Home Novel Cinta Bertaut kembali
Bertaut kembali
Miss cactus
29/10/2019 10:47:44
9,441
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

    MAWAR mendengus marah. Sudah berkali-kali dia mengatakan bahawa dirinya tidak mahukan Malik tapi ayahnya tidak habis-habis memaksanya untuk menerima Malik menjadi suaminya. Bukan sengaja mahu menjadi anak yang kurang ajar pada ayahnya tapi dia memang tidak boleh menerima Malik. Lelaki itu bukan baik orangnya. Lagi pun dia mahu menjaga janjinya pada Daniel. Tidak mungkin dia akan memungkiri janji yang telah dibuatnya pada Daniel.

    “Malik tu banyak duit. Apa yang kamu nak lagi? Nak tunggu budak berhingus yang belajar jauh sana tu. Entah-entah dia dah jumpa perempuan lain dekat sana. Kau tu apa yang ada. Anak orang miskin saja. Ada hati nak jadi menantu orang kaya.” Ditolak kasar kepala Mawar yang sedang duduk bersimpuh di sebelah tubuh ibunya yang terbaring.

    “Jangan buat anak saya macam tu abang. Kasihanlah pada Mawar. Malik tu bukannya lelaki yang baik. Kaki judi sama macam abang. Lia tak nak Mawar bersuamikan lelaki macam tu.” Biar pun tubuhnya lemah tapi mulutnya masih kuat untuk berkata-kata. Selagi boleh dia akan menghalang niat suaminya untuk menyatukan Mawar dengan Malik. 

    “Aku ayah dia. Aku ada hak nak kahwinkan dia dengan siapa pun. Kau jangan halang aku. Kita dah banyak makan budi dengan Malik. Kalau tak kerana Malik, kau dah lama mereput dalam kubur.” Kasar nada suaranya pada anak dan isteri. Dia tidak peduli semua itu. Daniel memang anak orang kaya tapi dia tidak mendapat apa-apa faedah daripada lelaki itu tapi Malik mampu memenuhi kehendaknya. Oleh sebab itulah dia mahu segera menjodohkan Mawar dengan Malik. Banyak janji yang ditabur lelaki itu padanya. Tidak sabar mahu menerima wang ringgit yang dijanjikan Malik.

    “Mawar cintakan Dany. Mawar akan tunggu Dany. Mama dan papa Dany dah janji akan satukan kami bila Dany balik nanti. Mawar merayu pada ayah. Cukup-cukuplah berjudi. Berhentilah ayah.” Dia benar-benar memerlukan Daniel saat ini tapi lelaki itu sudah pun berada nun jauh di sana. Beribu batu darinya yang sedang sesak menghadapi masalah dari ayahnya.

    “Kau ingat orang kaya tu nak sangat terima kau jadi menantu. Kalau kau nak tahu, tujuan mereka hantar anak lelaki mereka tu ke luar negara semata-mata nak jauhkan dari kau saja. Mereka berlakon saja sukakan kau. Kalau kau tak percaya, kau sendiri boleh pergi jumpa mereka.” Hashim ketawa. Mawar dan Daniel telah ditipu hidup-hidup oleh Datuk Razak dan Datin Liza. Dia tahu kerana mereka sendiri memberikannya sejumlah wang untuk mengahwinkan Mawar dengan sesiapa saja sebelum Daniel pulang ke sini semula. Malik pula datang menawar diri, makin bergandalah loteri yang dia kena kali ini.

    “Ayah jangan tipu Mawar. Papa dan mama Dany orang yang baik-baik. Jangan sebab ayah termakan dengan budi duit yang ditabur Malik, ayah nak burukkan mereka.” Mawar berkata tegas. Bibirnya digigit geram. Mujur masih ada rasa hormat pada ayah kandungnya.

    “Terpulang pada kaulah Mawar. Aku cakap semua tak betul kan.” Dikeluarkan cek yang baru diterimanya beberapa hari yang lepas. Ditunjukkan pada Mawar.

    Mata Mawar bulat melihat jumlah yang tertera pada cek. Jelas tandatangan Datuk Razak di situ. Dia mengenali tandatangan itu sebab pernah melihat cek elaun milik Daniel. Perlahan-lahan air mata bercucuran di pipinya. Musnah segala kepercayaannya pada Datuk Razak dan isterinya. Selama ini mereka hanya bersandiwara menerima dirinya. Dia yang bodoh. Mencipta angan-angan mahu hidup di dalam keluarga kaya itu sedangkan, dirinya tidak pernah diterima sejak daripada mula lagi.

    “Sekarang kau dah tahu, kan? Tak guna nak tunggu budak lelaki tu lagi. Terima saja Malik. Lagi pun dia dah janji nak rawat ibu kamu yang sakit tu. Kalau kamu sayang ibu kamu, kamu terimalah Malik.” Lembut pula Hashim bersuara pada anaknya. Seakan memujuk pula. 

    Mawar merampas cek daripada tangan ayahnya. Dikoyak rakus cek tersebut. Dia kemudiannya mencampakkan kepingan cek yang sudah dikoyaknya tadi kepada ayahnya.

    Pang!

    Mawar sentuh pipinya yang sakit menerima penampar dari ayahnya. Dia sudah biasa ditampar begitu. Lebih daripada itu pun dia pernah terima dari ayahnya.

    “Anak tak mengenang budi. Yang kau bodoh sangat, kenapa?” Jerkah Hashim.

    Mawar diam. Dia menahan dirinya daripada menghamburkan rasa marahnya. Itu ayahnya. Sedaya upaya dia menahan diri daripada bersikap kurang ajar pada ayahnya.

    “Aku sanggup lakukan apa saja untuk kahwinkan kau dengan Malik. Kau jangan menyesal Mawar.” Hashim terus keluar dari ruang bilik yang sempit itu.

    Mawar menangis. Tubuh ibunya yang terbaring lemah dipeluk.

    “Ibu, Mawar sayangkan Dany. Mawar dah janji dengan Dany.” Tersedu-sedu Mawar di dalam dakapan ibunya.

    “Sabar nak. Ibu sentiasa doakan yang terbaik untuk Mawar. Kalau boleh ibu nak Mawar lari dari sini. Pergilah ke mana saja Mawar. Ibu tak sanggup nak lihat Mawar terseksa.” Lia juga turut mengalirkan air matanya. Dirinya terlalu lemah untuk membantu anaknya. Kedua-dua kakinya lumpuh. Hanya bahagia atas sahaja yang berfungsi. Hidup mereka sekeluarga berubah setelah dia terlibat di dalam kemalangan. Suaminya seakan tidak dapat menerima takdir yang berlaku di dalam hidup mereka. Dipaksanya  Mawar berhenti belajar. Mawar dikerah suaminya supaya bekerja. Anak yang sangat cemerlang belajar itu terpaksa melupakan impiannya demi menyara mereka suami isteri.

    Mawar menggeleng. Dia tidak sesekali akan meninggalkan ibunya. Jika dia pergi, ibunya akan dibawa sekali.

    “Mawar tak akan tinggalkan ibu.”

    “Ibu risau ayah paksa Mawar kahwin dengan Malik.” Jelas riak kerisauan di wajahnya. Dia tahu suaminya sanggup lakukan apa saja demi duit.

    “Mawar tak akan kahwin dengan Malik, ibu. Cinta Mawar hanya pada Dany.” Mawar sentiasa berpegang pada janjinya. Dia tidak akan sesekali memungkiri janjinya pada Daniel. Setiap hari dia berdoa, supaya jodohnya sentiasa ada bersama Daniel.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miss cactus