Home Novel Cinta Isteriku Bekas Banduan
Isteriku Bekas Banduan
Kasturi Madu
26/12/2020 06:27:16
84,229
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 13
Tepat jam 9 pagi Mawar dibawa ke mahkamah Bentong, Pahang dengan menaiki sebuah trak polis. Turut dibawa bersama adalah Imran. Tujuan mereka dibawa ke sana adalah bagi mengambil tempoh reman yang bakal diberikan oleh pihak mahkamah.


Wajah Mawar yang jelas pucat dan lesu itu membuatkan Imran serasa semakin bersalah. Matanya juga turut membengkak gara-gara menangisi nasib diri sepanjang ditahan di sel tahanan reman.


"Mawar... Aku... Aku nak minta maaf," ucap Imran.


"Untuk apa?" soal Mawar dingin.


"Untuk segalanya. Kalau aku dengar cakap kau supaya kita balik mesti kau takkan kena tangkap. Semuanya salah aku. Aku betul-betul minta maaf Mawar," ujar Imran bersalah.


"Kenapa Imran? Kenapa kau tak penah nak bagi tahu perkara sebenarnya dekat aku? Aku dah banyak kali tanya kau apa barang yang kita hantar. Tapi kenapa kau tak nak bagi tahu aku langsung pasal benda ni? Kenapa Imran? Apa dosa aku pada kau sampai kau pun sanggup nak aniaya aku?" sebak Mawar. Air matanya tumpah lagi.


"Ak... Aku terpaksa Mawar. Bukan niat aku nak aniaya kau. Sikit pun takde niat aku. Aku pun tersepit antara kau dan ugutan Jaiko dan Haris. Jujur aku cakap aku pun memang dah ada niat nak berhenti daripada kerja-kerja kotor ni semua. Tapi aku tak sangka jadi sampai macam ni," jujur Imran.


"Semuanya dah terlambat Imran. Aku betul-betul kecewa dengan kau. Aku percayakan kau tapi ini yang kau balas pada aku.." lirih Mawar berbicara.


"Mawar aku minta maaf. Aku janji aku akan bertanggjawab atas apa yang berlaku. Aku akan pastikan kau takkan apa-apa. Aku akan tolong kau,"


Mawar tersenyum sinis. Kepala digelengkan seakan tidak percaya.


"Kau nak pastikan aku tak apa-apa? Kau sedar tak dengan situasi kita sekarang. Kau tengok tangan kita ni.. Tangan kita bergari. Kita ni sekarang dalam trak polis. Kau nak tolong aku macam mana?" sinis Mawar menyoal. 


Kelu lidah Imran seketika. Apa yang barusan dikatakan oleh Mawar benar belaka. Dengan keadaan mereka bagaimana dia mahu membantu Mawar. Dia sendiri buntu dengan kejadian yang berlaku secara tiba-tiba itu. 


Imran meraup wajahnya kasar. Fikirannya mula buntu memikirkan nasib Mawar. Nafas dihela kasar. 


Trak yang dipenuhi hampir sepuluh Orang Kena Tangkap atau OKT itu akhirnya tiba jua di perkarangan mahkamah Bentong. Masing-masing turun dengan keadaan bergari dan dikawal rapi oleh pihak polis.


Baru sahaja kaki Mawar ingin melangkah masuk ke dalam mahkamah Mawar tersentak apabila namanya dilaung oleh seseorang. Laju kepalanya menoleh. Air mata yang tadinya sudah kering kini mengalir lagi apabila melihatkan ibu dan adik-adiknya yang turut berada di perkarangan mahkamah.


"Mak... Mawar tak salah mak.. Mawar betul-betul tak salah.. Mawar kena aniaya dengan Haris mak..." ucap Mawar lirih.


"Mawar jangan risau mak percayakan Mawar..." sahut Puan Zubaidah.


Hatinya bagaikan dirobek melihatkan keadaan si anak. Jelas menunjukkan keadaan Mawar yang sungguh kusut ketika ini.


"Melati jaga mak Melati.. Kalau jadi apa-apa pada akak jaga mak dengan Dahlia.." pesan Mawar.


"Kak Mawar jangan risau. Melati janji Melati akan jaga mak dengan Dahlia macam yang akak jaga..." sahut Melati sebak.


"Dah-dah ni bukan tempat buat drama air mata. Masuk cepat," tersentak Mawar saat tubuh badannya ditolak kasar untuk masuk ke dalam mahkamah.


Baru sahaja Puan Zubaidah ingin mengikuti langkah Mawar, laluannya sudah dihalang. Berkerut pelik dahi Puan Zubaidah yang tidak tahu apa-apa itu.


"Maaf orang awam tak boleh masuk.. Ini adalah prosedur mahkamah." ucap salah seorang anggota polis yang berada disitu.


"Tapi encik saya nak jumpa anak saya takkan tak boleh?" rayu Puan Zubaidah.


"Maaf makcik ini memang prosedur yang dah ditetapkan mahkamah. Apa-apa makcik boleh berhubung dengan IO yang handle kes anak makcik ni."


"Mak dahlah.. Kita tunggu jelah apa kata pihak polis nanti ya," pujuk Melati.


"Tapi mak nak jumpa Kak Mawar.. Takkan tak boleh," keluh Puan Zubaidah.


"Bukan tak boleh tapi nanti kita jumpa lagi Kak Mawar ya. Kita jangan ganggu kerja polis nanti lagi susah Kak Mawar. Kesian Kak Mawar nanti," pujuk Melati.


"Hmm.. Yelah..." akur Puan Zubaidah.





~~~~~





Pintu wad yang menempatkan Aizat ditolak sedikit kasar oleh Encik Bakri dan Puan Hanim. Mahu gugur kedua-dua jantung pasangan tua itu apabila mendapat perkhabaran tentang anak tunggalnya yang kemalangan. 


Luluh hati sang ibu apabila melihat keadaan anak tunggalnya yang ditatang dengan penuh kasih itu terbaring lemah diatas katil. Air mata yang ditahan kini mengalir lesu dipipi tuanya.


Lebam dan luka disekitar wajah dan tubuh Aizat jelas dipandangan mata. Sebak melihat keadaan anaknya itu. 


"Kesian anak kita bang..." ucap Puan Hanim sebak. 


"Awak sabarlah Hanim. Kalau Aizat tengok awak sedih macam ni mesti dia lagi sedih," pujuk Encik Bakri. 


"Banyak kali dah saya cakap berhentilah daripada jadi penghantar makanan ni cari kerja lain tapi dia tetap degil. Tengok sekarang ni apa dah jadi," bebel Puan Hanim. 


"Awak nak membebel pun dah tak guna Hanim. Benda dah jadi dah pun. Patutnya awak bersyukur sebab Aizat ni masih lagi selamat walaupun dia patah kaki dan luka sana sini.." nasihat Encik Bakri. 


"Dia ni lah satu-satunya anak kita. Mana saya tak membebel bang.."


"Iya saya tahu tu.." keluh Encik Bakri. 


Aizat yang masih belum sedarkan diri itu direnung oleh pasangan tua itu. Keluhan berat dilepaskan. Sedang mereka berdua larut dengan perbagai rasa tiba-tiba Encik Bakri dan Puan Hanim tersentak saat pintu wad itu dikuak kasar. Segera mereka berdua menoleh.


Mata laju memandang ke arah figura yang kini sudah berjalan masuk ke dalam wad milik Aizat.


"Mak Long.. Macam mana dengan Abang Zat..?" soal Farah cemas.


"Hmm.. Macam yang kamu tengok sekarang ni lah," ucap Puan Hanim.


"Macam mana boleh jadi sampai macam ni?" soal Farah tidak puas hati.


"Entahlah Mak Long pun tak tahu macam mana sampai boleh jadi macam ni. Kita kena tunggu Aizat sedar dulu baru kita tahu cerita yang sebenarnya," ujar Puan Hanim.


"Apa yang jadi ni semua salah Abang Zat sendiri. Kalau dia setuju nak kerja dengan mama mesti semua ni takkan jadi," gerutu Farah.


"Mak Long pun dah puas nasihatkan si Aizat ni. Dah berbuih mulut ni tapi dia tetap degil macam tu jugak," keluh Puan Hanim.


"Habis tu apa plan Mak Long?" soal Farah.


"Plan? Plan apa?" dia menoleh sebentar ke arah Encik Bakri.


"Haah plan apa maksud kamu ni Farah?" soal Encik Bakri pula.


"Yela maksud Farah kalau Abang Zat ni dah sembuh takkan Mak Long dengan Pak Long masih nak benarkan Abang Zat ni terus terusan kerja hantar makanan?"


"Farah.. Kami sebagai mak ayah memang nak yang terbaik untuk Aizat ni. Tapi kalau dia tak nak takkan kami nak paksa dia lagi? Dia bukan budak-budak lagi. Lagi pun kamu tahu kan perangai keras kepala Aizat ni macam mana?" jawab Encik Bakri. 


Farah mengeluh panjang. Faham benar dia dengan sikap keras kepala Aizat ini. 


"Mak Long penah cakap dulu yang Abang Zat ni nak sangat bukak restoran kan?" 


"Iyalah.. Kenapa kamu tanya?" berkerut pelik Puan Hanim.


"Farah boleh tolong pinjamkan modal. Tapi ada syaratnya," ucap Farah bersama senyuman penuh maksud yang tersirat. 


"Syarat..? Apa syaratnya?" soal Puan Hanim tidak sabar.


"Farah nak Mak Long dan Pak Long rahsiakan hal ni daripada pengetahuan Abang Zat," ucap Farah tegas.


"Kalau pasal tu kamu jangan risau. Pak Long dengan Mak Long akan rahsiakan hal ni daripada Aizat." tersenyum Encik Bakri.


"Selain daripada tu Farah nak Pak Long dan Mak Long kahwinkan Abang Zat dengan Farah bila bisnes dia dah maju nanti. Tu je yang Farah mintak," ujar Farah selamba.


Membulat mata Encik Bakri dan Puan Hanim mendengarkannya.


"Mak Long tak kisah kalau Farah nak jadi menantu Mak Long. Mak Long lagi suka. Tapi kamu tahukan Aizat tu macam mana dengan kamu.." keluh Puan Hanim.


"Farah tahu.. Sebab tu Farah nak Mak Long dan Pak Long paksa Abang Zat untuk setuju kahwin dengan Farah. Mak Long pun tahukan Farah dah lama sukakan Abang Zat, cuma Abang Zat tu je yang tak sukakan Farah," cebik Farah.


"Hmm.. Kamu bagilah kami masa dulu untuk fikirkan soal tu. Lagi pun Aizat tak sedar lagi ni.. Apa-apa pun kita kena tunggu Aizat sedar dan tengok keadaan dia macam mana nanti," potong Encik Bakri.


"Baiklah.. Farah boleh beri masa sebanyak mana pun yang Mak Long dan Pak Long mahukan. Farah cuma nak yang terbaik untuk Abang Zat. Farah harap Mak Long dan Pak Long pertimbangkan cadangan Farah ni."


"Terima kasih Farah... InshaAllah kami akan cuba untuk pujuk Aizat... Mak Long dengan Pak Long pun cuma nak yang terbaik untuk Aizat."


"Baguslah kalau Mak Long fikir macam tu," angguk Farah seketika.





~~~~~





Mawar menyandarkan badannya didinding. Nafas dihela perlahan-lahan. Mata dipejam seketika. Cuba mengusir rasa sebak didalam hati. Laila melangkah mendekati Mawar. Punggung dilabuhkan bersebelahan gadis polos itu. Dia berdehem sebelum memulakan bicara.


"Macam mana?" soal Laila.


"Aku kena reman 4 hari sebelum naik tuduh dekat mahkamah. Kau pulak macam mana?" soal Mawar kembali. Mata masih lagi terpejam rapat.


Laila tersenyum sinis sebelum kembali bersuara.


"Esok hari terakhir tempoh reman aku. Dan mungkin esok aku akan dijatuhkan hukuman," jawab Laila tenang.


Mawar segera menoleh ke arah Laila yang masih bersikap tenang.


"Kau tak nak buat rayuan ke?" soal Mawar.


"Buat apa aku nak buat rayuan bagai. Memang betul aku yang bunuh orang tua keparat tu. Lagi pun takde sebab untuk aku buat rayuan semua tu. Bazir masa je," ucap Laila.


"Belum cuba belum tahu. Aku dengar boleh buat rayuan lagi. Lagi pun ni kesalahan pertama kau kan.. Takkan kau nak mengalah macam tu je. Kau tak kesiankan keluarga kau ke?" bersungguh Mawar menyakinkan Laila.


Laila ketawa hambar. Kepala digelengkan apabila mendengarkan bicara Mawar.


"Keluarga kau cakap? Aku hidup selama ni pun cuma sebatang kara. Aku tak macam kau ada mak ada adik beradik. Hidup aku dengan kau tak sama.." ucap Laila lirih.


"Ap... Apa maksud kau?" jelas Mawar tidak faham.


"Aku ni dilahirkan sebagai anak luar nikah. Mak aku buang aku lepas je aku dilahirkan. Kau tahu perempuan sial tu buang aku dekat mana? Kau tak tahu kan?"


Laju Mawar menggeleng.


"Tong sampah.. Perempuan sial tu buang aku dekat tong sampah sebab apa.. Sebab dia bencikan aku sangat-sangat. Dia jijik dengan aku sedangkan aku ni lahir semuanya disebabkan oleh perbuatan terkutuk dia tu.."


Membuntang mata Mawar. Wajah bersahaja Laila dipandang seakan tidak percaya.


"Ma.. Maaf... Aku tak tahu kisah kau.. Aku minta maaf," ucap Mawar bersalah. 


"Dahlah Mawar bukan salah kau pun. Kau pun tak tahu kisah aku.." Laila sudah seakan terbiasa dengan nasib dirinya. 


"Ta.. Tapi kau tak cuba cari mak kandung kau? Tanya dia kenapa dia buat kau macam tu?" 


"Untuk apa? Untuk apa aku cari orang yang dah buang aku. Orang yang tak penah anggap aku ni anak dia walaupun jelas-jelas aku ni lahir daripada rahim dia. Aku pun dah anggap dia dah mati. Orang macam dia tak layak sandang gelaran ibu,"


"Laila walau macam mana pun dia tetap ibu kandung kau. Ibu yang dah lahirkan kau. Aku rasa mungkin dia pun menyesal dengan apa yang dia dah buat selama ni dekat kau. Mana kita tahu manusia tu kan boleh berubah," nasihat Mawar. 


Laila tersenyum sinis sebelum menjawab kata-kata Mawar. 


"Kau ni terlalu polos Mawar. Sebab tu kau senang-senang boleh kena game dengan orang. Fikiran kau terlalu naif. Kau tahu tak dunia ni terlalu kejam. Dunia ni terlalu kotor untuk orang sebaik kau," 


"Kau tengok lah disebabkan sikap baik kau ni dimana kau sekarang. Meringkuk dalam penjara. Mungkin kata-kata kau ada benarnya. Tapi untuk memaafkan apa yang dia dah buat pada aku satu perkara yang bukan mudah. Kau tak berada di tempat aku dan aku tak berada ditempat kau. Kau tak rasa apa yang aku rasa. Orang lain bercakap mungkin senang tapi yang alaminya aku.." ucap Laila tenang. 


Mawar terdiam. Apa yang dikatakan Laila benar belaka. Jika ditanya adakah dia mampu untuk memaafkan semua perbuatan Haris kepadanya pasti jawapannya sama sekali tidak. Malah dendam sudah mula menjalar dihatinya walaupun sudah berkali-kali dia cuba menepis. Namun dia juga manusia biasa punyai rasa sakit hati. 


Pasti Laila juga sudah melalui kehidupan yang sangat sukar sehingga menyebabkan hati gadis itu sudah menjadi keras seperti batu.


Sesungguhnya pengalaman itu adalah pelajaran yang paling berharga dalam hidup. 

Previous: Bab 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.