Home Novel Cinta Jane & Cassandra (Sudah Terbit)
Jane & Cassandra (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/1/2025 09:17:59
2,584
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

KETIKA si adik muncul dengan minyak urut di tangan, Jannah hanya mampu mengeluh. 

"Aku dah kata dah budak ni ...."

"Please?" Leila tersengih.

Sudah menjadi lumrah si kakak, mulutnya sahaja yang membebel. Tetapi tangannya tetap mengambil minyak urut itu lalu mengisyaratkan si adik agar duduk di depannya. Memang tidak mungkin dia dapat menonton program di kaca televisyen dengan aman kalau Leila sudah muncul dengan minyak urutnya.

Tangannya dilumur dengan minyak yang berbau pudina itu. Kemudian botol kecil itu diletakkan di atas meja, betul-betul di sebelah pasu bunga berisi bunga kekwa plastik yang dibeli di kedai RM2. Kekwa ialah bunga kegemarannya, tetapi keadaan kesihatannya tidak membolehkan dia membuat kerja berkebun seperti orang lain. Jadi, Jannah berpuas hati dengan hanya bunga plastik sebagai hiasan.

"Sini," arah Jannah. Meminta Leila duduk di atas karpet membelakanginya. 

Sudah beberapa kali dia menegah adiknya itu daripada membuat kerja cucian itu. Bukannya apa. Kerja itu bukan kerja yang biasa mahupun kerja yang mudah. Kekotoran rumah seorang pengumpul tidak sama seperti rumah biasa. Apa-apa sahaja mungkin wujud di dalam sesebuah timbunan. Dia ingat lagi, Leila pernah pulang dengan muka yang bengkak-bengkil. Bila ditanya puncanya, si adik tersengih dan mengatakan dia disengat penyengat.

"Berapa sengatan kena sampai bengkak macam ni?"

Hampir histeria Jannah dibuatnya tatkala meneliti muka budak tidak makan saman itu.

"Dua, tiga ekor aje."

"Dua, tiga ekor?"

"Okey, fine. Lapan ekor. Tapi taklah sakit sangat. Cuma doktor kata orang alergi, sebab tu bengkak ni over sikit. Tapi dah ambil tetanus shot."

"Ya ALLAH, ya RABBI. Aku dah ingatkan dah. Jangan main jolok aje."

"Bukan jolok. Sarang dia kat belakang singki lama yang dia orang sandarkan kat dinding. Mana orang nak tahu? Elok aje orang gerakkan singki tu, bala tentera dia datang serang."

"Aduhai. Tapi baguslah juga kau kena ni."

"Apa yang bagus? Kena sengat kut?"

"Yalah. Dulu kita tak tahu kau alergi dengan sengatan. Sekarang dah tahu dah. Boleh masukkan dalam senarai 'Benda-benda yang buat Leila alergi'. Cuma kena bersyukur ajelah kau tak kena anaphylactic shock." 

"Aduh, orang kena sengat pun kau jumpa benda positif nak cakap? Mengarut betullah kau ni, ngah."

Ya. Jannah insan yang positif, cuma dia lebih berhati-hati. Leila pula? Adiknya itu lebih kompleks dan bersifat rambang. Ada kalanya gadis itu buat dahulu fikir kemudian, tetapi kemudian menyesali perbuatannya. Ada masanya pula, Leila akan terlalu banyak berfikir dan akhirnya memilih jalan yang paling senang. Sejak dahulu lagi, si adik menjadi sumber kebimbangan umi dan abi. Malah abi lebih daripada umi. Sebab itu berkali-kali abi ingatkan Jannah supaya jaga Leila dengan baik. 

Mujur kali ini perkara begitu tidak berlaku lagi. Cuma Jannah yang perlu menghabiskan masa mengurut badan si adik yang lenguh. 

"Kau kena sedar diri sikit, dik. Kau bukan budak muda lagi. Bukannya awal 20-an lagi," rungut Jannah sambil dia menyapu belakang Leila dengan minyak tadi. Bau pudina memenuhi ruang tamu. 

"Angah cakap macamlah kita ni dah 60 tahun."

"Aku cakap ni supaya bila kau dah 60 tahun, badan kau masih elok. Ini kalau kau guna seluruh tenaga fizikal kau bagai nak rak, esok lusa bila umur kau dah masuk 60, end up kau terbongkok-bongkok. Kau nak?" 

"Macam Ibu Tua tak guna tu? Tak naklah."

"Tahu pun tak nak."

Perbualan terhenti seketika. Jannah tahu mereka berdua memikirkan perkara dan orang yang sama. Insan yang tidak patut disebut namanya. Sudah menjadi satu tabiat buat mereka berdua jika salah seorang menyebut tentang insan jahanam itu, mereka akan diam seketika dan lepaskan semua emosi yang terbuku dalam hati sebelum kembali bersuara.

"Kenapa jari angah macam tukul? Sakitlah!"

"Kau yang nak aku urut. Sabar ajelah!"

"Cuba lemah lembut sikit macam wanita syurga."

"Kalau tekan kuat-kuat, masuk neraka ke apa?"

"Memanglah tak. Tapi, konsepnya sekarang jari tukul angah ni buat tulang orang rasa macam dalam neraka."

"Kau yang nak aku urut, kau diam. Kalau tak, urut sendiri."

"Fine."

Sunyi semula. Dua beradik itu kembali fokus menonton program nyanyian di televisyen. Tema program ialah lagu-lagu era 2000-an, tetapi tiada satu lagu pun dua beradik itu tahu. 

