SEFHIA bawa diri ke dapur usai bersihkan diri. Kelibat Mak Minah lansung dicari. Tak tahu kenapa, dirinya mula rasa selesa dengan wanita separa umur itu. Namun untuk berbicara panjang, masih belum sampai waktu.
Masuk saja ke dapur, Sefhia tarik nafas lega. Kelibat yang dicari sedang leka buat kerja. Sampai dia tercegat di sini pun, empunya badan tak perasan.
Sefhia berkira-kira untuk bersuara. Dah berapa kali dia asyik terperanjatkan wanita itu saja. Hari ini biarlah mulut menyapa dengan penuh berbahasa.
"Mak Minah."
Panggil gadis itu perlahan.
Mak Minah berpaling. Melihat gerangan di belakang, spontan senyuman terukir.
"Eh... Sefhia! Mak Minah ingatkan siapa yang panggil pagi-pagi ni," balasnya. Jam dapur dikerling. "Awal bangun hari ni? Baru pukul 6.30."
Kenyataannya, hari minggu adalah hari yang paling ditunggu-tunggu. Terutama anak-anak muda. Waktu untuk berehat katanya. Lepas seminggu penat bekerja. Tidur seharian pun tak mengapa.
"Tak ngantuk."
"Kalau tak ngantuk, baring-baring pun tak apa. Lagipun Sefhia belum baik betul. Tak boleh banyak bergerak. Kena banyak rehat. Kalau tak, lambat sembuh nanti."
Sefhia tak jawab.
Entah. Dia dah bosan berehat. Rasa badannya makin penat. Lebih-lebih lagi untuk orang lasak macamnya.
"Sefhia. Kamu tak apa-apa ke?"
"Hmm."
"Ke kamu dah lapar? Tapi Mak Minah belum masak apa-apa lagi."
Sefhia geleng kepala. Bukan itu yang dia nak. Perlahan Mak Minah dihampiri.
"Nak masak apa? Boleh tolong?"
"Eh! Tak payah. Mak Minah boleh buat sorang-sorang."
"Tak apa."
Seraya itu Sefhia berjalan ke meja. Kupas bawang, potong daging, potong sayur serta semua yang ada. Dah tentu-tentu Mak Minah nak guna. Kalau tak, wanita itu takkan letak saja-saja.
Waima, dia sendiri rasa selesa. Bantu Mak Minah buat segala kerja. Selama ini dirinya hanya bergelumang dengan kegiatan-kegiatan gangster. Sampai lupa pada norma kehidupan sebagai manusia biasa.
Mak Minah masih kaku di tempatnya. Melopong lihat Sefhia dah mula buat kerja. Sikit pun tak hirau tegahannya.
Dia sendiri tak faham. Sejak beberapa hari ini, gadis itu sedikit berlainan. Dah mula keluar bilik, tak berkurung macam dulu. Dah mula nak bercakap, walaupun sepatah-sepatah. Dah mula nak bergaul, baik dengannya mahupun Pak Majid.
Satu perubahan yang agak drastik. Setelah berapa minggu di sini.
Yang paling mengejutkan, Sefhia gadis yang ringan tulang. Suka tolongnya. Baik di dapur mahupun lain kerja-kerja. Dan semua itu dilakukan dengan pantas dan tangkas. Biarpun dalam keadaan dirinya masih tak 'sempurna'.
Pendek kata, gadis itu dah berjaya buatkan tanggapannya selama ini jauh tersasar dari sebelumnya.
Mak Minah mengeluh.
Sejujurnya, dia suka. Suka dengan perubahan Sefhia. Kalau dulu semua benda dia buat sendiri saja. Sekarang, dah ada orang temankannya. Tapi dalam masa yang sama, dia takut. Kalaulah sampai Aryan ketahuan, macam mana?
Sekali lagi Mak Minah mengeluh.
'Macam mana apa? Hadap ajelah. Dah puas ditegah. Gadis itu yang tak nak mengalah.'
Sudahnya, wanita itu kembali dengan tugas. Sesekali mata jeling Sefhia sekilas.
"Pandai Sefhia buat kerja rumah. Mesti selalu rajin tolong mak, kan?" bicara Mak Minah tiba-tiba.
Pergerakan Sefhia spontan termati. Soalan tak diduga Mak Minah bak melepas anak panah jauh ke relung hati.
"Mak Minah ni tak ada anak. Jadi tak pernahlah merasa semua tu. Nama aje kahwin muda, masa umur 16 tahun. Tapi jodoh tak panjang. Setahun lepas kahwin, suami Mak Minah meninggal kemalangan."
Mak Minah mula bercerita.
