Home Novel Cinta MY SWEET HEART, DAHLIA
MY SWEET HEART, DAHLIA
AHC
5/2/2025 11:44:07
2,893
Kategori: Novel
Genre: Cinta
MSHD 7

TOK! Tok! Beberapa kali pintu bilik Dahlia diketuk. Namun, tiada jawapan. Hafiqa mula bimbang. “Kak Dahlia… akak…” panggilnya. Tombol pintu cuba dipulas beberapa kali. Tapi, berkunci.

“Akak… akak tidur ke?” soal Hafiqa. Jarang Dahlia begini sejak berkerja di situ. Selalunya gadis itu akan berada di dapur menyudahkan kerja-kerjanya. Tetapi, hari ini kelibat gadis itu langsung tidak kelihatan. Hafiqa jadi pelik.

“Kenapa, dik?” Puan Sri Fatihah yang baru sahaja turun dari bilik menyoal anak bongsunya itu.

“Kak Dahlia ni. Daripada adik balik tadi tak keluar-keluar bilik. Banyak kali adik ketuk pintu bilik dia ni,” adu Hafiqa. Alis matanya turut berkerut kebimbangan.

“Ya ke? Pergi ambil kunci pendua dalam laci bawah tangga tu,” arah Puan Sri Fatihah. Hatinya turut merasa bimbang. Takut sesuatu yang buruk telah berlaku pada Dahlia.

Mendengar sahaja arahan si ibu, cepat-cepat Hafiqa berlari anak mengambil kunci yang dimaksudkan. Setelah itu, dia kembali semula ke situ. Kunci diserah pada ibunya.

Tidak menunggu lama, Puan Sri Fatihah terus membuka pintu bilik itu. Lalu, pintu ditolak. Terus dia menjengah ke dalam mencari susuk tubuh Dahlia. Kelihatan Dahlia sedang terbaring dalam keadaan mengerekot di dalam biliknya. 

“Dahlia kenapa ni?” soal Puan Sri Fatihah dengan cemas. Tubuh itu didekati.

“Akak…” Hafiqa juga bimbang melihat keadaan gadis itu.

Namun, Dahlia sedikit pun tidak bersuara. Hanya gigilan kecil kelihatan daripada tubuhnya. Dengan dahi yang merenik peluh dingin membuatkan keadaan Dahlia nampak membimbangkan. 

Serta merta Puan Sri Fatihah meletakkan tangan ke dahi gadis itu. “Panas. You demam ni Dahlia. Dah makan ubat belum?” soalnya dengan nada yang masih cemas.

Seperti tadi, Dahlia tidak bersuara. Dia tidak mampu nak bercakap. Dengan kepala yang sakit, dada seperti nak meletup. Seluruh badan terasa berbisa-bisa. Keadaan ini biasa berlaku di kampung dulu. Selepas Daud memukulnya, dia pasti akan jadi seperti ini. Selalunya Melur ada bersama menenangkannya. Tetapi, kini dia bersendirian. Dan hal itu membuatkan Dahlia sukar untuk pulih dengan cepat.

“Kita ke hospital,” Puan Sri Fatihah bersuara lagi. Belum sempat mereka membawa Dahlia keluar dari bilik itu, Furqan muncul. “Dahlia, kenapa kau tak gosok baju aku???” nadanya kedengaran sedikit kasar.

Serentak Puan Sri Fatihah dan Hafiqa memandang pada lelaki itu. Furqan terpinga-pinga saat melihat ibu dan adiknya ada di situ. “Kenapa ramai-ramai dekat sini?” soalnya tanpa perasan apa yang berlaku pada Dahlia.

“Dahlia demam panas. Mommy nak bawa dia ke klinik. Along tolong dukung Dahlia. Mommy nak bersiap kejap,” arah Puan Sri Fatihah.

Furqan teguk air liur. Dukung? Aduh mommy ni pun. Ada ke suruh aku dukung perempuan ni? Geli betullah! Bentak hati Furqan. Tetapi, disebabkan dia tidak mahu Puan Sri Fatihah membebel, terpaksalah dia mendukung Dahlia.

