Home Novel Cinta MISI CURI HATI
MISI CURI HATI
Azleya Shadzalin
31/8/2019 10:35:48
66,077
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

"HEI, Xandra!" Hoodie di kepalaku ditarik.

Aku sudah pejamkan mata seketika. Tahan sabar. Kedudukanku sudah statik. Berdiri tegak. Kenapalah pagi-pagi buta aku mesti mengadap muka mereka? Potong mood betullah. Aku tarik semula hoodie menutupi kepalaku. Perlahan-lahan aku berpaling ke arah mereka. Tanpa senyum. Aku pandang Shark dan rakan-rakannya. Seperti selalu, Kris akan berada di kedudukan paling belakang.

Dia ini peliklah. Macam tidak campur orang tapi berkawan dengan pelajar famous di kolej ini. Atau mungkin dia jenis yang pilih kawan. Hanya golongan tertentu saja. Itu aku yang agak sendiri. Kenyataannya, aku tidak pasti. Aku pelik sebab dia suka menyendiri dan jika ada bersama rakan-rakannya pun dia lebih senang buat hal sendiri. Eh! Aku pun suka buat hal sendiri. Hmm... Dia tu, tidak banyak cakap pun ya juga.

Aku sudah mulakan langkah selepas beri dia jelingan maut. Dengan dia, memang aku agak panas. Tidak tahulah kenapa? Mungkin sejak dari awal kemunculanku di sini, dia dan rakan-rakan sekutunya sudah mencipta jurang antara kami. Hati aku pun sudah tiada ruang untuk jadikan mereka semua sebagai kawan. Lagipun, aku tidak diajar untuk terlalu baik atau rapat dengan seseorang yang kurang aku senangi. Cuma, dengan Kris aku masih boleh berdiplomasi. Mungkin kerana kami mempunyai sikap yang hampir sama. Tidak suka senyum dan suka buat hal sendiri.

"Hei!" Aku geram. Tiba-tiba dia sudah berdiri di hadapanku. Laluanku dihalang. Aku pandang dia dengan tajam. Begitu juga dengan rakan-rakannya yang tersengih macam kerang busuk. Hanya Kris yang aku lihat berwajah selamba seperti biasa. Tanpa senyum dan tetap berdiri paling belakang sekali di antara rakan-rakannya.

"Kerja kau ni memang suka halang laluan orang agaknya, ya? Dah tak ada kerja lain yang lebih berfaedah, ke?" Aku bersuara berani. Ini satu lagi pelajaran hidup yang diterapkan di dalam diriku sejak kecil. Kena berani dalam apa jua situasi. Hidup tidak tetap di suatu tempat macam aku ni, perlu ada sifat sebegini sebab kita tidak tahu dengan kelompok apa kita bergaul terutamanya jika tinggal di negara asing. Tapi rasanya tinggal dengan makhluk asing lebih senang kot dari melayan kerenah mereka-mereka ini. Menyebalkan.

"Well... Inilah kerja paling menyeronokkan. Nak-nak motifnya, kau. Lagi seronok."

"Tepilah!" Aku tolak tubuh Shark. Berganjak juga dan aku kira dia memang tidak berusaha menghalang tindakanku itu. Mungkin dia tidak sangka aku seberani ini agaknya. Jadi, dia berdiri macam lalang ditiup angin. Mudah saja aku tolak ke tepi.

"Tunggu!" arahnya sambil menyambar pergelangan tangan kiriku.

"Let go of my hand," marahku seraya cuba melepaskan pegangannya yang tidaklah terlalu kuat mencengkam tanganku. Aku masih boleh mengerakkan pergelangan tanganku.

"Boleh... Dengan syarat." Dia main tarik tali.

"Eh! Peduli apa aku dengan syarat kau. Kau tak boleh sentuh aku sesuka hati kau aje. Kau kena ingat tu. Lepaslah!" Aku meronta lagi. Berusaha untuk melepaskan tanganku.

"Aku paling suka perempuan yang kuat melawan macam kau. Sangat thrill." Suaranya separa berbisik. Bibirnya dekat di telingaku. Shark menyungging senyum senget bila aku toleh. Aku pandang dia dengan tajam sambil berusaha melepaskan tanganku dari pegangannya. Shark langsung tidak mahu melepaskan aku. Melihat dia berdegil, aku hempuk tangannya yang mencengkam lenganku dengan fail yang ku bawa. Baru tahu rasa!

"Wei! Sakitlah! Kau ni ganas jugak, kan?"

"Siapa suruh sesuka hati sentuh aku? Aku memang pantang orang buat macam tu kat aku. Kan dah dapat habuannya."

"Bukan aku sentuh kulit kau pun. Kan berlapik tu."