"Sejak tu, Mak Minah kerja jadi pembantu rumah. Cari rezeki. Utara, selatan, timur, barat, semua Mak Minah dah pergi. Dan sekarang, dihantar ke sini. Lepas ni tak tahulah ke mana. Harap-harap dah tak tukarlah. Sebab Mak Minah suka kerja kat sini. Majikannya baik sangat-sangat," ujar wanita itu.
Sejenak, dia curi nafas. Setelah itu, bicara kembali dilafaz.
"Dari dulu Mak Minah dah biasa buat semua kerja sorang-sorang. Memasak, membasuh, mengemas. Semuanyalah. Jadi bila ada Sefhia ni, Mak Minah rasa lain macam pulak. Rasa macam dibantu anak sendiri buat semua kerja-kerja ni.
Benarlah, ALLAH swt tu Maha adil. Mungkin kedatangan Sefhia sebagai pinjaman untuk bagi Mak Minah rasa perasaan sebagai seorang ibu. Walau tak tahu sampai bila, tapi Mak Minah bersyukur. Sekurang-kurangnya Mak Minah dapat rasa indahnya momen-momen macam ni."
Mak Minah terus-terusan bercerita. Namun tangan tak sikit pun henti dari buat kerja.
"Walaupun kita tak ada pertalian darah, tak saling kenal, tapi... sejak Sefhia duduk sini, Mak Minah dah anggap Sefhia macam anak sendiri. Lebih-lebih lagi sejak Sefhia bersuara pertama kali tempoh hari. Sayang Mak Minah pada Sefhia makin bertambah-tambah dari hari ke hari.
Mak Minah harap Sefhia tak kisah dengan apa yang Mak Minah cakap ni. Terus-terang, Mak Minah gembira sangat Sefhia hadir ke rumah ni. Malah sejak Sefhia tolong, makin bersemangat Mak Minah nak buat kerja setiap hari. Kalau kena kerja 24 jam pun tak mengapa!" seloroh wanita itu diselangi dengan tawa.
Sefhia tak bereaksi apa-apa. Hanya wajah Mak Minah ditenung lama. Terkejut. Tergamam. Terkesima. Segala yang didengar dari Mak Minah masih sukar nak dipercaya.
Tak sangka. Dalam separuh hati dia tinggal di rumah ini, masih ada yang suka kehadirannya.
'Kalaulah wanita itu tahu sandiwara yang sedang berlaku...,' detik hati kecilnya.
Sedar dirinya bagai diperhati, Mak Minah toleh. Pandangan gadis itu dibalasi. Sebuah senyuman turut dilempar seikhlas hati.
Bening jernih biru Sefhia terus tenung wajah Mak Minah. Jelmaan seseorang yang dirindu seakan-akan turut sama menjengah. Bersatu dengan senyuman wanita itu sebelum bayang-bayangnya kembali berpecah.
PANCURAN air paip mengisi suasana laman. Menari-nari riang pokok bunga dalam pasu kala disiram. Seronok dimandikan.
Mak Minah terus tekun lakukan rutin petangnya. Siram pokok-pokok hasil tanaman Ibu Dian. Bukan takat sepasu dua. Tapi satu laman. Majikannya itu memang gemar bercucuk tanam. Tanah belakang rumah, habis dijadikan kebun sayuran dan dusun buah-buahan.
Mengingatkan itu, Mak Minah baru sedar. Tanaman sayur di belakang masih belum disiram. Kerja yang berbaki di laman pantas disegerakan. Cepat buat, cepatlah dapat habiskan.
Mujur petang ini ada orang temankan. Taklah dia rasa bosan.
Wanita tua itu menoleh. Gadis nun di depan masih setia di kerusi. Sambil duduk sambil mengurut perlahan kaki.
"Sefhia dah penat ke? Kalau penat pergilah masuk. Mak Minah nak habiskan sikit lagi ni."
"Tak apa."
Gadis itu kembali urut kakinya.
"Sakit ke kaki tu?" Mak Minah bertanya.
"Sikit."
"Dah sapu ubat?"
Sefhia angguk.
Mak Minah kembali dengan siramannya. Hingga ke pokok bunga terakhir. Selesai semua, wanita itu dapatkan Sefhia. Kerusi bersebelahan ditarik. Duduk dilabuhkan menghadap gadis tersebut.
Dengan perlahan, kaki kiri Sefhia diangkat ke pehanya. Bahagian yang patah, disentuh. Seraya mulut membaca beberapa kalimah surah.
Habis surah dibaca, Mak Minah hembus ke kaki Sefhia. Digosok perlahan dari atas ke bawah. Cukup tiga kali, wanita itu berhenti.
"Dah sudah."
"Mak Minah buat apa?"
"Baca doa."
"Doa?
