Home Novel Cinta PERCAYA CINTAKU
PERCAYA CINTAKU
nuroll shazlinda hairul
15/7/2021 11:27:35
12,630
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 4

 “Ibu...Babah...” laung Eizlynn sebaik masuk ke dalam rumah. Melihatkan ibu dan babahnya sedang berdoa dia mendekat. Usai sahaja doa mereka, Eizlynn turut mengaminkan. Lalu terus sahaja dia memeluk ibunya.

“Ibu...”

“Dah kenapa gembira sangat ni?” soal Puan Nafisah.

“Ada benda yang Lynn nak kongsikan dengan kami ke?” tebakEncik Eijaz.

 “Pandai babah. Sepuluh markah,” balas Eizlynn lalu beralih tempat duduk di sebelah babahnya. Lengan babahnya dirangkul sambil memandang manja.

“Jadi apa beritanya?” soal Puan Nafisah sudah tidak sabar ingin tahu.

“Wafi... dia... dia dah setuju nak kahwin dengan Lynn,”beritahu Eizlynn teruja.

“Betul ke ini?” soal Puan Nafisah seperti tidak yakin.

“Betul ibu. Wafi sendiri yang cakap dengan Lynn. Jadi, majlis kita tetap berjalan seperti yang dirancang. Alhamdulillah.”

“Anak babah ni tak ada ugut apa-apa pada Wafi kan?”

“Hish babah ni... dah kenapa pula Lynn  nak ugut dia. Lynn masih tahu mana yang baik,mana yang tak. Lynn cuma bagi cadangan aje. Mana tahu dia nak setuju. Ini namanya jodoh, babah.”

“Eh, dia pula yang ajar kita tentang jodoh.”

Eizlynn melempar sengih.

“Tapi...” Encik Eijaz mematikan bicaranya. Serba salah  dia mahu memberitahu anaknya.

“Tapi apa babah?” soal Eizlynn cuak. Dia bertambah cuak apabila melihat kerutan resah pada wajah babahnya.

“Babah ingatkan Wafi tak nak terima pinangan Lynn. Jadi babah dah batalkan semuanya. Dewan, pelamin semuanya.”

Jatuh rahang Eizlynn. Dia baru nak gembira.

“Kenapa babah batalkan? Kenapa tak tunggu jawapan daripada Wafi? Kenapa babah buat Lynn macam ni,” soal Eizlynn bertalu-talu. Sayu nadanya.

Encik Eijaz dan Puan Nafisah menahan tawa.

“Babah ingat Wafi tak nak kat anak babah. Iyalah dia pun bukan kenal Lynn, jadi tak akan dia nak terima anak babah. Tak sangka pulak dia nak anak babah yang comot ni.  Aduh macam mana sekarang ni? Tak akan nak tempah balik. Entah-entah dah ada orang tempah dewan itu.”

Sungguh Eizlynn hilang kata. Perasaannya bercampurbaur ketika ini. Nak marah, perkara dah jadi. Kusut! Dia tidak dapat berfikir ketika ini.

“Apa kita nak buat? Tak dapatlah anak babah kahwin dalam masa terdekat ni,” tanya Encik Eijaz, bersalah.

“Tak apalah. Dah batal nak buat macam mana. Nanti Lynn beritahu Wafi untuk buat di majlis sebelah dia aje. Rasanya Uncle  Wahib belum batalkan lagi,” ujar Eizlynn perlahan, memberi solusi.

“Kecewa ke?” soal Encik Eijaz.

“Nak kecewa pun perkara dah jadi. Tak apalah yang penting Wafi dah setuju nak kahwin. Tapi...”

“Tapi apa?” soal Puan Nafisah. Kasihan pula dia melihat keadaan anaknya.

“Tapi kalau dia tahu semua dah dibatalkan agak-agak Wafi masih nak kat Lynn tak? Sebab Lynn cakap dengan dia Lynn tak nak batalkan majlis yang dah dibuat sebab tak nak malukan babah dengan ibu.”

“Lynn betul-betul sukakan Wafi?” soal Encik Eijaz.

Eizlynn mengangguk, wajahnya masih kelihatan sugul.

“Kalau macam itu, dah tak nak sedih-sedih. Majlis akan tetap berlangsung seperti yang dirancang. Babah tak batalkan pun. Babah saja nak uji anak babah ni, saja nak mengusik,” akui Encik Eijaz.

Bulat mata Eizlynn memandang ke arah babahnya.

“Babah!”

Encik Eijaz melepas tawa.

“Tak baik buat Lynn macam ini. Lynn tak boleh fikir dah nanti apa reaksi Wafi bila tahu semua batal.”

“Kalau Wafi ikhlas terima anak babah, dia tak akan tarik janji dengan anak babah.”

“Terima kasih babah.”

 “Sama-sama sayang. Bagi babah, asalkan anak babah gembira apa sahaja babah akan korbankan. Tapi bila Lynn nak beritahu along dan Eiyad? Tak akan nak tunggu mereka balik baru beritahu. Mahu terkejut beruk nanti tengok pengantin lelaki dah bertukar orang.”

