Home Novel Cinta Jadikan Dia Yang Terakhir
Jadikan Dia Yang Terakhir
Tinta Ana
25/8/2018 19:45:01
34,789
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4-1

Tinggal tiga bulan sebelum majlis pernikahan kami. Segala persiapan telah dilakukan. Baju juga telah dipilih. Yang tinggal hanyalah tibanya hari bersejarah itu. Tak habis- habis aku mengira hari.

Hai, terujanya aku!

Hari ini Furqan menemani aku makan tengah hari selepas dia asyik sibuk sejak kebelakangan ini. Tidak pernah dia tidak sibuk. Ada saja yang perlu dia lakukan. Aku harap dia tidak sibuk pada hari perkahwinan kami juga. Kalau tidak siap dia!

Selepas beberapa minggu tidak berjumpa, akhirnya aku dan dia sama- sama bersetuju untuk meluangkan masa sepenuhnya untuk hari ini. Furqan sanggup ambil cuti untuk bersama dengan aku. Senyumku lebar sejak tadi. Siapa yang tidak gembira dapat berjumpa kekasih hati!

“Awak nak ke mana lepas ni?” tanyaku selepas kami makan tengah hari.

“Entahlah. Saya ingat nak temankan awak hari ni.”

Dia tak tahu jawapannya itu membuatkan aku rasa berbunga- bunga. Aku tidak minta banyak benda, cuma kadang- kala, ingat dan luangkan masa dengan aku. Aku pun sedar dia sibuk dengan urusannya. Aku mencuba sebaik mungkin untuk menjadi lebih memahami.

“Jadi awak nak buat apa nanti?” tanya Furqan pula.

“Merayau saja, nak?” tanyaku.

“Takkan satu hari cuma nak merayau?” tanya Furqan.

Laju aku mengangguk dengan bibir menguntum senyum. Akhirnya merayau juga jadinya. Sudah lama aku tidak berjalan berdua begini. Tetapi Furqan sekali- sekala merenung telefonnya yang berbunyi. Siapa pula yang tak boleh biarkan kami berdua ni.

“Kawan tempat kerja,” balas Furqan apabila aku menjeling setelah sekali lagi telefonnya berbunyi.

“'Ada apa dia asyik mesej awak? Hari ni kan awak cuti?” tanyaku.

“Saya cuti tapi kerja di pejabat tak cuti. Ada hal yang tak selesai.”

Aku terdiam walaupun jelas aku langsung tidak berpuas- hati. Tak kan satu hari pun tak boleh nak biarkan dia bersama aku tanpa diganggu? Matikah syarikat itu tanpa dia?

Ah, perlu lebih memahami! Aku dah tekad nak buat begitu, kan? Tak kan aku hendak berguling- guling di atas tanah atau membentak bagai budak- budak.

Aku menghela nafas yang sangat panjang.

“Marahkah? Saya betul- betul minta maaf,” kata Furqan perlahan. Sekurang- kurangnya dia telah masukkan telefon ke dalam poket.

Ingat, jadi lebih memahami! Lebih matang!

“Tak apa, saya faham,” jawabku setenang mungkin. Nadaku umpama seseorang yang matang dan bergaya bagiku.

Furqan mengukir senyum. “Jom! Kali ni, saya tak akan layan telefon lagi. Sepenuh masa saya hanya untuk awak!”

Aku mengangguk, tersenyum lebar. Aku tahu, susah untuk dia buat begitu sebenarnya. Tetapi jika dia berusaha, aku sudah berpuas hati. Cinta perlukan tolak ansur, kan? Itulah yang akan aku cuba lakukan.

 

 

Menjadi seorang isteri. Tinggal di rumah. Menguruskan rumah. Melahirkan anak. Melayan suami. Jadi isteri dan ibu sebaik mungkin. Itukah kehidupan aku nanti? Berdasarkan keadaan sekarang, Furqan nampaknya sentiasa sibuk. Aku tidak yakin dia akan selalu berada di sisi aku nanti. Kemungkinan besar aku akan lebih banyak ditinggalkan seorang diri apabila dia terlalu sibuk. Tapi sekurang- kurangnya, aku akan lebih selalu berada di sisinya kerana kami akan tinggal bersama nanti. Bukankah itu sesuatu yang lebih baik berbanding hubungan kami sekarang? Sekarang pun dia sibuk tapi kami tidak tinggal bersama. Lagipun kalau sunyi sangat selepas kahwin nanti, lahirkan anak seramai mungkin. Tak susah!

Terasa lebih baik berbanding tadi, aku berjalan- jalan menyusuri jalan kecil untuk kembali ke pejabat. Seperti biasa, aku memang selalu makan tengah hari seorang diri dan merayau- rayau seketika sebelum kembali ke tempat kerja. Aku bukannya tidak baik dengan kawan sekerja tapi aku lebih senang sendiri.

