Home Novel Cinta Bitter Honey (Sudah Terbit)
Bitter Honey (Sudah Terbit)
Meja Editor
5/9/2023 10:02:46
12,069
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

"AIDIL!" Panggilan Puan Mariam menyedarkan Aidil yang sedang khusyuk menonton berita di televisyen.

"Ya, mak." Dia mengalihkan perhatian kepada ibunya.

"Minggu depan mak dengan abah dah nak berangkat ke Mekah. Barang-barang hang semua dah siap? Kami tak dak masa hang nak pindah nanti." Risau Puan Mariam hendak meninggalkan anak bujangnya itu.

"Mak ni... macam Aidil baru nak masuk darjah satu pulak." Sindir Aidil beralas.

"Betul tu, Mariam. Sepuluh tahun anak kita tu kat luar negara. Kerja kat sana, belajar kat sana, tak dak masalah apa pun." Tiba-tiba Ustaz Azmi mencelah.

"Tak payahlah dok risau sangat. Pandailah dia nak jaga diri. Elok risaukan hal-hal kita yang nak ke Mekah tu. Tak lama dah ni," sambung Ustaz Azmi.

"ALLAH... abang ni. Saya ni kan mak dia? Mestilah risau," omel Puan Mariam.

"Aidil bukannya muda lagi. Tak nak kahwin ka? Dulu elok-elok dah bertunang, putus..." sekelip mata Puan Mariam menukar topik perbualan.

"Tak pa la, mak. Elok putus tunang daripada dah kahwin, bercerai-berai pulak," jawab Aidil selamba.

"Tak pun, mak carikanlah!" balas Puan Mariam. Kedengaran teruja nada suaranya.

Tergamam Aidil mendengar usul daripada ibunya itu. Ritma jantungnya ada tanda-tanda akan diserang panik. Ustaz Azmi hanya diam memasang telinga sambil matanya ralit meneliti kitab di tangannya.Alamak, Hannah macam mana? Tak boleh jadi ni, takkan nak biar mak potong line kot? Hati Aidil mula merusuh.

"Apa kata mak pinangkan..." Belum sempat ibunya menghabiskan ayat, Aidil langsung mencelah.

"Pak Cik Zainal?" Bertaut kening Puan Mariam apabila Aidil tiba-tiba menyebut nama teman baik suaminya itu.

"Mak dan abah tolong pinangkan anak Pak Cik Zainal untuk Aidil!" Aidil meluahkan isi hatinya dengan lebih terang dan jelas.

Terdiam Puan Mariam. Permintaan anak tunggalnya itu tidak dijangka. Dia memerlukan sedikit masa untuk menghadamnya.

Alhamdulillah... akhirnya. Hati Ustaz Azmi berbisik. Dia tersenyum simpul sendirian.

Ustaz Azmi sedar Nurul Hannah mempunyai tempat yang istimewa di dalam hati anaknya. Tetapi dia tidak faham, kenapa Aidil tidak pernah menyuarakannya. Betullah bagai dikata, jodoh, rezeki dan maut semuanya di tangan Tuhan. Setelah berbelas-belas tahun memendam perasaan, baru kini ALLAH membuka pintu hati Aidil untuk meluahkannya.

"Nurul Hannah?" Puan Mariam meminta kepastian.

"Ya, mak... Nurul Hannah. Aidil sebenarnya dah lama sukakan Hannah." Aidil memandang wajah ibunya. Dia cuba untuk meneka riak wajah wanita itu, sama ada permintaannya itu menyenangkan hati ibunya atau sebaliknya.

"Tapi mak tahulah Hannah tu, serius memanjang. Itu yang Aidil tak berani nak dekat," sambungnya. Puan Mariam diam lagi. Seolah ada sesuatu yang sedang bermain di fikirannya.

"Apa kata mak pinangkan Damia? Mak dan Mak Long Mashitah dah lama merancang nak satukan Aidil dan Damia."

Bulat mata Aidil mendengarnya. Damia? Oh, tidak! Aidil menganggap Damia tak ubah seperti adiknya sendiri. Tidak sanggup dia hendak menikahi gadis itu.

"Eh, tak maulah, mak." Aidil menolak lembut.

"Tapi, Aidil... mak suka kalau Aidil kahwin dengan Damia." Puan Mariam cuba memujuk.

Dia dan kak longnya sudah lama berkira-kira hendak menyatukan Aidil dan Damia. Rancangan mereka ini diusulkan oleh kak longnya sendiri. Semuanya kerana tanah pusaka keluarga mereka yang berekar-ekar di kampung itu.

Kak long berkeras tidak mahu tanah pusaka milik mereka jatuh ke tangan orang luar. Katanya bersusah payah nenek moyang kita mendapatkan tanah-tanah pusaka itu. Nanti senang-senang sahaja tergadai! Kalau Adil berkahwin dengan Damia, maka tanah-tanah pusaka itu akan kekal berada di dalam lingkungan keluarga mereka. Hujah-hujahnya itu berjaya mempengaruhi Puan Mariam.

"Bukan apa, cuba Aidil fikir tentang tanah-tanah pusaka keluarga kita tu." Puan Mariam mengerling ke arah Ustaz Azmi. Suaminya itu sejak tadi hanya diam menyepi.

"Kalau Aidil menikah dengan Damia, taklah tanah-tanah tu jatuh ke tangan orang luar."

"Mariam..." Akhirnya Ustaz Azmi bersuara. "Apa yang Mariam cakap ni? Mariam nak Aidil dan Damia menikah semata-mata sebab tanah? Mariam rasa adil tak untuk depa?"

Puan Mariam menundukkan wajah. Dia akui kebenaran kata-kata suaminya itu. Tidak adil untuk dia memaksa anaknya. Tetapi ini berkenaan tanah pusaka keluarga mereka. Selagi mampu dia perlu melindunginya!

Tidak dinafikan sememang Puan Mariam sayangkan tanah pusaka keluarganya, namun jika dibandingkan dengan Puan Masyitah, kak longnya itu sangat taksub. Mungkin kerana dia anak sulung. Jadi dia bersungguh-sungguh ingin memastikan tanah pusaka mereka itu tidak terlepas ke tangan orang luar.

"Sudahlah!" Ustaz Azmi menghela nafas. Sebagai ketua keluarga biar dia yang memberi kata putus demi kebahagiaan anak tunggalnya.

"Kebetulan Pak Cik Zainal pun masih lagi di kampung. Esok abah akan pergi berbincang dengan dia. Tengok apa katanya."

Kata-kata Ustaz Azmi meredakan kegusaran dan secara tidak langsung memberikan harapan di hati Aidil, tetapi dia sedikit terkilan dengan pendirian ibunya. Dia berharap sangat ibunya turut gembira dengan pilihan hatinya.

Sebagai seorang isteri yang taat, Puan Mariam terpaksa akur dengan keputusan suaminya. Dia tidak berani membantah. Tetapi dalam masa yang sama dia sudah pun terbayang-bayangkan amarah kak longnya apabila berita ini sampai ke telinganya nanti.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.