Kata orang, jangan bertunang terlalu lama kerana bertunang itu banyak dugaannya. Darah manis, macam- macam boleh berlaku. Tapi apakan daya, jadual kerja dan tempoh membuat persiapan membuatkan kami mengambil masa untuk melangsungkan perkahwinan. Aku bukannya nak berkahwin berkali- kali, cuma sekali saja, kan? Jadi aku mesti buat persiapan supaya segalanya berjalan lancar.
Tempoh pertunangan yang agak panjang itu juga membuatkan hubungan Dyana dan Furqan bertambah rapat. Tambahan pula mereka sering bersama untuk perlawanan bowling. Aku enggan berasa cemburu dengan tunang dan adikku sendiri, biarpun hatiku tidak tenang setiap kali memikirkan keakraban mereka. Aku sering ingatkan diri untuk tidak membuatkan api cemburu merosakkan hubungan kami bertiga. Lagipun dia bakal suami dan Dyana adikku. Tak mungkin mereka mengkhianati aku.
Tapi setiap kali bertemu Furqan, nama Dyana meniti di bibirnya. Topiknya sentiasa berkaitan dengan bowling. Naik muak aku dibuatnya. Tapi aku tak patut salahkan dia. Jangan kerana aku tidak berminat dengan permainan itu, aku menghalang dia dari menunjukkan minatnya. Hari ini juga sama. Furqan masih berbual tentang sukan kegemarannya itu.
“Game hari tu antara perlawanan yang Kaki Bowling dah menang. Untuk pemain amatur macam kami, kami boleh dikira hebat. Abang Sham, ketua pasukan cadangkan kami lawan pasukan lain pula lepas ni. Kalau menang lagi boleh bertanding dalam local tournament.”
Aku mendengar cerita Furqan, cuba menunjukkan yang aku benar- benar berminat. Jika dia berkongsi minatnya denganku, aku mesti memberi sokongan dengan mendengar dan cuba memberi pendapat. Masalahnya aku tidak berapa arif tentang bowling.
Aku tidak boleh bercakap macam orang yang arif di hadapan orang yang tahu apa yang aku cuba cakapkan. Aku sendiri tidak pandai bermain bowling. Aku pernah mengikut kawan- kawan semasa belajar dulu berseronok dengan bermain bowling tetapi aku tidak pernah sertai mereka. Aku setakat menjadi tukang sorak di tepi. Yang aku tahu, kalau ada pin yang jatuh, pemain itu memang hebat. Apatah lagi kalau semua pin dijatuhkan, memang pemain itu sangat hebat. Jadi entah apa yang Furqan cuba terangkan dari tadi pun aku tidak faham.
“Macam mana dengan Dyana?”soalku, cuba menyumbang sesuatu dalam perbualan kami setelah aku mati akal untuk memperkatakan tentang bowling.
“Macam mana apa?”
“Cara dia main. Okey tak?”
Furqan tersenyum. “She’s the female ace!”
Dia macam bangga la pula! Hai hati, janganlah buruk sangka! Mungkin itu cuma rasa bangga seorang abang untuk adiknya.
Hmmp, aku hendak menipu siapa? Memang aku rasa cemburu sekarang.
“Rapat awak dengan Dyana.” Aku merenung wajahnya.
Furqan merenung aku kembali. “Memanglah, kami satu kumpulan bowling.”
“Dia adik saya.”
Tiga patah perkataan yang membawa maksud, ‘Awak jangan nak main- main! Dyana adik saya, awak tunang saya. Awak dah terlalu rapat dengan dia! Kena awak nanti!’
Seperti biasa, mentaliti Furqan secara tipikalnya tidak pernah faham sebarang maksud tersirat. Dia sekali merenungku setelah mendengar kata- kataku itu.
“Saya tahu.”
Macam mana hendak aku jelaskan? Perlukah aku terangkan secara mendalam?
“Saya tak suka awak rapat sangat dengan dia,” jelasku tanpa berselindung.
“Sebab?”
“Awak tunang saya!”
Furqan menghela nafas. “Kami memang selalu bersama sebab tu awak rasa kami dah terlalu rapat. Mungkin awak patut lebih percayakan kami berdua.”
“Saya percayakan awak,” kataku.
“Jadi percayalah juga pada dia. Saya dan dia banyak habiskan masa dengan Kaki Bowling. Kalau awak main bowling juga, awak boleh join kumpulan kami,” katanya lagi.
Aku tidak rasa dia bersungguh- sungguh mengajakku. Aku membuka mulut untuk menolak tetapi berfikir semula dengan lebih mendalam. Mereka selalu bersama, sebab itulah mereka rapat. Bila mereka menjadi rapat, aku pula cemburu.