Tanpa tahu siapa yang mendukungnya, Dahlia terasa tubuhnya melayang ke udara. Dengan mata yang terpejam serta merta dia merangkul leher orang yang mendukungnya. Kepala diletak ke dada lelaki itu. Tika ini jantung Furqan serta merta berdegup kencang. Hatinya berdebar hebat. Hangat tubuh Dahlia buat dia tak keruan. Walaupun dalam keadaan sakit, wajah pucat itu begitu indah di matanya.

“Cepat along!” jerit Puan Sri Fatihah setelah dia bersiap.

Lamunan Furqan terhenti. Lalu, dia terus mengatur langkah menuju ke ruang tamu untuk bersama dengan Puan Sri Fatihah dan Hafiqa. Kemudian, mereka sama-sama pergi ke hospital.






Seminggu berlalu


FURQAN termenung jauh. Makanan di atas meja langsung tak berusik. Beberapa kali dia melepaskan keluhan berat. 

“Kau kenapa? Aku tengok lately ni asyik termenung je? Ada masalah berat ke?” soal rakan kongsinya, Hairul.

“Alicia. Dah balik sini.” 

Hairul berjeda seketika. Tahulah dia kenapa dengan sahabatnya itu. “Macam mana kau tahu?”

“Kau tak perasan ke dia ada datang office hari tu?” soal Furqan semula.

Hairul kerut dahi. “Datang office? Bila?” 

“Minggu lepas. Dia jumpa aku,” perlahan sahaja nada Furqan tika ini. Terdengar keluhan kecil dilepaskan bersama.

“So… dia nak apa? Dia datang dengan husband dia ke?” soal Hairul dengan selamba.

Furqan buat muka bosan. Sedikit pun tidak tersindir dengan gurauan sahabatnya itu. “Dia nak explain. Tapi, aku tak nak dengar. Aku dah tak percaya dah apa pun yang dia cakap."

Hairul mengangguk kagum. Kalau dulu, apa sahaja yang wanita itu katakan pasti sahaja Furqan akan percaya dan turuti. Lelaki setia macam Furqan ni memang sejenis serik bila dikhanati.

“Baguslah kau tak bagi ruang. Lagipun dia dah berkahwin. Bukan macam dulu. So, kau kena jauhkan diri daripada dia lah. Nanti tak pasal-pasal husband dia tuduh kau bukan-bukan," kata Hairul.

Furqan termenung. Sejujurnya bukan kerana Alicia sahaja yang buat dia termenung. Tetapi, Dahlia. Sejak akhir-akhir ini, wajah Dahlia seringkali muncul di benak fikirannya. Sampaikan terbawa-bawa dalam mimpi. Susah hati dibuatnya. Namun, hal itu tak diberitahu kepada sesiapa. Bimbang mengundang salah faham. 

Sejak Dahlia sakit tempoh hari, Furqan sudah tidak berani nak memarahi Dahlia lagi. Jika ada perkara yang dia mahu Dahlia buat, hanya nota atau pesanan melalui Hafiqa sahaja cara dia beritahu gadis itu. Selebihnya, dia sendiri mengelak daripada bertemu muka dengan Dahlia. 

Furqan tidak mahu Dahlia fikir yang dia merasa bersalah. Kalau ikutkan apa yang berlaku hari itu, memang ada kaitannya dengan Furqan. Disebabkan lelaki itu Dahlia di masukkan ke wad kerana demam panas. Mungkin terkejut kerana dikasari oleh Furqan.

Furqan mengeluh lagi. Hairul yang ada di sebelahnya langsung tak diendahkan. 

“Carilah perempuan lain Furqan. Bukan Alicia sorang je perempuan dalam dunia ni. Ramai lagi yang single dan lebih baik daripada dia," kata Hairul menghentikan lamunan Furqan.

“Aku dah malas nak percaya perempuan,” gumam Furqan dengan perlahan.

Hairul tersenyum nipis. Tahulah dia sahabatnya itu benar-benar sedang kecewa atas apa yang telah menimpanya. “Aku doakan kau bertemu pasangan yang jujur dan setia pada kau sorang," ucapnya berserta doa yang ikhlas. 

Furqan ukir senyum pahit. Hairul memang sahabat yang baik. Dan mereka berdua sama-sama single. 







