorang wartawan, Yanti memulakan soalan.
“Yanti!
Aku sudah ceritakan dulu. Aku terperangkap! Wahid mengikutku balik ke kampung,
melamarku tanpa aku tahu, orang tuaku menerimanya kerana beranggapan yang aku
sudah tahu Wahid datang untuk melamarku.” Lidya menjawab dengan kelembutannya
yang tidak pernah tamat.
“Habis
tu, pertunangan atau ikatan yang terjadi itu tanpa kerelaanmu bukan?” Yanti
menyoal Lidya.
Lidya
mengangguk-angguk perlahan.
“Habis
tu mengapa kau tidak putuskan sahaja sebelum, Wahid mengecewakanmu?” Lancar
sahaja pertanyaan yang keluar dari bibir Yanti.
“Aku
kasihankan dia dan ingin menjaga maruahnya!
Jika ditolak, tentu dia akan malu. Lagipun Wahid, seorang lelaki yang
baik, lemah lembut, penyayang. Dia
melayan aku dengan baik sekali. Segala kebaikannya, kelembutannya, kasih
sayangnya menyebabkan hatiku tidak ragu untuk mula mengasihinya!” Lidya
menggigit-gigit bibirnya. Mungkin dia terkenangkan Wahid. “Fitrah seorang
manusia itu adalah untuk dikasihi, menyayangi, Yanti.” Dia menyambung bicaranya. Dia mengerdipkan kelopak matanya berkali.
“Tapi
dia tidak jujur. Dia berbohong kepada kau dan kau terus mempercayainya tanpa
bertanya apa-apa.” Yanti bersuara kesal.
Kesal dengan sikap Lidya yang lurus itu.
“Yanti,
kita sudah berkawan lama. Sejak dari sekolah lagi. Dulu, sewaktu zaman sekolah,
takkan kau tak ingat, gelaran yang kau dan geng menggelarkan aku apa?” Lidya
mula membelit Yanti dengan kata-katanya.
“Hmm,
yalah! Kau ni keramat hidup!” Yanti ketawa. “Baru aku teringat. Kau ni tak tahu
nak menipu, tak percaya kena tipu, tak pandai nak syak wasangka yang
bukan-bukan.Kalau kami semua nak menyakat kau dan tipu kau hidup-hidup pun, kau
percaya!” Dia menutup mulut dengan tapak
tangan, untuk mengelakkan bunyi tawanya kedengaran kuat dan mengganggu pesakit
lain.
Lidya
turut ketawa. “ Yanti! Dulu kau tomboy.Tapi baik hati dengan aku! Kalau
ada sesiapa kacau aku, kaulah penyelamatnya.” Di dalam tawa yang semakin
perlahan, dia mengimbas kenangan lalu.
Yanti
tersenyum lebar. “Lidya, sehingga kini kau masih menyayangi Wahid?” Dia menyoal
dan cuba menguji hatinya. Suara tawa
mereka sudah tidak kedengaran lagi kerana masing-masing tenggelam di dalam
lautan fikiran sendiri buat seketika.
“Aku
tidak pernah membencinya,” jawab Lidya dengan perlahan.
“Tapi
dia mempermainkan perasaan kau Lidya. Lidya, maafkan aku kerana aku cuba
meneka. Sebenarnya, dalam penceritaan kau tempoh hari, ada juga perkara yang
kau sembunyikan daripada aku. Betul tak, Lidya?” Yanti menghulurkan piring yang
terisi dengan potongan buah betik kepada Lidya.
“Sembunyikan?
Ya. Aku akui tu Yanti. Memang aku ada menyembunyikan sesuatu. Nanti segalanya
kau akan tahu juga.” Lidya bersuara lembut.
“Bagaimana
dengan Idham?” Yanti menyoal lagi.
Lidya
tidak menjawab, namun dia mengangguk-angguk perlahan. Berkali-kali.
“Tentu kau sayang juga kepada Idham, kan? Yalah,
perhubungan semenjak dari sekolah lagi.” Yanti cuba meneka.
“Idham.
Dia amanah ALLAH kepadaku.” Lidya terhenti seketika. Wajahnya bertukar menjadi
sayu. “Kalau sayang pun, sayang yang tumbuh di dalam rasa takut. Kalau kasih,
kasih yang hidup dibaja perasaan tanggungjawab.” Dia menundukkan wajahnya.
Yanti
memikirkan maksud kata-kata Lidya tadi.
Sungguh pun dia tidak mengerti apa maksudnya, namun tidak tergamak untuk
bertanya lebih lanjut kerana melihat awan mendung mula menyaputi wajah Lidya.
“Perkahwinan
antaraku dan Idham, mungkin disebabkan jodoh kami yang kuat. Kau tahu dari umur
berapa aku mengenali Idham?” Lidya
menyoal Yanti pula.