Nanti, itu idea yang baik! Aku memang patut bermain bowling. Kalau aku boleh bermain bowling bersama mereka, mesti aku juga boleh luangkan lebih banyak masa bersama Furqan. Aku juga tidak perlu cemburu atau fikir yang bukan- bukan lagi mengenai mereka berdua. Masalah selesai!
“Bagus juga idea tu! Nanti awak cubalah ajar saya, mana tahu saya boleh main,” usulku dengan tersenyum lebar. Furqan nampak terpinga- pinga dengan keputusanku tetapi dia mengangguk juga.
Apa yang susah kalau setakat hayun bola dan jatuhkan pin. Senanglah! Budak- budak pun boleh buat. Apatah lagi aku. Lagipun kalau ada cikgu mengajar, mesti lebih cepat untuk aku menjadi pandai, kan?
“RENDAHKAN lagi tangan awak!”
Okey, rendahkan sedikit tangan dan hayun bola.
Opps, ke longkang lagi!
Okey, aku tarik balik kata- kataku. Susah sebenarnya hendak hayun bola berat ini dan jatuhkan pin. Aku patut minta maaf kepada peminat bowling kerana memandang rendah sukan ini. Aku masih tak faham teknik atau cara yang sesuai walaupun berkali- kali mencuba.
Aku cuma tersenyum kambing kepada Furqan yang nampak naik angin apabila aku masih tidak dapat mencapai mutu permainan yang dikehendakinya walaupun dengan tunjuk ajarnya sejak mula bermain. Aku rasa Furqan meletakkan harapan yang terlalu tinggi padaku. Mungkin dia patut sedar, kebolehan aku mungkin tidak mencapai taraf yang diinginnya.
Dyana dan dua orang ahli kumpulan Kaki Bowling lain yang datang bersama cuma memerhatikan aku bermain. Sementara menunggu, mereka berlawan sesama mereka. Kalau diikutkan, aku rasa malu dengan tahap kebolehanku tetapi aku menebalkan muka. Biarpun kebolehanku belum mencapai taraf mereka, jika aku terus mencuba pasti akan berjaya.
“Cuba sekali lagi,” usul Furqan.
Biarpun mula naik angin, dia masih mahu mengajar aku. Jadi aku patut cuba sebaik mungkin.
Opps, lagi sekali ke longkang!
Dyana ketawa kecil. “Kakak, janganlah gopoh sangat. Hayun bola dengan keadaan tenang.”
Kau ingat aku tak cuba dari tadi? Aku mendengus geram. Pun begitu aku mencapai bola, ingin mencuba sekali lagi.
Okey, bertenang! Apa yang susah sangat? Aku menghayun bola setenang mungkin. Wah, kali ini tidak ke longkang! Pencapaian baik! Bola itu bergolek dengan perlahan dan akhirnya menjatuhkan satu pin.
Furqan merenung ke pin- pin yang masih tinggal tanpa sebarang komen ataupun riak di wajahnya. Aku rasa dia patut memuji aku. Sejak mula bermain, akhirnya aku berjaya menjatuhkan satu pin. Itu dikira hebat! Ini sesuatu yang patut diraikan!
“Cuba sekali lagi. Kali ini jatuhkan lebih banyak pin. Kuatkan sedikit hayunan awak tu,” katanya.
Aku mencebik tetapi menurut juga.
Opps, masuk longkang lagi!
Furqan terkebil- kebil sebelum menepuk dahi. Dia bergumam entah apa. Hesy, apa yang susah sangat main bowling? Kenapa bola aku asyik masuk longkang ni? Kawan- kawan Furqan ketawa melihat corak permainanku. Malunya!
“Awak, tak apalah. Awak join kawan- kawan awak dan Dyana main di sebelah. Biar saya cuba sendiri. Kalau terus belajar, lama- lama pandai juga, kan?” pujukku. Kalau Furqan terus berada di sisiku dan mengajar, dia juga akan dapat malu nanti.
Furqan merenungku. “Betul ni?”
“Ya. Lagipun awak cuma main di lane sebelah. Bukan jauh pun. Apa- apa hal awak boleh tegur cara saya bermain dari situ,” kataku lagi.
Selepas seketika, Furqan bersetuju. Aku terus mencuba seorang diri. Dari longkang, aku berjaya menjatuhkan dua pin, kemudian satu pin dan akhirnya bola masuk kembali ke longkang.
Hmmp!
Akhirnya aku duduk di bangku, melihat mereka bermain. Sepanjang malam, aku bagaikan orang asing. Hendak sertai mereka, aku langsung tidak pandai. Malah aku pasti akan diketawakan pula nanti. Furqan dan Dyana juga pasti akan rasa malu. Jadi duduk saja termenung di situ, sekali- sekala melihat mereka bermain dengan gembira.