SAMPAI sahaja di rumah, Furqan rebahkan tubuh ke sofa ruang tamu. Tali leher dilonggarkan. Dadanya berombak tenang. Letih ke sana ke sini menghadiri mesyuarat pada hari ini. 

Kepala bergerak ke kiri kanan mencari kelibat si adik. Lalu, telefon pintar dikeluarkan dari poket seluar. Nombor telefon Hafiqa didail. Beberapa saat dia menanti gadis itu menjawab panggilannya.

“Hello…” sayup kedengaran suara Hafiqa dari hujung talian.

“Pukul berapa nak balik?” soal Furqan tanpa mukadimah.

“Adik dekat dekat Janda Baik lah. Kan adik ada kursus tiga hari dekat sini,” balas Hafiqa. Nadanya kedengaran geram. Furqan begitulah selalu terlupa.

Mendengar sahaja jawapan itu, Furqan tepuk dahi. Baru sahaja dia nak meminta pertolongan Hafiqa untuk menjadi orang perantaraan antara dia dan Dahlia. “Along terlupa. Takpalah,” terus talian ditamatkan tanpa ucapan ‘bye’. 

Furqan termenung seketika. Terpaksalah dia menulis nota selama tiga hari ini untuk berkomunikasi dengan Dahlia. Jika tidak, dengan siapa dia nak meminta pertolongan? Puan Sri Fatihah? Memang taklah. Kalau wanita itu tahu, pasti sahaja dia dibebel. 

Lantas Furqan mengambil sekeping kertas kosong. Baru sahaja dia nak menulis sesuatu, Dahlia muncul di situ. “Ni air kopi ais encik,” dengan berhati-hati gelas itu diletakkan di atas meja ruang tamu yang ada di depan Furqan.

Terangkat bahu Furqan. Terkejut dengan kehadiran gadis itu di situ. Terus dia menoleh pada susuk tubuh Dahlia. Beberapa saat dia merenung gadis itu. Kemudian, matanya beralih pada air kopi ais yang ada di atas meja. 

“Saya dah masak dan dah hidang makanan atas meja makan. Baju encik saya dah gosok. Saya sangkut dalam bilik laundry. Ada apa-apa yang encik nak saya buat lagi?” soal Dahlia dengan riak polos. 

Furqan tersentak. Muka diangkat menatap kembali pada wajah si gadis. “Mommy mana?” soalnya dengan nada tegas yang dibuat-buat.

“Puan sri belum balik lagi,” balas Dahlia. 

Furqan angguk perlahan. “Dahlah. Takda apa lagi. Kau boleh pergi.” 

Mendengar sahaja arahan itu, Dahlia angkat kaki berlalu pergi dari situ. 

Furqan menoleh pada susuk tubuh Dahlia sehingga gadis itu hilang daripada pandangan matanya. Perlahan keluhan dilepaskan. Entah kenapa setiap kali melihat mata redup itu, buat hati Furqan tak keruan. 

Tak mungkinlah aku jatuh cinta dengan budak kampung tak habis sekolah tu! Iiishhh… minta dijauhkan. Aku tak nak keturunan aku perangai macam dia! Kutuk Furqan di dalam hati.

Kemudian, dia meneguk air kopi ais yang ada di atas meja. Segar terasa tekak saat air sejuk itu melalui rengkung tengkoroknya. Dahlia memang pandai serba serbi. Pandai masak. Pandai buat air. Tapi, gadis itu bukanlah ‘taste’ dia. Dia lebih tertarik pada wanita yang bekerjaya, bijak dan berpendidikan seperti Alicia. 

Tapi, bila dikenangkan balik, wanita seperti Alicia memang tidak boleh dipercayai!





SHAMPOO yang penuh dikepala dicuci beberapa kali sehingga bersih. Kemudian, Furqan mencapai tuala mandi dan dililit ke pinggang. Baru sahaja dia nak keluar dari bilik air, lampu terpadam. Gelap seluruh ruang. 

Furqan teraba-raba mencari jalan. Dinding dijadikan tempat berpaut. Anak matanya mengembang cuba mencari cahaya. Dia mula berjalan sehingga tangannya memegang pintu bilik. 