"Tetap tak boleh, faham? Bukan dengan aku aje. Dengan perempuan lain pun. Kau kena hormat orang kalau kau nak orang hormat kau, Shark." Aku sekolahkan dia ala-kadar.

"Apa-apalah Xandra. Ash," Shark sudah pandang Ash.

"Ya, bro!" Ash pantas mendekat dengan senyum simpulnya. Aku simpul ikat mati bibir tu macam tali sauh, baru tahu. Tangan Shark yang sebelah lagi mengisyaratkan agar Ash beri dia sesuatu. Mataku melingas pantas. Ingin tahu apa yang dimintanya dari Ash. Jika pisau, aku harus bersedia untuk mengelak.

"Here we go! Nah!" Ash serahkan beberapa kepil fail yang agak berserabut susunan kertasnya. Aku nampak ada kertas yang terkeluar sedikit dari failnya. Hendak buat apa? Suruh aku makan kertas pula, ke? Tidak cukupkah hari tu dia mandikan aku dengan jus oren? Mereka semua ni memang sudah melampaui batas. Mereka belum kenal siapa Xandra. Jika aku boleh 'hidup' di beberapa buah negara luar sampai sekarang, apa sangatlah untuk 'survive' di negara sendiri. Ini aku belum tunjuk 'kuku' aku lagi. Tunggulah sikit masa lagi.

Shark mengisyaratkan aku untuk mengambil fail-fail yang dia hulurkan. Aku pandang dia. Sekali lagi keningnya ternaik dan mengisyaratkan aku untuk mengambil fail-fail tersebut. Aku buat tidak reti sahaja.

"Ambil!" Arahannya tidaklah terlalu tegas. Suaranya pun datar saja. Buang tebiat agaknya. Selalu tu tidak pernah hendak cakap elok-elok dengan aku.

"Tak ada kerja aku nak bawakan fail korang. Bawalah sendiri." Aku sudah berpaling dan ingin memulakan langkah apabila sekali lagi Shark berjaya menyambar lenganku. Eii! Ini sudah lebih! Memang hendak kena sembur dengan aku nampak gayanya ni.

Pap! Fail tersebut dihempaskan kasar ke tubuhku. Secara automatik aku peluk juga fail-fail tersebut untuk mengelakkan ia jatuh bersepah. Kurang asam betul! Aku tidak mahu ambil, dia paksa pula.

"Aku nak kau susun isi kandungan fail-fail itu ikut turutan."

"Kalau aku tak nak buat?"

"Aku dengan kawan-kawan aku minta tolong, Xandra! Tolonglah, Xandra. Kau tak kesian ke dekat kami. We are to busy with other things. Tolong ya, Xandra." Shark bersuara lembut sangat sambil merapatkan kedua telapak tangan hingga aku dapat rasa lakonan dia memang menjadi untuk pujuk aku buat kerja mereka. Teruk betul!

"Sibuk apa? Dari korang melalak main muzik, ada baiknya siapkan benda ni sendiri. Kenapa aku pulak yang kena buat?" Aku masih tidak puas hati. Tidak ada kena mengena kot untuk aku bersusah-payah buat semua ini. Buang masa aku saja. Aku ada banyak lagi kerja lain yang perlu diutamakan.

"Aku nak kau yang buat. Full stop! Pastikan siap sebelum lusa. Kalau kau degil tak nak buat jugak, kau akan tahu apa aku akan buat pada kau nanti. So, be good, Xandra. Buat apa yang aku suruh dan aku tak akan susahkan kau. Okey?" Sekali lagi dia lunakkan suara ketika menyebut perkataan 'okey'. Cheh! Dasar jerung. Tahu nak makan orang saja kerjanya. Kepalaku yang bertutup hoodie digosoknya. Melampau sungguh!

Shark sudah memulakan langkah dengan diikuti oleh rakan-rakannya. Aku sedikit kelam kabut. Nasib baik otakku cepat mencerna.

"Wei! Mana aku tahu turutannya. Wei!"

"Find it yourself or else you are in trouble, Xandra. Make sure it could be done before the day after tomorrow."

Gilalah dia ni! Aku pandang fail yang berada di tangan. Aku teliti setiap nama yang tertera. Eh! Macam kurang satu fail saja. Kris punya mana? Aku panggung kepala untuk memanggil mereka semula tapi... aku tersentak bila wajah Kris yang aku tatap. Dia sedang berdiri di hadapanku sekarang ini.

"You punya mana?"