“Tunggu mereka baliklah babah. Barulah surprise!”

“Babah takut telinga Lynn nanti yang dapat surprise,”usik Encik Eijaz.

“Ala, babah jangan risau. Along dengan Eiyadkan sayangkan Lynn. Diorang tak akan marah punya. Hmm... Babah, ibu Lynn nak masuk bilik dulu. Nak mandi.”

“Pergilah. Dah solat ke belum ni?” tanya Puan Nafisah.

“Belum.”

“Bertuah punya anak. Cepat sikit. Dah pukul berapa ni!”

Eizlynn melemparkan sengihan. Langkahnya terus diaturmenuju ke bilik. Tubuhnya direbahkan ke katil. Bahagia rasanya. Bahaya betul bila hati dah terpanah. Segera Eizlynn beristighfar.

“Ingat Lynn selagi belum akad nikah belum tentu dia jodoh kau! Jangan seronok sangat,” Eizlynn mengingatkan dirinya.

 Sejujurnya dia masih terkesan dengan perpisahannya dengan Adeeb. Pertunangan mereka hanya bertahan sebelas bulan sahaja. Perkenalan mereka di muka buku membawa mereka ke alam pertunangan. Dia redha jika antara mereka tiada jodoh tapi meninggalkannya ketika semuanya telah tersedia membuatkan dia sedikit kecewa. Dia sedar dia bukan jenis perempuan yang lemah lembut, yang cantik dan up to date seperti yang didambakan oleh kebanyakan lelaki. Tapi itu bukan bermakna dia boleh diperlekehkan. Dia teringatkan perbualannya dengan Huda selepas dia memberitahu Huda tentang pembatalan perkahwinannya.

“Kau serius tak nak tahu kenapa Adeeb putuskan pertunangan dengan kau?”

“Tak nak. Bagi aku apa pun alasannya, dia sememangnya dah tak mahu aku dalam hidup dia. Kalau dia betul nak kahwin dengan aku patutnya dia jumpa aku dulu. Selesaikan segala kecelaruan yang ada dalam diri dia bukan tiba-tiba putuskan.”

“Aku faham. Tapi mesti ada sebab kenapa dia putuskan hubungan korang ni secara tiba-tiba. Kau tak ada gaduh dengan dia kan?”

“Tak ada Huda. Hubungan kita orang berjalan lancar.”

“Ha... sebab tu kau patut tanya dia kenapa dia ambil keputusan tu.”

“Sekarang, kau ambil kunci kereta  ni. Kau pergi jumpa dia sendiri. Tanya pada dia. Paling tidak kau tahu sebab kenapa dia tinggalkan kau.”

“Kalau dia ada perempuan lain macam mana?”

“Okey, tak apalah. Sekurang-kurangnya kau tahu sebab.Bukan macam orang bodoh tak tahu sebab kenapa kena tinggal. Kalau dia tak suka tak akan dia pinang kau. Kalau dia tak serasi beritahu rasa tak serasi. Jangan beri alasan tak ada jodoh.”

“Tapi memang itulah kenyataannya. Tiada jodoh! So, buat apa nak pening kepala.”

“Alahai, susah betullah nak cakap dengan orang yang positif tak  bertempat ni. Hati kau tak sakit ke? Cuba  kau tanya diri sendiri,sebenarnya kau pun nak tahu kan, kenapa dia buat macam tu pada kau? Tapi disebabkan kau takut nak terima kenyataan yang mungkin dia ada orang lain.Sebab itu kau tak nak ambil peduli. Supaya kau tak sakit hati atau kau tak membenci dia, betul?”

Eizlynn melepaskan nafasnya perlahan. Sejujurnya dia ingin tahu tapi dia bimbang jika kebenaran akan menyakiti hatinya. Oleh kerana itu, dia lebih rela untuk tidak tahu dan meyakinkan diri bahawa antara dia dan Adeeb tiada jodoh. Bukankah jodoh itu urusan Allah. Dia yakin Allah dah susun yang terbaik untuknya.

“Pergi jumpa Adeeb dan cari kebenaran. Sekalipun kebenaran itu pahit untuk kau telan tapi paling tidak kau tahu mana silapnya.Dia mungkin hadir dalam hidup kau sebagai pelajaran dan pengajaran buat kau.Pergi ya,” pujuk Huda.

Eizlynn mengangguk. Entah bagaimana dia boleh termakan dengan kata-kata Huda. Pertemuannya dengan Adeeb yang mulanya sekadar untuk merungkaikan segala kekusutan berakhir dengan pertengkaran apabila Adeeb memfitnahnya dengan satu tuduhan yang amat berat. Bahkan Adeeb menunjukkan bukti yang sah-sah gambar yang diterima lelaki itu sudah diedit. Puas dia terangkan kepada Adeeb tetapi lelaki itu lebih mempercayai gambar yang tidak bernyawa daripadanya. Lelaki itu kejam! Mengingatkan bekas tunangnya itu buatkan dia sakit hati hati sahaja.