Furqan menelefon semasa aku makan tengah hari tadi, memaklumkan yang mereka akan keTerengganu hari ini. Dia akan memandu ditemani oleh Dyana dan seorang lagi teman kelab bowling mereka. Dyana juga telah memberitahu hal yang sama semalam. Mereka pasti dalam perjalanan sekarang.

Tinggallah aku di sini. Ai, apa boleh buat. Kenapalah aku langsung tidak ada skil untuk bermain bowling macam orang lain? Aku teringin untuk ikut sebenarnya. Tetapi memandangkan kawan- kawan kelab bowlingnya itu sudah menyaksikan skil aku bermain tempoh hari, aku yakin ada yang mengutuk- ngutuk aku. Malulah!

Mataku mengerling ke tepi, memerhatikan kereta- kereta yang diletakkan di tempat meletak kenderaan di hadapan sebuah kedai peralatan sukan. Beberapa buah langkah, aku berhenti, kemudian berpaling. Aku macam pernah tengok kereta merah itu!

Aku merenung, cuba mengingat di mana aku pernah tengok dan kenapa aku ingat dengan kereta itu. Lama aku berfikir tetapi langsung tidak dapat ingat apa- apa. Habis kenapa tiba- tiba ia menarik perhatian aku? Pemandunya juga tidak kelihatan,jadi aku tidak tahu siapa pemiliknya. Terasa tidak puas hati kerana tidak dapat ingat apa- apa tentangnya kerana aku dapat rasakan ianya sangat penting.

Aku mendekati kereta itu, mengelilingi sekali. Ah, masih tak ingat! Kalau aku jenguk ke dalam macam mana? Aku berpaling melihat keliling. Tidak ada sesiapa yang memerhatikan sikap pelik aku setakat ini. Hmm…

Aku mengigit bibir, cuba melihat ke dalam. Ada apa- apa yang dapat mengingatkan aku pada kereta inikah? Boleh tahan gelap juga cermin dia.

“Tak ada apa- apa yang menarik untuk awak ambil dari kereta saya.”

Hampir melompat aku kerana terkejut. Terus tanganku mengurut dada, sambil badanku bersandar pada kereta itu. Serentak dengan itu, penggera kereta itu tiba- tiba berbunyi dengan kuat. Orang ramai yang berada berhampiran melihat- lihat,membuatkan wajahku merah padam kerana malu. Dengan selamba, lelaki yang menegur aku tadi mengeluarkan kunci dan menekan, membuatkan keadaan kembali menjadi sunyi.

“Ah,awak rupanya!” kata lelaki itu, tersenyum lebar.

Berkerut dahiku merenung dia. Macam pernah lihat, tapi di mana?

“Saya Hazriq, ingat lagi tak?” kata lelaki itu lagi.

Terpinga- pinga aku merenung dia.

“Ini kereta awak?” tanyaku.

“Ya,kereta saya. Kereta awak macam mana? Dah siap baiki?” tanya Hazriq.

Terpinga- pinga aku dengan soalannya. Macam mana dia tahu kereta aku pernah rosak? Takkan dia ikut aku selama ni? Stalker?

“Awak dah tak ingat sayakah? Sampainya hati awak, cepat betul lupakan saya,” kata Hazriq dengan nada bergurau. “Saya rasa macam kita dah jadi rapat sebab lama juga saya tunggu luar kereta awak hari tu.”

Tunggu luar kereta aku?

Hmm…

Eh, patutlah macam pernah tengok!

Dia!

Bulat mataku merenung Hazriq. “Awak!”

“Ya,saya. Dah ingat?”

“Ya Allah, awak! Minta maaf awak, saya memang tak ingat! Malam itu awak dah tolong saya tapi saya tak dapat cam awak tadi. Saya minta maaf sangat- sangat!”

Hazriq tergelak kecil. “Bukannya dosa besar pun nak minta maaf sampai macam tu. Hal kecillah!”

“Yalah tapi…” Aku mengerling keretanya sekilas dengan rasa bersalah. Patutlah nampak macam pernah tengok kereta ni.

“Awak dari mana?” tanya Hazriq.

“Lunch! Sekarang saya nak balik ke ofis,” balasku. “Saya nak ucapkan banyak- banyak terima kasih pada awak. Hari tu tak sempat cakap apa, awak dah hilang.”

“Sama- sama. Tapi terima kasih sajakah? Mungkin awak patut belanja saya makan,” kataHazriq.

“Boleh,apa salahnya.”

“Eh,tak apa. Saya cuma bergurau.”

“Tapi saya serius. Saya memang betul- betul rasa berterima kasih. Kalau awak tak tolong saya, entah apa jadi pada saya,” kataku bersungguh- sungguh.

“Alah, benda kecil macam tu tak payahlah nak besar- besarkan.”

“Tak ada kecilnya menolong seseorang dengan ikhlas.”

Hazriq tersenyum herot. “Mana awak tahu saya ikhlas. Entah- entah saya ada niat tersirat tolong awak.”

“Ada kah?” soalku, merenungnya.

“Tak adalah! Saya pun ada ibu dan saya nak orang tolong dia dengan niat yang sama bila dia dalam kesusahan. Lagipun saya tak fikir banyak masa tu.”

“Kalau macam tu, ambil nombor telefon saya ni, tolong telefon saya bila ada masa nanti. Kita cuba aturkan masa untuk jumpa. Saya cuma boleh belanja makan tengahari, makan malam susah sikit,” kataku, mengeluarkan sekeping kertas untuk menulis nombor telefon, kemudian menghulurkan kepada Hazriq.

“Tak payahlah, hal kecillah.” Hazriq cuba membantah.

“Tak ada kecilnya, saya nak belanja awak juga!”

Hazriq merenungku, kemudian tersenyum herot. “Beria- ia awak nak makan dengan saya.”

Lain macam saja nada dia. Eh, nanti! Jangan- jangan dia ingat aku sukakan dia pula.Aku akui dia memang sangat tampan tapi aku sudah ada Furqan di hatiku. Aku mesti betulkan pandangan dia!

“Saya tak sukakan awak!” tegasku.

“Huh?”Hazriq terpinga- pinga.

“Saya dah ada tunang, jadi saya tak sukakan awak.” Aku mengangkat jari, menunjukkan cincin.

Hazriq merenung cincin di jariku, kemudian tergelak kecil.

“Saya pun dah berpunya.” Dia mengangkat jarinya, menunjuk cincin yang disarung di jari manis. “Saya pun tak sukakan awak.”

Terasa wajahku panas. Apa yang aku fikir tadi?

“Baguslah macam tu,” kataku, cuba menunjukkan yang aku memang tidak terkesan dengan apa yang berlaku.

“Ya,baguslah,” ulang Hazriq.

“Jadi awak bolehlah pergi makan dengan saya,” ujarku sebelum sempat menahan diri.

Bodohnya aku! Hai, baguslah Rania! Mesti dia ingat kau gatal.

“Tunang awak tak marahkah makan dengan lelaki lain?” tanya Hazriq, mengerut dahi. Tengok, mesti dia fikir betapa gatalnya aku!

“Saya akan tanya dia dulu. Kalau boleh, saya akan ajak dia sekali. Kita bukan buat apa- apa pun, cuma pergi makan. Dia pun mesti nak berterima kasih sebab awak dah tolong saya hari tu.”

Hah, bangganya aku sebab dapat cakap semua tu dengan tenang! Terasa diri sendiri sangat hebat!

“Tunang awak marahkah kalau saya belanja awak makan sebagai tanda terima kasih?” tanyaku, masih mengekalkan nada yang sama.

Hazriq tersenyum kecil. “Teman wanita saya tak akan marah kalau saya beritahu dia. Ini bukan kali pertama saya cuma makan berdua dengan perempuan lain selain dia.Saya selalu buat begitu semasa kerja. Setiap kali tu, saya akan beritahu dia.”

Aku tidak dapat menahan diri dari merenung dia dengan cuak. Macam buaya darat pula aku tengok dia. Wajah memang tampan, perangai sama jugakah?

Hesy, jangan cepat buruk sangka! Kalau memang dia jahat, sanggupkah dia tolong malam tu tanpa minta apa- apa balasan. Jangan cepat menilai!

“Kalau macam tu, nanti awak hantar sms atau WhatsApp kepada saya. Senang kita aturkan nanti,” kataku, seraya melihat jam tangan. “Saya kena balik ke pejabat sekarang, jumpa lagi. Assalamualaikum!”

Sebelum sempat aku berlalu, Hazriq melaung memanggilku. “Cik nanti la dulu!”

“Ada apa?”

“Cik asyik nak belanja saya makan, nama cik pun saya tak tahu.” Hazriq tergelak-gelak kecil.

Aku tak pernah cakapkah? Hazriq tidak habis- habis tersenyum. Mesti dia kelakar tengok aku.

“Rania Aisyah. Panggil saja Rania,” jawabku, dengan nada seselamba mungkin.

“Baiklah, jumpa lagi nanti. Assalamualaikum,” kata Hazriq.

“Waalaikumsalam.”

Menonong aku berjalan balik ke pejabat. Laju pula tu. Malunya usah dicakap. Ah, lupa minta nombor telefon dia! Tunggu dia telefon sajalah. Mati hidup semula pun aku tidak akan berpatah balik! 

Previous: Bab 3-2
Next: Bab 4-2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.