"I dah siapkan. Jumpa I kat port biasa lepas kelas petang ni. Nanti I tolong you siapakan." Kris juga berlalu sebelum sempat aku balas kata-katanya. Ternganga aku dibuatnya. Pastinya dia tidak mahu rakan-rakannya perasan dia berbicara begitu denganku. Kami sama-sama menyimpan rahsia. Masih tidak terhidu oleh yang lainnya bahawa kami kerap bertemu di port biasa yang dia maksudkan itu.

Aku sebenarnya tadi mahu beritahu Kris yang aku kena bergegas ke tempat kerja sehabis kuliahku. Tapi, keadaan sudah jadi begini, aku kena beritahu Kak Nishalah jawabnya yang aku akan lewat sedikit. Apa sudah jadi? Xandra kena buli? Apa ni? Oh! Tidak...

"LAMBAT!" komennya tanpa melihat siapa yang datang pun. Yakin betul bahawa aku yang berdiri di belakangnya. Dia, asyik sekali merenung pemandangan luas di hadapan kami. Seperti yang aku katakan dulu, dari tingkat ini kami dapat melihat seluruh kawasan kolej.

"Sorry, I ada perbincangan dengan Cik Ayumi. Nak siapkan assignment yang dia beri," terangku perlahan. Fail-fail yang dari pagi aku bawa, masih kudakap. Nasib baik nama-nama yang tertera tidak automatik masuk ke dalam hati. Jika tidak, parah aku dibutnya. Sekali tiga orang masuk dalam jiwa. Kau larat?

"Assignment pasal apa?"

"Ekonomi."

"Nanti I tolong you siapakan."

Keningku berkerut.

"You ni ambil bidang apa sebenarnya? Semua benda you boleh buat." Sungguh, aku pelik dengan dia ini. Setahu aku dia ambil jurusan IT dan teknologi.

"Kenapa? Budak IT tak boleh belajar ekonomi, business dan sebagainya, ke? I tak ada buat apa selepas habis kolej, Xandra. Ada baiknya I pergi kelas-kelas yang I rasa nak pergi. Tak kisahlah kalau kena keluar duit lebih sikit bayar private lecturer. Buat sesuatu yang kita suka, tak salah, kan?" Suaranya sedikit tinggi. Terkedu aku dibuatnya.

Aku silap cakap agaknya. Hendak melenting pula mamat seorang ni. Haish!

"Bukan macam tu... Betul, ia tak salah pun. In fact, ia baik untuk masa depan you. Banyak yang you tahu. Sorry, I lupa yang you pernah cakap, you ambil business study jugak. Tapi, you tak penat ke ambil semua bidang tu."

"Tak. Ilmu tak akan habis kalau kita nak cari, kan? So, selagi I mampu, I belajarlah."

"You nak jadi apa sebenarnya?"

"Jadi oranglah," jawabnya diiringi senyum. Hah! Kan segak senyum macam tu. Aku suka. Yang aku tidak suka, dia saja mahu kenakan aku. Tahulah hendak jadi orang. Siapa yang nak jadi binatang. Sekarang ni belum cukup jadi orang, ke? Badan dia separuh besi macam robot agaknya.

"Boleh kita mula?" Ubah topik. Sudah tiada modal mahu berbahas pasal study.

Kris pandang aku. Kemudian matanya turun ke arah fail-fail yang aku dakap.

"Oh! Sure. How many time do you have to finish all this? You nak cepat, ke?" jawabnya sambil menyoal setelah faham apa yang aku maksudkan. Sengaja buat lupa ke apa? Dia ingat aku datang sini sebab mahu berdating dengan dia, ke? Maaflah ya! Kris selamba duduk di atas lantai simen. Beg sandangnya diletakkan di sisi. Aku turut lakukan yang sama. Duduk bersila dan mencari selesa. Nasib baik aku suka pakai jean. Senanglah nak gayakan duduk macam mana pun. Fail-fail tadi sudah kuletakkan di depan kami.

"Kalau boleh kita siapkan secepat mungkinlah. I kena masuk kerja macam biasa."

"Okay then. Meh I tunjukkan cara susunnya. You boleh tengok contoh susunan fail I yang dah siap ni jugak," arahnya lembut. Aku fokuskan perhatian terhadap dirinya. Tekun aku mendengar arahannya.

"Boleh tahan padat isi kandungan assignment you all ni, ya. Lengkap dan teratur. Nampak aje macam kacang hantu tapi boleh tahan," komenku setelah membaca secara rawak apa yang terdapat di dalamnya. Aku kira fakta-fakta dan contoh semua lengkap. Tiada yang kurang.

Kris ketawa. Dia pandang aku sekilas sebelum menyambung kerjanya.

"Kenapa? You ingat we all ni belajar main-main, ke? Mahal-mahal mak bapak hantar masuk sini, lepas tu sekadar buang masa, tenaga dan duit aje. Macam tu?"

Dia terasa, ke?


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin