Home Novel Cinta Isteriku Bekas Banduan
Isteriku Bekas Banduan
Kasturi Madu
26/12/2020 06:27:16
84,233
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 18

Pejam celik, pejam celik sudah sebulan Mawar dibebaskan. Rutin hariannya banyak dihabiskan dengan membantu kerja-kerja di rumah sementara Puan Zubaidah dan Melati sibuk bekerja bagi mencari wang untuk mereka sekeluarga. 


Pada mulanya dia mahu kembali membantu Puan Zubaidah menoreh getah namun ditegah oleh sang ibu. Katanya Puan Zubaidah, dia mahu Mawar berehat sepuas-puasnya. Dia tahu benar anaknya pasti terseksa ketika berada didalam penjara.


Kuih lapis hasil air tangan Mawar diletakkan dihadapan sang ibu. Air teh O panas turut dituangkan didalam cawan dan dihulurkan kepada ibu kesayangannya. Selesai melakukan kerja-kerjanya dia mula duduk bersimpul menyertai sang ibu untuk menjamu minum petang bersama.


"Bila kamu buat kuih ni?" soal Puan Zubaidah. 


"Tadi mak, masa mak pegi menoreh. Mawar tengok ada tepung dekat dapur tu yang Mawar buat kuih ni," jawab Mawar. 


"Lama dah mak tak makan kuih yang Mawar buat," bicara Puan Zubaidah memulakan bicara.


"Takpe mak lepas ni Mawar akan selalu buatkan kuih untuk mak dan adik-adik ya," sahut Mawar teruja.


"Iyalah..." jawab Puan Zubaidah. Air teh O dicicip perlahan-lahan.


Jeda seketika diantara mereka.


"Mak lepas ni Mawar ingat nak cari kerjalah. Nak bantu mak dengan Melati untuk keluarga kita," ucap Mawar lembut. 


"Cari kerja? Kerja apa?" berkerut dahi Puan Zubaidah. 


"Mawar pun tak tahu lagi. Mawar bosanlah asyik duduk dekat rumah je. Takde buat apa pun," keluh Mawar. 


"Kamu nak cari kerja dekat mana? Bandar tu ke?" soal Puan Zubaidah lagi. 


"Mawar ingat macam tu juga. Nak cuba-cuba nasib. Mana tahu ada rezeki kan." 


"Mak tak izinkan," keras suara Puan Zubaidah. 


"Tapi kenapa mak? Salah ke Mawar nak cari kerja dekat bandar tu?" protes Mawar. 


"Tak salah kalau niat kamu nak pegi cari kerja. Tapi dengan apa yang dah jadi dengan kamu, mak takut perkara yang sama akan berulang kembali," lirih Puan Zubaidah berkata. 


"Mak.. Dulu ya mungkin Mawar terlalu polos, naif sampai senang kena tipu bulat-bulat. Tapi Mawar yang dulu dah lama mati.. Apa yang jadi cukup jadikan Mawar kenal dunia sebenar," ucap Mawar senada. 


"Mak tetap tak izinkan. Keputusan mak muktamad," tegas Puan Zubaidah. 


"Habis tu takkan mak nak Mawar duduk goyang kaki je dekat rumah ni?" soal Mawar. 


"Kalau susah sangat kamu tolong je mak dekat kebun getah tu. Tapi kalau kamu nak kerja dekat bandar tu memang mak tak bagi.. Mak cukup fobia dengan apa yang jadi dulu," ujar Puan Zubaidah. 


"Sampai bila mak? Sampai bila mak nak Mawar duduk kerja dekat kampung ni?" soal Mawar tidak puas hati. 


Terdiam Puan Zubaidah seketika. Benar apa yang dikatakan oleh Mawar sampai bila dia ingin menyekat anaknya itu dengan dunia luar. Tapi jauh disudut hatinya dia cukup takut kalau sesuatu akan terjadi lagi sekali kepada Mawar. 


"Mawar cuma nak kerja cari duit untuk mak dan keluarga kita. Mawar kesiankan mak dengan Melati. Mak tak kesiankan Melati ke mak? Sepatutnya Melati tu belajar bukan cari duit untuk tanggung keluarga kita ni. Keputusan peperiksaan dia pun bagus. Rugi mak kalau dia tak sambung belajar. Mawar tak nak nanti dia jadi macam Mawar. Takde masa depan," keluhan berat dilepaskan. 


"Mak bukan apa... Mak cuma takut kehilangan kamu sekali lagi. Cukuplah selama ni mak rasa bersalah dengan kamu.." ucap Puan Zubaidah lirih. 


"Mak.. Mawar janji lepas ni Mawar takkan tinggalkan mak lagi. Mawar cuma nak cari duit untuk bantu mak dan keluarga kita. Biarlah Melati sambung belajar. Kejar cita-cita dia. Dia je harapan untuk ubah nasib keluarga kita mak," bersungguh Mawar berkata. 


"Hmm.. Mak cuma risaukan kamu je Mawar," jujur Puan Zubaidah. 


"Mawar bukan budak kecil lagi mak. Apa yang jadi dekat Mawar cukup buat Mawar sedar tak semua orang akan baik dengan kita," ujar Mawar dingin. 


Puan Zubaidah terdiam. Tahulah dia kini Mawar sudah jauh berubah. Pengalaman menjadikan Mawar semakin matang.





~~~~~





Aizat menghirup milo suam buatan Puan Hanim perlahan-lahan. Dia baru sahaja selesai makan malam bersama ibu dan bapanya. Puan Hanim yang memintanya untuk makan malam dirumah pada hari ini kerana mereka bertiga sudah lama sekali tidak dapat meluangkan masa bersama sejak Aizat sibuk dengan restoran milik lelaki itu.


Mata merenung ke arah kaca televisyen yang kini sedang menayangkan drama melayu. Beberapa minit kemudian Encik Bakri dan Puan Hanim datang dan melabuhkan duduk di sofa berdekatan Aizat. Aizat yang sedar akan kedatangan ibu bapanya menoleh dan senyuman kecil diberikan kepada mereka.


Encik Bakri mengerling sebentar ke arah Puan Hanim. Melihatkan saja anggukan si isteri dia mengeluh panjang sebelum berdehem. 


"Ehem..." 


Dengar sahaja deheman Encik Bakri laju Aizat menoleh ke arah sang bapa. 


"Kenapa yah? Ayah ada nak cakap apa-apa ke?" soal Aizat penasaran.


"Takde apa.. Macam mana dengan restoran kamu? Semuanya okay ke?" Encik Bakri mula memulakan perbualan diantara mereka. 


"Alhamdullilah.. Setakat ni semua okay. Pelanggan pun makin ramai," jawab Aizat teruja. 


"Baguslah macam tu. Ayah doakan supaya perniagaan kamu akan bertambah maju lepas ni," ujar Encik Bakri. 


"Amin... Terima kasih ayah..." sahut Aizat teruja. 


"Perniagaan kamu dah maju. Kamu pun daripada pakai motor sekarang dah boleh pakai kereta. Ayah tengok kewangan kamu pun dah kukuh. Ayah rasa kalau kamu nak kahwin boleh dah tu," ujar Encik Bakri berhati-hati. 


Tersenyum kekok Aizat mendengarkan pertanyaan si bapa. 


"Kahwin..? Siapalah nak dekat Zat ni yah.. Perempuan sekarang mana pandang lelaki selekeh macam Zat ni," jawab Aizat. 


"Alasan kamu je tu. Ada je yang nakkan kamu tapi kamu tu je yang jual mahal." 


"Soal kahwin tu biar dululah yah... Zat nak fokus pada bisnes dulu. Rumah pun Zat tak beli lagi... Takkan nanti dah kahwin Zat nak tinggal dengan mak dan ayah pulak," jawab Aizat. 


"Apa masalahnya kalau tinggal dengan kami? Rumah ni pun bukan ada siapa-siapa pun. Rumah ni nanti akan jadi hak kamu jugak," celah Puan Hanim setelah lama hanya mendiamkan diri. 


"Memanglah tapi kalau boleh Zat tak nak susahkan mak dan ayah lagi. Zat nak belajar hidup berdikari sendiri. Belajar bertanggungjawab dengan keluarga Zat sendiri," tegas Aizat. 


"Kamu tak susahkan kami pun. Kami lagi suka kalau kamu kahwin dan duduk dengan kami. Sekurang-kurangnya rumah ni takdelah sunyi sangat," ucap Encik Bakri. 


"Hmm.. Nantilah Zat fikirkan. Calon pun takde lagi dah ayah dengan mak ni sibuk suruh Zat kahwin pulak," sengihan kerang busuk diberikan. 


"Kamu ni takde girlfriend lagi ke?" soal Puan Hanim. Mata melirik ke arah Encik Bakri. 


"Setakat ni takde lagi. Zat pun takde masa nak fikir semua tu," yakin Aizat berkata. 


"Senang-senang kamu kahwin jelah dengan Farah. Dia pun memang dah lama sukakan kamu," ujar Puan Hanim. 


"Farah..? Farah Aliya?" soal Aizat tidak percaya. 


"Iyalah.. Farah anak Mak Ndak kamu tu," sahut Encik Bakri pula. 


"Ishh.. Tak naklah Zat. Simpang malaikat 44. Zat rela tak kahwin laa daripada kahwin dengan si cacing kerawit tu," mata dijulingkan ke atas. 


"Zat tak baik kamu cakap macam tu. Mak tak suka," marah Puan Hanim. 


"Betul tu Zat. Tak baik kamu panggil Farah tu macam tu. Ayah tak ajar kamu cakap macam tu," tegur Encik Bakri.


Aizat mencebik tanda tidak puas hati.


"Mak suka kalau Farah tu jadi isteri kamu. Sekurang-kurangnya kita dah kenal keluarga dia, latar belakang dia dan keluarga dia. Mak tak nak kamu kahwin dengan sebarangan orang yang entah tak tahu asal usulnya," tegas Puan Hanim.


"Betul tu. Ayah pun sokong dengan apa yang mak kamu cakap tu. Lagi pun tak salah kalau kamu kahwin dengan Farah tu. Bukan orang lain pun sepupu kamu jugak. Dia pun daripada keluarga baik-baik," sahut Encik Bakri.


Aizat segera menoleh ke arah ibu bapanya. Riak wajah tidak percaya jelas terbias diwajahnya.


"Mak dengan ayah nak Zat kahwin dengan Farah..?" soal Aizat tidak percaya.


"Iyalah.. Kenapa?" soal Puan Hanim.


"No and never... Kahwin dengan sepupu sendiri sama sekali Zat takkan buat dalam hidup Zat," tegas Aizat.


"Mak rasa Farah tu terbaik untuk Zat. Dia layak jadi isteri Zat lagi pun dia memang dah lama sukakan kamu," pujuk Puan Hanim. 


"Terbaik bagi mak tapi bukan bagi Zat. Mak tahukan Zat tak penah sukakan Farah jauh sekali nak jatuh cinta atau dijadikan isteri. Sama sekali tak mak," keluh Aizat. 


"Aizat kamu cubalah kenal dulu hati budi si Farah tu. Mana tahu bila kamu dah kenal hati budi dia timbul rasa sayang atau cinta dalam hati kamu untuk dia," ucap Encik Bakri. 


"Kenapa mak dengan ayah beria sangat sebut pasal Farah ni? Jangan cakap mak dengan ayah nak Zat kahwin dengan cacing kerawit tu," 


"Kalau betul pun apa salahnya kan?" duga Encik Bakri. 


Aizat ketawa hambar. Kepala digeleng-gelengkan seaakan tidak percaya. 


"Kalau mak dengan ayah paksa Zat kahwin dengan orang lain Zat masih boleh terima. Tapi kalau dengan Farah jawapan Zat tetap sama. Tidak.." tegas Aizat. 


"Tapi...." 


Belum sempat Puan Hanim ingin menyuarakan apa yang terbuku didalam hatinya Aizat laju memotong. 


"Dahlah mak Zat tak nak bincang lagi pasal ni. Zat naik atas dululah. Zat nak rehat... Assalamualaikum." 


Dia segera bangun dan bersalaman dengan kedua ibu bapanya itu. Langkah segera diatur menuju ke arah biliknya.


Hilang saja kelibat Aizat, Encik Bakri dan Puan Hanim mengeluh panjang. Faham benar dengan sikap keras kepala anak lelakinya itu. 





~~~~~





Haris melangkah masuk ke dalam sebuah bilik bersut mewah di dalam sebuah kelab malam di Kuala Lumpur. Dia kemudian melabuhkan duduk dihadapan seorang lelaki cina yang sedang diapit dua orang wanita seksi dikiri dan kanannya.


"Amacam?" soal Haris. 


"Budak lu memang bagus sentiasa fresh. Duit nanti gua suruh budak gua transfer kasi lu," jawab lelaki cina yang dikenali sebagai Alvin. Pemilik kelab malam itu sekaligus merangkap bapa ayam yang selalu Haris berurusan.


"Bagus kalau kau cakap macam tu.. Kalau kau nak tambah lagi bagi tahu aku je," ujar Haris bersama senyuman sinis.


"Next week you hantar banyak sikit anak ayam. Gua mau hantar ke Siam sana. Customer gua bising ayam sana banyak tak ori.. Hahaha," ketawa jahat diberikan.


"Soal tu kau jangan risau. Minggu depan barang baik aku bagi."


"Gua mau anak dara. Gua tak mau yang sudah orang pakai," pesan Alvin. 


"Anak dara mahal sikit boss.." 


"Berapa pun gua sanggup bayarlah. Janji anak dara. Ayam kampung maa ramai orang suka," beritahu Alvin. 


"Ayam kampung susah dapat sekarang ni. Tapi takpe nanti aku akan usahakan. Tapi payment kena lebat lah," pesan Haris. 


"Pasal payment lu tenang je. Gua boleh bayar berapa pun lu mau. Janji bisnes gua jalan," ujar Alvin. 


"Bagus. Apa-apa aku bagi tahu kau nanti." 


Tersungging senyuman sinis dibibirnya. Rokok diatas meja di ambil dan dinyalakan. Asap berkepul-kepul memenuhi ruang bilik itu. 


Haris Redzuan selain menjadi pengedar dadah dia juga semakin bergiat aktif dalam dunia pemerdagangan manusia. Terutama gadis-gadis muda yang masih mentah pasti akan menjadi mangsanya. Gadis muda yang masih belum mengenal dunia sebenar.







Jemput follow IG kak KM 

@kasturimadu

Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.