Lantas tombol dipulas. Sekali lagi retina matanya mengembang. Dia nampak cahaya samar-samar dari bahagian ruang tamu. Terus dia berjalan perlahan ke arah tangga. Satu per satu anak tangga dituruni dengan berhati-hati. Sewaktu anak tangga terakhir dipijak, lampu kembali menyala. Furqan hela nafas lega. Lalu dia meneruskan langkahnya menuju ke ruang tamu untuk melihat apa yang berlaku pada suis utama.

Sebaik sahaja Furqan berada di ruang tamu, dia terpempan apabila melihat sekumpul lelaki berserban dan berjubah putih sudah pun ada di depan pintu rumahnya. Dan Dahlia turut ada bersama di situ.

“Assalamualaikum, encik.” Seseorang memberi salam dari muka pintu yang sudah terbuka luas itu. 

Furqan terkebil-kebil seketika. Apa tidaknya, dia hanya bertuala mandi ketika ini. Wajah polos Dahlia buat dia geram. Perempuan ni sengaja nak kenakan aku ke? Getus hati kecilnya.

“Waa’laikumsalam…” bergetar suara Furqan menjawab salam tika ini. Kakinya melangkah perlahan menuju ke arah kumpulan lelaki itu.

“Kami ni kebetulan lalu dekat sini sebab ada operasi cegah maksiat. Boleh kami tahu apa hubungan encik dan wanita ni?” salah seorang daripada pegawai itu mula bertanya sambil jari telunjuknya dihala ke arah Dahlia.

“Saya orang gaji dalam rumah ni, encik,” Dahlia sudah menjawab terlebih dahulu sebelum Furqan buka mulut.

“Maknanya cik berdua ni takda hubunganlah? Ada sesiapa lagi dalam rumah ni selain cik berdua?” soal pegawai itu lagi.

Furqan teguk air liur dengan kasar. Dia mula gugup. “Aaa… my mom ada sama. Kejap saya panggil.” 

Tidak menunggu lama, Furqan terus melangkah besar naik semula ke bilik untuk mencari Puan Sri Fatihah. Namun, wanita itu tiada. Sah, Puan Sri Fatihah belum pulang. Furqan raup wajahnya dengan kasar. Lantas dia ke biliknya dan menyarung pakaian dengan lengkap. Kemudian, dia turun semula ke ruang tamu.

“Aaa… my mom tak balik lagi. Tapi, kami memang tak buat apa-apa. Dia orang gaji saya, encik," bersungguh-sungguh Furqan cuba menyakinkan orang itu.

Lelaki itu berpandangan antara satu sama lain. “Beginilah encik, kami ni cuma menjalankan tugas. Kami tak boleh biarkan perkara maksiat berlaku di kawasan ini. Sebagai orang islam, sepatutnya encik tahu yang berdua-duaan bukan mahram adalah dilarang.”

Furqan tarik nafas dalam. Dia mula tak sedap hati. Dia pasti yang dia dan Dahlia akan didakwa atas kesalahan berdua-duaan di dalam rumah. 

“Encik, saya kerja sini. Encik Furqan ni majikan saya. Kami tak buat apa-apa," kali ini Dahlia pula yang bersuara. Barulah dia tersedar apa yang bakal terjadi kepada mereka berdua.

“Macam nilah. Cik berdua ikut kami ke balai berdekatan. Apa-apa kita boleh bincang di sana. Kalau encik ada peguam sendiri, boleh telefon untuk minta nasihat guaman," kata salah seorang daripada pegawai itu.

Dahlia pandang muka risau Furqan. Perlahan lelaki itu mengangguk bersetuju untuk mengikut mereka ke balai. “Pergi siap,” kata Furqan. Sekilas muka pucat lesi Dahlia dipandang.

Serta merta jantung Dahlia berdegup laju. Cemas, takut, sedih. Semua bercampur baur tika ini. Di fikirannya mula berfikir yang bukan-bukan. Tapi, dia dan Furqan tak bersalah. Memang mereka tak buat apa-apa. 

Namun, saat melihat muka Furqan yang mula berubah tegang, cepat-cepat Dahlia pergi ke biliknya untuk bersiap.

Previous: MSHD 6
Next: MSHD 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.