Home Novel Cinta AJARKAN AKU CINTA
AJARKAN AKU CINTA
Dea Zoraya
21/6/2019 15:16:27
67,485
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

“Don’t worry. Aja aja fighting!” Ikmal menggengam tangannya dan menggoncangkanya di hadapanku seperti di dalam drama Full House yang membuatkan aku tergelak besar.

“Bukan kau tak suka K-pop ke? Bagi kau mengelikan. Comel wei kau buat macam tu!” Aku ketawa sehingga berair mata kerana aku sedia tahu bahawa Ikmal memang tak suka segala-galanya tentang K-pop lebih-lebih lagi terhadap artis lelaki Korea yang mempunyai kulit cerah dan berkarakter lembut seperti wanita.

Ikmal turut ketawa. “At least kau ketawa. Stay strong. Aku ke depan dulu.”

“Thanks kawan! Anyway esok aku masuk shif petang.” Aku mengingatkan ketika Ikmal bangun untuk keluar dari bilik rehat itu.

Ikmal berhenti sebentar di luar pintu. “Kawan...” ujarnya perlahan. 

Malam itu usai selesai operasi kafe sekitar jam sebelas malam, seperti biasa aku akan berjalan menuju ke perhentian bas yang terletak lebih kurang 100 meter dari kafe. Aku menyelak rambut pendekku ke belakang sebelum hood jaket yang tersarung di tubuh aku capai untuk menutupi bahagian kepala.

“Alamak...hujan renyai pula. Payung aku tertinggal dekat kafe, nak patah balik macam dah separuh jalan.” Aku mengomel sendirian sebelum aku mempercepatkan langkah untuk menuju ke arah perhentian bas yang terletak lebih kurang tiga puluh meter lagi di seberang jalan sana.

Aku menoleh ke kiri dan aku dapati tiada kenderaan menghampiri, lalu aku segera berlari untuk melintasi jalan raya tanpa menoleh ke bahagian kanan terlebih dahulu.

Pon! Bunyi hon yang kuat mengejutkanku. Mataku membulat memandang ke arah cermin hadapan kereta itu tanpa dapat melihat dengan jelas wajah pemandu dek kerana kegelapan malam dan juga sinar lampu kereta yang menderang. Aku mengangkat tangan berulang kali tanda memohon maaf di atas kecuaianku yang tergesa-gesa melintas jalan raya tanpa melihat dengan baik ke arah kiri dan kanan terlebih dahulu. Aku kemudian segera berlari ke arah seberang jalan dan terus menaiki bas yang kebetulan berhenti untuk membawaku pulang ke rumah.


“AKAK ni Janna Nick ke?” pertanyaan seorang gadis yang melintas di hadapanku membuatkan aku tergelak besar.

“Eh bukanlah, muka akak nampak sama dengan Janna Nick ke?” ujarku sambil memegang bahagian hadapan rambutku yang dipotong pendek. 

Aku berpura-pura malu sedangkan di dalam hati terasa ‘kembang’ apabila ada yang menegurku seiras dengan artis terkenal itu. Ini bukan kali pertama ada yang menegur seperti ini dan sering itu jugalah aku sering berangan-angan untuk menceburi bidang industri hiburan, mana tahu nasibku akan lebih baik jika bergelar selebriti kelak.

“Maaf ya kak,” gadis itu berlalu meninggalkanku.

Aku membetulkan baju blaus biru muda yang tersarung di tubuh sebelum aku meneruskan melangkah menuju ke arah dewan yang sebentar nanti akan berlangsungnya majlis graduasi Natasha, anak buahku yang berumur enam tahun. Sudah menjadi trend terkini pihak tadika atau sekolah akan mengadakan majlis graduasi seakan-akan graduan yang menerima skrol selepas tamat pengajian di pusat pengajian tinggi. Bagiku majlis seperti itu bagus dalam membentuk dan mendedahkan kepada para pelajar cilik tentang gambaran sebenar apabila bergelar graduan kelak. 

Aku mendaftarkan diri di meja urusetia yang terletak di luar pintu masuk dewan itu dan memaklumkan kepada urusetia bahawa aku merupakan wakil penjaga kepada pelajar bernama Natasha dari kelas Bunga Raya kerana ibunya akan datang lewat sedikit.

Selesai sesi pendaftaran, aku masuk ke dalam dewan dan mataku terus melilau bagi mencari kelibat si comel Natasha. Jumpa! Kanak-kanak comel itu sedang berada di tepi pentas utama dan sejurus dia terlihat kelibatku, Natasha melambai-lambaikan tangannya.

Namun ketika aku ingin mencari tempat duduk berdasarkan nombor yang diberikan  oleh urusetia di luar tadi tidak semena-mena di dalam keriuhan ibu dan bapa sedang mencari nombor tempat duduk atau yang sedang mencari anak masing-masing itu, secara tidak sengaja aku terpijak kaki seseorang.

“Aduh!” Adu lelaki yang sedang tunduk sambil mengosok bahagian jari kakinya yang bersarung kasut itu.

“Maafkan saya, Encik. Saya tak perasan terpijak kaki Encik,” pintaku yang benar-benar rasa bersalah.

Aku melemparkan senyuman ke arah lelaki berkemeja kelabu dan bercermin mata berbingkai besar itu dengan harapan permohonan maafku diterima. Aku melihat lelaki itu memusingkan badannya sejurus dia terlihat wajahku. Entah apa yang ditakutkannya pun aku tidak tahu.

“Aydin….errr kau Aydin kan?” tegurku setelah aku mengasah minda tatkala pertama kali aku memandang wajah lelaki itu.

Tanpa menunggu lama, aku pantas menuju ke hadapannya untuk melihat wajahnya dengan lebih jelas. Cermin mata besar yang tergantung di batang hidung jejaka itu yang membuatkan ingatanku jatuh mengimbau kenangan lalu.

“Ya…betul lah kau Aydin, kau masih ingat aku kan? Atelia!” Aku berasa teruja.

Setelah sekian lama tamat alam persekolahan, amat jarang sekali aku dapat bertembung dengan rakan sebayaku. Iyalah ini kerana mereka masing-masing berasal daripada keluarga senang jadi sudah tentu mereka semua kini sedang melanjutkan pelajaran atau bekerja di luar negara. Bukan seperti aku yang terperangkap di dalam rumah Hairi selama bertahun-tahun.

Anggukan lelaki itu membuatkan senyumanku semakin melebar. 

“Wei! Dah lama gila aku tak nampak kau? Kau buat apa sekarang ni?” begitu ramah aku bertanya walaupun aku perasan Aydin  bagaikan tidak selesa dilayan sebegitu.

“Assalamualaikum Atelia,” suara Aydin yang tenang dan bernada lembut itu membuatkan aku berasa sedikit segan.

“Waalaikumsalam. Err…maaflah kalau aku nampak macam beriya-iya. Bukan apa aku teruja dapat berjumpa dengan kau selepas bertahun lamanya masa berlalu. Kau apa khabar?”

“Aku baik, sihat alhamdulillah. Kau sihat? Buat apa di sini?” soal Aydin sekadar untuk beramah mesra terhadap kawan lama.

“Eh! Nombor tempat duduk kita bersebelahan aje rupanya. Jom duduk dulu,” ajakku riang ketika aku terlihat kertas bernombor yang sedang berada di tangan Aydin.

 Aydin nampak gusar dengan ajakanku itu. 

“Aydin…duduklah, majlis dah nak mula tu,” ajakku lagi yang membuatkan Aydin tidak dapat beralasan lagi.

Perlahan-lahan jejaka pemalu itu duduk di kerusi bersebelahanku. Matanya sempat memandang ke bahagian hadapan dan melambai ke arah seorang kanak-kanak lelaki. 

“Anak ke?” soalku yang menjadi pemerhati gerak geri Aydin yang sedang memandang ke arah seorang kanak-kanak lelaki yang memakai baju biru tua yang sedang berbual-bual dengan Natasha.

Aydin tunduk lantas menggeleng. “Anak buah.” 

Aku ketawa. Ternyata karakter Aydin yang sedang duduk di sebelahku kini langsung tidak berubah dengan Aydin yang aku kenali sejak kami berumur tiga belas tahun. Perwatakan lelaki itu yang pemalu, pendiam dan sedikit konservatif semakin membuatkan mindaku lebih segar untuk mengingati kisah-kisah lalu ketika kami di alam persekolahan.

“Aku pun datang tengok anak buah. Budak comel yang sedang berbual dengan anak saudara kau tu namanya Natasha, anak Kak Nadia,” ujarku.

Aydin tersenyum sambil matanya mendarat ke arah wajah comel Natasha. 

“Comel anak Kak Nadia. Kakak kau apa khabar?” tanya Aydin sementelah dia mengenali kakakku Nadia.

 “Nadia sihat, bahagia bersama suami tercinta,” balasku.

“Hairi, suami kau apa khabar? Aku harap kau dan Hairi berbahagia sehingga ke hari ini. Dah ada berapa orang anak ni?” soalan Aydin itu terasa seperti halilintar yang memanah hatiku.

Aku tidak mahu membuka pekung di dada dengan bercerita tentang masalah rumah tangga yang pernah aku alami dan kini aku sedang memegang status seorang janda. Aku berasa malu dengan Aydin dan tidak mungkin aku akan berterus terang dengan Aydin tentang penceraianku dengan Hairi.  Aku malu kerana pernah memalukan Aydin dan menolak cinta jejaka itu semata-mata kerana aku memilih cinta Hairi. Namun pada pengakhirannya, cinta kami berdua tidak kesampaian dan terkandas di tengah jalan. Malahan diriku dilayan dengan sebegitu teruk sehinggakan aku menjadi trauma untuk mendekati seorang lelaki yang bergelar teman istimewa.

“Er…Hairi okay aje,” balasku ringkas kerana aku buntu untuk menyusun jawapan.

Rasa kekok segera aku atasi dengan bertanya tentang diri Aydin. “Kau kerja apa sekarang ni? Dah berkahwin?” 

Aydin membetulkan cermin matanya yang melurut sebelum matanya memandang wajahku sekilas. 

“Aku arkitek. Err…belum kahwin lagi,” balas Aydin agak segan dengan soalan cepu emas itu.

“Kau buat apa sekarang? Jadi pramugari seperti yang kau impikan ke?” kali ini soalan Aydin pula yang membuatkan aku mula rasa berpeluh.

Aku berasa bersalah untuk membohongi Aydin namun di dalam masa yang sama aku tidak mahu nampak lemah di hadapan Aydin. Aku mahu Aydin fikir yang diriku sedang berbahagia bersama Hairi dan juga mempunyai pekerjaan yang glamour di awan biru dan bukanlah seorang pelayan kafe yang mengambil pesanan atau membersihkan sisa makanan di atas meja.

Aku buat-buat ketawa. “Aku happy terbang keliling dunia. Boleh tengok banyak tempat yang cantik dan mempunyai ramai kenalan,” ceritaku yang ternyata  wujud di dalam fantasinya sahaja. Hakikatnya aku tidak pernah meneruskan impian untuk bergelar pramugari di syarikat penerbangan terkemuka. 

Aku menyorokkan tangan kiriku yang terdapat kesan melecur lama daripada dilihat Aydin. Ingatanku tiba-tiba terbang mengingati bagaimana Hairi menyiram tanganku dengan sup panas yang sedang menggelegak di atas dapur tanpa sedikit pun rasa belas kasihan. Punca kemarahan Hairi adalah kerana ibu mertuaku mendakwa aku telah menolaknya jatuh dari anak tangga sehingga kakinya terseliuh. Kerana parut itu jugalah aku tidak menepati kriteria yang diperlukan untuk bergelar seorang pramugari kerana mempunyai tangan dan jari yang cantik merupakan salah satu faktor utama pemilihan untuk berjaya di dalam sesi temuduga. 

Hari itu jugalah merupakan hari terakhir aku tinggal di dalam rumah ‘neraka’ itu apabila aku mengambil keputusan untuk lari jauh dari Hairi walaupun tanpa arah tujuan yang pasti. 

“Good for you,” ujar Aydin ringkas.

Aku perasan Aydin seakan-akan tidak berminat untuk berbual-bual denganku. Bukan kerana lelaki itu pemalu tetapi ada sesuatu yang Aydin sembunyikan dan aku terasa pasti ada sebab berat yang membuatkan Aydin cuba mengelak dari bertentang mata denganku. Lelaki itu nampak tidak senang duduk sejak tadi dan  juga seringkali menoleh ke arah lain tanpa memandang lama wajahku. Aku tahu Aydin bagaikan acuh tidak  acuh untuk berbual denganku kerana pasti dia sedang mengingati kejadian dahulu yang pernah berlaku di antara kami berdua.

“Aydin...aku minta maaf sebab pernah sakitkan hati kau dulu. Aku sedar masa tu aku sombong, aku ego...sampaikan aku dah malukan kau depan kawan-kawan lain. Aku tahu benda tu dah lama jadi tapi aku rasa tak sedap hati selagi aku tak minta maaf dari kau. Lepas dapat keputusan SPM aku ada cari kau tapi mak kau kata kau dah sambung belajar ke luar negara. Aku harap kau jangan simpan dendam...rasa benci ke kat aku ya,” pintaku di dalam rasa bersalah.

Aydin senyum nipis sebelum menggeleng. “Hal dah lama berlalu. Kita pun masih mentah masa tu. Aku tak simpan dalam hati.”

“Tapi kenapa kau nampak macam tak senang duduk aje ni?” soalku berani.

“Aku tak selesa duduk dekat-dekat dengan perempuan, lebih-lebih lagi kau ni isteri orang. Aku rasa tak manis kita berbual lama-lama. Bukan apa aku takut timbul cerita yang tidak elok yang akan menjejaskan hubungan kau dengan Hairi pulak,” balas Aydin yang benar-benar memaksudkannya.

Aku terdiam. Ternyata personalitiku yang peramah dan ceria telah membuatkan Aydin berasa tidak selesa. Aku kemudian menfokuskan mata ke arah pentas kerana majlis graduasi Natasha akan berlangsung sebentar nanti. Jam di pergelangan tangan aku kerling sebentar dan jarum sedang menunjukkan jam 3.03 minit petang. Kalau diikutkan Nadia akan datang pada waktu ini untuk melihat majlis graduasi Natasha kerana aku perlu masuk kerja pada syif petang dan tidak boleh berlama-lama di sini. 

Aku berasa tidak sedap hati untuk mengambil cuti pada hujung minggu sementelah waktu cuti rehat begini lebih ramai pelanggan akan datang berkunjung ke kafe berbanding hari-hari biasa. Oleh itu pasti rakan-rakan sekerjaku tidak menang tangan untuk melayani pelanggan dan kerana itu aku mengambil keputusan untuk datang bertugas walaupun sedikit lewat dari waktu operasi sebenar.

Beep! Bunyi satu pesanan ringkas masuk ke dalam telefon bimbitku. 

‘Akak dah sampai parking, kejap lagi masuk dewan.’ – Nadia

‘Okay. Seat nombor 45 ya.’ – Aku

Aku mencapai beg tangan di atas lantai dan menyandangnya ke bahu dan perlakuanku itu diperhatikan oleh Aydin. 

“Aydin...aku gerak dulu, kena masuk kerja petang ni.” Aku meminta diri.

“Ke mana?”

“Err...ke mana maksud kau?” Aku sedikit blur dengan soalan Aydin itu.

“Maksud aku...kau terbang ke mana,” tambah Aydin.

“Oh! Dalam Malaysia aje” Aku terpaksa menipu sekali lagi sebelum aku meminta diri untuk beredar.

Sungguh aku tidak ada niat langsung untuk membohongi Aydin. Namun entah mengapa aku masih tidak bersedia untuk menceritakan realiti kehidupanku kepadanya. Mungkin kerana perasaan bersalah yang masih menjalar di dalam diriku terhadapnya apabila aku pernah menolak cintanya. Bukan itu sahaja bahkan aku telah memalukannya di hadapan kawan-kawan kami ketika majlis makan malam sejurus tamat peperiksaan SPM. Tidak habis di situ aku telah tergamak menolaknya ke dalam kolam dan tindakan aku itu telah diviralkan oleh salah seorang rakan kami yang kemudian memuatnaik video itu di laman sosial.

Kini aku telah menyedari akan keegoaan laluku. Aku tidak akan sesekali mengulangi sifat sombong, ego dan memandang rendah terhadap orang lain lagi. Cukuplah aku menerima pengajaran setimpal dengan layanan buruk Hairi terhadapku. Aku berharap pertemuanku dengan Aydin ini biarlah menjadi sebuah pertemuan yang terakhir di antara kami. Aku selesa berfikiran sebegitu.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.