“Alah!
Apa pulak tak tahunya Lidya. Waktu tingkatan empat… maksudnya waktu umur 16
tahun.” Yanti menjawab pantas. “Macam mana pulak dengan
Syamil?” Lagi sekali dia cuba menguji wanita itu.
Lidya
tersenyum seketika. Sesekali dia menjilat bibirnya yang kering. “Dialah lelaki
pertama yang aku cintai. Cintai sepenuh hati. Benar. Aku tidak dapat membohongi
hati kecilku bahawa Syamillah cinta pertamaku. Yang pertama dan yang terakhir.
Hanya dia.” Dia berkata dengan penuh
perasaan. Nada yang cukup syahdu.
“ Aku
tidak pernah berhenti menyayanginya, menyintainya, merinduinya sehingga saat
ini! Dia sentiasa berada di sini. Di sini.”
Lidya melekapkan tapak tangan kanannya ke dada kiri dengan penuh emosi.
Dia memejamkan matanya. Bahunya bergoyang perlahan. Dia menangis. Tidak tahu
apa yang meruntun kalbunya.
‘Betapa
bodohnya aku, tidak dapat menyelami kedukaan yang sarat dijiwanya,’ hati Yanti
seolah berbisik.
“Puan,
jangan beri tekanan kepada patient!” Seorang jururawat yang secara
kebetulan lalu di situ menghampiri dan berbisik menasihati.
Yanti
menyambut teguran ikhlas daripada jururawat itu dengan senyuman mengerti.
“Tapi
itu semua tak mungkin terjadi Yanti!Tak mungkin!
Syamil membenci aku! Terlalu benci! Aku telah melukakan hatinya!” Lidya
membuka tapak tangan yang menutup wajahnya. Bicaranya di sambung kembali.
“Aku terpaksa melakukan semua itu, untuk kebaikan
dirinya, keluarganya. Walaupun dia membenci aku, aku rela. Asalkan dia insaf
dan berubah demi kebahagiaan keluarganya!” Lidya terus teresak-esak lagi.
“Sedangkan, sebenarnya aku amat menyintainya, walaupun tidak dapat bersama
sehingga saat ini, cinta di hatiku tidak pernah berubah. Tidak pernah pudar.
Kau
tahu Yanti, tidak ada yang lebih sukar apabila kita terpaksa mencipta kebencian
kepada orang yang kita cinta. Biar dia membenci aku!” Percakapannya terhenti
seketika. Dia merenung ke wajah Yanti.
Sayu pandangan matanya.
“Aku
mahu dia menjadi manusia jujur. Jujur
pada dirinya sendiri. Jujur kepada orang
yang di bawah tanggungjawabnya!” Dia berkata dalam esakan yang belum reda.
“Lidya!
Bertenang. Hentikan tangisanmu dan kita sambung cerita tentang Wahid dulu,
okey!” Yanti cuba memujuk. Lidya terlalu mengikut perasaannya. Itulah yang
difikirkan oleh Yanti.
“Okey!
Okey! Maafkan aku Yanti! Sedikit emosi! Oh! Ya...tadi aku ingin
meminta kau bawakan aku pen dan kertas atau buku untuk aku tuliskan
cerita-cerita itu. Balik rumah, kau taipkan sahaja! Lebih mudah! Aku
takut tidak sempat bercerita habis, kau belum siap mengarang aku dah…” Lidya tidak sempat menamatkan ayatnya kerana
tangan Yanti cepat menekup bibirnya, menahan dari terus berkata perkara yang
tidak elok.
Bicara
Lidya seolah mengangkat ketulan batu daripada bahu Yanti. Senyumannya melebar
sambil memerhatikan wajah Lidya.
“Lagipun
kau ada keluarga Yanti.Komitmen kau pasti untuk keluarga.Sehari dua ni aku rasa sihat sikit. Jadi bolehlah
aku mengarang sikit,” ujar Lidya lagi.
“Rumah
tangga kau bagaimana? Anak-anak kau okey?” Dia menyoal Yanti pula. Yanti masih
mencatat kata-kata yang diucapkan oleh Lidya tadi. Harapannya tentang Syamil.
“Alhamdulillah, Lidya! Anak-anakku sedang nakal. Bersyukurlah, walaupun aku berkahwin lewat,
aku dapat juga menikmati kebahagiaan dalam rumah tanggaku. Bersyukur kerana
dijodohkan dengan Adib. Lelaki yang lembut, penyayang, tak tahu marah, tenang.”
Yanti bercerita kepada Lidya dengan suara yang girang. Cerita yang sepatutnya. Apa yang patut dirahsiakan, disembunyikan
juga.