"Tadi ada orang call aku," beritahu Jannah selepas beberapa minit mereka beri tumpuan pada kaca televisyen.

"Siapa?"

"Entah. Aku jawab, tapi tak ada sesiapa yang bercakap."

Leila berdecit. "Salah nomborlah tu."

"Mungkin. Tapi dalam minggu ni dah tiga kali dah. Tiga-tiga pun nombor sama." 

"Scammer tu, angah. Minggu lepas orang dapat call juga. Katanya daripada LHDN. Dia kata orang ada hutang RM45,000. Kita gelakkan ajelah. Hutang RM45,000 apa kalau gaji pun secoet." Dia mencebik. 

"Lain kali angah install Truecaller. Tak payah dah jawab semua nombor tu," ujar Leila tegas.

"Yalah."

Keadaan menjadi sunyi. Kali ini, program nyanyian itu memaparkan artis senior yang berpakaian seperti vokalis Limp Bizkit, terkinja-kinja di atas pentas menyanyikan lagu "Rollin". Leila tahu lagu itu. Itu pun disebabkan oleh abangnya, Marwan pernah seludup kaset kumpulan itu masuk ke rumah. Marwan dihukum dengan teruk disebabkan perbuatannya, tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat mendengar muzik album itu beberapa kali sebelum Abu Umar membakarnya. 

"Bila orang fikir balik, memang entah apa-apa lagu ni sebenarnya. Tak worth it."

"Itulah," balas Jannah perlahan. Dia yakin mereka memikirkan perkara yang sama.

"Angah."

"Hmm?"

"Sebenarnya, orang jumpa Mawi dua tiga hari lepas. Selepas orang beritahu angah yang Mawi telefon tu."

Perlahan sekali suara Leila tatkala menyampaikan berita itu.

Jari-jemari Jannah terhenti mengurut buat seketika, sebelum dia menyambung semula. Dia bersyukur Leila akhirnya memilih untuk membuka cerita. 

"Mawi ni budak yang dulu tu, kan? Yang selalu datang gerai aku tu?" Leila mengangguk.

"Yang kahwin dengan mat salih tu?"

"Ya."

"Dia nak apa?"

"Dia ajak orang kahwin."

"Hah? Jadi bini kedua?" Jari-jemari Jannah berhenti bergerak sekali lagi.

Leila berdecit. "Hisy, taklah. Dia dah bercerai."

"Oh ...." Tangan Jannah kembali mengurut. "Kenapa dia bercerai?"

"Entah. Tak tahu."

"Kau nak ke kahwin dengan dia?"

Leila menggeleng laju.

"Kalau kau nak kahwin dengan dia pun, apa salahnya. Dulu kau minat juga dekat dia, kan?"

Ia sekadar tekaan berdasarkan tingkah laku Leila sejak dia menyebut nama Asmawi beberapa hari yang lalu. Jannah ada terfikir juga yang adiknya itu mungkin menyimpan perasaan terhadap lelaki itu. 

"Tak naklah. Buat apa kahwin dengan orang yang cuma nampak kita bila kita dah tak ada dalam hidup dia?" 

"Hmm ... suka hati kaulah, dik. Kalau kau kahwin dengan dia, aku okey. Kau tak kahwin dengan dia pun, aku okey. Lagipun, bertimbun aje lelaki kat Malaysia ni kalau kau tak kahwin dengan dia. Cuma kalau kau kahwin nanti, aku akan minta hantaran lebih, memandangkan kau langkah bendul." 

Leila mencebik. "Apa kata angah aje yang kahwin?" 

"Kau dah jadi bodoh ke apa?" 

"Tak adalah. Daripada angah suruh orang kahwin, apa kata angah yang cari jodoh? Mungkin ada aje ...."

"Jangan mengarutlah. Kesian lelaki yang jadi suami aku nanti."

"Angah ni ...."

"Syyy!"

Itu tandanya Jannah tidak mahu topik itu dibincangkan lagi. Dia tidak pernah suka bercakap tentang sesuatu yang baginya tidak akan berlaku. Sekali lagi sunyi melingkari mereka. Kesunyian itu merimaskan Leila. Dia tidak suka perbualan mereka berakhir dengan topik yang membuatkan kakaknya berasa jengkel.

"Tapi, kenapa kalau adik yang kahwin dulu sebelum kakak disebut sebagai langkah bendul? Tak hormat langsung. Oh, sebab lambat kahwin aje, level bendullah?" 

"Kau pergilah persoalkan benda ni dengan orang yang kerja Dewan Bahasa, dik. Aku tak tahu apa origin istilah ni." 

"Kalau angah boleh tukar perkataan bendul tu, angah nak tukar jadi apa?"

"Kalau boleh tukar, aku nak tukar jadi langkah bintang. Contoh ayat, 'Adik dia kahwin dulu? Hmm, adik dia langkah bintang nampaknya.' Kau nampak hebat sebab boleh langkah bintang. Aku pun rasa hebat sebab akulah bintang yang dilangkah tu."

"Ceh." Leila mencebik. "Anyway, jangan lupa install Truecaller tau, ngah."

"Ya. Aduh, kau ni. Aku ingatkan topik tu dah berlalu dah."

"Memang wajib kena ingatkan. Kau tu selalu lupa, ngah."

"Mana ada. Bintang tak pernah lupa."

"Bintang ke bendul? Argh! Sakit!"

Leila segera menepis tangan si kakak yang sengaja menekan tulang pinggulnya dengan lebih kuat. 

Topik tentang Asmawi berlalu begitu sahaja.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.