Home Novel Cinta AJARKAN AKU CINTA
AJARKAN AKU CINTA
Dea Zoraya
21/6/2019 15:16:27
66,398
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Aydin menoleh ke arahku. Berkerut dahinya memandang ke arah uniform yang tersarung di tubuhku. “Atilea? Buat apa di sini?”

Aku mengetap bibir sambil menahan rasa malu dan rasa menyesal yang teramat kerana aku telah menipu tentang kerjayaku kepada Aydin sebelum ini telah memakan diriku sendiri. 

“Okay....aku sebenarnya bukan pramugari. Aku menipu kau sebab aku tak nak kau pandang rendah pada aku yang dah jatuh miskin. Ya...aku bekerja di sini sebagai pelayan.” Aku membuat pengakuan sambil menutup rapat kedua-dua belah mataku kerana aku berasa terlalu malu.

Kebisuan Aydin membuatkan hatiku terasa semakin berdebar-debar. Di dalam hati tertanya-tanya adakah lelaki itu telah beredar kerana terlalu marah dengan penipuanku? Atau dia masih duduk di sana kerana terlalu terkejut? Perlahan-lahan aku membuka kedua-dua belah kelopak mata dan aku lihat Aydin masih di sana bersama senyuman nipis di bibirnya.

“Kenapa kau senyum?” tanyaku pelik.

Aydin menggeleng dan menunduk malu. “Aku dah pernah nampak kau kat sini sebelum ni...err jadi aku tahu kau kerja kat sini,” ujarnya yang membuatkan mulutku melopong.

“Jadi kau dah tahu aku kerja sini sebelum kita jumpa kat majlis graduasi Natasha lagi?” soalku lagi mahukan kepastian.

“Tahu.”

Aku menepuk dahiku. “Habis kenapa kau siap tanya aku terbang ke mana hari tu walaupun kau tahu aku ni kerja sebagai seorang pelayan aje?”

Aydin membetulkan cermin matanya. “Aku rasa tak sampai hati nak potong cerita kau hari tu dan err... masa tu aku fikir juga mungkin kau buat dua kerja dalam satu masa. Sebagai pramugari dan sebagai pelayan kafe.”

Aydin memang benar-benar lurus dan karakternya itu tidak pernah berubah sejak dulu. Kadang-kadang sifat naifnya itu menyebalkan juga.

“Aydin...malunya aku.” Aku menerkup wajahku dengan kedua-dua belah tangan.

“Aku minta maaf Atilea. Aku tak sengaja. Aku yang salah.” 

Aku menggeleng. “Aku yang salah kerana telah menipu kau. Aku minta maaf. Banyak benda yang telah berlaku pada aku setelah kau pergi, setelah aku memutuskan persahabatan kita. Jadi aku...err...tak mengapalah. Kau nak makan apa?” 

Aku tersedar dari tidak membuka sebarang rahsia hidupku kepada lelaki itu.

“Aku nak white coffee ice dan spaghetti bolognese.”

Aku segera mencatit pesanannya itu dan meminta diri untuk memasukkan pesanannya itu ke dalam sistem menu yang terletak di tepi kaunter pembayaran. Lebih kurang lima minit kemudian, aku kembali kepada Aydin bersama segelas besar white coffee ice di tangan lalu aku letakkan di atas meja.

“Enjoy your drink!” kataku ramah.

“Thank you,” ucap Aydin. Aku sekadar tersenyum.

“Atilea!” panggil Aydin yang membuatkan aku kembali menoleh ke arahnya.

“Ada apa pesanan lain?” ujarku.

Aydin menggeleng. “Habis kerja pukul berapa?” soalnya yang nampak malu-malu.

Aku memandang sekilas ke arah jam yang tergantung di dinding yang menunjukkan pukul 9.30 malam. “Waktu operasi kafe tamat pukul sepuluh. Biasa sebelum pukul sebelas kami dah siap berkemas.”

“Kau balik naik bas ke?” soal Aydin lagi.