Suara sorakan di sebelah menyebabkan aku berpaling. Nampaknya sampai giliran Dyana untuk membuat hayunan. Dia bermain dengan penuh yakin dan akhirnya mendapat strike. Mudahnya! Kawan- kawannya dan Furqan bertepuk tangan dengan lebih kuat.
Terselit perasaan cemburu. Aku segera menggeleng kepala dan menarik nafas panjang. Kenapa mesti cemburu pada Dyana? Aku yang tidak cukup hebat. Memang selalunya Dyana dapat lakukan hampir segala hal lebih baik dari aku.
Kemudian Furqan bangun menghampiri Dyana yang kembali ke tempat duduk mereka dan memberi komen mengenai cara Dyana membuat hayunan. Bibir Furqan mengukir senyuman manis, sama seperti Dyana. Kemesraan mereka menyebabkan rasa cemburuku kembali berganda- ganda.
“Hebatlah Dyana!” puji salah seorang teman mereka.
“Tak adalah. Kalau saya hebat, dah lama saya wakil negara dalam acara bowling ni. Abang Furqan lebih pandai dari saya,” balas Dyana. Bibirnya menguntum senyuman lebar.
“Kamu berdua memang sama- sama hebat. Memang sesuai kamu berdua jadi partner dalam game akan datang,” kata seorang yang lain pula.
“Beregu yang sama- sama handal dan cantik!” tambah seorang yang lain.
“Bagai pinang dibelah dua!”
Mereka yang lain tergelak- gelak. Amboi, itu sudah lebih! Perasaan cemburuku sudah tidak dapat dikawal lagi. Mereka tahu aku tunangan Furqan tetapi kenapa mereka boleh keluarkan kata- kata begitu? Bergurau pun ada hadnya. Aku bingkas bangun, mencapai beg, bergegas keluar. Aku harus pergi sebelum aku lakukan sesuatu yang bodoh.
“Rania, awak nak ke mana?”
Entah bila Furqan mengejar dan mengekoriku di belakang. Aku ingat dia tidak perasan dengan kewujudan aku lagi.
“Saya nak balik!” desisku membalas.
“Game tak habis lagilah,” balas Furqan.
“Awak duduklah di sini, habiskan game awak tu. Saya tak nak tunggu lagi. Lagipun saya ada atau tak, sama saja.”
“Awak ni kenapa? Awak yang beria- ia nak datang. Sekarang awak naik angin tak tentu pasal pula,” rungut Furqan.
Makin geram aku mendengar kata- katanya. Dia langsung tidak tahu kenapa aku marahkah? Aku membisu, enggan menjawab.
“Rania!” panggil Furqan apabila aku terus- terusan tidak memperdulikan dia. “Jangan buat kerja bodoh boleh tak? Awak nak malukan saya depan kawan- kawan saya?”
“Excuse me?” Menyingga aku berpaling memandang dia. “Kenapa pula saya memalukan awak? Awak sepanjang malam tak pedulikan saya, awak tak memalukan saya?”
“Awak juga yang suruh saya pergi main. Awak cakap awak nak main sendiri,” balas Furqan, membela diri.
“Jadi sekarang salah sayalah?” soalku.
“Saya tak cakap pun.”
“Tapi awak salahkan saya!” bantahku. Aku sedar nadaku itu keanak- anakkan tetapi aku terlalu marah untuk peduli sekarang.
Furqan menghela nafas. “Saya malas nak bertengkar di sini. Malu orang tengok. Sekarang awak nak masuk balik atau tidak?”
“Saya nak balik!”
“Awak jangan macam ni boleh tak?” soal Furqan.
“Saya cuma nak balik, tak bolehkah?” soalku kembali, tidak ingin mengalah. “Kalau awak nak tunggu lagi, tunggulah. Saya tetap nak balik.”
“Saya…” Furqan mengeluh, membuatkan aku terasa semakin tersinggung. “Saya pergi beritahu semua orang yang saya nak balik.”
“Tak payah! Saya boleh naik teksi, Uber atau Grab car. Kalau tak ada apa- apa saya boleh jalan kaki!”
Terus aku berlalu. Aku tidak pedulikan Furqan yang memanggil namaku. Dalam fikiranku cuma satu, aku hendak segera meninggalkan tempat itu. Kalau Furqan beritahu mereka yang dia perlu pulang kerana aku ingin pulang, pasti mereka akan mula bercakap- cakap tentang hal ini. Jadi lebih baik aku balik sendiri.
Furqan tidak lagi mengejar. Dia mungkin kembali ke dalam dan menerangkan kepada mereka yang aku mengambil keputusan untuk pulang. Entah apa alasan yang dia berikan kepada mereka.