"Iya. Doa untuk redakan sakit kat kaki Sefhia ni. Mak Minah bacakan al-Fatihah, Selawat syifa', dan beberapa potong ayat dari Surah Yaasin, al-Baqarah dan al-Anbiya'. Itu doa-doa untuk merawat masalah kecederaan patah atau retak tulang.
Mak Minah ni tak pandai nak mengubat, Sefhia. Sekadar bacakan doa-doa ni aje yang Mak Minah mampu buat. Moga-moga dapat kurang rasa sakitnya. Insya-ALLAH."
Sefhia lansung diam. Terkedu dengan situasi yang pertama kali dia berdepan.
Mak Minah renung gadis di depan. Entah kenapa makin hari, sayang yang tertumpah makin menebal. Dibawa tangannya sentuh kepala Sefhia. Rambut panjang ikal mayang gadis itu diusap perlahan-lahan.
"Sakit ni ujian ALLAH, Sefhia. Dia turunkan sakit pada kita sebab dia rindu pada hamba-Nya. Rindu nak dengar kita merintih dan berdoa pada Dia. Dalam masa yang sama, sakit itu sebenarnya penghapus dosa-dosa kita. Jadi, Sefhia bersabarlah. Banyakkan sabar dengan ujian-NYA. Dan bersyukur sebab Sefhia antara yang telah 'terpilih' untuk waktu ni.
Malam nanti insya-ALLAH Mak Minah buatkan air penawar. Untuk Sefhia minum. Sekali dengan doa-doa dan surah-surah Al- Quran untuk Sefhia amalkan lepas sembahyang. Al-Quran adalah setinggi-tinggi martabat sebagai penawar dan penyembuhan. Tiap-tiap huruf yang terkandung di dalamnya adalah penawar untuk segala jenis penyakit. Dengan syarat, seseorang itu hendaklah beriman dan yakin kepada-Nya.
Ini salah satu ikhtiar juga selain perubatan moden. Canggih manapun zaman sekarang, ia akan berbalik juga pada yang Haq. Iaitu ALLAH swt."
Sefhia terus bungkam. Wajah Mak Minah direnung. Bicara panjang lebar wanita itu didengar dalam berbagai-bagai perasaan.
Jahil, hina, kerdil. Betapa jauh terpesong dirinya dirasakan sekarang. Jadi layakkah untuk dia lakukan semua benda yang sebentar tadi Mak Minah sebutkan?
"Assalamualaikum."
Lamunan Sefhia tersentak. Gadis itu toleh. Pandangan Mak Minah turut berkalih.
"Aryan? Bila sampai?"
"Baruan sebentar, Mak Minah."
"Tak bagitahu pun nak balik hari ni?"
"Sengaja. Mau kasi surprise sama Mak Minah."
"Isk! Tak habis-habis denagn surprise kamu nilah!"
Aryan gelak. Pandangan turut beralih pada Sefhia serentak.
Melihat pandangan itu, pantas Sefhia turunkan kaki dari peha Mak Minah. Langkah terus diatur segera masuk ke dalam rumah.
"Kenapa?" Aryan tanya Mak Minah. Hairan lihat Sefhia kelam-kabut macam tak cukup langkah.
"Entah. Terkejut kut tengok muka Aryan tiba-tiba muncul."
"Masa, sih. Baru dua minggu aja Aryan nggak ada di sini."
"Itu baru dua minggu. Kalau dua bulan, mahu agaknya dia terus cabut lari masuk!"
Kali ini tawa Aryan pecah. Geli hati dengan jenaka Mak Minah. Wanita itu didekati. Kerusi yang ditinggal pergi Sefhia lantas diduduki.
"Gimana keadaan rumah, Mak Minah? Aman semuanya?" soal Aryan sambil sinsing lengan kemejanya.
"Alhamdulillah. Baik-baik aje."
"Khabar Mak Minah sama Pak Majid, gimana?"
"Alhamdulillah. Sihat nampaknya."
"Sefhia?"
Kali ini tak ada balasan dari Mak Minah.
Pergerakan Aryan terhenti. Kepalanya didongak. Pandangan Mak Minah sudah teralih ke kiri.
"Mak Minah. Ngapain nggak dijawab soalannya? Ada apa-apa yang nggak kena sama Sefhia?"
"Tak."
"Terus, kenapa? Sampei Mak Minah kayak gitu lihatin dia?"
"Sefhia... Sefhia dia...,"
"Sefhia kenapa?"
"Alhamdulillah juga."
"Maksud Mak Minah apa?"
"Banyak berubah, Aryan. Banyak dah berubah!"
Aryan pandang Mak Minah, mohon pencerahan. Namun mata Mak Minah masih tegar terhala ke Sefhia yang dah pun hilang dari penglihatan.