Aku tergelak kerana terfikir bagaimana lelaki itu mengetahui yang aku pergi dan balik ke tempat kerja dengan menaiki bas sedangkan ini kali pertama aku melihat dia berkujung ke kafe ini.

“Macam mana kau tahu aku naik bas? Are you stalking me?” kataku sengaja mengusiknya.

Wajah Aydin nampak gusar. Dia melambai-lambaikan kedua-dua belah tangannya tanda dia tidak berbuat seperti yang aku katakan. “Aku tak intip kau, Atilea. Aku pernah ternampak kau aje kat depan kafe ni,” ujar Aydin gugup.

Aku ketawa geli hati. Namun aku merendahkan ton tatkala aku terlihat Ikmal yang sedang memandang lama ke arahku. Aku khuatir juga jika Ikmal berasakan yang aku sedang leka berbual-bual dengan pelanggan dan mengabaikan tugas-tugas lainku.

“Okay...aku percayakan kau,” kataku perlahan.

“Err...sebenarnya beberapa hari yang lalu...kalau kau masih ingat, kau hampir dilanggar oleh sebuah kereta semasa melintasi jalan kat depan sana tu. Aku lah yang memandu kereta tu. Itu kali pertama aku ternampak kau setelah sekian lama dan sebab tu aku tahu kau balik kerja naik bas,” cerita Aydin yang membuatkan aku sedikit terkejut.

“Oh! Jadi kau lah pemandu kereta tu? Aku minta maaf kerana tergesa-gesa melintas hari tu. Maaflah sebab dah buat kau terkejut.” Aku meminta maaf kerana memikirkan mungkin sebuah kemalangan akan terjadi akibat kecuaianku.

Aydin senyum nipis. 

Aku memandangnya bersama riak curiga. “Kau nak hantar aku balik ya? Sebab tu kau tanya aku balik baik apa kan...kan? Kan?” 

Aku memang begini. Gemar bergurau dan mengusik orang disekelilingku. Dulu personalitiku tidak begini, namun setelah aku berkenalan dengan Kak Zaliha secara automatik karakterku turut berubah menjadi ceria dan sentiasa positif. Itu yang aku pelajari daripada Kak Zaliha yang turut mengalami nasib yang sama sepertiku yang menderita apabila berkahwin dengan seorang kaki pukul.

Pipi Aydin yang nampak kemerah-merahan itu mencuit hatiku. Lelaki itu tunduk sambil menyedut air minuman di hadapannya. 

“Aku hantar kau balik, kalau kau sudi.” 

“Okay! Tapi kau kena tunggu aku. Boleh?” Aku segera memberi jawapan tanpa menunggu lama.

Mata Aydin nampak bersinar-sinar ketika aku menerima pelawaannya itu. “Boleh, terima kasih Atilea,” katanya persis seorang lelaki budiman.

Aku mengangguk sebelum aku beredar bagi menyambung tugasku. Ketika aku melintasi kaunter pembayaran, Ikmal menegurku.

“Siapa tu? Kau kenal ke?” soalnya.

Aku mengangguk. “Aydin, dia kawan aku masa sekolah dulu. Lama aku tak jumpa dia...dekat sembilan tahun macam tu.”

Ikmal mengangguk kecil. “Kawan yang macam mana?” 

“Maksud kau? Kawan macam mana ni?” soalku pula.

Ikmal tergelak. “Maksud aku...kawan biasa atau kawan istimewa?”

Aku pula tergelak. “Sibuk aje nak tau,” kataku yang berlalu meninggalkannya dalam tanda tanya.

“Ati...apa jawapannya? Biasa atau istimewa?” teriak Ikmal namun di dalam suara yang dikawal.

“No comment!” kataku yang geli hati melihat tingkah lelaki itu yang memang sejak dulu memang begitu. Ikmal akan menyoalku apabila setiap kali jika ada pelanggan lelaki yang berbual-bual dengannku.

Cemburu mungkin? Atas dasar kawan? Atau ada rasa lain yang bermain-main di dalam hati lelaki itu? Entah.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.