Teringatkan Wafi, automatik bibirnya melakar senyum.Renungan tajam, pandangan yang redup membuatkan hatinya bergetar dan merasakan kedamaiandalam waktu yang sama. Melihat raut wajah lelaki itu membuatkan dia mahu menatap tanpa mahu mengalihkan pandangan. Hilang segala resah dan kekecewaanyang bertakhta di hatinya sebelum ini. Lelaki itu telah menjerat hatinya.

 

 

“Hello bro, apa kes? Sampai kena tikam bagai ni?” soalAidan. Selamba dia menyelak baju Wafi.

“Kes nak sangat jadi hero. Ala nak cerita pun panjang.Nantilah aku cerita. Kau ni bila balik?”

“Pagi tadi. Aku balik tidur dulu. Biasalah mana cukup tidur bila buat kem.”

“Pelajar-pelajar kesayangan kau semua kirim salam. Sibuk dia orang kata tak best tak ada kau. Apa kau jampi pelajar-pelajar kau tu?”

“Apa main jampi-jampi pulak. Nak mengajar kena ikhlas.Kau sayang dia orang, pasti dia orang sayang kau.”

Aidan mencebik mendengar kata-kata Wafi.

“Siapa nama girl tu tadi?” soal Aidan mengubah topik perbualan.

“Kenapa?”

“Saja tanya. Mana tahu boleh masukkan dalam senarai calon isteri.”

“Perempuan macam tu kau nak masukkan dalam senarai calon isteri? Kau biar betul? Bukan taste kau yang stock model ke?”

“Dia cantiklah. Neutral beauty. Sekali kau pandang, rasa nak pandang lagi sekali lagi. Muka dia bersih tanpa solekan. Susah tau zaman sekarang ni nampak girl yang confident keluar tanpa mekap macam tu.”

“Melambung pujian. Takkan dah tersangkut?”

“Perkara betul, pujilah. Kalau dia nak aku, aku on je. Eh kau mesti ada nombor telefon dia kan.Bagilah aku. Boleh aku try, mana tahu dapat. Boleh buat isteri.”

Wafi mencebik. Sakit pula telinganya dengar ayat terakhir Aidan. Bertambah berbulu matanya apabila melihat Aidan mengukir senyum seronok.Dia berdeham lalu bertanya, “Habis tu stok girlfriend kau yang melambak tu kau nak campak mana?”

“Itu semua masih dalam pusingan kelayakan. Kita boleh berkawan dengan ramai orang tapi untuk cari isteri kena pilih yang tepat.”

“Tak baik bagi harapan pada orang.”

“Eh, mana ada aku bagi harapan. Dia orang semua tahu yang aku masih dalam proses memilih. Kalau dia orang nak stay dengan aku, silakan.Kalau tak suka dengan cara aku angkat kaki. Aku tak pernah bohong dengan dia orang. Dari awal lagi aku dah beritahu tujuan aku. Jadi kat mana salah aku?”

“Ikut kaulah bro. Janji kau bahagia.”

“Jap, kau sengaja tukar topik ni. Soalan aku kau tak jawab lagi.”

“Soalan yang mana?”

“Nama dan nombor telefon dia.”

“Kalau aku tahu pun, aku tak akan bagi. Dia itu bakal isteri orang.”

Aidan berdecit. Jelas riak kecewanya. “Melepaslah ni! Sayangnya. Aku baru nak kenal-kenal dengan dia. Tapi dia belum kahwin lagikan.So aku ada chance la.”

“Eh, jangan nak berangan. Dia dah nak kahwin lagi dua minggu.”

Berkerut dahi Aidan mendengar intonasi Wafi. Raut wajah Wafi dipandang penasaran.

“Yang kau ni bunyi macam tak puas hati kenapa? Dia bakal isteri kau ke? Bukan, kan?”

Terkedu Wafi dibuatnya. Tak mungkin dia akan mengaku.Tapi kenapa dia rasa sakit hati apabila melihat keterujaan sahabat baiknya terhadap Eizlynn. Tak akan dia cemburu?

“Tak mungkin,” ujarnya tanpa sedar.

“Apa yang tak mungkin?” soal Aidan, pelik.

“Apa?”

“Kau tanya aku buat apa? Kau yang tiba-tiba cakap tak mungkin.”

“Ooo... maksud aku tak mungkin lah perempuan tu  bakal isteri aku.”

“Memang taklah. Bukan taste kau pun kan? Lagipun tak akan dia nak dengan kau. Kalau dengan aku, InsyaALLAH.”

Herot mulut Wafi mendengar bicara Aidan. Kalau dia tahu Eizlynn itu melamar dia, mahu terkejut beruk Aidan agaknya. Lebih baik dia diamkan dulu. Kalau dia hebohkan nanti, jika tak jadi masalah juga. Buat malu dia sahaja!

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.